Persidangan Umum
Diangkat Ke Atas Salib
Persidangan umum Oktober 2022


Diangkat Ke Atas Salib

Untuk menjadi pengikut Yesus Kristus, kita kadang-kadang membawa beban dan pergi ke mana pengorbanan diperlukan dan penderitaan tidak dapat dielakkan.

Bertahun-tahun yang lalu, selepas satu perbincangan siswazah tentang sejarah agama Amerika, seorang pelajar bertanya kepada saya, “Mengapakah Orang Suci Zaman Akhir tidak gunakan salib yang orang Kristian lain gunakan sebagai simbol kepercayaan mereka?”

Kerana soalan tentang salib sering kali merupakan soalan tentang komitmen kita kepada Kristus, saya segera memberitahu dia bahawa Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir menganggap korban tebusan Yesus Kristus adalah fakta utama, landasan penting, ajaran utama dan ungkapan utama kasih ilahi dalam rancangan agung Tuhan demi keselamatan anak-anak-Nya.1 Saya jelaskan bahawa rahmat penyelamatan dalam tindakan itu adalah penting dan memberkati seluruh keluarga manusia dari Adam dan Hawa sampai ke akhirat dunia.2 Saya memetik dari Nabi Joseph Smith, yang berkata, “Semua … hal-hal yang berkaitan dengan agama kita hanyalah tambahan” kepada Korban Tebusan Yesus Kristus.3

Kemudian saya bacakan dia apa yang telah Nefi tulis 600 tahun sebelum kelahiran Yesus: “Dan … malaikat itu berucap kepadaku … , mengatakan: Lihatlah! Dan aku melihat dan nampak Anak Domba Tuhan, … [Yang] diangkat ke atas salib dan dibunuh bagi dosa-dosa dunia.”4

Dengan semangat “kasih, kongsi, dan menjemput” yang tinggi, saya terus membaca! Kepada bangsa Nefi di Dunia Baru, Kristus yang Dibangkit berfirman, “Bapa-Ku mengutus-Ku agar Aku boleh diangkat ke atas salib; … agar Aku boleh menarik semua orang kepada-Ku, … dan untuk sebab ini Aku telah diangkat.”5

Saya kemudiannya hendak memetik dari Rasul Paulus apabila saya sedari kawan saya mula hilang minat. Sekilas pandang pada jam tangannya mengingatkan dia bahawa dia perlu berada di suatu tempat, di mana-mana pun—dan dia melarikan diri ke temu janji palsunya. Demikian perbualan kami henti.

Pagi ini, 50 tahun kemudian, saya berazam untuk menghabiskan penjelasan itu—walaupun setiap anda mungkin mula melihat jam tangan anda. Semasa saya cuba jelaskan mengapa kita tidak menggunakan lambang salib, saya ingin menyatakan kehormatan dan kekaguman bagi dorongan iman dan kesetiaan mereka yang menggunakannya.

Salah satu sebab kita tidak menekankan salib sebagai satu lambang berasal dari ajaran alkitab kita. Kerana penyaliban adalah salah satu bentuk penghukuman Empayar Roma yang paling menyeramkan, ramai pengikut awal Yesus memilih untuk tidak menekankan alat penderitaan yang kejam itu. Makna kematian Kristus sememangnya pusat bagi iman mereka, tetapi selama 300 tahun mereka berusaha untuk menyampaikan identiti injil mereka melalui cara lain.6

Menjelang abad keempat dan kelima, salib diperkenalkan sebagai lambang agama Kristian yang umum, tetapi kita bukan “agama Kristian yang umum.” Kita bukan Katolik atau Protestan, sebaliknya, kita gereja yang dipulihkan, Gereja Perjanjian Baru yang dipulihkan. Oleh itu, asal usul dan wewenang kita bermula sebelum zaman majlis, syahadat dan ikonografi.7 Dalam pengertian ini, ketiadaan lambang yang digunakan ini adalah bukti bahawa Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ialah pemulihan bagi permulaan Kristian yang sejati.

Satu lagi sebab untuk tidak menggunakan salib ialah penekanan kita pada mukjizat sempurna misi Kristus—Kebangkitan-Nya yang mulia dan juga penderitaan pengorbanan dan kematian-Nya. Dalam menekankan hubungan itu, saya perhatikan dua seni8 yang berfungsi sebagai latar belakang untuk Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul dalam pertemuan mingguan kudus mereka setiap hari Khamis di Salt Lake City. Gambaran ini berfungsi sebagai peringatan berterusan kepada kita tentang harga yang dibayar dan kemenangan yang dimenangi oleh Dia.

