Persidangan Umum
Mendalamkan Penukaran Hati Kita kepada Yesus Kristus
Persidangan Umum Oktober 2021


Mendalamkan Penukaran Hati Kita kepada Yesus Kristus

Tulisan suci dan pengetahuan kita tentang Tuhan adalah kurnia—kurnia yang sering kali diambil ringan. Marilah kita menghargai berkat-berkat ini.

Terima kasih banyak, Elder Nielson, atas pesanan anda yang indah. Kita perlukan itu.

Saudara dan saudari yang dikasihi, Presiden Russell M. Nelson ajarkan kita baru-baru ini: “Untuk melakukan apa-apa dengan baik memerlukan usaha. Menjadi pengikut sejati Yesus Kristus juga tidak terkecuali. Meningkatkan iman anda dan kepercayaan pada-Nya memerlukan usaha. Antara cadangan yang dia berikan untuk meningkatkan iman kita kepada Yesus Kristus adalah kita menjadi pelajar yang aktif, mendalami diri dalam tulisan suci agar memahami misi dan pelayanan Kristus. (Lihat “Kristus Sudah Bangkit; Iman kepada-Nya Akan Mengalihkan Bukit,” Liahona, Mei 2021, 103.)

Kita pelajari dalam Kitab Mormon bahawa tulisan suci adalah penting bagi keluarga Lehi—begitu penting sehingga Nefi dan saudaranya kembali ke Juruselam untuk memperoleh kepingan-kepingan loyang (lihat 1 Nefi 3–4).

Tulisan suci mengungkapkan kehendak Tuhan bagi kita seperti yang Liahona lakukan untuk Nefi dan bapanya. Selepas busurnya patah, Nefi perlu tahu ke mana dia harus pergi untuk dapatkan makanan. Bapanya, Lehi, melihat pada Liahona dan lihat hal-hal yang tertulis. Nefi nampak jarum berfungsi menurut iman, ketekunan dan perhatian yang diberikan kepadanya. Dia juga nampak tulisan yang mudah dibaca dan ia memberi mereka pemahaman mengenai jalan Tuhan. Dia sedar bahawa Tuhan mendatangkan hal-hal yang besar melalui cara yang kecil. Dia patuh kepada arahan yang diberikan oleh Liahona. Dia mendaki gunung dan dapatkan makanan untuk keluarganya, yang telah menderita banyak dari kekurangannya. (Lihat 1 Nefi 16:23–31.)

Saya dapati bahawa Nefi ialah seorang pelajar yang berdedikasi dalam tulisan suci. Kita baca bahawa Nefi bersukacita akan tulisan suci, merenungkannya dalam hatinya, dan menuliskannya bagi pembelajaran dan kemanfaatan anak-anaknya (lihat 2 Nefi 4:15–16).

Presiden Russell M. Nelson berkata:

“Jika kita ‘maju terus, berjamu dengan firman Kristus, dan bertahan sampai akhir, … [kita] akan memperoleh kehidupan abadi’ [2 Nefi 31:20].

“Untuk berjamu bermaksud lebih dari merasa. Untuk berjamu bermaksud untuk menikmati. Kami menikmati tulisan suci dengan mengkajinya dalam semangat penemuan yang menyenangkan dan kepatuhan yang beriman. Apabila kita berjamu atas kata-kata Kristus, mereka tertanam ‘pada hati manusia’ [2 Korintus 3:3]. Firman-Nya menjadi sebahagian dari sifat kita” (“Living by Scriptural Guidance,” Ensign,, Jan. 2001).

Apakah Perkara-perkara yang Kita Akan Lakukan Sekiranya Jiwa Kita Bersukacita Akan Tulisan suci?

Hasrat kita untuk jadi sebahagian pengumpulan Israel di kedua-dua belah tirai akan meningkat. Ia akan jadi normal dan biasa bagi kita untuk menjemput keluarga dan kawan-kawan kita untuk dengar para penginjil. Kita akan jadi layak, dan akan mempunyai kad rekomen bait suci semasa untuk pergi ke bait suci sekerap yang mungkin. Kita akan berusaha untuk cari, sedia, dan hantar nama-nama nenek moyang kita ke bait suci. Kita akan setia dalam mematuhi Hari Sabat, hadiri gereja setiap hari Ahad untuk memperbaharui perjanjian kita dengan Tuhan ketika kita sertai dengan layak dalam mengambil sakramen. Kita akan berusaha untuk kekal berada di jalan perjanjian, hidup menurut setiap kata yang keluar dari mulut Tuhan (lihat Ajaran dan Perjanjian 84:44).

Apakah Maksudnya Bagi Anda Untuk Bersukacita Akan Perkara-perkara Tuhan?

Bersukacita akan tulisan suci ialah lebih daripada keinginan untuk pengetahuan. Nefi mengalami kebahagiaan besar dalam hidupnya. Walau bagaimanapun, dia juga hadapi kesukaran dan kesedihan (lihat 2 Nefi 4:12–13). “Walaupun demikian,” dia berkata, “Aku tahu kepada siapa aku telah percaya” (2 Nefi 4:19). Semasa kita kaji tulisan suci, kita akan lebih fahami rancangan keselamatan dan permuliaan Tuhan, dan kita akan percaya pada janji-janji yang Dia telah buat kepada kita dalam tulisan suci, dan juga pada janji-janji dan berkat para nabi moden.

