Persidangan Umum
Tiadakah Ubat di Gilead?
Persidangan Umum Oktober 2021


Tiadakah Ubat di Gilead?

Kuasa penyembuhan Juruselamat bukan hanya keupayaan untuk sembuhkan badan kita, tetapi mungkin lebih penting, keupayaan-Nya untuk menyembuhkan hati kita.

Tidak lama selepas misi saya, ketika saya pelajar di Universiti Brigham Young, saya menerima panggilan telefon daripada ayah saya. Dia memberitahu saya bahawa dia menghidap kanser pankreas dan bahawa, walaupun peluang untuk hidup tidak baik, dia bertekad untuk pulih dan kembali ke aktiviti kehidupan normalnya. Panggilan telefon itu merupakan masa sedih untuk saya. Ayah saya telah menjadi uskup, kawan dan penasihat saya. Apabila ibu, saya dan adik-beradik renungkan masa depan, ia kelihatan suram. Adik lelaki saya, Dave, sedang melayani misi di New York, terlibat dalam acara keluarga yang susah ini dari jauh.

Pakar perubatan ketika itu mencadangkan pembedahan untuk cuba menghentikan penyebaran kanser. Keluarga kami berpuasa dan berdoa bersungguh-sungguh untuk mukjizat. Kami cukup beriman bahawa ayah saya akan disembuhkan. Sebelum pembedahan itu, abang saya, Norm, dan saya memberi ayah satu berkat. Dengan segala iman yang kami peroleh, kami doakan agar dia akan disembuhkan.

Pembedahan dijadualkan untuk berlangsung beberapa jam, namun tidak lama kemudian, doktor datang ke bilik menunggu untuk bertemu dengan keluarga kami. Dia memberitahu kami bahawa apabila mereka memulakan pembedahan itu, mereka dapat melihat bahawa kanser itu telah merebak ke seluruh tubuh ayah saya. Berdasarkan apa yang mereka perhatikan, ayah saya hanya ada beberapa bulan untuk hidup. Hati kami hancur.

Apabila ayah sedar dari pembedahan itu, dia ingin tahu jika prosedur itu telah berjaya. Kami berkongsi berita sedih bersama dia.

Kami meneruskan puasa dan berdoa untuk mukjizat. Apabila kesihatan ayah merosot dengan cepat, kami mula berdoa agar dia boleh bebas dari kesakitan. Akhirnya, apabila keadaannya bertambah buruk, kami meminta Tuhan untuk membenarkan dia meninggal dengan cepat. Dalam beberapa bulan selepas pembedahan itu, seperti yang diramalkan oleh pakar bedah, ayah saya meninggal dunia.

Ahli-ahli bahagian dan kawan-kawan keluarga mencurahkan kasih dan menjaga keluarga kami. Kami mengadakan pengebumian untuk ingati kehidupan ayah saya. Walaupun masa berlalu, mengalami kesakitan ketiadaan ayah, saya mula bertanya mengapa ayah tidak disembuhkan. Saya menyoal kekuatan iman saya. Mengapa terdapat keluarga yang menerima mukjizat, tetapi keluarga kami tidak? Saya telah belajar ketika di misi untuk merujuk kepada tulisan suci untuk jawapan, saya mula menyelidiki tulisan suci.

Perjanjian Lama mengajar tentang rempah atau salap aromatik, digunakan untuk menyembuhkan luka, yang dihasilkan dari sejenis tanaman yang tumbuh di Gilead. Pada zaman Perjanjian Lama, salap itu dikenali sebagai “ubat Gilead.”1 Nabi Yeremia mengesali malapetaka yang diperhatikan di kalangan rakyatnya dan berharap untuk suatu pemulihan. Yeremia bertanya, “Tiadakah ubat di Gilead? Tiadakah doktor di sana?”2 Melalui sastera, muzik, dan seni, Juruselamat Yesus Kristus sering dirujuk sebagai Ubat Gilead kerana kuasa penyembuhan-Nya yang hebat. Seperti Yeremia, saya tertanya, “Tiadakah ubat Gilead untuk keluarga Nielson?”

