Kitab Suci
Joseph Smith—Sejarah 1


Joseph Smith—Sejarah

Petikan-petikan dari Sejarah Nabi Joseph Smith

Bab 1

Joseph Smith memberitahukan tentang asal-usulnya, para anggota keluarganya, dan tempat tinggal mereka dahulu—Suatu kehebohan yang tidak lazim tentang agama berleluasa di sebelah barat New York—Dia memutuskan untuk mencari kebijaksanaan sebagaimana yang diarahkan oleh Yakobus—Bapa dan Putera menampakkan diri, dan Joseph dipanggil untuk pelayanan kenabiannya. (Ayat 1–20.)

1 Disebabkan banyak laporan yang telah disebarkan oleh orang-orang yang licik dan berniat jahat, berkenaan dengan pembangunan dan kemajuan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, yang mana semuanya itu telah dirancang oleh para pelapornya untuk menghancurkan nama baiknya sebagai sebuah Gereja dan kemajuannya di dalam dunia—Aku terdorong untuk menulis sejarah ini, untuk meluruskan pendapat umum, dan menjadikan semua penyelidik kebenaran memiliki fakta-faktanya, seperti mana yang telah berlaku, yang berkaitan dengan dengan diriku mahupun Gereja, sejauh aku memiliki fakta-fakta itu dalam tanganku.

2 Dalam sejarah ini aku akan menyampaikan pelbagai kejadian yang berkaitan dengan Gereja ini, dalam kebenaran dan kesolehan seperti mana yang telah berlaku, atau seperti mana yang terjadi sekarang, yakni sekarang [1838] lapan tahun sejak pengorganisasian Gereja tersebut.

3 Aku dilahirkan pada tahun Tuhan kita seribu lapan ratus lima, pada hari kedua puluh tiga, di kota Sharon, Windsor County, Negeri Vermont. … Ayahku, Joseph Smith Sr., meninggalkan Negeri Vermont, dan berpindah ke Palmyra, Ontario (sekarang adalah Wayne) County, di Negeri New York, semasa aku berumur sepuluh tahun, atau kira-kira waktu itu. Pada kira-kira empat tahun selepas ketibaan ayahku di Palmyra, dia berpindah bersama keluarganya ke Manchester iaitu di daerah yang sama dengan Ontario—

4 Keluarganya terdiri daripada sebelas jiwa, iaitu, ayahku, Joseph Smith; ibuku, Lucy Smith (namanya sebelum berkahwin ialah Mack, anak perempuan Solomon Mack); adik-beradik lelakiku, Alvin (yang meninggal pada 19 November 1823, pada usianya ke-26 tahun), Hyrum, diriku sendiri, Samuel Harrison, William, Don Carlos; dan adik-beradik perempuanku, Sophronia, Catherine, dan Lucy.

5 Suatu masa pada tahun kedua selepas perpindahan kami ke Manchester, terjadinya di tempat kami tinggal itu suatu kehebohan yang luar biasa tentang topik agama. Ianya bermula dengan para penganut Metodis, tetapi dengan segera menjadi umum di kalangan semua mazhab di daerah negeri itu. Tentunya, seluruh daerah negeri itu kelihatannya terpengaruh, dan sejumlah besar orang menggabungkan diri mereka ke dalam kumpulan-kumpulan agama yang berbeza, yang menciptakan kegemparan dan pembahagian yang besar di antara orang-orang itu, ada yang berseru, “Lihatlah, ke sini!” dan yang lain, “Lihatlah, ke sana!” Ada yang berjuang untuk kepercayaan Metodis, ada yang untuk Presbiterian, dan ada yang untuk Baptis.

6 Kerana, walau bagaimana besar pun kasih yang diluahkan oleh para penganut itu terhadap mazhab-mazhab yang berbeza ini semasa mereka memasukinya, dan semangat besar yang dinyatakan oleh para pendeta masing-masing, yang begitu aktif dalam membangunkan dan menggembar-gemburkan suasana keagamaan ini, agar dapat menjadikan setiap orang penganut mazhab mereka, seperti yang biasa mereka katakan, biarlah mereka mengikuti mana-mana mazhab yang mereka inginkan; namun apabila para penganut itu mula memisahkan diri, ada yang ke satu kumpulan dan ada yang ke kumpulan lain, ternyatanya bahawa perasaan-perasaan yang kelihatannya baik di antara para pendeta dan para penganut itu adalah lebih pada kepura-puraan daripada yang sebenarnya; kerana suasana kekeliruan yang hebat dan perasaan buruk mengiringi—pendeta berselisih pendapat dengan pendeta, dan penganut menentang penganut lain; sehingga segala perasan baik mereka terhadap satu sama lain, jika ianya pernah ada, telah hilang sepenuhnya di dalam perbalahan kata-kata dan pertikaian pendapat.

