Persidangan Umum
Bait Suci dan Landasan Rohani Anda
Persidangan Umum Oktober 2021


Bait Suci dan Landasan Rohani Anda

Apabila pergolakan berlaku dalam hidup anda, tempat yang paling selamat secara rohani adalah kehidupan dalam perjanjian bait suci anda!

Saudara dan saudari yang dikasihi, saya bersyukur dapat bersama anda pagi ini untuk berkongsi perasaan hati saya.

Seperti anda tahu, kita sedang melakukan pengubahsuaian besar di Bait Suci Salt Lake yang bersejarah. Projek yang kompleks ini merangkumi pengukuhan utama landasan asalnya, yang telah berdiri kukuh lebih daripada satu abad. Tetapi bait suci ini mesti berdiri lebih lama. Pada lewat bulan Mei, saya memeriksa kemajuan projek besar ini. Saya rasa anda akan hargai apa yang isteri saya Wendy dan saya telah lihat. Saya rasa anda akan tahu mengapa lagu rohani “Teguhlah Landasan”1 telah mempunyai makna baru bagi kami.

Video dari tapak pembinaan semula Bait suci Salt Lake: “Kita sedang melihat landasan asal Bait Suci Salt Lake. Saya sedang berdiri di kawasan di bawah Bilik Taman. Semasa saya memeriksa pertukangan seluruh bangunan ini, saya kagum dengan apa yang para perintis telah capai. Saya betul-betul kagum apabila saya fikirkan yang mereka telah bina bait suci ini hanya dengan alat dan teknik yang tersedia untuk mereka lebih dari satu abad yang lalu.

“Beberapa dekad kemudian ini, jika kita periksa landasannya dengan teliti, kita dapat lihat kesan-kesan hakisan, jurang dalam kerja batu asalnya, dan pelbagai peringkat kestabilan dalam batu.

“Sekarang apabila saya saksikan apa yang jurutera, arkitek, dan pakar pembinaan moden boleh lakukan untuk memperkuat landasan asal, saya amat kagum. Pekerjaan mereka mengagumkan!

“Landasan bangunan apa pun, terutamanya yang sebesar ini, mestilah cukup kuat dan berdaya tahan untuk menahan gempa bumi, hakisan, angin kencang dan penurunan tanah yang pengaruhi semua bangunan. Tugas kompleks untuk memperkuatkan ini akan memperkukuhkan bait suci kudus ini dengan landasan yang boleh dan akan bertahan sepanjang sejarah.”

Kita sedang lakukan segala yang mungkin untuk beri bait suci terhormat ini, yang telah jadi semakin terdedah satu landasan yang akan menahan kuasa-kuasa alam ke Milenium. Dalam cara yang sama, sekaranglah masa kita laksanakan langkah-langkah luar biasa—mungkin langkah-langkah yang kita tidak pernah ambil sebelum ini—untuk menguatkan landasan rohani peribadi kita. Zaman yang tidak pernah berlaku sebelumnya memerlukan tindakan yang belum pernah dilakukan.

Saudara dan saudari yang dikasihi, inilah zaman akhir. Jika anda dan saya akan menahan bahaya dan tekanan yang akan datang, ia adalah mustahak bahawa kita masing-masing ada landasan rohani yang kukuh dibina di atas batu Penebus kita, Yesus Kristus.2

Jadi, saya tanya setiap anda, betapa teguhkah landasan anda? Dan pengukuhan apakah diperlukan untuk kesaksian dan pemahaman injil anda?”

Bait suci berada di pusat pengukuhan iman dan kekuatan rohani kita kerana Juruselamat dan ajaran-Nya adalah di pusat bait suci. Semua yang diajar di bait suci, melalui arahan dan melalui Roh, meningkatkan pemahaman kita tentang Yesus Kristus. Tatacara-tatacara penting-Nya mengikat kita kepada-Nya melalui perjanjian-perjanjian imamat yang kudus. Kemudian, semasa kita taati perjanjian kita, Dia menganugerahi kita dengan kuasa penyembuhan dan pengukuhan-Nya.3 Dan oh, kita memang akan perlukan kuasa-Nya pada hari-hari yang akan datang.

