Persidangan Umum
Pemulihan Harian
Persidangan Umum Oktober 2021


Pemulihan Harian

Kita perlukan cahaya syurgawi yang berterusan setiap hari. Kita perlukan suatu penyegaran zaman. Masa pemulihan peribadi.

Kita berkumpul pada pagi Sabat yang indah ini untuk berbicara tentang Kristus, bergembira dalam injil-Nya, dan menyokong satu sama lain semasa kita berjalan dalam “jalan” Juruselamat kita.1

Sebagai ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, setiap hari sabat kita berhimpun untuk tujuan ini sepanjang tahun. Jika anda bukan ahli Gereja, kami menyambut anda dan berterima kasih kepada anda kerana menyertai kami untuk menyembah Juruselamat dan belajar tentang Dia. Seperti anda, kami berusaha—walaupun tidak sempurna—untuk menjadi kawan, jiran, dan manusia yang lebih baik,2 dan kami berusaha untuk melakukan ini dengan mengikut Teladan kita, Yesus Kristus.

Imej
Tuhan Yesus Kristus

Kami berharap anda dapat merasa keikhlasan kesaksian kita. Yesus Kristus hidup! Dia ialah Putera Tuhan yang hidup, dan Dia mengarahkan para nabi di bumi pada zaman kita. Kita menjemput semua untuk datang, mendengar firman Tuhan, dan terlibat dalam kebaikan-Nya! Saya memberi kesaksian peribadi saya bahawa Tuhan ada di antara kita dan Dia pasti akan mendekati semua yang mendekati-Nya.3

Ini satu penghormatan untuk kami berjalan bersama anda di jalan penganutan yang lurus dan sempit.

Seni Berjalan dalam Garis lurus

Terdapat satu teori yang sering diulangi tentang orang-orang yang hilang dalam bulatan. Tidak lama dahulu, saintis di Institut Max Planck untuk Biologi Cybernetics menguji teori itu. Mereka membawa peserta ke hutan yang tebal dan memberi mereka arahan mudah: “Berjalan dalam garis lurus.” Tidak ada tanda-tanda tempat yang kelihatan. Peserta ujian harus bergantung pada deria arah mereka.

Apakah anda rasa mereka lakukan?

Ahli saintis menyimpulkan, “Orang-orang sememangnya berjalan dalam bulatan apabila mereka tidak mempunyai isyarat yang dipercayai ke arah jalan mereka.”4 Apabila disoal selepas itu, beberapa peserta dengan yakin berkata mereka tidak menyimpang sedikit pun. Meskipun keyakinan tinggi mereka, data GPS menunjukkan mereka berjalan dalam bulatan sejarak 20 meter dalam diameter.

Mengapakah kita sukar berjalan dalam garis lurus? Beberapa penyelidik memberi teori bahawa penyimpangan yang kecil dan kelihatan tidak penting dalam rupa bumi membuat perbezaan. Yang lain menunjukkan bahawa kita semua mempunyai sebelah kaki yang lebih kuat daripada yang lain. “Kemungkinan besar,” kita bergelut untuk berjalan lurus “kerana ketidakpastian yang semakin meningkat tentang arah jalan lurus.”5

Tidak kira apa pun sebabnya, sifat manusia: tanpa tempat yang kita kenali, kita hanyut jauh dari laluan.

Sesat dari Jalan

Tidakkah ia menarik betapa faktor kecil yang kelihatan tidak penting boleh membuat perbezaan besar dalam kehidupan kita?

Saya tahu ini dari pengalaman peribadi sebagai juruterbang. Setiap kali mulakan pendaratan ke lapangan terbang, saya tahu kerja saya pada saat itu adalah untuk berterusan membuat pembetulan kecil untuk mengarah kapal terbang ke landasan pendaratan yang diinginkan dengan selamat.

Anda mungkin mempunyai pengalaman yang serupa ketika memandu kenderaan. Angin, jalan yang bengkang-bengkok, penjajaran roda yang tidak sempurna, kelalaian—turut termasuk tindakan pemandu lain—semua ini boleh menjauhkan anda dari jalan yang anda inginkan. Kegagalan memberi perhatian kepada faktor-faktor ini, anda mungkin akan mengalami hari yang buruk.6

Imej
Kereta di dalam kolam air

Ini berguna kepada kita secara jasmani.

Ia turut berguna secara rohani.

