2010–2019
Harta Karun Rohani
Persidangan Umum Oktober 2019


Harta Karun Rohani

Apabila anda menjalankan iman dalam Tuhan dan kuasa imamat-Nya, kebolehan anda untuk mendapatkan harta karun rohani ini yang Tuhan telah sediakan akan bertambah.

Terima kasih untuk muzik indah itu. Ketika kita semua berdiri untuk menyanyi lagu rohani, “Kami Bersyukur Bagi Nabi,” saya mempunyai dua pemikiran yang datang kepada saya. Satu adalah tentang Nabi Joseph Smith, nabi zaman keagamaan ini. Kasih dan kekaguman saya untuknya bertambah setiap hari. Pemikiran kedua datang ketika saya melihat isteri, anak perempuan, cucu perempuan, dan cicit perempuan saya. Saya rasa saya ingin menuntut setiap daripada anda menjadi sebahagian daripada keluarga saya.

Beberapa bulan lalu, di penghujung sesi anugerahan bait suci, saya berkata kepada isteri saya Wendy, “Saya harap para saudari memahami harta karun rohani yang kepunyaan mereka dalam bait suci.” Saudari sekalian, saya sering kali berfikir tentang anda, termasuk dua bulan lalu ketika Wendy dan saya melawat Harmony, Pennsylvania.

Imej
Pemulihan Imamat Harun

Ini adalah perjalanan kedua kami di sana. Kedua-dua kali kami berasa beremosi ketika berjalan di atas tanah kudus itu. Ia berdekatan Harmony ketika Yohanes Pembaptis menampakkan diri kepada Joseph Smith dan memulihkan Imamat Harun.

Imej
Pemulihan Imamat Melkisedek

Itulah lokasinya ketika Rasul Petrus, Yakobus, dan Yohanes muncul untuk memulihkan Imamat Melkisedek.

Ia di Harmony ketika Emma Hale Smith melayan sebagai jurutulis pertama suaminya semasa Nabi menterjemahkan Kitab Mormon.

Ia juga di Harmony ketika Joseph menerima wahyu yang menyatakan kehendak Tuhan untuk Emma. Tuhan mengarahkan Emma untuk menjelaskan tulisan suci, mendorong Gereja, menerima Roh Kudus, dan menggunakan masanya untuk “pembelajaran yang banyak.” Emma juga dinasihatkan untuk “mengetepikan hal-hal dari dunia ini dan mencari hal-hal yang lebih baik” dan berpegang kuat kepada perjanjiannya dengan Tuhan. Tuhan mengakhiri arahan-Nya dengan firman ini: “Inilah suara-Ku kepada semua.”1

Segala sesuatu yang berlaku di kawasan ini mempunyai implikasi yang mendalam bagi hidup anda. Pemulihan imamat, bersama dengan nasihat Tuhan kepada Emma, boleh membimbing dan memberkati anda masing-masing. Saya benar-benar mahu anda memahami bahawa pemulihan imamat itu adalah sama pentingnya bagi anda sebagai wanita dan kepada para lelaki. Kerana Imamat Melkisedek telah dipulihkan, kedua-dua pemegang perjanjian wanita dan lelaki boleh mendapatkan “semua berkat-berkat rohani Gereja”2 atau, boleh dikatakan, mendapatkan semua harta karun rohani yang Tuhan ada bagi anak-anak-Nya.

Setiap wanita dan setiap lelaki yang membuat perjanjian dengan Tuhan dan mentaati perjanjian itu, dan mengambil bahagian dengan layak dalam tatacara imamat, mempunyai akses secara langsung kepada kuasa Tuhan. Mereka yang telah dianugerahi dalam rumah Tuhan menerima kurnia kuasa imamat Tuhan berdasarkan perjanjian mereka, bersama dengan kurnia pengetahuan untuk mengetahui cara menggunakan kuasa itu.

