Persidangan Umum
Indah dan Mudah
Persidangan Umum Oktober 2021


Indah dan Mudah

Semoga kita patuhi injil dengan mudah semasa kita mengambil tanggungjawab kita yang dilantik secara ilahi.

Pengenalan

Saya mengalu-alukan anda yang menyertai persidangan ini.

Hari ini saya ingin menggambarkan dua elemen injil Yesus Kristus yang dipulihkan, diikuti oleh empat cerita yang diilham dari Orang Suci Zaman Akhir di seluruh dunia yang menggunakan asas-asas ini. Elemen pertama injil yang dipulihkan—pekerjaan penyelamatan dan permuliaan Tuhan—tertumpu pada tanggungjawab yang dilantik secara ilahi. Elemen kedua mengingatkan kita bahawa injil adalah jelas, berharga dan mudah.

Tanggungjawab yang Dilantik secara Ilahi

Untuk menerima kehidupan abadi, kita harus “datanglah kepada Kristus, dan disempurnakanlah di dalam Dia” 1. Semasa kita datang kepada Kristus dan membantu orang lain melakukan yang sama, kita terlibat dalam pekerjaan keselamatan dan permuliaan Tuhan, yang tertumpu pada tanggungjawab yang dilantik secara ilahi.2 Tanggungjawab ilahi ini bergabung bersama dengan kunci-kunci imamat yang dipulihkan oleh Musa, Elias dan Elia, tercatat dalam bahagian 110 di Ajaran dan Perjanjian3dan perintah agung kedua diberi kepada kita oleh Yesus Kristus untuk mengasihi sesama manusia seperti kita mengasihi diri kita.4 Ia terdapat pada dua muka surat pertama Buku Panduan Umum yang dikemas kini, tersedia untuk semua ahli.

Jika mendengar perkataan “Buku Panduan Umum” atau “tanggungjawab yang dilantik secara ilahi” menyebabkan anda berasa takut akan kerumitan, janganlah takut. Tanggungjawab-tanggungjawab ini mudah, berilham, mendorong dan boleh dilakukan. Inilah tanggungjawab-tanggungjawab itu:

  1. Menjalankan injil Yesus Kristus

  2. Menjaga orang yang memerlukan

  3. Menjemput semua untuk menerima injil

  4. Menyatukan keluarga untuk keabadian

Anda boleh lihat seperti saya melihatnya: sebagai peta untuk kembali kepada Bapa Syurgawi kita yang penuh kasih.

Imej
Pekerjaan penyelamatan dan permuliaan.

Injil adalah Jelas, Berharga, dan Mudah

Seperti yang dikatakan, injil Yesus Kristus adalah “indah dan mudah.”5 Dunia pula tidak. Ia rumit dan dipenuhi dengan kekacauan dan persengketaan. Kita diberkati semasa kita berhati-hati untuk tidak membenarkan kerumitan, yang begitu biasa di dunia, untuk masuk ke dalam cara kita menerima dan mematuhi injil.

Presiden Dallin H. Oaks berkata: “Kita diajar banyak hal-hal yang kecil dan sederhana dalam injil Yesus Kristus. Kita perlu diingatkan bahawa dalam gabungan tempoh masa yang panjang, hal-hal yang kecil ini membawa kepada hal-hal yang besar.”6 Yesus Kristus Sendiri menggambarkan bahawa kuk-Nya mudah dan beban-Nya ringan.7 Kita semua harus berusaha menjalankan injil dengan mudah—dalam kehidupan kita, dalam keluarga kita, dalam kelas dan kuorum kita, dan dalam bahagian dan pancang kita.

Ketika anda dengar cerita-cerita berikut yang saya akan kongsi, ketahuilah bahawa ia telah dipilih dengan cermat untuk mengilhami dan memberitahu. Tindakan setiap Orang Suci Zaman Akhir ini menjadi teladan bagi setiap kita, menggunakan injil dengan cara yang jelas, berharga, dan mudah sementara memenuhi salah satu tanggungjawab ilahi yang baru diperkenalkan.

