2010–2019
Memberi Kawalan Roh Kita ke atas Badan Kita
Persidangan Umum Oktober 2019


Memberi Kawalan Roh Kita ke atas Badan Kita

Salah satu daripada hal terpenting yang kita boleh belajar dalam hidup ini ialah cara menekankan sifat rohani serta abadi dan mengawal keinginan jahat kita.

Saudara dan saudari yang dikasihi, apabila persidangan umum Oktober mendekati tahun lepas, saya menyediakan ucapan persidangan saya untuk menekankan hari ulang tahun ke-seratus penglihatan dunia roh yang diberikan kepada Presiden Joseph F. Smith pada 3 Oktober 1918.

Beberapa hari selepas saya menghantar ucapan saya untuk diterjemah, rakan abadi saya yang terkasih, Barbara, mengakhiri percubaan fana dia dan memasuki dunia roh.

Apabila hari bertukar menjadi minggu-minggu, kemudian menjadi bulan-bulan, dan sekarang satu tahun selepas kematian Barbara, saya mendapati diri saya menghargai ayat suci ini dengan lebih sepenuhnya: “Engkau haruslah hidup bersama dalam kasih, sedemikian rupanya engkau akan menangis kerana kehilangan mereka yang mati.”1 Barbara dan saya diberkati untuk “hidup bersama dalam kasih” selama 67 tahun. Tetapi saya telah belajar dalam cara sangat peribadi apa maksudnya untuk “menangis kerana kehilangan” mereka yang kita kasihi. Ya, saya sangat mengasihi dan merindui dia!

Saya rasa kebanyakan kita gagal menghargai sepenuhnya apa yang orang lain lakukan bagi kita sehingga mereka tiada. Saya tahu Barbara selalu sibuk, tetapi saya tidak memahami sepenuhnya tuntutan untuk masanya yang berterusan daripada keluarga, Gereja, dan masyarakat. Dahulu terdapat usaha harian yang banyak dibaktikan sepanjang bertahun-tahun yang memelihara hubungan keluarga kami. Dan melalui semuanya, tiada orang dalam keluarga kami pernah mendengar isteri saya mengangkat suaranya atau berkata perkataan yang tidak baik hati.

Saya telah memikirkan banyak kenangan tahun lepas ini. Saya telah berfikir tentang pilihan yang menuntut secara fizikal yang dia buat untuk menjadi ibu kepada tujuh anak. Dia hanya ingin menjadi seorang suri rumah sebagai kerjaya dia, dan dia seorang yang mahir dalam setiap aspek.

Sering kali saya telah merenungkan bagaimana dia mengikuti jadual anak-anak kami dan saya. Hanya penyediaan makanan merupakan tugas yang amat menakutkan, tanpa mengira aktiviti-aktiviti seperti membersihkan banyak pakaian yang keluarga kami pakai setiap minggu dan memastikan bahawa anak-anak memakai kasut dan pakaian bersaiz yang sesuai. Kami semua berpaling kepada dia untuk pelbagai isu lain yang penting bagi kami. Dan kerana isu-isu itu penting bagi kami, maka ia menjadi penting baginya. Dia adalah, dalam sebuah perkataan, hebat—sebagai seorang isteri, ibu, kawan, jiran, dan anak perempuan Tuhan.

Selepas dia meninggal dunia, saya gembira kerana saya telah memilih untuk duduk di sebelah dia apabila kembali ke rumah dari pejabat semasa beberapa bulan terakhir hidup dia, untuk memegang tangan dia semasa kami melihat pengakhiran beberapa muzikal kegemaran dia—berulang banyak kali kerana penyakit Alzheimer dia tidak membenarkan dia untuk mengingati bahawa dia sudah menonton muzikal-muzikal itu pada waktu petang sebelum itu. Kenangan sesi memegang tangan itu yang istimewa sangat berharga kepada saya.

Saudara dan saudari sekalian, janganlah melepaskan peluang untuk melihat ke mata ahli-ahli keluarga yang anda kasihi. Anak-anak dan ibu bapa, carilah satu sama lain dan menunjukkan kasih sayang dan penghargaan anda. Seperti saya, beberapa daripada anda mungkin akan bangun pada suatu hari untuk menemui bahawa masa untuk komunikasi penting seperti itu telah berlalu. Jalankan setiap hari bersama-sama dengan hati penuh dengan kesyukuran, kenangan baik, pelayanan dan banyak kasih sayang.