7 Aku pada waktu ini dalam usiaku yang kelima belas tahun. Keluarga ayahku ditarik masuk ke dalam mazhab Presbiterian, dan empat orang daripada mereka mengikuti gereja itu, iaitu, ibuku, Lucy; abang serta adikku Hyrum dan Samuel Harrison; dan kakakku Sophronia.

8 Semasa kehebohan yang besar ini, timbullah renungan yang serius dan keresahan yang besar di dalam fikiranku; tetapi walaupun perasaanku mendalam dan sering perih, aku masih tetap menjauhkan diriku dari semua kumpulan ini, walaupun aku masih menghadiri beberapa pertemuan mereka sekerap keadaan mengizinkan. Lama-kelamaan fikiranku menjadi lebih senang pada mazhab Metodis, dan aku merasakan suatu hasrat untuk bersatu dengan mereka; tetapi begitu hebat kekeliruan dan perbalahan di antara golongan-golongan agama yang berbeza itu, sehinggakan mustahil bagi seseorang yang masih muda seperti diriku, dan masih tidak biasa dengan sesiapa dan apa-apa hal pun, untuk memutuskan siapa yang benar dan siapa yang salah.

9 Fikiranku adakalanya amat teruja, seruan dan kekacauan begitu hebat dan tanpa henti. Para penganut Presbiterian bertekad menentang para penganut Baptis dan Metodis, dan menggunakan segala kekuatan akal mahupun hujah untuk membuktikan kesilapan-kesilapan mereka, atau, sekurang-kurangnya, untuk membuatkan orang-orang itu berfikir bahawa mereka berada dalam kesilapan. Sebaliknya, para penganut Baptis dan Metodis juga sama-sama bersemangat dalam berikhtiar untuk menegakkan ajaran-ajaran mereka sendiri dan menyangkal semua yang lain.

10 Di tengah-tengah peperangan kata-kata dan kekacauan pendapat, aku sering berkata kepada diriku sendiri: Apakah yang mesti dilakukan? Siapakah dari antara semua kumpulan ini yang benar; atau, adakah mereka semua sama-sama salah? Jika sesiapa pun dari antara mereka adalah benar, yang mana satu, dan bagaimana aku dapat mengetahuinya?

11 Semasa aku sedang menghadapi kesulitan yang sangat hebat disebabkan oleh pertikaian kumpulan-kumpulan penganut agama itu, suatu hari aku sedang membaca Surat Yakobus, bab pertama ayat kelima, yang berbunyi: Tetapi apabila di antara kamu ada yang kekurangan hikmat, hendaklah ia memintakannya kepada Tuhan,—yang memberikan kepada semua orang dengan murah hati dan dengan tidak membangkit-bangkit—, maka hal itu akan diberikan kepadanya.

12 Tidak pernah ada petikan tulisan suci yang datang dengan kuasa yang begitu besar kepada hati manusia seperti ayat ini pada waktu itu kepadaku. Ianya masuk dengan kuasa yang besar ke dalam setiap perasaan hatiku. Aku memikirkannya lagi dan lagi, mengetahui bahawa jika ada sesiapa pun yang memerlukan kebijaksanaan daripada Tuhan, akulah orangnya; kerana aku tidak tahu apa yang harus dilakukan, dan melainkan aku mendapat lebih kebijaksanaan daripada yang aku miliki pada waktu itu, aku tidak akan pernah tahu; kerana para pengajar agama dari mazhab yang berbeza memahami petikan-petikan tulisan suci yang sama dengan sangat berbeza sehingga menghancurkan segala kepercayaan dalam menjawab pertanyaan itu menggunakan Alkitab.

13 Akhirnya aku menyimpulkan sama ada aku harus tetap berada dalam kegelapan dan kekeliruan, atau aku harus melakukan seperti yang diarahkan oleh Yakobus, iaitu, meminta kepada Tuhan. Aku akhirnya bertekad untuk “memintakannya kepada Tuhan,” menyimpulkan bahawa jika Dia memberikan hikmat kepada mereka yang kekurangan hikmat, dan akan memberikan dengan murah hati, dan tidak membangkit-bangkit, aku harus mencubanya.

