2010–2019
Kemampuan Rohani
Persidangan Umum Oktober 2019


Kemampuan Rohani

Sebagai pengikut beriman Yesus Kristus, anda boleh menerima inspirasi dan wahyu peribadi, yang konsisten dengan perintah-Nya, khusus untuk anda.

Semasa saya meninggalkan kem Remaja Puteri musim panas ini, seorang remaja puteri manis memberi saya satu nota. Dalamnya, dia bertanya, “Bagaimana saya boleh tahu bila Tuhan cuba memberitahu saya sesuatu?” Saya suka soalan dia. Jiwa kita ingin berhubung dengan rumah syurgawi kita. Kita mahu rasa diperlukan dan berguna. Tetapi kadangkala kita bergelut untuk membezakan antara fikiran kita sendiri dan tanggapan lembut Roh. Para nabi zaman dahulu dan zaman moden telah mengajar bahawa jika sesuatu “mengajak dan mendorong untuk membuat baik, ia datang dari Kristus.”1

Presiden Russell M. Nelson telah melanjutkan satu jemputan yang mudah dan berkuasa: “Saudara dan saudari yang dikasihi, saya mohon kepada anda untuk meningkatkan kemampuan rohani anda untuk menerima wahyu. … Pilihlah untuk melakukan pekerjaan rohani yang diperlukan untuk menikmati kurnia Roh Kudus dan mendengar suara Roh dengan lebih kerap dan lebih jelas.”2

Hasrat saya pagi ini adalah berucap kepada anda dengan ikhlas tentang empat cara untuk meningkatkan kemampuan rohani anda untuk menerima wahyu.

1. Sengaja Meluangkan Masa dan Memberi Ruang untuk Mendengar Suara Tuhan

Apabila anda menggunakan hak pilihan anda untuk menjadualkan dan mendedikasikan masa setiap hari untuk merapat kepada suara Tuhan, terutamanya dalam Kitab Mormon, suara-Nya akan menjadi lebih jelas dan akrab.

Sebaliknya, gangguan dan bunyi bising yang mengisi dunia, rumah, dan hidup kita boleh membuat ia lebih susah untuk mendengar suara-Nya. Gangguan-gangguan ini boleh mengisi minda dan hati kita sehingga kita tidak mempunyai tempat untuk dorongan lembut Roh Kudus.

Nabi Joseph Smith mengajar bahawa Tuhan sering kali menampakkan Diri-Nya kepada individu secara peribadi, di dalam bilik mereka; di padang belantara atau padang, dan biasanya tempat tanpa bunyi atau kekacauan.3

Setan mahu memisahkan kita dari suara Tuhan dengan menghalang kita dari tempat-tempat senyap itu. Jika Tuhan berbicara dalam suara tenang lembut, anda dan saya perlu merapatkan diri untuk mendengar-Nya. Bayangkan apa yang akan terjadi jika kita ingin bersambung dengan syurga seperti kita tetap bersambung kepada Wi-Fi! Pilih satu masa dan tempat, dan dengar suara Tuhan setiap hari. Dan taati janji kudus ini dengan ketepatan, kerana banyak perkara bergantung kepadanya!

2. Bertindak tanpa Menunda

Apabila anda menerima dorongan dan kemudian bertindak dengan tujuan, Tuhan boleh menggunakan anda. Semakin anda bertindak, semakin akrab suara Roh menjadi. Anda akan semakin mengenali bimbingan Tuhan dan Dia “rela … untuk mengungkapkan fikiran-Nya dan kehendak-Nya.”4 Jika anda menunda, anda mungkin lupa dorongan itu atau kehilangan peluang untuk membantu seseorang untuk Tuhan.