Kebanyakan perubahan dalam kehidupan rohani kita—positif dan negatif—berlaku secara beransur-ansur, satu langkah pada satu masa. Seperti peserta dalam kajian Max Planck, kita mungkin tidak sedar apabila kita tersasar dari jalan. Kita mungkin berkeyakinan tinggi bahawa kita berjalan dalam garis lurus. Tetapi hakikatnya adalah tanpa bantuan tanda-tanda tempat untuk membimbing kita, kita menyimpang dari jalan dan tiba di tempat yang tidak dingini.

Ini benar untuk individu. Ia juga benar bagi masyarakat dan negara. Tulisan suci penuh dengan contoh-contoh.

Kitab Hakim-Hakim mencatat bahawa selepas kematian Yosua, “Generasi yang baru tidak mengenal Tuhan kerana mereka tidak mengalami apa yang telah dilakukan oleh Tuhan untuk Israel.”7

Walaupun adanya campur tangan syurgawi, kunjungan, penyelamatan, dan kemenangan menakjubkan yang disaksikan oleh anak-anak Israel sepanjang hayat Musa dan Yosua, dalam satu generasi, umat itu telah meninggalkan Jalan (Tuhan) dan mula berjalan menurut hasrat mereka sendiri. Dan, sememangnya, tidak mengambil masa yang lama sebelum mereka menerima hakikat atas kelakuan itu.

Kadangkala kejatuhan ini mengambil masa bergenerasi. Kadangkala ia berlaku dalam masa beberapa tahun atau bulan.8 Tetapi kita semua tidak di kecuali. Tidak kira betapa kuat pengalaman rohani kita pada masa lalu, sebagai manusia kita cenderung untuk menyimpang. Itu telah menjadi pola sejak zaman Adam sehingga sekarang.

Inilah Berita Baik

Tetapi semua tidak hilang. Tidak seperti peserta ujian yang menyimpang, kita ada tanda-tanda tempat yang boleh dikenal dan percayai supaya dapat menilai jalan kita.

Apakah tanda-tanda tempat ini?

Pastinya ia termasuk doa harian dan merenung tulisan suci dan menggunakan alat yang diilhamkan seperti Ikutlah Aku. Setiap hari, kita boleh mendekati takhta Tuhan dalam kerendahan hati dan kejujuran. Kita boleh renungkan tindakan kita dan kaji semula masa-masa kita—pertimbangkan kehendak dan hasrat kita dalam cahaya-Nya. Jika kita telah hanyut, kita merayu kepada Tuhan untuk memulihkan kita, dan kita bertekad untuk berusaha dengan lebih baik.

Imej
Juruselamat membimbing domba-domba-Nya

Masa kaji diri ini ialah satu peluang untuk mengenangkan semula. Bagaikan sebuah tempat renungan yang kita boleh berjalan bersama Tuhan dan diarahkan, diteguhkan, dan disucikan melalui firman Bapa Syurgawi yang ditulis dan diungkapkan oleh Roh. Ia adalah masa kudus apabila mengingati perjanjian kita untuk mengikuti Kristus yang lembut hati, semasa kita meninjau kemajuan dan menyelaraskan diri kita dengan tanda-tanda tempat rohani yang Tuhan sediakan bagi anak-anak-Nya.

Fikirkannya sebagai pemulihan harian peribadi anda. Dalam perjalanan kita sebagai jemaah di jalan kemuliaan, kita tahu betapa mudahnya untuk menyimpan dari jalan. Tetapi seperti penyimpangan kecil boleh jauhkan kita daripada Jalan Juruselamat, begitu juga tindakan penyembahan yang kecil dan sederhana boleh membimbing kita kembali. Apabila kegelapan memasuki kehidupan kita, seperti yang sering berlaku, pemulihan harian kita membuka hati kepada cahaya syurgawi, yang menerangi jiwa, mengusir kegelapan, ketakutan, dan keraguan kita.

Kemudi Kecil, Kapal Besar

Jika kita mencarinya, sudah pasti “Tuhan akan memberi kepada [kita] pengetahuan melalui Roh Kudus-Nya, ya, melalui kurnia Roh Kudus yang tidak terucapkan.”9 Lebih lagi, Dia akan mengajar kita Jalan itu dan membantu kita mengikutinya.

Ini, sudah tentunya, mengambil usaha konsisten di bahagian kita. Kita tidak boleh berpuas hati dengan pengalaman rohani masa lalu. Kita perlukan aliran konsisten.

Kita tidak boleh bergantung pada kesaksian orang lain buat selamanya. Kita mesti membina kesaksian sendiri.