Sepanjang tahun lepas ini, saya telah merenungkan dengan lebih perhatian daripada saya pernah merenungkan tentang rancangan Bapa Syurgawi. Dalam pengajaran anak lelaki dia Korianton, Alma merujuk kepadanya sebagai “rancangan kebahagiaan yang besar.”2

Perkataan yang selalu datang kepada fikiran sekarang apabila saya memikirkan rancangan ialah “penyatuan semula.” Itulah rancangan, direka oleh Bapa di Syurga penyayang kita, yang di pusatnya memiliki kemungkinan besar serta mulia untuk penyatuan semula keluarga—untuk menyatukan semula dengan abadi para suami dengan isteri, ibu bapa dengan anak-anak, generasi ke generasi di rumah tangga Tuhan.

Fikiran itu membawa keamanan dan jaminan bahawa saya akan berada semula bersama Barbara. Walaupun isteri saya menderita secara fizikal pada akhir hidupnya, rohnya kuat, mulia dan suci. Dia telah menyediakan diri dalam segala hal supaya apabila hari datang, dia boleh berdiri di hadapan “meja penghakiman Tuhan yang menyenangkan,”3 penuh dengan keyakinan dan jaminan berdamai. Tetapi saya, dalam dua hari usia saya akan genap 91 tahun, dan saya masih merenungkan, “Adakah saya bersedia? Adakah saya melakukan segala yang saya perlu lakukan supaya boleh memegang semula tangan dia?”

Kepastian kehidupan yang paling asas serta mudah: Kita akan meninggal dunia. Baik kita mati tua mahupun muda, senang mahupun susah, kaya mahupun miskin, dikasihi mahupun sunyi, tiada orang melarikan diri dari kematian.

Beberapa tahun lalu, Presiden Gordon B. Hinckley berkata sesuatu yang terutamanya bermakna tentang ini: “Betapa manisnya jaminan, betapa menyenangkan kedamaian yang datang daripada pengetahuan bahawa jika kita berkahwin dengan betul dan hidup dengan soleh, hubungan akan meneruskan, tanpa mengambil kira kepastian kematian dan masa berlalu.”4

Saya berkahwin dengan betul. Keputusan itu saya tidak meragui. Tetapi itu tidak cukup, menurut Presiden Hinckley. Saya mesti hidup dengan soleh juga.5

Hari ini, “hidup dengan soleh” boleh merupakan konsep yang agak mengelirukan, terutamanya jika anda menghabiskan terlalu banyak masa pada media sosial, di mana apa-apa suara boleh mengisytiharkan kebenaran sebenar atau konsep palsu tentang Tuhan dan rancangan-Nya bagi anak-anak-Nya. Syukurnya, ahli-ahli Gereja ada asas-asas injil abadi serta benar untuk mengetahui cara hidup supaya kita lebih bersedia apabila kita semestinya meninggal dunia.

Hanya beberapa bulan selepas saya dilahirkan, datuk saya seorang Rasul, Melvin J. Ballard, memberi ucapan yang, bagi beberapa orang, menangkap intipati kehidupan soleh. Berjudul “Perjuangan untuk Jiwa,” ucapan dia berfokus pada perjuangan berterusan antara badan jasmani kita dengan roh abadi kita.

Dia berkata, “konflik terbesar orang lelaki atau perempuan akan hadapi … ialah perjuangan yang ada dengan diri sendiri,” dia menjelaskan bahawa Setan, “musuh jiwa kita,” menyerang kita melalui “nafsu, selera dan cita-cita manusia.”6 Jadi perjuangan utama adalah antara sifat rohani serta ilahi kita dengan manusia alamiah serta badaniah. Saudara dan saudari, ingatlah, kita boleh menerima bantuan rohani melalui pengaruh Roh Kudus yang boleh “mengajar kamu semua hal.”7 Bantuan juga boleh datang melalui kuasa dan berkat-berkat imamat.

Sekarang saya menanya, bagaimana perjuangan setiap anda?

Presiden David O. McKay berkata: “Kewujudan manusia duniawi hanyalah ujian tentang sama ada dia akan menumpukan usaha, minda dan jiwa dia ke atas hal-hal yang menyumbang kepada keselesaan dan kepuasan manusia, atau sama ada dia akan membuat [tujuan] hidupnya menjadi pencarian sifat-sifat rohani”8

Perjuangan ini antara sifat badaniah dengan sifat rohani tidak baru. Dalam khutbah terakhir Raja Benjamin kepada rakyatnya, dia mengajar, “manusia alamiah adalah musuh kepada Tuhan, dan telah demikian sejak kejatuhan Adam, dan akan demikian, selama-lamanya, kecuali dia menyerah pada pujukan Roh Kudus, dan menanggalkan manusia alamiah dan menjadi orang suci melalui korban tebusan Kristus Tuhan.”9

Rasul Paulus mengajar “orang yang hidup menurut kehendak tabiat manusia, fikiran mereka dikuasai oleh tabiat manusia. Orang yang hidup menurut kehendak Roh Tuhan fikiran mereka dikuasai oleh Roh Tuhan.