Imej
The Crucrifixion [Penyaliban], oleh Harry Anderson
Imej
The Resurrection [Kebangkitan], oleh Harry Andersen

Perwakilan yang lebih umum tentang dua kemenangan Kristus ialah penggunaan imej Thorvaldsen yang kecil tentang kemunculan mulia Kristus yang bangkit dari kubur dengan luka Penyaliban-Nya.9

Imej
Logo Gereja

Akhirnya, Presiden Gordon B. Hinckley pernah ajarkan,”Kehidupan para ahli mestilah … melambangkan kepercayaan[ kita].” Semua pertimbangan ini—terutamanya kebangkitan—membawa saya ke sebuah ayat suci yang paling penting berkenaan salib. Ia tidak berkaitan dengan loket atau barang perhiasan, dengan menara gereja atau tiang tanda. Sebaliknya, ia berkaitan dengan integriti dan azam kuat yang orang Kristian harus bawa terhadap panggilan yang Yesus berikan kepada setiap pengikut-Nya. Dia pernah firman kepada semua, “Jika seseorang [lelaki atau perempuan] hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku.”11

Ini merujuk kepada salib yang kita tanggung dan bukannya salib yang dipakai. Untuk menjadi pengikut Yesus Kristus, kita kadang-kadang membawa beban—beban sendiri atau orang lain—dan pergi ke mana pengorbanan diperlukan dan penderitaan tidak dapat dielakkan. Seorang Kristian sejati tidak dapat mengikuti Tuan hanya dalam hal-hal yang dia setujui. Tidak. Kita mengikuti Dia di merata tempat, termasuk, jika perlu, ke tempat yang dipenuhi dengan kesediaan dan masalah, di mana ada masanya kita mungkin bersendirian.

Saya mengenali orang, dalam dan luar Gereja, yang setia mengikuti Kristus. Saya kenal kanak-kanak yang kurang upaya secara jasmani, dan saya kenal ibu bapa yang menjaga mereka. Saya melihat semua orang yang bekerja sampai keletihan, mencari kekuatan, keselamatan dan saat-saat kegembiraan yang tidak datang melalui cara lain. Saya tahu ramai orang bujang yang ingin, dan layak untuk seorang teman, ingin mempunyai sebuah perkahwinan yang indah, dan rumah yang dipenuhi dengan anak-anak mereka sendiri. Tiada hasrat yang lebih soleh, walaupun tahun demi tahun ia masih belum terjadi. Saya tahu mereka yang sedang melawan pelbagai penyakit mental, yang merayu untuk bantuan semasa berdoa dan menginginkan kestabilan emosi. Saya tahu mereka yang hidup dengan kemiskinan namun berharapan, hanya meminta peluang untuk jadikan hidup lebih baik bagi orang tersayang dan orang di sekeliling mereka yang memerlukannya. Saya tahu ramai yang bergelut dengan masalah identiti, jantina dan seksualiti. Saya menangis untuk mereka, dan menangis bersama mereka, tahu betapa pentingnya akibat keputusan mereka.

Ini hanya beberapa masa percubaan yang kita hadapi dalam hidup dan peringatan rohani bahawa ada kos untuk penganutan. Kepada Arauna, yang cuba memberikan lembu dan kayu percuma kepada dia untuk persembahan korbannya, Raja Daud berkata, “Tidak; Beta mahu membelinya: … [kerana] Beta tidak mahu mempersembahkan … dengan percuma … kepada Tuhan, Tuhan beta.”12 Begitu juga kita semua.

Semasa kita memikul salib dan mengikut Dia, ia adalah tragik jika beban cabaran kita tidak membuat kita lebih empati dan prihatin kepada beban yang orang lain tanggung. Ia adalah salah satu paradoks yang paling berkuasa dari Penyaliban bahawa lengan Juruselamat diregangkan secara luas dan kemudian dipaku di sana, kebetulan tetapi tepat menggambarkan jemputan ke dalam pelukan-Nya yang menebus dan memuliakan bagi setiap lelaki, wanita dan anak dalam seluruh keluarga manusia.13