Syurga sama dibuka untuk wanita yang telah dianugerahi dengan kuasa Tuhan yang datang dari perjanjian imamat mereka sama seperti bagi lelaki yang memegang imamat. Saya berdoa anda masing-masing akan memahami kebenaran ini kerana saya percaya ia akan mengubah hidup anda. Para saudari, anda mempunyai hak untuk menggunakan dengan kerap kuasa Juruselamat untuk membantu keluarga anda dan orang lain yang anda kasihi.

Sekarang, anda mungkin berkata kepada diri sendiri, “Ini sungguh indah sekali, tetapi bagaimana saya boleh melakukannya? Bagaimana saya boleh mendapatkan kuasa Juruselamat dalam hidup saya?”

Anda tidak akan dapat cari proses ini dijelaskan secara terperinci dalam mana-mana buku panduan. Roh Kudus akan menjadi pengajar peribadi apabila anda ingin memahami apa yang Tuhan mahu anda tahu dan lakukan. Proses ini tidak cepat ataupun mudah, tetapi ia memang menyegarkan secara rohani. Apakah yang lebih mengujakan daripada bekerja dengan Roh untuk memahami kuasa Tuhan—kuasa imamat?

Apa yang saya boleh beritahu anda adalah mendapatkan kuasa Tuhan dalam hidup anda memerlukan perkara sama yang Tuhan arahkan Emma dan kita masing-masing lakukan.

Jadi, saya menjemput anda untuk mengaji dengan doa bahagian 25 Ajaran dan Perjanjian dan menemui apa yang Roh Kudus akan mengajar anda. Usaha rohani dan peribadi anda akan membawa kebahagiaan apabila anda mendapatkan, memahami, dan menggunakan kuasa yang dianugerahi.

Sebahagian usaha ini akan memerlukan anda mengetepikan banyak hal-hal dunia ini. Kadangkala kita bercakap dengan sambilan tentang berpaling dari dunia dengan pertentangan, godaan meluas, dan falsafah palsunya. Tetapi melakukan sedemikian dengan tulus memerlukan pemeriksa hidup sendiri dengan teliti dan kerap. Apabila anda membuat demikian, Roh Kudus akan mendorong anda tentang apa yang tidak lagi mustahak, apa yang tidak layak masa dan tenaga anda.

Apabila anda mengalihkan tumpuan anda jauh dari gangguan duniawi, beberapa perkara yang kelihatan penting kepada anda sekarang akan berkurangan dari segi keutamaan. Anda perlu tidak melakukan sesetengah perkara, walaupun ia kelihatan tidak berbahaya. Apabila anda mulai dan meneruskan proses membaktikan sepanjang hidup anda kepada Tuhan, perubahan dalam perspektif, perasaan, dan kekuatan rohani anda akan mengagumkan anda!

Sekarang satu kata amaran. Akan ada orang yang akan melemahkan kebolehan anda untuk mendapatkan kuasa Tuhan. Terdapat orang yang akan membuat anda meragui diri sendiri dan memperkecilkan kemampuan rohani luar biasa anda sebagai wanita soleh.

Pastinya, musuh tidak mahu anda memahami perjanjian yang anda buat di pembaptisan atau pengetahuan yang mendalam dan kuasa yang anda telah terima atau akan terima dalam bait suci—rumah Tuhan. Dan Setan pastinya tidak mahu anda memahami bahawa setiap kali anda melayan dengan layak dan menyembah di bait suci, anda pulang dipersenjatai kuasa Tuhan dan malaikat-Nya “menjaga” anda.3

Setan dan hambanya akan sentiasa mencipta halangan untuk mengelakkan anda dari memahami kurnia rohani yang anda telah dan boleh terima. Malangnya, sesetengah halangan adalah hasil salah laku orang lain. Ia menyedihkan saya untuk berfikir bahawa ada di antara anda yang telah berasa tidak penting atau tidak dipercayai oleh pemimpin imamat atau telah didera atau dikhianati oleh suami, bapa, atau kawan palsu. Saya berasa kesedihan yang mendalam bahawa ada di antara anda yang berasa diabaikan, tidak dihormati, atau salah diadili. Pelanggaran seperti ini tidak mempunyai tempat dalam kerajaan Tuhan.