14 Jadi, selaras dengan itu, ketekadan hatiku untuk memintakannya kepada Tuhan, aku pergi ke hutan untuk melakukan cubaan itu. Ianya adalah pada suatu pagi hari yang indah, terang, pada permulaan musim bunga tahun seribu lapan ratus dua puluh. Ianya merupakan pertama kali dalam hidupku bahawa aku telah membuat suatu cubaan yang sedemikian, kerana di tengah-tengah segala kegelisahanku aku belum pernah lagi membuat cubaan untuk berdoa dengan bersuara.

15 Setelah aku pergi ke tempat di mana aku telah rancang untuk pergi sebelumnya, setelah melihat di sekitarku, dan mendapati diriku seorang diri, aku berlutut dan mula menyampaikan hasrat hatiku kepada Tuhan. Baru saja aku melakukan demikian, apabila dengan tiba-tiba aku dicengkam oleh suatu kekuatan yang menguasaiku sepenuhnya, dan memiliki suatu pengaruh yang begitu dahsyat ke atas diriku yang mengelukan lidahku sehingga aku tidak dapat berkata-kata. Kegelapan yang pekat berkumpul di sekitarku, dan bagiku kelihatannya untuk suatu waktu seolah-olahnya aku tiba-tiba ditetapkan pada kehancuran.

16 Tetapi, dengan mengerahkan segala kekuatanku meminta kepada Tuhan untuk membebaskan diriku dari kekuatan musuh yang telah mencengkamku ini, dan pada saat itu ketika aku sudah bersedia untuk tenggelam ke dalam keputusasaan dan menyerahkan diriku sendiri pada kehancuran—bukannya pada suatu khayalan yang menghancurkan, tetapi kepada kekuatan suatu makhluk nyata dari dunia yang tidak kelihatan, yang memiliki kekuatan yang begitu menakjubkan seperti yang belum pernah aku rasakan daripada apa-apa makhluk pun—tepat pada saat yang mencemaskan ini, aku melihat suatu tiang cahaya benar-benar berada di atas kepalaku, melebihi keterangan matahari, yang turun secara perlahan-lahan sehingga ia berada padaku.

17 Tidak lama selepas itu aku mendapati diriku telah dibebaskan daripada musuh yang mencengkamku. Ketika cahaya itu berada padaku, aku melihat dua Lembaga, yang mana keterangan dan kemuliaan Mereka tidak dapat digambarkan, berdiri di atasku di udara. Salah seorang daripada Mereka berfirman kepadaku, memanggil namaku dan berfirman, sambil menunjuk kepada yang seorang lagi—Inilah Putera-Ku yang Ku kasihi. Dengarkanlah Dia!

18 Tujuanku bertanya kepada Tuhan adalah untuk mengetahui yang manakah daripada semua mazhab itu adalah benar, agar aku boleh mengetahui yang mana satu harus diikuti. Tidak lama kemudian, aku dapat menguasai diriku sendiri, sehingga dapat berbicara, aku bertanya kepada Lembaga-lembaga yang berdiri di atasku dalam cahaya itu, yang manakah daripada semua mazhab itu adalah benar (kerana pada waktu itu tidak pernah terlintas di dalam hatiku bahawa semuanya adalah salah)—dan yang manakah aku harus ikuti.

19 Aku dijawab bahawa aku tidak harus mengikuti mereka, kerana mereka semuanya salah; dan Lembaga yang menyapaku berfirman bahawa segala kepercayaan mereka adalah suatu kekejian dalam pandangan-Nya; bahawa para penganut itu semuanya busuk hati; bahawa: “mereka mendekat kepada-Ku dengan bibir mereka, tetapi hati mereka jauh dari-Ku, mereka mengajar untuk ajaran-ajaran perintah-perintah manusia, yang memiliki suatu bentuk ketuhanan, tetapi mereka menyangkal kuasa darinya.”

20 Dia sekali lagi melarangku untuk mengikuti sesiapa pun daripada mereka; dan banyak hal lain yang Dia firmankan kepadaku, yang tidak dapat aku tuliskan pada waktu ini. Apabila aku sedar kembali, aku mendapati diriku terbaring, sambil melihat langit. Semasa cahaya itu pergi, aku tidak memiliki kekuatan; tetapi segera beransur pulih, aku pulang ke rumah. Dan semasa aku bersandar pada tempat perapian, ibu bertanya apa yang telah berlaku. Aku menyahutnya, “Tidak ada apa-apa, semuanya baik—aku baik-baik sahaja.” Aku kemudiannya berkata kepada ibuku, “Aku telah belajar bagi diriku sendiri bahawa Presbiterianisme tidak benar.” Tampaknya seakan-akan si musuh menyedari, pada peringkat awal kehidupanku, bahawa aku telah ditetapkan untuk menjadi seorang pengganggu dan seorang pencabar kerajaannya; kalau tidak mengapa kuasa kegelapan bergabung menentangku? Mengapa penentangan dan penganiayaan yang datang kepadaku, adalah hampir pada setiap usia kecilku?