Apabila Kebangkitan mulia terjadi berikutan Penyaliban yang menyakitkan, pelbagai berkat dicurahkan ke atas mereka yang sedia, seperti yang Nabi Yakub katakan dalam Kitab Mormon, untuk “percaya kepada Kristus, dan merenung kematian-Nya, dan menderita salib-Nya.” Kadangkala berkat-berkat ini datang dengan cepat dan kadangkala ia datang kemudian, tetapi kesimpulan yang menakjubkan melalui via dolorosa (pengalaman susah) peribadi kita14 adalah janji Tuan Sendiri bahawa ia akan datang. Untuk mendapatkan berkat seperti ini, marilah kita ikut Dia—tanpa henti, tidak goyah atau melarikan diri, tidak mengelak tugas, tidak ketika salib kita mungkin berat dan tidak bila, untuk suatu masa, ketika jalan mungkin menjadi gelap. Saya berterima kasih atas kekuatan, kesetiaan dan kasih anda. Saya memberi kesaksian kenabian tentang Dia yang “diangkat”15 dan berkat abadi yang Dia berikan kepada orang yang “diangkat” bersama-Nya, iaitu Tuhan Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat Jeffrey R. Holland, Encyclopedia of Mormonism (1992), “Atonement of Jesus Christ,” 1:83.

  2. Amulek berbicara tentang Korban Tebusan Kristus sebagai “korban yang agung dan terakhir,” adalah “tidak terhingga dan abadi” dalam jangkauannya (Alma 34:10). Kerana “semuanya terjatuh dan tersesat, dan mesti binasa kecuali melalui korban tebusan” (Alma 34:9; lihat juga ayat 8–12). Presiden John Taylor menambah: “Dalam cara yang kita tidak dapat fahami dan jelaskan, [Yesus] menanggung beban dosa-dosa seluruh dunia; bukan sahaja Adam, tetapi keturunannya; dan dengan melakukan itu, membuka kerajaan syurga, bukan sahaja kepada semua orang yang percaya dan semua yang mematuhi hukum Tuhan, tetapi kepada lebih daripada setengah keluarga manusia yang telah mati sebelum mereka sampai ke tahun kematangan, dan juga bagi [mereka] yang … telah mati tanpa hukum, akan, melalui pengantaraan-Nya, dibangkitkan tanpa hukum, dan dihakimi tanpa hukum, dan dengan demikian mengambil bahagian … dalam berkat-berkat korban tebusan-Nya” (An Examination into and an Elucidation of the Great Principle of the Mediation and Atonement of Our Lord and Savior Jesus Christ 1892], 148–49; Teachings of Presidents of the Church: John Taylor [2001], 52–53).

  3. Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith (2007), 49.

  4. 1 Nefi 11:32–33.

  5. 3 Nefi 27:14–15.

  6. Sudah tentunya, terdapat rujukan untuk salib dalam ajaran-ajaran Paulus (lihat, contohnya, 1 Korintus 1:17–18; Galatia 6:14; Filipi 3:18), tetapi ini bercakap tentang sesuatu yang lebih besar daripada dua batang kayu yang dipaku bersama, atau mana-mana lambang lebih kecil daripada itu. Oleh itu, apabila Paulus bercakap tentang salib, dia menggunakan pendekatan ajaran untuk berbicara tentang keagungan Korban Tebusan, sebuah arena di mana Orang Suci Zaman Akhir sedia menyertainya dan memetiknya.

  7. Tokoh-tokoh Kristian awal dan tradisional seperti teman Martin Luther, Andreas Karlstadt (1486–1541) bertengkar hingga ke akhir Zaman Pertengahan bahawa “salib itu hanya menggambarkan penderitaan fana Kristus dan mengabaikan kebangkitan-Nya dan [kuasa] penebusan-Nya” (dalam John Hilton III, Considering the Cross: How Calvary Connects Us with Christ [2021], 17).

  8. Harry Anderson, The Crucifixion [Penyaliban]; Harry Anderson, Mary and the Resurrected Lord [Maria dan Tuhan yang Bangkit].

  9. Lihat Russell M. Nelson, “Membuka Syurga untuk Bantuan,” Liahona, Mei 2020, 72–74.

  10. Gordon B. Hinckley, “The Symbol of Christ,” Ensign, Mei 1975, 92.

  11. Matius 16:24.

  12. 2 Samuel 24:24.

  13. “Lengan-Nya dihulurkan kepada semua orang yang akan bertaubat dan percaya pada nama-Nya” (Alma 19:36, lihat juga 2 Nefi 26:33; Alma 5:33).

  14. Via dolorosa ialah frasa Latin yang bermaksud “satu laluan, jalan atau pengalaman berturut yang susah” (Merriam-Webster.com Dictionary, “via dolorosa”). Ia sering dikaitkan dengan perjalanan Yesus dari penghukuman-Nya di tangan Pilatus ke Penyaliban-Nya di Kalvary.

  15. Lihat 3 Nefi 27:14–15.