Persidangan Umum
“Adakah Kamu Lebih Mengasihi Aku Daripada Semua Orang Ini Mengasihi Aku?”
Persidangan Umum Oktober 2021


“Adakah Kamu Lebih Mengasihi Aku Daripada Semua Orang Ini Mengasihi Aku?”

Apakah perkara yang anda boleh lakukan dalam hidup anda untuk menunjukkan bahawa anda mengasihi Tuhan?

Pada November 2019, kawan saya dan saya mengunjungi Tanah Suci. Semasa di sana, kami mengkaji ayat-ayat suci tentang kehidupan Yesus Kristus. Pada satu pagi, kami berdiri di pantai barat laut Galilea satu tempat di mana Yesus bertemu dengan para pengikut-Nya selepas Kebangkitan-Nya.

Selepas Kebangkitan Yesus, semasa kami baca dalam Yohanes bab 21, Petrus dan para pengikut lain memancing sepanjang malam tanpa kejayaan.1 Pada waktu pagi, mereka lihat seorang lelaki berdiri di pantai yang menyuruh mereka melabuhkan jala ke sebelah lain perahu. Mereka hairan kerana jala itu penuh secara ajaib.2

Mereka segera sedari bahawa lelaki itu ialah Tuhan, dan mereka bergegas untuk salam Dia.

Semasa mereka menyeret jala ke pantai, penuh dengan ikan, Yesus berkata, “Marilah makan.”3 Yohanes menulis “setelah mereka makan, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, ‘Simon anak Yohanes, adakah kamu lebih mengasihi Aku daripada semua orang ini mengasihi Aku?’”4

Semasa saya berdiri di tepi laut yang sama, saya sedar bahawa soalan Juruselamat ialah salah satu soalan yang paling penting yang Dia mungkin tanya saya suatu hari nanti. Saya hampir dapat mendengar suara-Nya bertanya, “Russell, adakah kamu mengasihi aku lebih daripada semua orang ini?”

Adakah anda tertanya-tanya apa yang Yesus maksudkan ketika Dia tanyakan Petrus, “adakah kamu mengasihi aku lebih daripada semua orang ini?”

Kaitkan soalan ini kepada diri kita pada zaman kita, Tuhan mungkin tanyakan kita tentang betapa sibuknya kita dan tentang banyak pengaruh positif dan negatif yang bersaing untuk perhatian dan masa kita. Dia mungkin tanya kita jika kita kasihi-Nya lebih daripada hal-hal dunia ini. Ini mungkin soalan tentang apa yang kita benar-benar hargai dalam kehidupan, siapa yang kita ikuti dan bagaimana kita lihat hubungan kita dengan ahli keluarga dan sesama manusia. Atau mungkin Dia bertanya apa yang benar-benar bawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada kita.

Adakah hal-hal dunia ini membawa kita kebahagiaan, kegembiraan dan kedamaian yang Juruselamat berikan kepada para pengikut-Nya dan yang Dia tawarkan kepada kita? Hanya Dia boleh bawa kebahagiaan, kegembiraan dan kedamaian yang sejati dengan kasihi Dia dan ikuti ajaran-ajaran-Nya.

Bagaimana kita akan jawab soalan ini “adakah kamu mengasihi aku lebih daripada semua orang ini?”

Apabila kita menemui maksud yang lebih mendalam tentang soalan ini, kita boleh menjadi ahli keluarga, jiran, warganegara, ahli Gereja dan putera dan puteri Tuhan yang lebih baik.

Pada usia saya, saya telah hadiri banyak pengebumian. Saya pasti ramai di antara anda telah lihat apa yang saya telah perhatikan. Apabila meraikan kehidupan ahli keluarga atau seorang kawan yang sudah mati, ia jarang dibincangkan tentang saiz rumah orang itu, jumlah kereta, atau baki akaun bank. Mereka biasanya tidak bercakap tentang pos media sosial. Di kebanyakan pengebumian yang telah saya hadiri, mereka tumpukan pada hubungan orang terkasih mereka, pelayanan kepada orang lain, pelajaran hidup dan pengalaman, dan kasih terhadap Yesus Kristus.

Jangan salah faham. Saya tidak katakan bahawa ada rumah atau kereta yang bagus adalah salah atau menggunakan media sosial adalah jahat. Apa yang saya katakan adalah bahawa pada akhirnya, hal-hal itu tidak penting berbanding dengan mengasihi Juruselamat.

Apabila kita mengasihi dan mengikuti-Nya, kita mempunyai iman kepada-Nya. Kita bertaubat. Kita ikut Yesus Kristus apabila dibaptiskan dan menerima Roh Kudus. Kita bertahan sampai akhir dan kekal pada jalan perjanjian. Kita mengampuni ahli keluarga dan sesama manusia dengan melepaskan dendam yang kita pegang. Kita berusaha bersungguh-sungguh untuk patuhi perintah-perintah Tuhan. Kita berusaha untuk patuh. Kita membuat dan mentaati perjanjian. Kita menghormati ibu bapa kita. Kita ketepikan pengaruh-pengaruh duniawi yang negatif. Kita menyediakan diri kita untuk Kedatangan Kedua-Nya.

