2010–2019
Memikul Salib Kita
Persidangan Umum Oktober 2019


Memikul Salib Kita

Memikul salib anda dan mengikuti Juruselamat bermaksud meneruskan pada jalan Tuhan dengan iman dan tidak terlibat dalam kebiasaan duniawi.

Saudara dan saudari yang dikasihi, kita telah menerima ajaran-ajaran menakjubkan daripada para pemimpin kita selama dua hari lepas ini. Saya bersaksi kepada anda bahawa jika kita berusaha untuk menerapkan ajaran-ajaran yang diilhami dan dan bersesuaian dengan masanya, Tuhan, melalui rahmat-Nya, akan membantu setiap kita membawa salib kita dan membuat beban kita mudah dipikul.1

Ketika di sekitar Kaisarea Filipi, Juruselamat mengungkapkan kepada para pengikut-Nya bahawa Dia akan menderita di tangan para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat di Yerusalem. Dia mengajarkan mereka tentang kematian-Nya dan Kebangkitan yang hebat.2 Ketika itu, para pengikut-Nya tidak sepenuhnya memahami misi ilahi-Nya di bumi. Petrus, ketika mendengar apa yang dikatakan Juruselamat, menarik Dia ke tepi dan menegur Dia, mengatakan, “Ya Tuhan, semoga Tuhan menjauhkan perkara itu daripada Tuhan! Perkara itu tidak boleh berlaku kepada Tuhan.”3

Untuk membantu para pengikut-Nya memahami bahawa kesetiaan kepada pekerjaan-Nya termasuk penyerahan dan penderitaan, Juruselamat mengisytiharkan dengan tegas:

“Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku.

“Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mengalami hidup yang sejat.

“Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati? Dapatkah seseorang menukar hidup itu dengan sesuatu? Tentu tidak.”4

Melalui pengisytiharan ini, Juruselamat menekankan bahawa semua orang yang rela mengikuti Dia perlu melupakan kepentingan diri dan mengawal keinginan, nafsu makan, dan perasaan, mengorbankan segalanya, bahkan kehidupan jika perlu, sepenuhnya menyerah kepada kehendak Bapa—seperti yang Dia lakukan.5 Inilah harga yang mesti dibayar untuk keselamatan jiwa. Yesus secara sengaja dan metafora menggunakan lambang salib untuk membantu para pengikut-Nya lebih memahami makna sebenar pengorbanan dan kesetiaan kepada pekerjaan Tuhan. Imej salib terkenal di kalangan para pengikut-Nya dan penghuni Empayar Roma kerana Roma memaksa mangsa penyaliban untuk secara awam memikul salib atau tiang salib mereka sendiri ke tempat pelaksanaan hukuman.6

Hanya selepas Kebangkitan Juruselamat yang para pengikut mula memahami semua yang telah ditulis tentang Dia7 dan apa yang mereka perlu lakukan dari masa itu.8

Dengan cara yang sama, kita semua, saudara dan saudari, perlu membuka minda dan hati kita untuk memahami lebih lanjut tentang kepentingan memikul salib kita dan mengikuti Dia. Kita pelajari melalui tulisan suci bahawa mereka yang ingin memikul salib mereka sendiri sangat mengasihi Yesus Kristus sehingga mereka menjauhi diri daripada segala kejahatan duniawi dan mematuhi perintah-perintah-Nya.9

Keazaman kita untuk tidak lakukan perkara yang bertentangan dengan kehendak Tuhan dan mengorbankan semua yang diminta dan berusaha untuk mengikuti ajaran-Nya akan membantu kita untuk bertahan dalam jalan injil Yesus Kristus—walaupun ketika menghadapi kesengsaraan, kelemahan jiwa kita, atau tekanan sosial dan falsafah duniawi yang menentang ajaran-Nya.

Contohnya, bagi mereka yang belum menemui teman abadi dan mungkin merasa kesunyian dan tiada harapan, atau bagi mereka yang telah bercerai dan merasa terabai dan dilupakan, saya memberi jaminan kepada anda bahawa menerima jemputan Juruselamat untuk memikul salib sendiri dan mengikuti Dia bermaksud teruskan mematuhi perintah-perintah Tuhan, dan tidak mengikuti tabiat duniawi yang akan menghilangkan harapan kita dalam kasih dan belas kasihan Tuhan.

