Persidangan Umum
Yesus Kristus ialah Kekuatan Remaja
Persidangan umum Oktober 2022


Yesus Kristus ialah Kekuatan Remaja

Taruhlah kepercayaan kepada Tuhan. Dia akan bimbing anda dengan cara yang betul. Dialah kekuatan anda.

Dalam persediaan untuk pesanan hari ini, saya terasa dorongan kuat untuk berucap kepada remaja puteri dan remaja putera.

Saya juga berucap kepada mereka yang pernah menjadi muda dan kepada mereka yang tidak dapat ingatinya lagi.

Saya berucap kepada semua yang sayangi dan inginkan orang muda kita berjaya dalam kehidupan.

Kepada generasi muda, saya mempunyai pesanan khas untuk anda daripada Juruselamat kita, Yesus Kristus.

Pesanan Juruselamat kepada Anda

Kawan muda yang dikasihi, jika Juruselamat berada di sini sekarang, apakah yang Dia akan katakan kepada anda?

Saya percaya Dia akan bermula dengan menyatakan kasih mendalam-Nya kepada anda. Dia mungkin mengatakannya, tetapi ia juga dapat di rasai—hanya dari hadirat-Nya—di mana ia tidak akan dapat disangkal, mencapai ke dalam hati anda, memenuhi seluruh jiwa anda!

Namun, kerana kita lemah dan tidak sempurna, anda mula rasa bimbang. Anda mungkin teringat kesilapan anda, terikut godaan, perkara yang anda tidak harus lakukan—atau harap anda telah buat pilihan yang lebih baik.

Juruselamat akan merasai itu, dan saya percaya Dia akan meyakinkan anda dengan firman-Nya yang tertulis dalam tulisan suci:

“Janganlah takut.”1

“Janganlah ragu.”2

“Tabahkan hati kamu.”3

“Janganlah kamu risau.”4

Saya tidak fikir Dia akan membuat alasan untuk kesilapan anda. Dia tidak akan mengecilkannya. Tidak, Dia akan meminta anda untuk bertaubat—untuk tinggalkan dosa anda, berubah, supaya Dia boleh ampuni anda. Dia akan mengingatkan anda bahawa 2,000 tahun yang lalu, Dia telah mengambil dosa-dosa itu ke atas diri-Nya supaya anda boleh bertaubat. Itulah sebahagian rancangan kegembiraan yang dikurniakan kepada kita oleh Bapa Syurgawi.

Yesus mungkin menunjukkan perjanjian anda dengan Dia—yang dibuat ketika anda dibaptis dan diperbaharui setiap kali anda mengambil sakramen—memberikan anda suatu hubungan istimewa dengan-Nya. Kaitan tulisan suci yang digambarkan sebagai kuk bersama, dengan bantuan-Nya, anda boleh bawa apa-apa beban.5

Saya percaya Juruselamat Yesus Kristus mahu anda lihat, rasa, dan tahu yang Dialah kekuatan anda. Dengan bantuan-Nya, tiada batas untuk apa yang anda boleh capai. Potensi anda tidak terbatas. Dia mahu anda melihat diri sepertimana Dia melihat anda. Dan itu sangat berbeza dengan cara dunia melihat anda.

Juruselamat akan mengisytiharkan, dengan pasti, bahawa anda ialah anak perempuan atau lelaki Tuhan Yang Maha Kuasa. Bapa Syurgawi anda ialah makhluk paling mulia di alam semesta, penuh dengan kasih, kebahagiaan, kesucian, kekudusan, cahaya, rahmat dan kebenaran. Dan suatu hari nanti Dia mahu anda warisi semua yang Dia miliki.6

Inilah sebab mengapa anda di bumi—untuk belajar, berkembang, maju dan menjadi segala yang Bapa Syurgawi ciptakan anda untuk menjadi.

Untuk membolehkan ini, Dia menghantar Yesus Kristus untuk menjadi Juruselamat anda. Inilah tujuan di sebalik rancangan kegembiraan-Nya yang agung, Gereja-Nya, imamat-Nya, tulisan suci—semuanya.

Itulah takdir anda. Itulah masa depan anda. Itulah pilihan anda!