Kita perlukan cahaya syurgawi yang berterusan setiap hari.

Kita perlukan suatu penyegaran zaman.10 Masa pemulihan peribadi.

“Air yang mengalir” tidak boleh lama “kekal tercemar.”11 Untuk memastikan pemikiran dan tindakan kita murni, kita perlu terus mengalir!

Lagipun, Pemulihan injil dan Gereja bukanlah sesuatu yang berlaku sekali dan tamat untuk semua orang. Ia sebuah proses berterusan—satu hari pada satu masa, satu hati pada satu masa.

Semasa hari kita berlalu, begitu juga kehidupan kita. Seorang pengarang berkata: “Sehari adalah seperti seumur hidup. Anda mula dengan melakukan satu perkara, tetapi akhirnya melakukan sesuatu yang lain, merancang untuk menjalankan tugas, tetapi tidak pergi ke sana. … Dan pada akhir hidupmu, seluruh kewujudanmu juga tidak teratur. Seluruh kehidupan anda mempunyai corak yang sama seperti sehari.”12

Mahukah anda mengubah corak kehidupan anda?

Ubah corak hari anda.

Mahukah anda mengubah hari anda?

Ubah waktu ini.

Ubah apa yang anda fikirkan, rasa, dan lakukan pada saat ini.

Kemudi yang kecil boleh mengemudikan sebuah kapal yang besar.13

Batu bata kecil boleh menjadi kediaman yang indah.

Biji benih kecil boleh menjadi pokok sequoia yang amat besar.

Minit dan jam yang dihabiskan dengan bijaksana adalah unsur-unsur pembinaan kehidupan yang bermanfaat. Ia boleh mengilhami kebaikan, mengangkat kita dari kurungan ketidaksempurnaan, dan memajukan kita ke jalan penebusan, keampunan dan pengudusan.

Tuhan Permulaan yang Baru

Saya mengangkat hati saya dalam kesyukuran bersama anda atas kurnia peluang baru, kehidupan baru, harapan baru.

Kita mengangkat suara dalam pujian akan kelimpahan dan keampunan Tuhan. Sesungguhnya, Dia ialah Tuhan permulaan yang baru. Penghujung segala pekerjaan-Nya adalah untuk membantu kita, anak-anak-Nya, berjaya dalam usaha kita untuk kebaqaan dan kehidupan abadi.14

Kita boleh menjadi manusia baru dalam Kristus, kerana Tuhan telah berjanji, “Sekerap umat-Ku bertaubat akanlah Aku ampuni mereka bagi pelanggaran mereka terhadap-Ku”15 dan “tidak mengingatinya lagi.”16

Saudara dan saudari dan kawan-kawan yang dikasihi. Kita semua hanyut dari masa ke masa.

Tetapi kita boleh kembali pada jalan yang betul. Kita boleh mencari jalan kita melalui kegelapan dan percubaan kehidupan ini dan mencari jalan kembali kepada Bapa Syurgawi yang penuh kasih jika kita mencari dan menerima tanda-tanda tempat rohani yang dia telah sediakan, menerima wahyu peribadi dan berusaha untuk pemulihan harian. Inilah cara kita menjadi pengikut sejati Juruselamat kita yang dikasihi, Yesus Kristus.

Apabila kita berbuat demikian, Tuhan akan senyum kepada kita. “Tuhan akan memberkati … kamu di tanah yang diberikan-Nya kepada kamu. Dia akan menjadikan kamu umat-Nya sendiri yang sudah dijanjikan-Nya.”17

Saya doa agar kita akan mencari pemulihan harian dan terus berusaha untuk berjalan dalam Jalan Yesus Kristus. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Yesus mengajar, “Akulah jalan untuk mengenal Tuhan dan untuk mendapat hidup” (Yohanes 14:6). Alkitab Kajian Abad Pertama NIV mengandungi penjelasan ini: “Rupa jalan atau jalan dalam Alkitab sering tegaskan untuk mematuhi perintah-perintah atau ajaran-ajaran Tuhan [lihat Mazmur 1:1; 16:11; 86:11]. Ini adalah metafor biasa zaman dahulu untuk penyertaan aktif dalam satu kepercayaan, ajaran atau amalan. Komuniti Dead Sea Scrolls memanggil diri mereka pengikut ‘jalan itu,’ yang bermaksud mereka adalah pengikut tafsiran mereka sendiri tentang jalan yang menyenangkan Tuhan. Paulus dan orang Kristian awal juga memanggil diri mereka ‘pengikut Jalan’ [lihat Kisah Rasul-Rasul 24:14]” (dalam “What the Bible Says about the Way, the Truth, and the Life,” Bible Gateway, biblegateway.com/topics/the-way-the-truth-and-the-life).