Imej
Daud dan Goliat

Pada satu petang, isteri saya dan saya dijemput ke rumah kawan. Anak lelaki mereka yang berumur tujuh tahun, David, tidak pernah dengar kisah Alkitab tentang Daud dan Goliat, dan dia ingin mendengarnya. Ketika saya mula menceritakan kisah itu, dia terharu dengan cara Daud, dengan imannya dan dalam nama Tuhan Israel, melukai dan membunuh Orang Filistin dengan batu dan ali-ali, tanpa pedang dalam tangannya (lihat 1 Samuel 17).

Melihat saya dengan matanya yang gelap, dia bertanya dengan teguh, “Siapakah Tuhan?” Saya jelaskan bahawa Tuhan adalah Bapa Syurgawi kita dan kita belajar tentang Dia dalam tulisan suci.

Dia bertanya kepada saya, “Apakah tulisan suci?” Saya beritahu dia bahawa tulisan suci adalah firman Tuhan dan di dalamnya dia akan temui cerita-cerita indah yang akan membantu dia lebih mengenali Tuhan. Saya minta ibunya untuk gunakan Alkitab yang berada di rumah dan minta agar dia tidak biarkan David tidur tanpa baca seluruh cerita itu kepadanya. David gembira apabila dia mendengarnya. Tulisan suci dan pengetahuan kita tentang Tuhan adalah kurnia—kurnia yang sering kali diambil ringan. Marilah kita menghargai berkat-berkat ini.

Semasa melayani misi sebagai pemuda, saya perhatikan kehidupan banyak orang telah berubah daripada pengajaran yang menggunakan tulisan suci. Saya sedar akan kuasa dalam tulisan suci dan bagaimana ia dapat mengubah kehidupan kita. Setiap orang yang kami ajarkan injil yang dipulihkan ialah individu unik dengan keperluan yang berbeza. Tulisan suci—ya, nubuat-nubuat yang ditulis oleh para nabi kudus—membawa mereka kepada iman kepada Tuhan dan kepada pertaubatan dan mengubah hati mereka.

Tulisan suci penuhi mereka dengan kebahagiaan semasa mereka terima ilham, arahan, kesenangan hati, kekuatan dan jawapan bagi keperluan mereka. Ramai di antara mereka pilih untuk buat perubahan dalam kehidupan mereka dan mula patuhi perintah-perintah Tuhan.

Nefi galakkan kita untuk bersukacita akan firman Kristus, kerana firman Kristus akan beritahu segala hal yang kita perlu lakukan (lihat 2 Nefi 32:3).

Imej
Pengkajian tulisan suci sekeluarga

Saya jemput anda untuk buat rancangan tetap untuk mengkaji tulisan suci. Ikutlah Aku ialah sumber hebat yang kita ada untuk ajar dan pelajari injil, mendalamkan penukaran hati kepada Yesus Kristus dan bantu kita menjadi seperti Dia. Apabila kita mengkaji injil, kita tidak saja mencari maklumat baharu; sebaliknya, kita berusaha menjadi “manusia baru” (2 Korintus 5:17).

Roh Kudus bimbing kita ke arah kebenaran dan bersaksi kepada kita tentang kebenaran (lihat Yohanes 16:13). Dia terangi minda kita, perbaharui pemahaman kita, dan sentuh hati kita dengan wahyu Tuhan, sumber semua kebenaran. Roh Kudus menyucikan hati kita. Dia mengilhami kita dengan keinginan untuk hidup menurut kebenaran dan bisik kepada kita cara untuk berbuat demikian. “Roh Tuhan … akan mengajar [kita] segala-galanya” (Yohanes 14:26).

Mengenai kata-kata yang Dia ungkapkan kepada Nabi Joseph Smith, Juruselamat kita berkata:

“Firman ini bukannya daripada manusia tidak juga daripada orang biasa, tetapi daripada-Ku; …

“Kerana suara-Kulah yang memfirmankan kepadamu; kerana ia diberikan melalui Roh-Ku kepadamu … ;

“Kerana itu, kamu dapat bersaksi bahawa kamu telah mendengar suara-Ku” (Ajaran dan Perjanjian 18:34–36).

Kita harus mencari penemanan Roh Kudus. Matlamat ini harus tentukan pilihan kita dan membimbing fikiran serta tindakan kita. Kita mesti cari segala hal yang menjemput pengaruh Roh dan menolak apa pun yang menyimpang dari pengaruh ini.

Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus ialah Putera Tuhan yang dikasihi. Saya kasihi Juruselamat saya. Saya bersyukur atas tulisan suci-Nya dan para nabi-Nya yang hidup. Presiden Nelson ialah nabi-Nya. Dalam nama Yesus Kristus, amin.