Kebenaran dan Pilihan

Pusat rancangan Tuhan untuk kegembiraan anda adalah kuasa untuk memilih.7 Sudah tentunya, Bapa Syurgawi mahu anda pilih kebahagiaan abadi dengan Dia, dan Dia akan membantu anda mencapainya, tetapi Dia tidak akan memaksa anda.

Jadi Dia membenarkan anda untuk pilih: Cahaya atau kegelapan? Baik atau jahat? Kebahagiaan atau kesengsaraan? Kehidupan abadi atau kematian rohani?8

Nampaknya pilihan mudah, bukan? Tetapi di bumi ini, ia lebih rumit dari itu.

Masalahnya adalah kita tidak sering melihat perkara dengan jelas seperti yang kita inginkan. Rasul Paulus membandingkannya dengan melihat “melalui cermin yang samar-samar.”9 Terdapat banyak kekeliruan di dunia tentang apa yang betul dan salah. Kebenaran diputarbelitkan untuk menjadikan yang jahat nampak baik dan yang baik nampak jahat.10

Tetapi apabila anda mencari kebenaran dengan bersungguh-sungguh—kebenaran abadi yang tidak berubah—pilihan anda menjadi lebih jelas. Ya, anda masih ada godaan dan cubaan. Perkara buruk masih berlaku. Perkara yang kita fahami masih berlaku. Perkara yang tragik masih berlaku. Tetapi anda boleh menghadapinya apabila anda tahu siapa anda, mengapa anda berada di sini, dan apabila anda percayai Tuhan.

Jadi di manakah anda temui kebenaran?

Ia terkandung dalam injil Yesus Kristus. Dan kegenapan injil itu diajarkan dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

Yesus Kristus berkata, “Akulah jalan untuk mengenal Tuhan dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku.”11

Apabila anda ada pilihan penting untuk dibuat, Yesus Kristus dan injil-Nya yang dipulihkan adalah pilihan terbaik. Apabila anda ada soalan, Yesus Kristus dan injil-Nya yang dipulihkan adalah jawapan yang terbaik. Apabila anda rasa lemah, Yesus Kristus ialah kekuatan anda.

Dia kuatkan yang letih; dan kepada mereka yang rasa tidak berkuasa, Dia tingkatkan kekuatan.

Mereka yang berharap kepada Tuhan akan mendapat kekuatan-Nya12

Untuk Kekuatan Remaja

Untuk membantu anda carikan Jalan dan jadikan ajaran Kristus pengaruh bimbingan dalam hidup anda, Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir telah menyediakan satu sumber, versi baharu Untuk Kekuatan Remaja.

Imej
Untuk Kekuatan Remaja versi 2011

Selama 50 tahun, Untuk Kekuatan Remaja telah menjadi satu panduan untuk generasi-generasi remaja Orang Suci Zaman Akhir. Saya sentiasa simpan panduan itu dengan saya, dan saya kongsikan dengan orang yang ingin tahu tentang standard kita. Ia telah dikemas kini dan disemak untuk hadapi cabaran dan godaan zaman kita dengan lebih baik. Untuk Kekuatan Remaja terbaharu disediakan online dalam 50 bahasa dan juga dalam bahan bercetak. Ia akan menjadi satu bantuan penting untuk membuat pilihan-pilihan dalam hidup anda. Sila gunakan panduan ini seperti milik anda dan kongsikan dengan kawan-kawan anda.

Imej
Untuk Kekuatan Remaja versi 2022

Versi baharu Untuk Kekuatan Remaja diberi tajuk kecil Panduan Untuk Membuat Pilihan.

Dengan pasti, bimbingan terbaik yang anda boleh ada untuk buat pilihan ialah Yesus Kristus. Yesus Kristus ialah kekuatan remaja.