Dalam Markus 2 Perjanjian Baru, kita menemui Juruselamat di Kapernaum. Kuasa penyembuhan Juruselamat telah tersebar ke seluruh negeri, dan ramai orang pergi ke Kapernaum untuk disembuhkan oleh Juruselamat. Ramai orang berkumpul di sekitar rumah di mana Juruselamat berada sehingga tiada ruang untuk Dia menerima mereka semua. Empat lelaki membawa seorang lelaki yang lumpuh untuk disembuhkan oleh Juruselamat. Mereka tidak dapat melalui khalayak ramai, jadi mereka membuka bumbung rumah dan menurunkan lelaki itu untuk bertemu dengan Juruselamat.

Ketika saya membaca cerita ini, saya terkejut akan firman Juruselamat kepada lelaki itu: “Anak-Ku, dosamu sudah diampunkan.”3 Jika saya salah satu daripada empat lelaki yang mengusung lelaki lumpuh itu, saya mungkin berkata kepada Juruselamat, “Kami membawa dia ke sini untuk dipulihkan.” Juruselamat mungkin akan membalas, “Saya telah memulihkan dia.” Adakah saya tidak memahami sepenuhnya—bahawa kuasa penyembuhan Juruselamat bukan hanya keupayaan untuk sembuhkan badan kita, tetapi mungkin lebih penting, keupayaan-Nya untuk menyembuhkan hati kita dan hati keluarga saya yang hancur?

Juruselamat mengajar satu pengajaran penting melalui pengalaman ini apabila Dia akhirnya menyembuhkan lelaki itu secara jasmani. Jelas kepada saya bahawa pesanan-Nya adalah Dia dapat menyentuh mata mereka yang buta dan mereka dapat melihat. Dia boleh sentuh telinga mereka yang pekak dan mereka boleh dengar. Dia boleh sentuh kaki mereka yang lumpuh dan mereka boleh berjalan. Dia boleh sembuhkan mata, telinga dan kaki kita, tetapi yang paling penting, Dia boleh menyembuhkan hati kita apabila Dia membersihkan kita dari dosa dan mengangkat kita dalam percubaan.

Apabila Juruselamat muncul kepada orang dalam Kitab Mormon selepas Kebangkitan-Nya, Dia bercakap lagi tentang kuasa penyembuhan-Nya. Bangsa Nefi mendengari suara-Nya dari syurga yang berfirman, “Tidakkah kamu akan kembali kepada-Ku sekarang, dan bertaubat dari dosa-dosamu, dan bertukar hati, agar Aku boleh menyembuhkanmu?”4 Kemudian, Juruselamat mengajar, “Kerana kamu tidak tahu adakah mereka akan kembali dan bertaubat, dan datang kepada-Ku dengan niat hati yang sepenuhnya, dan Aku akan menyembuhkan mereka.”5 Juruselamat tidak merujuk kepada penyembuhan jasmani tetapi penyembuhan rohani jiwa mereka.

Moroni memberi pemahaman tambahan semasa dia berkongsi kata-kata ayahnya, Mormon. Setelah berkongsi tentang mukjizat, Mormon menjelaskan, “Dan Kristus telah berfirman: Jika kamu akan mempunyai iman kepada-Ku kamu akan memiliki kuasa untuk melakukan apa pun yang adalah sesuai bagi-Ku.”6 Saya belajar bahawa tujuan iman saya mestilah Yesus Kristus dan saya perlu menerima apa yang perlu kepada Dia apabila saya beriman kepada-Nya. Sekarang saya faham bahawa pemergian ayah adalah sebahagian dalam rancangan Tuhan. Sekarang, apabila saya meletakkan tangan di atas kepala orang lain untuk memberkati mereka, iman saya adalah kepada Yesus Kristus, dan saya memahami bahawa seseorang dapat dan akan disembuhkan secara fizikal, jika ianya wajar bagi Kristus.