Beberapa pendeta dan para penganut agama yang lain menolak laporan tentang Penglihatan Pertama—Penganiayaan bertambah ke atas Joseph Smith—Dia bersaksi tentang kenyataan penglihatan itu. (Ayat 21–26.)

21 Beberapa hari selepas aku mendapat penglihatan ini, aku secara kebetulannya bersama dengan salah seorang pendeta Metodis, yang sangat aktif dalam kehebohan agama yang disebutkan sebelum ini; dan, bercakap-cakap dengannya tentang topik agama, aku mengambil kesempatan untuk memberikannya suatu laporan tentang penglihatan yang telah aku perolehi. Aku amat terkejut dengan kelakuannya; dia bukan sahaja memandang ringan perkataanku, tetapi dengan penuh kebencian, mengatakan semuanya itu daripada iblis, bahawa tiada perkara seperti penglihatan atau wahyu pada zaman ini; bahawa semua hal sedemikian telah berhenti bersama para rasul, dan tidak akan ada lagi sepertinya.

22 Segeranya aku mendapati, bahawa penceritaan ceritaku itu telah merangsangkan banyak prasangka terhadapku di antara para penganut agama, dan menjadi penyebab penganiayaan hebat, yang terus bertambah; dan walaupun aku ialah seorang budak lelaki yang tidak dikenali, hanya berusia antara empat belas dan lima belas tahun, dan keadaan hidupku yang menjadikanku seorang budak lelaki yang tidak penting di dalam dunia, namun orang-orang yang berkedudukan tinggi mengambil perhatian yang cukup untuk menghasut masyarakat umum menentangku, dan menimbulkan suatu penganiayaan yang pahit; dan ini menjadi persamaan di kalangan semua mazhab—semuanya bersatu untuk menganiayaku.

23 Ini menyebabkan aku memikirkannya dengan serius pada waktu itu, dan semakin kerap sejak dari itu, bahawa betapa peliknya seorang budak lelaki yang tidak dikenali, yang berusia empat belas tahun lebih, dan merupakan seorang yang ditakdirkan untuk mendapatkan keperluannya dengan nafkah yang amat kecil melalui kerja harian, harus dianggap sebagai seorang yang cukup penting untuk menarik perhatian mereka yang berkuasa dari mazhab-mazhab yang paling terkenal pada zaman itu, dan menyebabkan timbulnya di dalam diri mereka suatu semangat penganiayaan dan pencemuhan yang paling pahit. Tetapi pelik atau tidak, begitulah yang terjadi, dan ianya sering menjadi penyebab kesedihan yang besar bagi diriku.

24 Bagaimanapun, ianya adalah suatu kenyataan bahawa aku telah melihat sebuah penglihatan. Aku telah memikirkan sejak itu, bahawa aku merasakan seperti Paulus, semasa dia membuat pembelaannya di hadapan Raja Agripa, dan mengaitkan laporan penglihatan yang dia perolehi semasa dia melihat suatu cahaya, dan mendengar suatu suara; tetapi masih hanya sedikit yang mempercayainya; ada yang mengatakan dia tidak jujur, yang lain mengatakan dia gila; dan dia dipersendakan dan dicemuh. Tetapi semua ini tidak menghancurkan kenyataan penglihatannya. Dia telah melihat suatu penglihatan, dia tahu dia telah melihatnya, dan segala penganiayaan di bawah langit tidak dapat menjadikan yang sebaliknya; dan walaupun mereka akan menganiayanya sehingga mati, namun dia tahu, dan akan tahu sehingga nafas terakhir, bahawa dia telah melihat suatu cahaya serta mendengar suatu suara berfirman kepadanya, dan seluruh dunia tidak dapat menjadikan dia fikir atau percaya yang sebaliknya.