Kita telah dijanjikan bahawa “jika [kita] bersedia [kita] tidak akan takut.”4 Jaminan ini ada implikasi yang mendalam hari ini. Tuhan telah mengisytiharkan bahawa walaupun cabaran hari ini belum pernah berlaku, mereka yang bina landasan mereka pada Yesus Kristus, dan telah belajar bagaimana untuk gunakan kuasa-Nya, tidak perlu tunduk kepada kegelisahan yang unik pada zaman ini.

Tatacara dan perjanjian bait suci adalah kuno. Tuhan mengarahkan Adam dan Hawa untuk berdoa, membuat perjanjian, dan mempersembahkan korban.5 Sesungguhnya, “setiap kali Tuhan mempunyai umat di bumi yang akan mematuhi firman-Nya, mereka telah diperintahkan untuk membina bait suci.”6 Kitab suci dipenuhi dengan rujukan kepada ajaran bait suci, pakaian, bahasa, dan lain-lain.7 Segala yang kita percaya dan setiap janji yang Tuhan telah buat kepada umat perjanjian-Nya berlaku di bait suci. Dalam setiap zaman, bait suci telah menekankan kebenaran berharga bahawa mereka yang membuat perjanjian dengan Tuhan dan mentaatinya adalah anak-anak perjanjian.

Oleh itu, di dalam rumah Tuhan, kita dapat buat perjanjian yang sama dengan Tuhan yang telah dibuat oleh Abraham, Ishak, dan Yakub. Dan kita boleh terima berkat-berkat yang sama!

Imej
Bait suci Kirtland dan Nauvoo

Bait suci telah jadi sebahagian zaman keagamaan ini sejak hari-hari awal.8 Elia menganugerahkan kunci-kunci wewenang pemeteraian kepada Joseph Smith di Bait Suci Kirtland. Kegenapan imamat dipulihkan di Bait Suci Nauvoo.9

Sehingga kesyahidannya, Joseph Smith terus menerima wahyu-wahyu yang melanjutkan pemulihan tatacara anugerahan dan pemeteraian.10 Tetapi dia sedar bahawa penghalusan selanjutnya diperlukan. Selepas memberi anugerahan kepada Brigham Young pada Mei 1842, Joseph beritahu Brigham, “Ini tidak diaturkan dengan betul, tetapi kita telah melakukan yang terbaik dalam situasi kita dan saya berharap kamu mengambil hal ini dalam tangan dan mengorganisasikan dan mensistemkan semua tatacara ini.”11

Selepas kematian Nabi, Presiden Young menyelia penyelesaian Bait Suci Nauvoo12 dan kemudian membina bait suci di Wilayah Utah. Pada pembaktian tingkat-tingkat lebih rendah di Bait Suci St. George, Brigham Young dengan bersungguh-sungguh mengisytiharkan kesegeraan kerja perwakilan bait suci apabila dia berkata, “Apabila saya berfikir tentang subjek ini, saya mahu lidah tujuh guruh untuk membangunkan orang.”13

Sejak masa itu, tatacara bait suci dihaluskan secara beransur-ansur. Presiden Harold B. Lee menerangkan mengapa prosedur, polisi, dan juga pelaksanaan tatacara bait suci terus berubah dalam Gereja Juruselamat yang dipulihkan. Presiden Lee berkata: “Asas-asas injil Yesus Kristus adalah ilahi. Tiada seorang pun mengubah asas-asas dan ajaran Gereja kecuali Tuhan melalui wahyu. Tetapi kaedah berubah apabila arahan yang diilhamkan datang kepada mereka yang memimpin pada masa itu.”14

Pertimbangkan bagaimana pemberian sakramen telah berubah selama bertahun-tahun. Pada hari-hari awal, air sakramen ditawarkan kepada jemaah dalam satu bekas besar. Semua orang minum darinya. Sekarang kita menggunakan cawan pakai buang individu. Prosedurnya berubah, tetapi perjanjian tetap sama.

Renungkan tiga kebenaran ini:

  1. Pemulihan ialah satu proses, bukan satu peristiwa, dan akan berterusan sehingga Tuhan datang lagi.

  2. Objektif utama pengumpulan Israel15 adalah untuk membawa berkat-berkat bait suci kepada anak-anak Tuhan yang beriman.

  3. Apabila kita cari cara untuk capai objektif itu dengan lebih berkesan, Tuhan mengungkapkan lebih banyak wawasan. Pemulihan berterusan memerlukan wahyu berterusan.

Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul sering bertanya Tuhan jika terdapat cara yang lebih baik untuk ambil berkat-berkat bait suci kepada anak-anak-Nya yang beriman. Kami cari bimbingan dengan kerap tentang cara untuk pastikan ketepatan dan ketekalan arahan bait suci, perjanjian, dan tatacara bait suci walaupun terdapat perbezaan dalam bahasa dan budaya.

Di bawah arahan Tuhan dan sebagai jawapan kepada doa-doa kami, pelarasan prosedur baru-baru ini telah dibuat. Dialah yang ingin anda fahami dengan jelas apa yang anda buat perjanjian lakukan. Dialah yang ingin anda alami tatacara-tatacara kudus Dia dengan sepenuhnya. Dia mahu anda fahami hak istimewa, janji, dan tanggungjawab anda. Dia mahu anda ada pandangan dan kebangkitan rohani yang anda tidak pernah ada sebelum ini. Dia menghasratkan ini untuk semua pengunjung bait suci, tidak kira di mana mereka tinggal.

Pelarasan semasa dalam prosedur bait suci, dan lain yang akan datang, adalah bukti berterusan bahawa Tuhan sedang mengarah Gereja-Nya secara aktif. Dia sediakan peluang bagi setiap kita untuk perkukuhkan landasan rohani kita dengan lebih berkesan dengan memusatkan kehidupan kita kepada-Nya dan pada tatacara dan perjanjian bait suci-Nya. Apabila anda bawa kad rekomen bait suci anda, hati yang menyesal, dan hasrat untuk pelajari kebenaran baharu ke rumah pembelajaran Tuhan, Dia akan ajar anda.

Jika jarak, cabaran kesihatan, atau kekangan lain halang kehadiran bait suci anda buat satu masa, saya jemput anda untuk tetapkan satu masa untuk ceritakan semula dalam fikiran anda perjanjian yang anda telah buat.

Jika anda tidak suka hadiri bait suci, pergi lebih kerap—bukan lebih kurang. Biarlah Tuhan, melalui Roh-Nya, ajar dan ilhami anda di sana. Saya berjanji kepada anda bahawa lama kelamaan, bait suci akan jadi tempat keselamatan, ketenangan, dan wahyu.

Jika saya boleh bercakap satu-satu dengan setiap pemuda-pemudi, saya akan merayu kepada anda untuk cari teman yang anda boleh dimeteraikan di bait suci. Anda mungkin tertanya apa perbezaan ini akan buat dalam hidup anda. Saya berjanji ia akan buat semua perbezaan! Apabila anda berkahwin di bait suci dan kembali berulang-kali, anda akan diperkuatkan dan dibimbing dalam keputusan anda.

Jika saya boleh bercakap dengan setiap suami dan isteri yang masih belum dimeteraikan di bait suci, saya akan merayu kepada anda untuk ambil langkah-langkah yang diperlukan untuk terima tatacara penting yang mengubah hidup itu.16 Adakah ia akan membuat perbezaan? Hanya jika anda ingin maju selamanya dan bersama selamanya. Berhajat untuk bersama buat selamanya tidak akan membuatnya berlaku. Tiada persetujuan atau kontrak lain yang akan membuatnya berlaku.17

Jika saya boleh bercakap dengan setiap lelaki atau perempuan yang ingin berkahwin tetapi belum menjumpai teman abadi mereka, saya akan menggesa anda untuk tidak menunggu sehingga perkahwinan untuk dianugerahi di rumah Tuhan. Mulalah sekarang untuk belajar dan alami apa yang dimaksudkan untuk dipersenjatai dengan kuasa imamat.

Dan kepada setiap anda yang telah buat perjanjian bait suci, saya merayu kepada anda untuk cari—dengan penuh doa dan secara konsisten—untuk fahami perjanjian dan tatacara bait suci.18 Pintu rohani akan terbuka. Anda akan belajar bagaimana berkomunikasi secara terbuka dengan Bapa Syurgawi, bagaimana meminta para malaikat Tuhan untuk bantu anda, dan bagaimana untuk terima arahan dari syurga dengan lebih baik. Usaha tekun anda untuk berbuat demikian akan mengukuhkan dan menguatkan landasan rohani anda.