“Jika fikiran kamu dikuasai oleh tabiat manusia, hal itu mengakibatkan kematian. Tetapi jika fikiran kamu dikuasai oleh Roh Tuhan, Tuhan akan mengurniai kamu hidup dan kedamaian.”10

Kelihatannya jelas kepada saya bahawa satu daripada hal terpenting yang kita boleh belajar dalam hidup ini ialah cara menekankan sifat rohani serta abadi dan mengawal keinginan jahat kita. Ini tidak sepatutnya susah. Roh kita, yang hidup lebih lama daripada tubuh badan jasmani kita, sudah berjaya dengan memilih kebaikan daripada kejahatan dalam dunia pra-fana. Sebelum bumi ini dibentukkan, kita hidup di dunia roh sebagai anak lelaki dan perempuan kepada Ibu Bapa Syurgawi, yang mengasihi kita dan sekarang terus mengasihi kita.

Dan ya, kita telah membuat keputusan dan pilihan yang mengubah kehidupan di alam pra-fana itu. Setiap orang yang pernah hidup atau akan hidup di planet ini telah membuat keputusan penting untuk menerima rancangan keselamatan Bapa Syurgawi. Jadi kita semua datang ke bumi dengan sejarah sifat rohani dan takdir abadi yang berjaya.

Fikirkan itu sekejap. Inilah sifat sebenar anda dan saya dan sifat anda selalunya: seorang lelaki atau perempuan Tuhan, dengan akar rohani dalam keabadian dan masa depan yang melimpah dengan kemungkinan yang tak terhingga. Anda merupakan—pertama, terutamanya, dan selalunya—orang rohani. Dan apabila kita memilih untuk mengutamakan sifat badaniah sebelum sifat rohani, kita memilih sesuatu yang menentang diri kita yang sebenar, betul, tulen dan rohani.

Tetapi, tiada soalan bahawa gerak hati manusia dan duniawi menyusahkan membuat keputusan. Dengan tirai kelupaan ditutup di antara dunia roh pra-fana dan dunia fana, kita boleh kehilangan penglihatan hubungan kita dengan Tuhan dan sifat rohani kita, dan sifat badaniah boleh memberi keutamaan kepada apa yang kita inginkan sekarang. Mempelajari untuk memilih hal-hal Roh sebelum hal-hal manusia ialah satu daripada sebab utama pengalaman duniawi ini ialah sebahagian rancangan Bapa Syurgawi. Itu juga sebabnya rancangan dibina di atas landasan kukuh untuk Korban Tebusan Tuhan dan Juruselamat Yesus Kristus supaya dosa-dosa kita, termasuk kesilapan yang kita buat apabila menyerah diri kepada manusia, boleh diatasi melalui pertaubatan berterusan dan kita boleh hidup dengan fokus yang rohani. Kinilah masa untuk mengawal nafsu badan kita untuk mematuhi ajaran rohani Kristus. Itu sebabnya kita tidak sepatutnya menangguhkan hari pertaubatan.11

Oleh itu, pertaubatan menjadi senjata yang paling diperlukan dalam perjuangan di atas diri sendiri kita. Baru persidangan umum lepas, Presiden Russell M. Nelson merujuk kepada perjuangan ini dan mengingati kita bahawa “Apabila kita memilih untuk bertaubat, kita memilih untuk berubah! Kita membenarkan Juruselamat untuk mengubah kita menjadi versi diri yang terbaik. Kita memilih untuk berkembang secara rohani dan menerima kebahagiaan—kebahagiaan penebusan dalam Dia. Apabila kita memilih untuk bertaubat, kita memilih untuk menjadi lebih seperti Yesus Kristus!12

Setiap malam semasa saya meninjau hari saya dalam doa dengan Bapa di Syurga saya, saya meminta untuk diampuni jika saya membuat kesilapan dan berjanji untuk mencuba menjadi lebih baik esok. Saya percaya pertaubatan harian tetap ini menolong roh saya memperingatkan badan saya tentang siapa bertanggungjawab ke atas diri saya.

Sumber lain ialah peluang mingguan untuk memperbaharui diri kita secara rohani dengan mengambil sakramen untuk mengingati Korban Tebusan dan kasih sayang sempurna yang Tuhan dan Juruselamat, Yesus Kristus, ada bagi kita.

Saudara dan saudari, saya menggalakkan anda untuk berhenti seketika dan berfikir di mana anda dalam menguasai sifat badaniah dan memberi kuasa kepada sifat ilahi serta rohani anda supaya apabila masa datang, anda boleh memasuki dunia roh dengan penyatuan semula yang gembira bersama orang yang anda kasihi—saya bersaksi dan berdoa dengan rendah hati bagi penyatuan itu dalam nama kudus Tuhan Yesus Kristus, amin.