25 Demikian jugalah denganku. Aku benar-benar telah melihat suatu cahaya, dan di tengah-tengah cahaya itu aku melihat dua Lembaga, dan Mereka dengan nyatanya berfirman kepadaku; dan walaupun aku dibenci dan dianiaya kerana mengatakan bahawa aku telah melihat sebuah penglihatan, namun itu adalah benar; dan sementara mereka menganiayaku, mencemuhku, dan mengatakan pelbagai perkara jahat terhadapku dengan palsu, aku terdorong mengatakan dalam hatiku: Mengapa aku dianiaya kerana memberitahukan kebenaran? Aku benar-benar telah melihat sebuah penglihatan; dan siapakah aku bahawa aku dapat menahan Tuhan, atau mengapakah dunia berfikir untuk membuatku menyangkal apa yang telah aku benar-benar lihat? Kerana aku telah melihat suatu penglihatan; aku mengetahuinya, dan aku tahu bahawa Tuhan mengetahuinya, dan aku tidak dapat menyangkalnya, tidak juga aku berani melakukannya; sekurang-kurangnya aku tahu bahawa dengan melakukan sedemikian aku akan bersalah kepada Tuhan, dan berada di bawah penghukuman.

26 Sekarang aku telah memuaskan hatiku berkaitan dengan dunia mazhab itu—bahawa bukanlah tugasku untuk mengikuti sesiapa pun dari antara mereka, tetapi untuk meneruskan diriku seperti biasa sehinggalah diarahkan dengan lebih lanjut. Aku telah mengetahui kesaksian Yakobus adalah benar—bahawa seseorang yang kekurangan hikmat boleh memintakannya kepada Tuhan, dan menerimanya, dan tidak dibangkit-bangkitkan.

Moroni muncul kepada Joseph Smith—Nama Joseph akan dikenali dengan baik dan jahat di kalangan segala bangsa—Moroni memberitahu dia tentang Kitab Mormon dan penghakiman-penghakiman yang akan datang daripada Tuhan dan memetik banyak tulisan suci—Tempat kepingan-kepingan emas diesembunyikan diberitahu—Moroni meneruskan untuk memberi arahan kepada Nabi. (Ayat 27–54.)

27 Aku meneruskan untuk melakukan pekerjaanku setiap hari dalam kehidupan sehingga tarikh dua puluh satu September, seribu lapan ratus dua puluh tiga, setiap waktu itu telah menderita penganiayaan hebat daripada semua golongan manusia, baik yang beragama mahupun yang tidak beragama, kerana aku masih terus menegaskan bahawa aku telah melihat sebuah penglihatan.

28 Selama tempoh waktu di antara waktu aku memperoleh penglihatan sehingga tahun seribu lapan ratus dua puluh tiga—setelah dilarang untuk mengikuti sesiapa pun dari mazhab-mazhab keagamaan pada zaman itu, dan kerana berusia sangat muda, dan dianiaya oleh mereka yang sepatutnya menjadi sahabat-sahabatku dan melayanku dengan baik, dan sekiranya mereka menyangka aku telah terperdaya mereka seharusnya berikhtiar dengan suatu cara yang sesuai dan penuh kasih sayang untuk mendapatkanku kembali—aku ditinggalkan pada segala godaan; dan, bergaul bersama segala lapisan masyarakat, aku kerap kali jatuh ke dalam kesilapan-kesilapan yang bodoh, dan menunjukkan kelemahan seorang remaja, dan kekurangan manusia; yang kesal aku katakan, telah membawaku ke dalam pelbagai jenis godaan, yang salah di mata Tuhan. Dengan membuat pengakuan ini, tidak bermaksud aku perlu dianggap bersalah dalam dosa-dosa yang besar dan sangat jahat. Suatu kecenderungan untuk berbuat demikian tidak pernah ada dalam sifatku. Tetapi aku bersalah kerana bersikap sambil lewa, dan kadang-kadang bergaul dengan kumpulan yang bergirang ketawa, dsb., yang tidak selaras dengan sikap yang seharusnya diamalkan oleh seorang yang dipanggil Tuhan seperti diriku. Tetapi ini tidaklah kelihatan pelik bagi sesiapa pun yang mengenang kembali masa mudaku, dan yang kenal dengan perangaiku yang periang.

29 Disebabkan hal-hal ini, aku sering berasa dihukum kerana kelemahan dan ketidaksempurnaanku; ketika, pada suatu malam dua puluh satu September yang disebutkan di atas, setelah aku pergi ke tempat tidurku pada malam itu, aku membawa diriku ke dalam doa dan permohonan kepada Tuhan Yang Maha Kuasa untuk pengampunan bagi segala dosa dan kebodohanku, dan juga sebagai suatu pernyataan kepadaku, agar aku boleh mengetahui tentang keadaan dan kedudukanku di hadapan-Nya; kerana aku mempunyai kepercayaan penuh dalam mendapatkan suatu pernyataan Ilahi, seperti yang telah aku perolehi sebelum ini.