    Pada tahun 1873, sebuah buku purba bertajuk Didache ditemui di perpustakaan bapa bangsa Yerusalem di Constantinople. Banyak sarjana percaya ia ditulis dan digunakan pada lewat abad pertama (AD 80–100). Didache bermula dengan kata-kata ini: “Adanya dua jalan, satu kehidupan dan satu kematian, tetapi terdapat perbezaan yang besar di antara dua jalan ini. Inilah jalan kehidupan: Pertama, engkau haruslah mengasihi Tuhan yang menciptakanmu; kedua, sesama manusia seperti dirimu sendiri” (Teaching of the Twelve Apostle, trans. Roswell D. Hitchcock dan Francis Brown [1884], 3).

    Sumber-sumber lain, seperti The Expositor’s Bible Commentary, menunjukkan “semasa kewujudan awal gereja, mereka yang menerima mesias Yesus dan menuntut Dia sebagai Tuhan mereka memanggil diri mereka dari ‘Jalan’ itu [lihat Kisah Rasul-Rasul 19:9, 23; 22:4; 24:14, 22]” (ed. Frank E. Gaebelein dan yang lain [1981], 9:370).

  2. Lihat Mosia 2:17.

  3. Lihat Ajaran dan Perjanjian 121:43

  4. “Walking in Circles,” 20 Ogos 2009, Max-Planck-Gesellschaft, mpg.de.

  5. “Walking in Circles,” mpg.de. Imej ini menunjukkan jejakan GPS empat peserta dalam kajian. Tiga daripada mereka berjalan pada hari yang mendung. Salah satu daripada mereka (SM) mula berjalan sementara matahari ditutupi awan, tetapi selepas 15 minit awan hilang, dan peserta boleh melihat sekilas pandang matahari. Perhatikan bagaimana, apabila matahari muncul, peserta itu lebih berjaya berjalan di atas garis lurus.

  6. Satu contoh tragik tentang bagaimana tersalah laluan dalam dua darjah sahaja menyebabkan jet penumpang terhempas ke Gunung Erebus di Antartika, membunuh 257 orang, lihat Dieter F. Uchtdorf, “A Matter of a few Degrees,” Liahona, Mei 2008, 57–60.

  7. Hakim-Hakim 2:10.

  8. Selepas kunjungan Kristus ke Benua Amerika, orang ramai benar-benar bertaubat dari dosa-dosa mereka, dibaptiskan, dan menerima Roh Kudus. Mereka pernah menjadi bangsa yang berselisih dan angkuh, sekarang “tidak terdapat pertikaian dan perselisihan di antara mereka, dan setiap orang berurusan dengan adil terhadap satu sama lain” (4 Nefi 1:2). Tempoh kesolehan ini berlangsung selama dua abad sebelum keangkuhan mula menyebabkan orang ramai berpaling dari Tuhan. Walau bagaimanapun, hanyut secara rohani juga boleh berlaku dengan lebih cepat. Contohnya, berdekad-dekad sebelumnya, pada tahun ke-50 zaman pemerintahan hakim-hakim dalam Kitab Mormon, terdapat “kedamaian berterusan dan kebahagiaan yang besar” di kalangan bangsa itu. Tetapi kerana keangkuhan yang memasuki hati ahli-ahli Gereja, selepas tempoh masa empat tahun yang singkat “ada banyak pembelotan di dalam gereja, dan juga ada suatu pertikaian di antara rakyat, sedemikian rupa sehingga ada banyak pertumpahan darah” (lihat Helaman 3:32–4:1).

  9. Ajaran dan Perjanjian 121:26.

  10. Kisah Rasul-Rasul 3:19.

  11. Ajaran dan Perjanjian 121:33.

  12. Michael Crichton, Jurassic Park (2015), 190.

  13. “Jadikan kapal sebagai teladan. Walaupun mereka begitu besar dan digerakkam oleh angin yang kuat, ia dikemudi oleh kemudi yang sangat kecil ke arah jurumudi inginkan” (Yakobus 3:4, New International Version).

  14. Lihat Musa 1:39.

  15. Mosia 26:30.

  16. Ajaran dan Perjanjian 58:42.

  17. Ulangan 28:8–9; lihat juga ayat 1–7.