3. Dapatkan Tugasan Anda Dari Tuhan

Doa yang Bapa Syurgawi ingin menjawab ialah permohonan kita untuk dibawa kepada seseorang yang memerlukan bantuan kita. Presiden Henry B. Eyring telah mengajar kita untuk mencari wahyu dengan bertanya Tuhan siapa yang kita boleh bantu untuk-Nya. “Jika anda bertanya soalan seperti itu, Roh Kudus akan datang dan anda akan merasakan dorongan tentang perkara yang anda boleh lakukan untuk orang lain. Apabila anda pergi dan melakukan perkara-perkara itu, anda berada dalam tugasan Tuhan, dan apabila anda berada dalam tugasan Tuhan, anda layak untuk kurnia Roh Kudus.”5

Anda boleh berdoa dan meminta Tuhan untuk satu tugasan. Apabila anda membuat demikian, Dia boleh menggunakan kemahiran biasa anda untuk mencapai pekerjaan-Nya yang luar biasa.

Imej
Datuk Sister Craig, Fritz Lundgren

Datuk saya, Fritz Hjalmar Lundgren, berhijrah dari Sweden semasa dia berumur 19 tahun. Dia tiba ke Amerika sendirian, dengan satu beg pakaian dan enam tahun sekolah formal. Dia tidak boleh berbicara dalam Bahasa Inggeris dan kemudian pergi ke Oregon untuk bekerja sebagai pembalak dan kemudian, dengan nenek dan ibu saya, menyertai Gereja. Dia tidak pernah memimpin satu bahagian, tetapi sebagai seorang pengajar keluarga yang beriman, dia membawa lebih daripada 50 keluarga yang berlainan kembali ke aktiviti Gereja. Bagaimanakah dia melakukannya?

Selepas kematian Datuk, saya memeriksa kotak dokumennya dan melihat satu surat yang ditulis oleh seorang lelaki yang telah kembali ke gereja kerana kasih Datuk. Surat dibaca, “Saya percaya bahawa rahsia Brother Fritz adalah dia selalu melakukan tugasan untuk Bapa Syurgawi.

Surat itu diberi oleh Brother Wayne Simonis. Datuk melawatnya dan mengenali setiap ahli keluarganya. Akhirnya, Datuk memberitahu mereka bahawa mereka diperlukan dan menjemput mereka untuk menghadiri gereja. Tetapi pada hari Ahad itu, Brother Simonis bangun dengan dilema—dia belum selesai memasang bumbung rumahnya, dan hujan telah dijangka pada minggu itu. Dia memutuskan bahawa dia akan pergi ke gereja, berjabat tangan dengan Datuk, dan kemudian pulang ke rumah untuk menghabiskan kerja itu. Keluarganya boleh menghadiri pertemuan sakramen tanpanya.

Rancangannya sedang berjalan lancar sehingga di atas bumbung dia dengar seseorang memanjat tangga. Dalam katanya: “Semasa saya memandang ke atas, … berdiri di atas tangga ialah Brother Fritz. Dia memberi saya senyuman yang besar. Pada mulanya, saya berasa malu dan rasa seperti seorang kanak-kanak ditangkap kerana ponteng sekolah. Kemudian … saya berasa marah. [Tetapi Brother Fritz] menanggalkan sut kotnya dan menggantungkannya pada tangga. Ketika dia menggulung lengan baju putihnya, dia berpaling kepada saya dan berkata, ‘Brother Simonis, adakah anda mempunyai tukul yang lain? Kerja ini mesti sangat penting atau anda tidak akan meninggalkan keluarga anda, dan jika ia begitu penting, saya mahu membantu anda.’ Semasa saya memandang ke matanya, saya hanya melihat kebaikan dan kasih seperti Kristus. Saya tidak marah lagi. … Saya meletakkan alat-alat saya pada hari Ahad itu dan mengikuti rakan baik saya ke bawah tangga dan kembali ke gereja.”

Datuk telah mendapat tugasannya dari Tuhan, dan dia tahu dia perlu mencari domba yang sesat. Sama seperti empat orang yang mengusung rakan mereka yang lumpuh dan membuka bumbung rumah dan menurunkan orang lumpuh untuk disembuhkan oleh Yesus Kristus,6 begitu juga dengan tugasan Datuk yang membawanya ke atas bumbung. Tuhan menghantar wahyu kepada mereka yang ingin membantu orang lain.