Tujuan Untuk Kekuatan Remaja adalah untuk mengarahkan anda kepada-Nya. Ia mengajar anda kebenaran abadi tentang injil-Nya yang dipulihkan—kebenaran tentang siapa anda, siapakah Dia, dan apa yang anda boleh capai dengan kekuatan-Nya. Ia mengajar anda bagaimana untuk buat pilihan soleh berdasarkan kebenaran abadi tersebut.13

Ia juga penting untuk anda tahu apa Untuk Kekuatan Remaja tidak lakukan. Ia tidak membuat keputusan untuk anda. Ia tidak memberi anda “ya” atau “tidak” tentang setiap pilihan yang anda mungkin akan hadapi. Untuk Kekuatan Remaja bertumpu pada landasan untuk pilihan-pilihan anda. Ia berfokus pada nilai, asas, dan ajaran dan bukan setiap kelakuan tertentu.

Tuhan, melalui para nabi-Nya, sentiasa membimbing kita ke arah itu. Dia merayu kepada kita untuk “meningkatkan kemampuan rohani [kita] untuk menerima wahyu.”14 Dia menjemput kita untuk “dengarkanlah Dia.”15 Dia sedang memanggil kita untuk mengikut-Nya dengan cara yang lebih tinggi dan lebih kudus.16 Dan kita belajar dalam cara yang serupa setiap minggu dalam Ikutlah Aku.

Saya rasa panduan itu boleh beri anda senarai panjang berkenaan pakaian yang tidak patut dipakai, kata-kata yang tidak patut dikatakan, dan wayang yang tidak patut ditonton. Tetapi adakah itu benar-benar membantu dalam satu gereja global? Adakah pendekatan sedemikian benar-benar menyediakan anda untuk kehidupan seperti Kristus sepanjang hidup?

Joseph Smith berkata, “Saya mengajar mereka asas yang betul, dan mereka jaga diri mereka sendiri.”17

Dan Raja Benyamin memberitahu rakyatnya dalam Kitab Mormon, “aku tidak dapat memberitahu kamu segalanya yang dengannya kamu boleh berbuat dosa; kerana ada pelbagai jalan dan cara, bahkan sedemikian banyaknya sehingga aku tidak dapat menghitungnya.”18

Raja Benyamin meneruskan, “Tetapi sebanyak ini aku dapat memberitahu kamu, … menjaga dirimu,dan fikiranmu, dan perkataan-perkataanmu, dan perbuatanmu, dan mematuhi perintah-perintah Tuhan, dan berterusan dalam iman … Tuhan kita, bahkan sampai akhir hidupmu.”19

Imej
Tuhan Yesus Kristus

Adakah ia salah untuk ada peraturan? Tentunya tidak. Kita semua perlukannya setiap hari. Tetapi ia adalah salah untuk hanya berfokus pada peraturan dan bukannya pada Juruselamat. Anda perlu tahu mengapa dan bagaimana, dan kemudian pertimbangkan akibat pilihan anda. Anda perlu meletakkan kepercayaan anda kepada Yesus Kristus. Dia akan pimpin anda dengan cara yang betul. Dialah kekuatan anda.20

Kuasa Ajaran Benar

Untuk Kekuatan Remaja mengisytiharkan ajaran Yesus Kristus dengan berani. Ia berani dalam menjemput anda untuk membuat pilihan berdasarkan ajaran Kristus. Dan ia berani dalam menggambarkan berkat-berkat yang Yesus Kristus janjikan kepada mereka yang mengikuti Jalan-Nya.21

Presiden Russell M. Nelson ajarkan: “Apabila hasrat terbesar anda adalah untuk membiarkan Tuhan menang [dalam kehidupan anda], … banyak keputusan menjadi lebih mudah. … Banyak masalah menjadi tidak penting! Anda tahu bagaimana menampilkan diri dengan baik. Anda tahu apa untuk ditonton dan dibaca, di mana meluangkan masa, dan dengan siapa untuk bergaul. Anda tahu apa yang anda ingin capai. Anda tahu jenis orang yang anda … mahu menjadi.”22

Standard yang Lebih Tinggi

Yesus Kristus mempunyai standard yang sangat tinggi untuk para pengikut-Nya. Dan jemputan untuk mencari kehendak-Nya dengan bersungguh-sungguh dan patuhi kebenaran-Nya adalah standard tertinggi!

Pilihan duniawi dan rohani yang penting bukan sahaja berdasarkan keutamaan peribadi, atau apa yang mudah atau popular.23 Tuhan tidak berfirman, “Lakukan apa saja yang anda mahu.”