Menjalankan Injil Yesus Kristus

Pertama, menjalankan injil Yesus Kristus. Jens dari negara Denmark berdoa setiap hari untuk mematuhi injil dan perhatikan dorongan dari Roh Kudus. Dia telah belajar untuk bertindak dengan cepat apabila dia rasa diarahkan oleh Roh.

Imej
Jens dari Denmark

Jens berkongsi yang berikut:

“Kami tinggal di rumah kecil yang separuh kayu dengan bumbung jerami di tengah kampung kecil yang selesa, berdekatan dengan kolam.

Imej
Persekitaran kampung
Imej
Kolam kampung

“Pada satu malam dengan cuaca musim panas Denmark yang paling indah, pintu dan tingkap terbuka, dan semuanya damai dan senyap. Oleh kerana malam musim panas yang terang dan panjang, saya tidak tergesa-gesa tukar mentol lampu yang rosak di bilik utiliti kami.

Imej
Lampu bilik utiliti

“Tiba-tiba saya merasai suatu perasaan yang kuat bahawa saya perlu gantikan mentol itu dengan segera! Pada masa yang sama, isteri saya, Mariann, panggil saya dan anak-anak untuk mencuci tangan kerana makan malam telah disedia!

“Saya telah lama berkahwin dan tahu ini bukan masa untuk melakukan apa-apa selain daripada mencuci tangan saya, tetapi saya memberitahu Mariann bahawa saya akan pergi ke kedai untuk beli mentol lampu baru. Saya rasa desakan yang kuat untuk pergi dengan segera.

“Kedai itu terletak di seberang kolam. Kami biasanya jalan kaki, tetapi hari ini saya naik basikal. Ketika saya berbasikal melalui kolam itu, dari sudut mata saya, saya ternampak budak kecil, berumur kira-kira 2 tahun, berjalan sendirian, di tepi kolam itu, amat dekat dengan air—tiba-tiba dia jatuh ke dalam air! Segalanya berlaku dengan pantas!

“Tiada sesiapa yang melihat ini kecuali saya. Saya meninggalkan basikal saya, berlari dan lompat ke dalam kolam. Permukaan air segera ditutup dengan klambang, dan mustahil melihat ke dalam air. Saya dapat rasa sesuatu pergerakan berhampiran saya. Saya masukkan tangan ke dalam air, mencapai baju, dan menarik budak itu ke atas. Dia mula tercungap-cungap, batuk dan menangis. Tidak lama kemudian, budak lelaki itu bersatu semula dengan ibu bapanya.”

Imej
Jens dan keluarga

Semasa Brother Jens berdoa setiap pagi untuk bantuan mengenali dorongan daripada Roh Kudus, bahkan sesuatu yang luar biasa seperti menukar mentol dengan segera, dia juga berdoa agar dia boleh digunakan sebagai alat untuk memberkati anak-anak Tuhan. Jens menjalankan injil dengan mencari arahan ilahi setiap hari, berusaha untuk menjadi layak, dan melakukan yang terbaik untuk ikut dorongan semasa ia datang.

Menjaga Orang yang Memerlukan

Inilah sebuah contoh menjaga orang dalam keperluan. Pada satu hari seorang presiden pancang di pancang Cucuta di Colombia keluar bersama presiden Remaja Puteri pancang untuk melawat dua remaja puteri—dan abang mereka—yang sedang mengalami kesusahan besar. Baru-baru ini bapa mereka telah meninggal dunia, dan ibu mereka telah meninggal dunia setahun sebelumnya. Tiga adik-beradik itu ditinggalkan sendirian di pondok mereka yang kecil dan sederhana. Dinding-dinding diperbuat daripada kayu yang dibarisi dengan beg plastik, dan bumbung timah hanya menutupi kawasan di mana mereka tidur.

Selepas lawatan mereka, pemimpin-pemimpin ketahui apa yang perlu dilakukan. Melalui majlis bahagian, satu rancangan dicipta untuk membantu mereka. Pemimpin bahagian dan pancang—Lembaga Pertolongan, kuorum penatua, Remaja Putera, Remaja Puteri, dan banyak keluarga lain berusaha untuk memberkati keluarga ini.