4. Beriman dan Percaya

Baru-baru ini, saya membaca dalam kitab suci tentang seorang lagi penginjil yang mendapatkan tugasannya dari Tuhan. Harun sedang mengajar raja bangsa Laman, yang tertanya mengapa saudara Harun, Amon tidak datang juga untuk mengajarnya. “Dan Harun berkata kepada raja: Lihatlah, Roh Tuhan telah memanggilnya ke jalan lain.7

Roh berbicara kepada hati saya: setiap kita mempunyai misi berlainan untuk dilaksanakan, dan kadangkala Roh mungkin memanggil kita ke “jalan lain.” Terdapat banyak cara untuk membina kerajaan Tuhan sebagai pengikut Yesus Kristus yang membuat perjanjian dan mentaatinya. Sebagai pengikut beriman-Nya, anda boleh menerima inspirasi dan wahyu peribadi yang konsisten dengan perintah-Nya yang khusus untuk anda. Anda mempunyai misi unik dan peranan untuk melakukan dalam hidup dan akan diberi dorongan unik untuk memenuhi mereka.

Nefi, saudara Yared, dan juga Musa semuanya menyeberangi lautan besar—dan masing-masing melakukannya dengan berbeza. Nefi mengerjakan “kayu-kayan dengan kerja tangan yang terperinci.”8 Saudara lelaki Yared membina kapal-kapal yang “rapat seperti sebuah bekas,”9 Dan Musa “melintasi laut di atas tanah yang kering.”10

Masing-masing menerima bimbingan yang peribadi, khusus untuk mereka, dan setiap mereka percaya dan bertindak. Tuhan sedar akan mereka yang mematuhi dan, dalam kata Nefi, akan “menyediakan satu jalan untuk mereka supaya [kita] dapat menyempurnakan hal itu yang Dia perintahkan.”11 Perhatikan bahawa Nefi berkata, “satu jalan”—bukannya “satu jalan khusus.”

Adakah kita terlepas atau menolak tugasan peribadi dari Tuhan kerana Dia telah menyediakan “satu jalan” yang berlainan daripada yang kita jangkakan?

Datuk saya dibimbing ke satu tempat yang luar biasa—dalam sut, di atas bumbung, pada hari Ahad. Percaya Tuhan akan membimbing anda, walaupun ia kelihatan berlainan daripada jangkaan anda atau berbeza daripada orang lain.

Orang Suci Zaman Akhir datang dalam pelbagai bentuk dan saiz, tetapi “semua adalah sama bagi Tuhan”—“hitam dan putih, terikat dan bebas, lelaki dan perempuan,” bujang dan berkahwin, kaya dan miskin, muda dan tua, ahli sepanjang hayat dan penganut baru.12 Tidak kira siapa anda atau apa yang anda sedang lalui, anda dijemput ke meja Tuhan.13

Apabila mencari dan melakukan kehendak Tuhan menjadi corak hidup harian anda, anda akan secara semula jadi dibimbing untuk berubah dan bertaubat.

Program baru gereja untuk kanak-kanak dan remaja dibina atas asas pembelajaran untuk mencari wahyu, menemui apa yang Tuhan mahu kita lakukan, dan kemudian bertindak atau bimbingan itu. Setiap daripada kita, tanpa mengira umur atau keadaan, boleh berusaha untuk mencari, menerima, dan bertindak. Apabila anda mengikuti corak keabadian ini yang ditubuhkan untuk zaman kita, anda akan mendekati diri kepada Yesus Kristus—kasih-Nya, cahaya-Nya, bimbingan-Nya, kedamaian-Nya, penyembuhan-Nya dan kuasa-Nya yang memungkinkan. Dan anda akan meningkatkan kemampuan rohani anda untuk menjadi suatu alat dalam tangan Tuhan dalam menyelesaikan pekerjaan-Nya yang agung. Dalam nama Yesus Kristus, amin.