Dia berfirman, “Biarlah Tuhan menang.”

Dia berfirman, “Ikutlah Aku.”24

Dia berfirman, “Hidup dalam cara yang lebih kudus, lebih tinggi, lebih matang.”

Dia berfirman, “Patuhi perintah saya.”

Yesus Kristus ialah teladan sempurna, dan kita berusaha dengan segala tenaga jiwa untuk mengikuti-Nya.

Para kawan yang dikasihi, saya ulangi semula, jika Juruselamat berdiri di sini hari ini, Dia akan nyatakan kasih-Nya yang mendalam kepada anda, keyakinan-Nya yang sepenuhnya kepada anda. Dia akan memberitahu bahawa anda boleh lakukan ini. Anda boleh membina kehidupan yang bahagia dan gembira kerana Yesus Kristus adalah kekuatan anda. Anda boleh mencari keyakinan, kedamaian, keselamatan, kebahagiaan, dan rasa tergolong sekarang dan secara abadi, kerana anda akan temui semuanya dalam Yesus Kristus, dalam injil-Nya dan di Gereja-Nya.

Dengan ini saya berikan kesaksian khusyuk saya sebagai Rasul Tuhan Yesus Kristus dan tinggalkan anda berkat tulus saya dengan kesyukuran dan kasih yang mendalam untuk anda, dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lukas 5:10; 8:50; 12:7; Ajaran dan Perjanjian 38:15; 50:41; 98:1.

  2. Ajaran dan Perjanjian 6:36.

  3. Matius 14:27; Yohanes 16:33; Ajaran dan Perjanjian 61:36; 68:6; 78:18.

  4. Yohanes 14:1, 27.

  5. Lihat Matius 11:28–30.

  6. Lihat Ajaran dan Perjanjian 84:38.

  7. Anda mungkin berkata rancangan Bapa telah direka untuk membolehkan anda menyatakan hasrat anda melalui pilihan anda, supaya anda boleh menerima hasil sepenuhnya dari apa yang anda inginkan. Seperti yang Elder Dale G. Renlund ajarkan, “Matlamat Bapa Syurgawi dalam keibubapaan bukanlah untuk anak-anak-Nya lakukan apa yang betul; ia adalah supaya anak-anak-Nya pilih untuk melakukan apa yang baik dan akhirnya menjadi seperti Dia.” (“Tentulah Sekarang,” Liahona, Nov. 2018, 104).

  8. Lihat 2 Nefi 2:26–27.

  9. 1 Korintus 13:12.

  10. Lihat Yesaya 5:20.

  11. Yohanes 14:6

  12. Lihat Yesaya 40:29–31.

  13. Sebagai Orang Suci Zaman Akhir, kita sering dikenali dengan apa yang kita lakukan dan tidak lakukan—tingkah laku kita. Ini boleh menjadi baik, tetapi lebih baik untuk dikenali untuk apa yang kita tahu (kebenaran yang mendorong tingkah laku kita) dan untuk siapa kita tahu (Juruselamat—dan bagaimana kasih kita kepada-Nya mengilhami tingkah laku kita).

  14. Russell M. Nelson, “Wahyu untuk Gereja, Wahyu untuk Kehidupan Kita,” Liahona, Mei 2018, 96.

  15. Lihat Russell M. Nelson, “Dengarkanlah Dia,” Liahona, Mei 2020, 88–92.

  16. Pendekatan berasaskan asas bagi panduan Untuk Kekuatan Remaja yang baharu adalah konsisten dengan inisiatif baru-baru ini yang diperkenalkan oleh Gereja Juruselamat, termasuk Preach My Gospel, melayani, kurikulum berpusatkan rumah Ikutlah Aku, program Kanak-kanak dan Remaja, Mengajar dengan Cara Juruselamat, dan Buku Panduan Umum baharu. Jelasnya, Tuhan sedang membina keupayaan rohani kita. Dia sedang menunjukkan kepercayaan yang meningkat kepada umat perjanjian-Nya di zaman akhir.

  17. Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith (2007), 284.