Imej
Rumah dibina
Imej
Rumah dibina

Organisasi bahagian menghubungi beberapa ahli bahagian yang bekerja dalam bidang pembinaan. Ada yang membantu dalam reka bentuk, ada yang sumbangkan masa dan tenaga, ada yang sediakan makanan, dan ada yang sumbangkan bahan-bahan yang diperlukan.

Imej
Rumah siap dibina

Apabila rumah kecil itu selesai, ia sebuah hari yang gembira bagi mereka yang membantu dan bagi tiga pemuda itu. Anak-anak yatim piatu ini merasa ikatan yang mesra dan kuat daripada keluarga bahagian mereka, mengetahui mereka tidak bersendirian dan Tuhan sentiasa bersama mereka. Orang-orang yang membantu merasakan kasih Juruselamat untuk keluarga ini dan bertindak sebagai tangan-Nya dalam melayani mereka.

Menjemput Semua untuk Menerima Injil

Saya rasa anda akan suka contoh ini tentang menjemput semua untuk menerima injil. Cleiton dari Cape Verde, berumur tujuh belas tahun, tidak tahu apa yang akan berlaku hasil dari mengikuti kelas seminari bahagiannya. Tetapi kehidupannya dan kehidupan orang lain diubah buat selamanya kerana dia berbuat demikian.

Cleiton, bersama ibu dan abangnya, telah dibaptiskan ke dalam Gereja sebelumnya, namun keluarga itu berhenti ke gereja. Tindakannya untuk menghadiri seminari akan menjadi satu titik perubahan bagi keluarga itu.

Remaja lain dalam kelas seminari itu mesra dan mengalu-alukan. Mereka membuat Cleiton rasa selesa dan menggalakkan dia menghadiri aktiviti yang lain. Dia berbuat demikian dan mula menghadiri pertemuan Gereja yang lain. Seorang uskup yang bijaksana melihat potensi rohani Cleiton dan menjemputnya untuk menjadi penolongnya. “Sejak saat itu,” kata Uskup Pina, “Cleiton menjadi teladan dan pengaruh kepada pemuda dan pemudi lain.”

Orang pertama yang Cleiton jemput kembali ke gereja ialah ibunya, dan kemudian abangnya. Selepas itu dia meluaskan jemputan kepada kawan-kawan. Salah satu daripada kawan-kawan itu ialah seorang pemuda yang seumur dengan dia, Wilson. Pada pertemuan pertamanya dengan penginjil, Wilson menyatakan hasratnya untuk dibaptiskan. Para penginjil itu kagum betapa banyak Cleiton telah kongsi dengan Wilson.

Imej
Remaja putera di Cape Verde
Imej
Menjemput orang ramai untuk datang ke gereja.
Imej
Golongan remaja yang aktif dan berkembang

Usaha Cleiton tidak berhenti di situ. Dia membantu ahli-ahli lain yang kurang aktif kembali dan kongsi injil dengan kawan-kawan dari agama lain. Hari ini bahagian itu ada 35 remaja yang aktif, dengan program seminari yang berkembang maju, kebanyakannya kerana usaha Cleiton untuk mengasihi, berkongsi, dan menjemput. Cleiton, bersama abangnya, Cléber, sedang bersedia untuk melayani misi sepenuh masa.

Menyatukan Keluarga untuk Keabadian

Akhirnya, saya berkongsi contoh yang indah tentang menyatukan keluarga untuk keabadian. Lydia dari Kharkiv, Ukraine, belajar tentang bait suci pertama kali dari penginjil. Dengan segera, Lydia mempunyai hasrat yang bersungguh-sungguh untuk menghadiri bait suci. Selepas pembaptisannya, dia mulakan persediaan untuk menerima rekomen bait suci.