Asas yang sama juga digunakan kepada anda yang mengalami perasaan suka kepada sesama jantina dan merasa kecewa dan tidak berdaya. Mungkin atas sebab ini sesetengah daripada anda merasa yang anda tidak perlukan injil Yesus Kristus sudah. Jika ini sebabnya, saya mahu meyakinkan anda yang harapan selalu ada dalam Tuhan Bapa dan dalam rancangan kebahagiaan-Nya, dalam Yesus Kristus serta korban tebusan-Nya, dan dalam mematuhi perintah Mereka yang mengasihi. Dalam kebijaksanaan, kuasa, keadilan, dan rahmat-Nya yang sempurna, Tuhan dapat memeteraikan kita kepada-Nya, agar kita dapat dibawa ke hadirat-Nya dan memiliki keselamatan kekal, jika kita tabah dan tak tergoyah mematuhi perintah10 dan sentiasa berlimpah ruah dalam kerja-kerja baik.11

Bagi mereka yang telah melakukan dosa yang serius, menerima jemputan ini bermaksud, selain perkara lain, untuk merendahkan hati di hadapan Tuhan, berunding dengan pemimpin Gereja yang sesuai, bertaubat dan meninggalkan dosa-dosa anda. Proses ini juga akan memberkati semua yang sedang melawan ketagihan melemahkan, termasuk opioid, dadah, alkohol, dan pornografi. Mengambil langkah-langkah ini membawa anda dekat kepada Juruselamat, yang dapat membebaskan diri dari perasaan bersalah, kesedihan, serta perhambaan rohani dan fizikal. Sebagai tambahan, anda juga boleh mendapatkan sokongan keluarga, kawan, dan profesional perubatan dan kaunseling yang kompeten.

Tolong jangan berhenti selepas kegagalan berikutnya dan menganggap diri anda tidak mampu meninggalkan dosa dan mengatasi ketagihan. Ia akan bertambah teruk jika anda berhenti mencuba dan teruskan dalam kelemahan dan dosa! Sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik, menyatakannya melalui kerja anda keinginan untuk membersihkan bejana dalam, seperti yang diajarkan oleh Juruselamat.12 Kadangkala penyelesaian untuk cabaran tertentu datang selepas berbulan-bulan usaha berterusan. Janji dalam Kitab Mormon bahawa “melalui rahmat kita diselamatkan, setelah kita melaksanakan sebaik yang mampu,”13 berkaitan dalam situasi ini. Sila ingat bahawa kurnia rahmat Juruselamat “tidak semestinya terbatas dalam waktu untuk “selepas” semua yang kita boleh lakukan. Kita boleh menerima rahmat-Nya sebelum, semasa, dan selepas masa kita berusaha.”14

Saya bersaksi bahawa apabila kita terus berusaha untuk mengatasi cabaran kita, Tuhan akan memberkati kita dengan kurnia iman untuk disembuhkan dan pengerjaan mukjizat.15 Dia akan lakukan apa yang kita tidak mampu lakukan untuk diri kita sendiri.

Selain itu, bagi mereka yang merasa marah, tersinggung, atau dirantai kepada sesuatu yang anda rasa tidak layak, untuk memikul salib dan mengikut cara Juruselamat berusaha untuk menyingkirkan perasaan ini dan berpaling kepada Tuhan agar Dia dapat membebaskan kita dari keadaan fikiran ini dan membantu kita mencari kedamaian. Malangnya, jika kita berpegang kepada perasaan dan emosi yang negatif, kita mungkin mendapati diri kita hidup tanpa pengaruh Roh Tuhan dalam hidup kita. Kita tidak boleh bertaubat untuk orang lain, tetapi kita boleh mengampuni mereka—dengan tidak membiarkan mereka kekal menyakiti kita.16

Tulisan suci mengajar bahawa terdapat penyelesaian untuk situasi ini—dengan menjemput Juruselamat kita untuk membantu menggantikan hati kita keras dengan hati yang baru.17 Untuk ini berlaku, kita perlu datang kepada Tuhan dengan kelemahan kita18 dan memohon bantuan dan keampunan-Nya,19 terutamanya ketika kita mengambil sakramen setiap hari Ahad. Marilah kita memilih untuk mencari bantuan-Nya dan mengambil langkah penting dan sukar dengan mengampuni mereka yang telah menyakiti kita agar luka kita mula sembuh. Saya berjanji kepada anda yang dengan berbuat demikian, anda akan rasa lega dengan bantuan yang datang dari fikiran yang damai dengan Tuhan.