Dalam “Kristus Yang Hidup: Kesaksian Para Rasul,” kita baca: “[Yesus] akan kembali ke bumi satu hari nanti. … Dia akan memerintah sebagai Raja yang Terutama dan Tuhan yang Agung, dan setiap lutut akan berlutut dan setiap lidah akan mengaku di hadapan-Nya. Kita setiap orang akan berdiri di hadapan-Nya untuk diadili oleh Dia menurut kerja-kerja dan keinginan hati kita.”5

Sebagai salah seorang Rasul yang menandatangani dokumen “Kristus Yang Hidup,” saya boleh katakan mengetahui bahawa Yesus “adalah cahaya, kehidupan, dan harapan dunia”6 beri saya hasrat yang lebih besar untuk kasihi Dia setiap hari.

Saya bersaksi bahawa Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus hidup. Saya bersaksi bahawa Mereka kasihi kita. Tulisan suci ajarkan “Tuhan sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan abadi.”7 Tulisan suci juga ajarkan Yesus “sangat mengasihi dunia sehingga Dia memberikan nyawa-Nya sendiri, agar seberapa banyak yang akan percaya boleh menjadi anak-anak Tuhan.”8

Bapa Syurgawi sangat mengasihi kita sehingga Dia menyediakan rancangan keselamatan-Nya dengan seorang Juruselamat sebagai pusat utama. Dan Yesus sangat mengasihi kita sehingga dalam Majlis Agung di Syurga, apabila Bapa Syurgawi bertanya, “Siapakah yang harus Aku utus?” Yesus, Anak Sulung dari semua anak roh Bapa, jawab, “Di sinilah Aku, utuslah Aku.”9 Dia berkata kepada Bapa “Bapa, kehendak-Mu dilakukan, dan kemuliaan adalah milik-Mu selamanya.”10 Yesus sukarela untuk jadi Juruselamat dan Penebus kita supaya kita boleh jadi seperti Mereka dan kembali ke hadirat Mereka.

Kedua-dua ayat suci ini juga ajarkan kita perlu percaya untuk kembali ke hadirat Mereka. Kita perlu percaya kepada Yesus dan rancangan kegembiraan Tuhan. Untuk percaya adalah untuk kasihi dan ikuti Juruselamat kita dan patuhi perintah-perintah, bahkan di tengah-tengah percubaan dan perselisihan.

Dunia hari ini telah menjadi huru-hara. Terdapat kekecewaan, perselisihan, kesusahan dan gangguan.

Presiden Dallin H. Oaks, berucap pada tahun 2017, menceritakan yang berikut: “Inilah masa yang mencabar, dipenuhi dengan kebimbangan besar: pertempuran dan berita peperangan, kemungkinan wabak penyakit berjangkit, kemarau, banjir, dan pemanasan global.”11

Kita tidak boleh kehilangan kasih dan harapan kita dalam Yesus, walaupun kita hadapi cabaran yang nampaknya sangat besar. Bapa Syurgawi dan Yesus tidak akan melupakan kita. Mereka mengasihi kita.

Pada Oktober lalu, Presiden Russell M. Nelson ajar kita kepentingan untuk mengutamakan Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus dalam hidup kita. Presiden Nelson ajar kita bahawa satu maksud perkataan Israel adalah “membiarkan Tuhan menang.”12

Dia tanya setiap kita soalan-soalan ini: “Adakah anda sudi membiarkan Tuhan menang dalam hidup anda?” Adakah anda sudi membiarkan Tuhan menjadi pengaruh yang paling penting dalam hidup anda? Adakah anda membenarkan firman-Nya, perintah-perintah-Nya, dan perjanjian-Nya mempengaruhi apa yang anda lakukan setiap hari? Adakah anda membenarkan suara-Nya menjadi keutamaan daripada yang lain? Adakah anda sudi membiarkan apa pun kehendak-Nya menjadi lebih penting daripada hasrat anda yang lain? Adakah anda sudi untuk membiarkan kehendak anda ditelan dalam kehendak-Nya?”13

Kita mesti selalu ingat bahawa kegembiraan sejati kita bergantung pada hubungan kita dengan Tuhan, dengan Yesus Kristus, dan dengan satu sama lain.

Salah satu cara untuk tunjukkan kasih kita adalah dengan menyertai keluarga, kawan-kawan, dan sesama manusia dalam melakukan beberapa perkara kecil untuk melayani satu sama lain dengan lebih baik. Lakukan hal-hal yang menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.

Apakah perkara yang anda boleh lakukan dalam hidup anda untuk menunjukkan bahawa anda mengasihi Tuhan?

Apabila kita fokus mengasihi sesama manusia seperti Dia mengasihi mereka, kita mula benar-benar mengasihi orang di sekeliling kita.14

Saya bertanya lagi, bagaimanakah anda akan menjawab soalan Juruselamat “Adakah kamu lebih mengasihi Aku daripada semua orang ini mengasihi Aku?”

Semasa anda pertimbangkan soalan ini seperti yang saya telah lakukan, saya berdoa agar anda boleh menjawab seperti Petrus, “Ya Tuhan, Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan.”15 dan kemudian tunjukkannya dengan mengasihi dan melayani Tuhan dan orang di sekeliling anda.

Saya bersaksi kita diberkati dengan adanya injil Yesus Kristus untuk membimbing kita dalam cara kita hidup dan memperlakukan satu sama lain. Dalam Dia, kita kenali setiap putera dan puteri Tuhan amat berharga kepada-Nya.

Saya bersaksi Yesus Kristus ialah Juruselamat kita yang dikasihi. Dia ialah Putera Tunggal Tuhan. Dengan rendah hati saya bersaksi dalam nama Yesus Kristus, amin.