Persidangan Umum
Apa Yang Benar?
Persidangan umum Oktober 2022


Apa Yang Benar?

Tuhan ialah sumber semua kebenaran. Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir menerima semua kebenaran yang Tuhan sampaikan kepada anak-anak-Nya.

Saudara dan saudari yang dikasihi, terima kasih kepada semua untuk sesi yang mengilhamkan ini! Sejak persidangan April lepas, kita telah menyaksikan banyak peristiwa dunia, dari yang menyedihkan kepada yang mengagumkan.

Kami gembira dengan laporan persidangan besar remaja yang telah diadakan di seluruh dunia.1 Di persidangan ini, remaja mulia kita belajar bahawa tidak kira apa yang berlaku dalam kehidupan mereka, kekuatan terbesar mereka datang dari Tuhan.2

Kita bersukacita bahawa lebih banyak bait suci sedang dibina di seluruh dunia. Dengan pembaktian setiap bait suci baru, kuasa ketuhanan tambahan datang ke dunia untuk memperkuatkan kita dan mengatasi usaha-usaha musuh yang meningkat.

Penganiayaan merupakan pengaruh musuh. Ia adalah dosa yang berat.3 Sebagai Presiden Gereja, saya menegaskan ajaran-ajaran Tuhan Yesus Kristus tentang isu ini. Izinkan saya bercakap dengan jelas: sebarang penganiayaan terhadap wanita, kanak-kanak, atau sesiapa pun adalah suatu kekejian kepada Tuhan. Dia berdukacita dan saya berduka apabila sesiapa pun dicederakan. Dia meratapi dan kita semua meratapi untuk setiap orang yang telah menjadi mangsa penganiayaan. Mereka yang melakukan perbuatan-perbuatan keji ini tidak hanya bertanggungjawab terhadap undang-undang manusia tetapi juga akan menghadapi kemurkaan Tuhan Yang Maha Kuasa.

Selama beberapa dekad, Gereja telah mengambil banyak langkah untuk melindungi—terutamanya—kanak-kanak daripada penganiayaan. Terdapat banyak bantuan di laman web Gereja. Saya menjemput anda untuk mengkajinya.4 Garis panduan ini adalah untuk melindungi mereka yang tidak bersalah. Saya menggesa setiap kita untuk peka terhadap sesiapa pun yang mungkin berada dalam bahaya penganiayaan dan segera bertindak untuk melindungi mereka. Juruselamat tidak akan bertoleransi terhadap penganiayaan, dan sebagai pengikut-Nya, kita juga sama.

Musuh mempunyai taktik-taktik lain untuk mengganggu. Salah satu ialah usahanya untuk mengaburkan garisan antara apa yang benar dan apa yang salah. Kini banyak maklumat boleh didapati dengan mudah, ironinya, membuatkan ia semakin sukar untuk menentukan apa yang benar.

Cabaran ini mengingatkan saya tentang pengalaman Sister Nelson dan saya ketika kami mengunjungi orang kenamaan di sebuah negara di mana hanya beberapa orang pernah mendengar tentang Yesus Kristus. Kawan berusia kami baru-baru ini sakit tenat. Dia memberitahu kami ketika terlantar di atas katil, dia sering menatap siling dan bertanya, “Apa yang benar?”

Ramai di bumi hari ini “ditahan dari kebenaran kerana mereka tidak tahu di mana untuk menemuinya.”5 Ada yang mahu kita percaya kebenaran adalah relatif—bahawa setiap orang harus memutuskan bagi dirinya sendiri apa yang benar. Kepercayaan ini hanyalah angan-angan bagi mereka yang beranggapan mereka juga tidak akan bertanggungjawab kepada Tuhan.

Saudara dan saudari yang dikasihi, Tuhan ialah sumber semua kebenaran. Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir menerima semua kebenaran yang Tuhan sampaikan kepada anak-anak-Nya, sama ada dipelajari dalam makmal saintifik atau diterima melalui wahyu langsung dari-Nya.

Anda akan terus mendengar kebenaran dari mimbar ini hari ini dan esok. Sila buat nota tentang tanggapan yang menarik perhatian anda dan yang datang ke dalam minda dan kekal dalam hati anda. Dengan penuh doa minta Tuhan untuk mengesahkan apa yang anda telah dengar adalah benar.

Saya kasihi anda, saudara dan saudari. Saya berdoa agar persidangan ini akan menyediakan jamuan rohani yang dicari. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.