30 Semasa aku sedang dalam tindakan memanggil kepada Tuhan, aku melihat seberkas cahaya muncul di dalam bilikku, yang semakin bertambah sehingga bilik itu lebih terang daripada waktu tengah hari, apabila dengan tiba-tiba seorang lembaga menampakkan diri di tepi katilku, berdiri di udara, kerana kakinya tidak menyentuh lantai.

31 Dia memakai jubah longgar yang teramat sangat putihnya. keputihannya melebihi apa pun benda duniawi yang pernah aku lihat; tidak juga aku percaya bahawa apa pun benda duniawi dapat dibuat untuk kelihatan sebegitu putih dan bergemerlapan. Tangannya terdedah, dan lengannya juga, sedikit di atas pergelangan tangan; demikian, juga, kakinya terdedah, begitu juga tungkainya, sedikit di atas pergelangan kaki. Kepala dan lehernya juga terbuka. Aku dapat melihat bahawa dia tidak mengenakan pakaian lain selain jubah ini, kerana ia terbuka, sehingga aku dapat melihat ke arah dadanya.

32 Bukan saja jubahnya amat putih, tetapi seluruh perawakannya mulia melebihi gambaran, dan air mukanya benar-benar bagaikan kilat. Bilik itu amat terang, tetapi tidaklah seterang seperti betul-betul di sekitar orang tersebut. Ketika aku pertama memandangnya, aku berasa takut; tetapi rasa takut itu segera meninggalkanku.

33 Dia memanggil namaku, dan berkata kepadaku bahawa dia ialah seorang utusan yang diutus dari hadirat Tuhan kepadaku, dan bahawa namanya adalah Moroni; bahawa Tuhan memiliki suatu pekerjaan untuk aku lakukan; dan bahawa namaku akan dikenali dengan baik dan jahat di kalangan semua bangsa, kaum, dan bahasa, atau bahawa ia akan dibicarakan secara baik mahupun jahat di kalangan semua manusia.

34 Dia mengatakan ada sebuah kitab tersimpan, ditulis di atas kepingan-kepingan emas, memberikan sebuah laporan tentang penduduk benua ini yang terdahulu, dan dari mana punca datangnya mereka. Dia juga mengatakan bahawa kegenapan Injil abadi terkandung di dalamnya, sebagaimana yang disampaikan oleh Juruselamat kepada penduduk zaman dahulu;

35 Juga, bahawa ada dua buah batu pada bingkai lengkung perak—dan batu-batu ini, diikatkan pada sebuah perisai dada, yang membentuk sesuatu yang dipanggil Urim dan Tumim—yang tersimpan bersama kepingan-kepingan tersebut; dan pemilikan dan penggunaan batu-batu ini adalah yang menjadi “pelihat-pelihat” pada zaman purba atau dahulu kala; dan bahawa Tuhan telah mempersiapkannya untuk tujuan menterjemahkan kitab itu.

36 Setelah memberitahuku hal-hal ini, dia mulai menyebut nubuat-nubuat dari Perjanjian Lama. Pertama sekali dia menyebut sebahagian dari bab ketiga Maleakhi; dan dia juga menyebut bab keempat atau terakhir dari nubuat yang sama, walaupun dengan sedikit perbezaan dari cara yang tertulis di dalam Alkitab kita. Daripada menyebut ayat pertama seperti yang tertulis di dalam kitab-kitab kita, dia menyebutnya sebegini:

37 Kerana lihatlah, harinya datang yang akan membakar bagaikan sebuah perapian, dan semua yang sombong, ya, dan semua yang melakukan kejahatan akan terbakar bagaikan jerami; kerana mereka yang datang akan membakar mereka, firman Tuhan Semesta Alam, sehingga itu tidak akan meninggalkan mereka akar ataupun cabang.

38 Dan lagi, dia menyebut ayat kelima sedemikian: Lihatlah, Aku akan memberitahukan kepadamu Imamat, melalui tangan Nabi Elia, sebelum kedatangan hari Tuhan yang besar dan mengerikan.