Sebaliknya, ia menggembirakan saya apabila saya belajar tentang pemimpin imamat yang bersemangat mencari penyertaan wanita dalam bahagian dan majlis pancang. Saya diilhamkan oleh setiap suami yang menunjukkan tanggungjawab imamat paling pentingnya adalah menjaga isterinya.4 Saya memuji lelaki yang menghormati kebolehan isterinya untuk menerima wahyu dan menghargai isteri sebagai ahli pasangan yang setaraf dalam perkahwinan mereka.

Apabila seorang lelaki memahami keagungan dan kuasa seorang wanita Orang Suci Zaman Akhir yang soleh dan dianugerahi, adakah ia menakjubkan apabila dia berasa untuk berdiri dan menunjukkan hormat ketika wanita memasuki bilik?

Sejak permulaan, wanita telah diberkati dengan kompas moral unik—kebolehan untuk membezakan benar daripada salah. Kurnia ini dipertingkatkan bagi mereka yang membuat dan mentaati perjanjian. Dan ia berkurangan bagi mereka yang dengan sengaja abaikan perintah Tuhan.

Saya ingin menambahkan bahawa saya tidak membebaskan lelaki dari apa jua tanggungjawab mereka daripada Tuhan untuk membezakan mana yang benar dan salah. Tetapi saudari sekalian yang dikasihi, kebolehan anda untuk membezakan kebenaran daripada kesilapan, untuk menjadi penjaga moral masyarakat, adalah penting pada zaman akhir ini. Dan kita bergantung kepada anda untuk mengajar orang lain untuk buat sedemikian. Saya ingin menyatakan dengan jelas tentang ini: jika dunia kehilangan kesolehan moral para wanita, dunia tidak akan maju.

Kita sebagai Orang Suci Zaman Akhir bukan milik dunia; kita adalah dari perjanjian Israel. Kita dipanggil untuk menyediakan orang ramai untuk Kedatangan Kedua Tuhan.

Sekarang, saya ingin menjelaskan beberapa perkara tambahan berkaitan dengan wanita dan imamat. Apabila anda ditetapkan untuk melayan dalam panggilan di bawah pimpinan seorang yang memegang kunci imamat—seperti uskup atau presiden pancang anda—anda diberi wewenang imamat untuk berfungsi dalam panggilan itu.

Demikian juga dalam bait suci anda diberi wewenang untuk melakukan dan memimpin dalam tatacara imamat setiap kali anda pergi. Anugerahan bait suci anda menyediakan anda untuk membuat demikian.

Jika anda sudah menerima anugerahan tetapi belum lagi berkahwin kepada seorang lelaki yang memegang imamat dan mendapati seseorang berkata kepada anda, “Saya sedih anda tidak mempunyai imamat dalam rumah anda,” sila memahami bahawa pernyataan itu tidak betul. Anda mungkin tidak mempunyai seorang pemegang imamat di rumah anda, tetapi anda telah menerima dan membuat perjanjian kudus dengan Tuhan dalam bait suci-Nya. Dari perjanjian itu datangnya anugerahan kuasa imamat-Nya kepada anda. Dan ingat, jika suami anda meninggal dunia, anda akan memimpin dalam rumah anda.

Sebagai seorang wanita Orang Suci Zaman Akhir yang soleh dan dianugerahi, anda bercakap dan mengajar dengan kuasa dan wewenang daripada Tuhan. Sama ada melalui peringatan atau perbualan, kita memerlukan suara anda dalam mengajar ajaran Kristus. Kita memerlukan pandangan anda dalam keluarga, bahagian, dan majlis pancang. Penyertaan anda sangat penting dan bukan suatu perkara kecil!