Saudara dan saudari yang dikasihi, apabila pengubahsuaian Bait Suci Salt Lake sudah lengkap, tidak akan ada tempat yang lebih selamat semasa gempa bumi di Lembah Salt Lake daripada di dalam bait suci itu.

Demikian juga, apabila pergolakan berlaku dalam hidup anda, tempat yang paling selamat secara rohani adalah kehidupan dalam perjanjian bait suci anda!

Sila percaya saya apabila saya berkata bahawa apabila landasan rohani anda dibina dengan teguh pada Yesus Kristus, anda tidak perlu takut. Apabila anda taati perjanjian anda yang dibuat di bait suci, anda akan diperkuatkan oleh kuasa-Nya. Kemudian, apabila gempa bumi rohani berlaku, anda dapat berdiri teguh kerana landasan rohani anda kukuh dan tak tergoyah.

Saya kasihi anda, saudara dan saudari yang dikasihi. Saya tahu kebenaran ini: Tuhan, Bapa Syurgawi kita, mahu anda pilih untuk pulang kepada-Nya. Rancangan kemajuan abadi-Nya tidak rumit, dan ia menghormati hak pilihan anda. Anda bebas untuk pilih siapa anda mahu jadi—dan dengan siapa anda akan bersama—di dunia yang akan datang!

Tuhan hidup! Yesus ialah Kristus! Inilah Gereja-Nya yang dipulihkan untuk bantu anda penuhi takdir ilahi anda. Saya bersaksi dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat “Teguhlah Landasan,” Nyanyian Rohani, no. 28.

  2. Supaya “ketika iblis … [menghantar] [angin] yang kuat, … ia tidak akan berkuasa ke atas [kami] … kerana di atas batu yang kamu dibangunkan, yang merupakan suatu landasan yang kukuh, landasan yang mana jika manusia dibangunkan di atasnya mereka tidak dapat jatuh” (Helaman 5:12; penekanan ditambah).

  3. Lihat Ajaran dan Perjanjian 109:15, 22.

  4. Ajaran dan Perjanjian 38:30; lihat juga Ajaran dan Perjanjian 10:55.

  5. Lihat Musa 5:5-6.

  6. Kamus Alkitab, “Bait Suci.”

  7. Contohnya, lihat Keluaran 28; 29; Imamat 8. Khemah ibadat Musa dikenali sebagai “khemah Tuhan” (Bilangan 9:15) (Keluaran 38:21). Bait suci Salomo dimusnahkan pada tahun 587 S.M., beberapa tahun selepas keluarga Lehi meninggalkan Yerusalem. Pemulihan bait suci ini oleh Zerubabel berlaku 70 tahun kemudian. Kemudian ia dimusnahkan oleh api pada 37 S.M. Herodes meluaskan pembinaan bait suci kira-kira 16 S.M. Kemudian bait suci ini, yang dikenali oleh Yesus, telah dimusnahkan pada 70 M. Nefi mempunyai pengalaman seperti bait suci dengan pergi “ke gunung” untuk berdoa (1 Nefi 18:3) dan kemudian membina bait suci “menurut cara bait suci Salomo,”di Benua Amerika walaupun ia kurang berhiasan (lihat 2 Nefi 5:16).

  8. Lihat Ajaran dan Perjanjian 88:119; 124:31.

  9. Lihat Ajaran dan Perjanjian 110:13-16; 124:28. Batu penjuru Bait Suci Nauvoo diletakkan pada 6 April 1841, hanya beberapa bulan selepas Joseph Smith menerima wahyu untuk membinanya. Bait Suci Nauvoo mempunyai fungsi yang bertambah. Contohnya, Tuhan menjelaskan bahawa kolam pembaptisan diperlukan untuk para Orang Suci dibaptiskan bagi mereka yang sudah mati (lihat Ajaran dan Perjanjian 124:29–30).