Korban Tebusan Juruselamat, yang membolehkan penebusan dan kuasa-Nya yang memungkinkan, adalah berkat utama Yesus Kristus yang ditawarkan kepada semua. Apabila kita bertaubat dengan ikhlas, Juruselamat membersihkan kita dari dosa. Apabila kita menyerahkan kehendak kita kepada Bapa dengan sukarela, walaupun dalam keadaan yang paling susah, Juruselamat akan menanggung beban kita dan membuatnya ringan.7

Tetapi inilah pengajaran terbesar yang saya pelajari. Saya telah tersilap percaya bahawa kuasa penyembuhan Juruselamat tidak berfungsi untuk keluarga saya. Kini saya merenung kembali dan berpengalaman, saya lihat kuasa penyembuhan Juruselamat terbukti dalam kehidupan setiap ahli keluarga saya. Saya berfokus pada satu kesembuhan jasmani sehingga saya gagal melihat mukjizat-mukjizat yang telah berlaku. Tuhan menguatkan dan mengangkat ibu saya melampaui keupayaannya ketika percubaan yang sukar ini, dan dia menjalani kehidupan yang panjang dan produktif. Dia mempunyai pengaruh positif yang besar terhadap anak-anak dan cucu-cucunya. Tuhan memberkati saya dan adik-beradik saya dengan kasih, kesatuan, iman, dan ketahanan yang menjadi sebahagian penting dalam kehidupan kami yang berterusan hari ini.

Tetapi bagaimana pula dengan ayah saya? Seperti semua yang akan bertaubat, dia disembuhkan secara rohani apabila dia mencari dan menerima berkat-berkat yang sedia ada kerana Korban Tebusan Juruselamat. Dia merima pengampunan dosanya dan kini menunggu mukjizat Kebangkitan. Rasul Paulus mengajar, “Sebagaimana semua orang mati kerana tergolong satu dengan Adam, begitu juga semua orang akan dihidupkan semula kerana tergolong satu dengan Kristus.”8 Maka, saya berkata kepada Juruselamat, “Kami membawa ayah kepada Engkau untuk disembuhkan,” dan Juruselamat kini telah menjelaskan kepada saya bahawa Dia telah menyembuhkannya. Ubat Gilead berkesan bagi keluarga Nielson—bukan seperti kita harapkan, tetapi dalam cara lebih penting yang telah memberkati dan terus memberkati kehidupan kita.

Dalam Yohanes 6 Perjanjian Baru, Juruselamat melaksanakan mukjizat yang paling menarik. Dengan hanya beberapa ekor ikan dan beberapa roti, Juruselamat memberi makan 5,000 orang. Saya telah membaca cerita ini berulang kali, tetapi terdapat sebahagian dari pengalaman itu yang saya terlepas tetapi kini mempunyai maksud yang besar bagi saya. Selepas Juruselamat memberi makan kepada 5,000 orang, Dia meminta para pengikut-Nya untuk mengumpulkan serpihan yang tertinggal, sisa-sisa, yang memenuhi 12 bakul. Saya tertanya mengapa Juruselamat mengambil masa untuk melakukan itu. Ia jelas bagi saya bahawa satu pelajaran yang kita dapat belajar dari masa itu adalah ini: Dia boleh memberi makan 5,000 dan masih terdapat baki. “Rahmat-Ku cukup untuk semua orang.”9 Kuasa penebusan dan penyembuhan Juruselamat boleh mengatasi semua dosa, luka, atau percubaan, tidak kira betapa besar atau betapa susah—dan masih terdapat baki. Rahmat-Nya mencukupi.

Dengan pengetahuan itu, kita boleh maju dengan iman, mengetahui bahawa apabila masa susah tiba, atau apabila dosa merangkumi kehidupan kita, Juruselamat berdiri “dengan kesembuhan seperti sinar matahari,”10 menjemput kita untuk datang kepada-Nya.

Saya bersaksi kepada anda tentang Ubat Gilead, Juruselamat Yesus Kristus, Penebus kita, dan kuasa penyembuhan-Nya yang menakjubkan. Saya bersaksi tentang hasrat-Nya untuk menyembuhkan anda. Dalam nama Yesus Kristus, amin.