  18. Mosia 4:29. Dalam cara inilah apa yang orang Farisi pada zaman Yesus cuba lakukan. Dalam semangat mereka untuk menghalang orang daripada melanggar hukum, mereka menyusun ratusan peraturan berdasarkan pemahaman mereka tentang tulisan suci. Apa yang orang Farisi salah adalah mereka fikir peraturan-peraturan mereka akan menyelamatkan mereka. Kemudian, apabila Juruselamat muncul, mereka tidak mengenali-Nya.

  19. Mosia 4:30; penekanan ditambah.

  20. Satu lagi sebab pendekatan berasaskan asas diperlukan hari ini ialah kepelbagaian kebudayaan Gereja Tuhan yang semakin bertambah. Asas-asas adalah abadi dan universal. Peraturan tertentu atau aplikasi asas-asas tersebut berfungsi dengan baik di beberapa tempat tetapi bukan semua tempat. Apa yang menyatukan kita ialah Yesus Kristus dan kebenaran abadi yang Dia ajarkan, walaupun jika aplikasi tertentu berbeza dari masa ke masa dan merentasi budaya. Oleh itu, masalah dengan menyenaraikan setiap perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh bukan hanya kerana ia tidak praktikal dan tidak sesuai. Masalahnya ia mengalihkan tumpuan kita dari Sumber kekuatan kita yang benar, Juruselamat kita, Yesus Kristus.

  21. Bertahun-tahun yang lalu, Presiden Boyd K. Packer mengucapkan kata-kata yang berkuasa ini: “Ajaran yang benar, difahami, mengubah sikap dan tingkah laku. Kajian tentang ajaran injil akan memperbaiki tingkah laku lebih cepat daripada kajian tentang tingkah laku untuk memperbaiki tingkah laku” (“Do Not Fear,” Liahona, Mei 2004, 79).

    Presiden Ezra Taft Benson mengajar kebenaran yang sama: “Tuhan bekerja dari dalam ke luar. Dunia bekerja dari luar ke dalam. … Dunia akan membentuk tingkah laku manusia, tetapi Kristus boleh mengubah sifat manusia” (“Born of God,” Ensign, Nov. 1985, 6).

    Apabila nabi Kitab Mormon Alma melihat kejahatan di dunia sekelilingnya, dia berpaling kepada firman Tuhan kerana dia tahu ia “mempunyai kesan yang lebih kuat pada fikiran orang daripada pedang, atau apa-apa pun yang lain, yang telah terjadi kepada mereka—oleh itu Alma berfikir adalah arif bahawa mereka patut menguji kuasa firman Tuhan.” (Alma 31:5).

  22. Russell M. Nelson, “Membiarkan Tuhan Menang,” Liahona, Nov. 2020, 94. Presiden Nelson memberi contoh pendekatan ini apabila dia ajar kita tentang menghormati hari Sabat: “Dalam tahun-tahun muda saya, saya mengkaji kerja orang lain yang mempunyai senarai perkara-perkara yang dibuat dan tidak dibuat pada hari Sabat. . Kemudian saya belajar dari kitab suci bahawa kelakuan dan sikap saya terhadap Sabat merupakan satu tanda antara saya dan Bapa Syurgawi saya. Dengan pemahaman itu, saya tidak memerlukan senarai apa yang harus dibuat dan yang tidak patut dibuat. Apabila saya perlu membuat keputusan sama ada suatu aktiviti adalah sesuai untuk hari Sabat, saya bertanya kepada diri sendiri, ‘Tanda apa yang saya mahu beri kepada Tuhan?’ Soalan itu membuat pilihan saya mengenai hari Sabat menjadi jelas” (“Hari Sabat Adalah Satu Kebahagiaan,” Liahona, Mei 2015, 130).

  23. Elder David A. Bednar ajarkan bahawa “asas-asas kebenaran … bantu kita untuk lihat di luar keutamaan peribadi dan keinginan kita yang mementingkan diri sendiri dengan menyediakan perspektif kebenaran abadi yang berharga semasa kita mengharungi keadaan, cabaran, keputusan, dan pengalaman kefanaan yang berbeza.” (“Asas-asas Injil-Ku,” Liahona, Mei 2021, 123–24).

  24. Lukas 18:22.