39 Dia juga menyebut ayat berikutnya dengan berbeza: Dan dia akan menanamkan dalam hati anak-anak janji-janji yang dibuat kepada para bapa nenek moyang, dan hati anak-anak akan berpaling kepada para bapa nenek moyang mereka. Jika tidak demikian, keseluruhan bumi akan sepenuhnya dilenyapkan pada kedatangan-Nya.

40 Tambahan juga, dia menyebut bab kesebelas Yesaya, mengatakan bahawa ianya hampir digenapi. Dia menyebut juga bab ketiga Kisah Rasul-Rasul, ayat kedua puluh dua dan kedua puluh tiga, dengan tepat seperti yang ada dalam Perjanjian Baru kita. Dia mengatakan bahawa nabi itu ialah Kristus; tetapi harinya belumlah tiba apabila “mereka yang tidak mahu mendengar suara-Nya akan disingkirkan dari kalangan orang-orang itu,” tetapi ianya akan datang dengan segera.

41 Dia juga menyebut pasal kedua Yoel, dari ayat kedua puluh lapan sehingga yang terakhir. Dia juga berkata bahawa ini belum lagi digenapi, tetapi akan terjadi tidak lama lagi. Dan dia lebih lanjut lagi menyatakan bahawa kegenapan bangsa bukan Israel akan segera datang. Dia telah menyebut banyak petikan tulisan suci yang lain, dan menyampaikan banyak penjelasan yang tidak dapat disebutkan di sini.

42 Sekali lagi, dia memberitahuku, bahawa apabila aku memperoleh kepingan-kepingan emas yang dia telah bicarakan tentangnya—kerana waktu untuk mendapatkannya belum lagi digenapi—aku tidak harus memperlihatkannya kepada sesiapa pun; begitu juga dengan perisai dada itu bersama Urim dan Tumim; hanya kepada mereka yang aku akan diperintahkan untuk memperlihatkannya; jika aku melakukannya aku akan dihancurkan. Sementara dia sedang bercakap-cakap denganku tentang kepingan-kepingan itu, penglihatan dibukakan pada fikiranku sehingga aku dapat melihat tempat di mana kepingan-kepingan itu disimpan, dan ia sebegitu terang dan jelas sehingga aku mengenali tempat itu lagi apabila aku mengunjunginya.

43 Selepas komunikasi ini, aku melihat cahaya di dalam bilik mulai berkumpul betul-betul di sekitar orang yang telah berbicara kepadaku, dan ia berterusan demikian sehingga bilik itu sekali lagi menjadi gelap, kecuali hanya di persekitarannya; dengan serta-merta aku melihat, seakan-akan, suatu lorong terbuka secara langsung ke dalam syurga, dan dia naik sehingga dia menghilang sama sekali, dan bilik itu ditinggalkan seperti sebelum cahaya syurgawi ini muncul.

44 Aku berbaring merenungkan keluarbiasaan kejadian itu, dan teramat takjub terhadap apa yang telah diberitahukan kepadaku oleh utusan yang luar biasa ini; ketika, di tengah-tengah tafakurku, dengan tiba-tiba aku mendapati bahawa bilikku sekali lagi diterangi, dan seakan-akan dalam sekelip mata, utusan syurgawi yang sama sekali lagi berada di tepi katilku.

45 Dia bermula, dan sekali lagi mengatakan hal-hal yang sama seperti yang dia telah lakukan pada kunjungannya yang pertama, tanpa sedikit perbezaan pun; yang setelah dilakukan, dia memberitahu aku tentang penghakiman besar yang akan datang ke atas bumi, dengan kemusnahan besar oleh bencana kebuluran, pedang, dan wabak; dan bahawa penghakiman yang menyedihkan ini akan datang ke atas bumi pada generasi ini. Selepas mengatakan hal-hal ini, dia naik lagi seperti yang telah dia lakukan sebelumnya.

46 Pada waktu ini, begitu mendalamnya kesan yang dilakukan pada fikiranku, sehinggakan keinginan tidur telah lenyap dari mataku, dan aku berbaring dikuasai kekaguman terhadap apa yang telah aku lihat dan dengar. Tetapi alangkah terkejutnya aku apabila sekali lagi aku melihat utusan yang sama di tepi katilku, dan mendengar dia menceritakan kembali atau mengulangi sekali lagi kepadaku hal-hal yang sama seperti sebelumnya; dan menambahkan suatu peringatan kepadaku, memberitahu aku bahawa Setan akan mencuba menggodaku (disebabkan keadaan miskin keluarga ayahku), untuk memperoleh kepingan-kepingan itu untuk tujuan menjadi kaya. Ini dia larang aku, mengatakan bahawa aku mestilah tidak mempunyai tujuan lain dalam memperoleh kepingan-kepingan itu selain untuk memuliakan Tuhan, dan mestilah tidak dipengaruhi oleh niat lain apa pun selain untuk membangunkan kerajaan-Nya; jika tidak aku tidak akan dapat memperolehnya.