Ketika di Penjara Liberty pada tahun 1839, Nabi Joseph Smith menulis satu surat kepada para ahli Gereja yang mengandungi nubuat yang boleh digunakan dalam keadaan dan situasi ini. Dia menulis, “Segala takhta dan kekuasaan, pemerintahan dan kuasa, akan diwahyukan dan dinyatakan kepada semua orang yang telah bertahan dengan gagah dan berani demi injil Yesus Kristus.”20 Oleh itu, saudara dan saudari yang dikasihi, mereka yang mengambil ke atas diri mereka nama Juruselamat, mempercayai janji-janji-Nya dan bertahan sampai akhir, akan diselamatkan21 dan tinggal bersama Tuhan dalam keadaan kebahagiaan yang tidak akan berakhir.22

Kita semua menghadapi keadaan yang susah dalam kehidupan kita yang membuat kita merasa sedih, tidak berdaya, tiada harapan, dan juga lemah. Sesetengah perasaan ini mungkin membuat kita bertanya kepada Tuhan: “Mengapa saya mengalami keadaan ini?” atau “Mengapa harapan saya tidak dipenuhi? Walaupun saya melakukan segalanya untuk memikul salib saya dan mengikuti Juruselamat!”

Rakan-rakan sekalian, kita harus ingat bahawa memikul salib kita termasuk merendahkan hati kita dan mempercayai Tuhan dan kebijaksanaan-Nya. Kita mesti mengakui yang Dia mengenali kita semua dan keperluan kita. Kita juga perlu menerima hakikat bahawa masa Tuhan adalah berbeza daripada kita. Kadangkala kita mencari berkat dan menetapkan had masa bagi Tuhan untuk memenuhinya. Kita tidak boleh menetapkan kesetiaan kita kepada-Nya berdasarkan tarikh akhir bagi jawapan kepada keinginan kita. Apabila kita lakukan ini, kita menyerupai bangsa Nefi yang ragu-ragu dari zaman dahulu, yang mengejek saudara dan saudari mereka dengan mengatakan yang masa telah berlalu untuk memenuhi kata-kata yang diucapkan oleh Samuel Si bangsa Laman itu, menciptakan kekeliruan di antara orang-orang yang percaya.23 Kita perlu mempercayai Tuhan untuk kekal diam dan mengetahui yang Dialah Tuhan, yang Dia mengetahui segalanya, dan Dia mengenali setiap kita.24

Imej
Elder Soares melayani Sister Calamassi

Baru-baru ini, saya mempunyai peluang melayani seorang saudari balu yang bernama Franca Calamassi, yang mengidap penyakit yang melemahkan. Sister Calamassi adalah ahli keluarga pertama yang menyertai Gereja Yesus Kristus yang dipulihkan. Walaupun suaminya tidak pernah dibaptiskan, dia bersetuju bertemu dengan para penginjil dan sering menghadiri pertemuan Gereja. Walaupun dalam keadaan ini, Sister Calamassi kekal setia dan membesarkan empat anaknya dalam injil Yesus Kristus. Setahun selepas kematian suaminya, Sister Calamassi membawa anaknya ke bait suci, dan mereka mengambil bahagian dalam tatacara kudus dan dimeteraikan sebagai satu keluarga. Janji-janji yang berkaitan dengan tatacara ini membawa banyak harapan, kegembiraan dan kebahagiaan yang membantunya menjalani kehidupan.

Imej
Keluarga Calamassi di bait suci

Apabila simptom pertama penyakitnya mula muncul, uskupnya memberinya berkat. Pada ketika itu, dia memberitahu uskupnya bahawa dia bersedia menerima kehendak Tuhan, menyatakan imannya untuk disembuhkan serta imannya untuk menahan penyakitnya sampai akhir.

Semasa kunjungan saya, sambil memegang tangan Sister Calamassi dan memandang ke matanya, saya melihat cahaya malaikat yang muncul dari wajahnya—mencerminkan keyakinannya dalam rancangan Tuhan dan kecerahan harapannya yang sempurna dalam kasih Bapa dan rancangan untuknya.25 Saya merasakan keazamannya untuk bertahan sampai akhir dalam imannya dengan memikul salibnya, walaupun menghadapi cabaran. Kehidupan saudari ini adalah kesaksian Kristus, pernyataan iman dan kesetiaan kepada-Nya.

Saudara dan saudari, saya mahu bersaksi kepada anda bahawa memikul salib kita dan mengikuti Juruselamat memerlukan kita mengikuti teladan-Nya dan berusaha untuk menjadi seperti Dia,26 dengan sabar menghadapi keadaan kehidupan, meninggalkan dan membenci nafsu manusia alamiah, dan menunggu Tuhan. Penulis Mazmur menulis:

“Berharaplah kepada Tuhan! Percayalah kepada-Nya dan jangan putus asa. Ya, berharaplah kepada Tuhan.”27

“Dialah penolong dan pelindung kita.”28

Saya bersaksi kepada anda bahawa dengan mengikuti Yesus dan bergantung kepada Dia yang merupakan penyembuh utama kita yang akan memberi rehat kepada jiwa kita dan membuat beban kita mudah dipikul.29 Semua perkara ini saya bersaksi dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.