Lydia hadiri Bait Suci Freiberg Jerman untuk menerima anugerahannya dan menghabiskan beberapa hari melakukan pekerjaan perwakilan di situ. Selepas pembaktian Bait Suci Kyiv Ukraine, Lydia menghadiri bait suci dengan lebih kerap. Dia dan suaminya, Anatoly, dimeteraikan untuk keabadian di situ dan kemudian dipanggil untuk melayani sebagai penginjil bait suci. Bersama, mereka telah menemui lebih daripada 15,000 nama nenek moyang dan telah berusaha menyediakan tatacara-tatacara bait suci untuk mereka.

Imej
Pasangan orang ukraine di bait suci

Apabila ditanya tentang perasaannya mengenai pekerjaan bait suci, Lydia berkata, “Apakah yang saya terima di bait suci? Saya telah membuat perjanjian baru dengan Tuhan. Kesaksian saya telah diperkuatkan. Saya telah belajar untuk menerima wahyu peribadi. Saya dapat melaksanakan tatacara-tatacara keselamatan bagi nenek moyang saya yang sudah meninggal. Dan saya boleh mengasihi dan melayani orang lain.” Dia mengakhiri dengan pernyataan yang benar ini: “Tuhan ingin kerap melihat kita di bait suci.”

Kesimpulan

Saya terilham kerana kebaikan Orang Suci Zaman Akhir ini, yang datang dari pelbagai latar belakang yang berpusat pada empat cerita ini. Banyak yang boleh dipelajari dari hasil mukjizat yang terjadi kerana menggunakan asas-asas Injil yang mudah. Semua yang mereka lakukan ini boleh dilakukan oleh kita juga.

Semoga kita patuhi Injil dengan mudah semasa kita mengambil tanggungjawab kita yang dilantik secara ilahi: Untuk menjalankan injil Yesus Kristus supaya menjadi sensitif kepada dorongan seperti Jens di Denmark. Untuk menjaga mereka yang memerlukan seperti yang ahli-ahli pancang Cucuta di Colombia tunjukkan dalam menyediakan tempat tinggal untuk ahli-ahli bahagian. Untuk menjemput semua untuk menerima Injil dalam cara Cleiton dari negara pulau Afrika Cape Verde lakukan untuk kawan-kawan dan keluarganya. Akhirnya, untuk menyatukan keluarga untuk keabadian seperti teladan Sister Lydia dari Ukraine, melalui tatacara bait sucinya, usaha sejarah keluarga, dan pelayanan di bait suci.

Berbuat demikian pasti akan membawa kebahagiaan dan kedamaian. Saya bersaksi tentang ini—dan tentang Yesus Kristus sebagai Juruselamat dan Penebus kita—dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Moroni 10:32.

  2. Lihat Buku Panduan Umum: Melayani dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, 1.2, ChurchofJesusChrist.org.

  3. Lihat Ajaran dan Perjanjian 110:11–16. Lihat juga Dallin H. Oaks, “Imamat Melkisedek dan Kunci-kunci,” Liahona, Mei 2020, 70: “Selepas pembaktian bait suci pertama zaman keagamaan ini di Kirtland, Ohio, tiga orang nabi—Musa, Elias, dan Elia—memulihkan “kunci-kunci zaman keagamaan,” termasuk kunci-kunci yang berkaitan dengan pengumpulan Israel dan pekerjaan bait suci Tuhan.” Lihat juga Quentin L. Cook, “Bersedia Untuk Bertemu Dengan Tuhan,” Liahona, Mei 2018, 114: “Para nabi purba memulihkan kunci-kunci imamat untuk tatacara-tatacara injil Yesus Kristus yang menyelamatkan. … “Kunci-kunci ini menyediakan ‘kuasa dari syurga’ [Ajaran dan Perjanjian 38:38] untuk tanggungjawab-tanggungjawab ilahi terlantik yang merupakan tujuan utama Gereja.”

  4. Lihat Matius 22:36–40.

  5. Dalam Matthew Cowley Speaks: Discourses of Elder Matthew Cowley of the Quorum of the Twelve of The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints (1954), xii.

  6. Dallin H. Oaks, “Hal-hal yang Kecil dan Sederhana,” Liahona, Mei 2018, 89.

  7. Lihat Matius 11:30.