  10. Lihat Ajaran dan Perjanjian 131 dan 132. Ajaran dan Perjanjian 128 mengandungi surat Joseph Smith tulis kepada para Orang Suci berkenaan pembaptisan bagi orang mati. Di sana dia mengisytiharkan bahawa keselamatan orang mati “adalah perlu dan penting demi keselamatan kita, … mereka tanpa kita tidak dapat dijadikan sempurna—begitu juga kita tanpa orang-orang kita yang telah mati tidak dapat dijadikan sempurna” (Ajaran dan Perjanjian 128:15).

  11. Joseph Smith, dalam Saints: The Story of the Church of Jesus Christ in the Latter Days, vol. 1, The Standard of Truth, 1815–1846 (2018), 454.

  12. “Sejarawan Gereja George A. Smith mengakhiri bahawa 5,634 saudara dan saudari menerima anugerahan mereka dalam Bait Suci Nauvoo yang pembinaan separa lengkap pada Disember 1845 dan Januari 1846. Pemeteraian pasangan berterusan pada 7 Feb [1846,] di mana sebanyak 2000 pasangan telah dimeterai oleh kuasa imamat buat masa dan keabadian” (Lihat Bruce A. Van Orden, “Temple Finished before Exodus,” Deseret News, 9 Dis. 1995, deseret.com, lihat juga Richard O. Cowan, “Endowments Bless the Living and Dead,” Church News, 27 Ogos, 1988, thechurchnews.com).

  13. “Apakah yang anda rasa nenek moyang akan berkata jika mereka boleh berbicara dari kematian? Tidakkah mereka akan berkata, Kita dikuburkan beribu-ribu tahun, di dalam rumah penjara ini, menunggu keagamaan ini untuk datang? … Jika mereka memiliki kuasa, mereka akan bercakap dengan suara guruh kepada kita, mengharapkan kita dapat menyedari kepentingan pekerjaan yang kita terlibat. Semua malaikat di syurga melihat segelintir orang ini, dan merangsang mereka kepada keselamatan keluarga manusia. … Apabila saya berfikir tentang subjek ini, saya mahu lidah tujuh guruh untuk membangunkan orang ramai” (Discourses of Brigham Young , sel. John A. Widtsoe [1954], 403–4).

  14. Harold B. Lee, “God’s Kingdom—A Kingdom of Order,” Ensign, Jan. 1971, 10. Lihat juga kenyataan dibuat oleh Presiden Wilford Woodruff pada 1896; dia mengisytiharkan: “Saya mahu berkata, sebagai presiden Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, kita harus terus maju sekarang. Kita belum [selesai] memperoleh wahyu. … Presiden [Brigham] Young, yang mengikuti Presiden Joseph Smith, memimpin kita ke sini. Dia mengorganisasikan bait suci-bait suci ini dan menjalankan tujuan panggilan dan jawatannya. … Dia tidak menerima semua wahyu dalam pekerjaan ini; tidak juga Presiden Taylor, tidak juga Wilford Woodruff. Tidak akan ada pengakhiran bagi pekerjaan ini sehingga ia disempurnakan” (The Discourses of Wilford Woodruff, sel. G. Homer Durham [1946], 153–54).

  15. Lihat 3 Nefi 29:8–9.

  16. Lihat Ajaran dan Perjanjian 131:2, 4.

  17. Lihat Ajaran dan Perjanjian 132:7.

  18. Elder John A. Widtsoe menulis: “Kepada lelaki atau perempuan yang melalui bait suci, dengan mata terbuka, mendengar lambang-lambang dan perjanjian, dan membuat usaha yang mantap dan berterusan untuk memahami makna penuh, Tuhan mengucapkan firman-Nya, dan wahyu-wahyu datang. Anugerahan begitu kaya sehingga hanya seorang yang bodoh akan cuba menggambarkannya; ia penuh dengan wahyu-wahyu kepada mereka yang menjalankan kekuatan mereka untuk mencari dan melihat, bahawa tidak ada perkataan manusia yang dapat menjelaskan atau menjelaskan kemungkinan yang tinggal dalam layanan bait suci. Anugerahan yang diberikan melalui wahyu boleh difahami dengan lebih baik melalui wahyu” (dalam Archibald F. Bennett, Juruselamat di Gunung Sion,[buku panduan Sekolah Minggu, 1950], 168).