Para saudari dikasihi, kuasa anda akan bertambah apabila anda melayani orang lain. Doa, puasa, masa mengaji tulisan suci, pelayanan dalam bait suci, dan sejarah keluarga anda akan membuka syurga untuk anda.

Saya meminta anda untuk mengaji dengan penuh doa semua kebenaran yang anda boleh cari tentang kuasa imamat. Anda boleh bermula dengan Ajaran dan Perjanjian bab 84 dan 107. Bab-bab itu akan mendorong anda kepada tulisan suci yang lain. Tulisan suci dan pengajaran oleh para nabi, pelihat, dan pewahyu moden dipenuhi dengan kebenaran-kebenaran ini. Apabila pemahaman anda bertambah dan apabila anda menjalankan iman dalam Tuhan dan kuasa imamat-Nya, kebolehan anda untuk mendapatkan harta karun rohani ini yang Tuhan telah sediakan akan bertambah. Apabila anda membuat demikian, anda akan mendapati diri lebih mampu dalam membantu mencipta keluarga abadi yang bersatu, dimeteraikan dalam bait suci Tuhan, dan dipenuhi kasih untuk Bapa Syurgawi dan untuk Yesus Kristus.

Semua usaha kita untuk melayan satu sama lain, mengisytiharkan injil, menyempurnakan Orang Suci, dan menebus orang mati di dalam bait suci. Kita sekarang mempunyai 166 bait suci di seluruh dunia, dan lebih lagi akan datang.

Seperti yang anda tahu, Bait Suci Salt Lake, Temple Square, dan plaza yang bersebelahan berdekatan dengan Bangunan Pejabat Gereja akan diperbaharui dalam satu projek yang akan bermula di penghujung tahun ini. Bati suci kudus ini mesti dipelihara dan disediakan untuk memberi inspirasi kepada generasi akan datang, sama seperti ia telah mempengaruhi kita dalam generasi ini.

Apabila Gereja berkembang, lebih bait suci akan dibina supaya lebih keluarga boleh mempunyai akses kepada berkat terbesar dari semua berkat, iaitu kehidupan kekal.5 Kita menganggap bait suci sebagai bangunan yang paling kudus dalam Gereja. Setiap kali rancangan diumumkan untuk membina satu bait suci, ia menjadi sebahagian sejarah kita yang penting. Seperti dibincangkan malam ini, anda memang penting dalam pekerjaan bait suci, dan dalam bait suci anda akan menerima harta karun rohani anda yang paling penting.

Sila dengar dengan teliti dan penuh hormat kerana saya sekarang akan mengumumkan rancangan untuk membina lapan bait suci baru. Jika saya mengumumkan bait suci di tempat yang istimewa untuk anda, saya mencadangkan anda menunduk kepala dengan senyap dan kesyukuran dalam hati anda. Kami bergembira untuk mengumumkan rancangan pembinaan bait suci di lokasi-lokasi yang berikut: Freetown, Sierra Leone; Orem, Utah; Port Moresby, Papua New Guinea; Bentonville, Arkansas; Bacolod, Philippines; McAllen, Texas; Cobán, Guatemala; dan Taylorsville, Utah. Terima kasih, saudari sekalian yang dikasihi. Kami sangat menghargai penerimaan anda untuk rancangan ini dan tindak balas penuh hormat anda.

Sekarang, sebagai penutup, saya ingin meninggalkan berkat kepada anda, bahawa anda akan memahami kuasa imamat yang anda telah dianugerahi dan bahawa anda akan menambah kepada kuasa itu dengan menjalan iman anda dalam Tuhan dan kuasa-Nya.

Para saudari dikasihi, dengan kehormatan dan kesyukuran yang mendalam, saya menyatakan kasih saya untuk anda. Dengan rendah hati, saya bersaksi bahawa Tuhan hidup! Yesus ialah Kristus. Inilah Gereja-Nya. Saya bersaksi dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.