47 Selepas kunjungan ketiga ini, dia sekali lagi naik ke dalam syurga seperti sebelumnya, dan aku ditinggalkan sekali lagi untuk merenungkan tentang keanehan hal yang baru saja aku alami; dan dengan serta-merta selepas utusan syurgawi itu naik dariku untuk ketiga kalinya, ayam jantan berkokok, dan aku mendapati bahawa hari siang sedang menjelang, oleh itu perbincangan kami mestilah telah memakan masa sepanjang malam itu.

48 Aku bangun dari katilku tidak lama kemudian, dan, seperti biasa, pergi pada kerja yang perlu dilakukan pada hari itu; tetapi, semasa berusaha untuk bekerja seperti pada waktu-waktu yang lain, aku mendapati kekuatanku kehabisan sehingga menjadikan diriku sama sekali tidak berdaya. Ayahku, yang sedang bekerja bersamaku, mendapati sesuatu yang tidak kena denganku, dan menyuruh aku untuk pulang ke rumah. Aku memulakan dengan niat untuk pulang ke rumah; tetapi, sewaktu berusaha untuk memanjat pagar untuk keluar dari ladang di mana kami berada, kekuatanku gagal sama sekali, dan aku jatuh tidak berdaya di atas tanah, dan tidak sedarkan diri untuk suatu ketika.

49 Perkara pertama yang dapat aku ingat kembali adalah suatu suara yang berkata kepadaku, memanggil namaku. Aku mendongak, dan melihat utusan yang sama berdiri di atas kepalaku, dikelilingi oleh cahaya seperti sebelumnya. Dia kemudian mengatakan lagi kepadaku semua yang telah dia katakan kepadaku pada malam sebelumnya, dan memerintahkanku untuk pergi kepada ayahku dan menceritakan kepadanya tentang penglihatan dan perintah-perintah yang telah aku terima.

50 Aku patuh; aku kembali kepada ayahku di ladang, dan menceritakan kembali seluruh kejadian itu kepadanya. Dia menjawabku bahawa ia daripada Tuhan, dan memberitahu aku untuk pergi dan melakukan seperti yang diperintahkan oleh utusan itu. Aku meninggalkan ladang, dan pergi ke tempat di mana utusan itu telah memberitahu aku kepingan-kepingan itu tersimpan; dan disebabkan oleh kejelasan penglihatan yang telah aku peroleh tentangnya, aku mengenali tempat itu sebaik sahaja aku tiba di sana.

51 Tidak jauh dari desa Manchester, Ontario County, New York, ada sebuah bukit yang cukup besar, dan yang paling tinggi di kawasan itu. Di bahagian barat bukit ini, tidak jauh dari puncaknya, di bawah sebuah batu yang cukup besar, terletaknya kepingan-kepingan itu, disimpan di dalam sebuah kotak batu. Batu ini tebal dan membulat di tengah pada bahagian atasnya, dan menipis ke bahagian tepinya, sehingga bahagian tengahnya kelihatan di atas tanah, tetapi di sekeliling bahagian tepinya ditutupi dengan tanah.

52 Setelah mengalihkan tanah, aku mendapatkan sebatang pengumpil, yang aku letakkan di bawah bahagian tepi batu itu, dan dengan sedikit pengerahan tenaga dapat mengangkatnya. Aku melihat ke dalam, dan di sana memang aku melihat kepingan-kepingan itu, Urim dan Tumim, dan perisai dada, sebagaimana yang dinyatakan oleh utusan itu. Kotak yang di dalamnya ia terletak dibentuk dengan meletakkan batu-batu bersama dalam sejenis simen. Pada dasar kotak itu diletakkan dua batu menyilangi kotak itu, dan di atas batu-batu ini terletaknya kepingan-kepingan itu dan benda-benda lain bersamanya.

53 Aku cuba untuk mengeluarkannya, tetapi dilarang oleh utusan itu, dan sekali lagi diberitahu bahawa waktu untuk mengeluarkannya belumlah tiba, tidak juga akan, sehingga empat tahun selepas waktu itu; tetapi dia memberitahu aku bahawa aku harus datang ke tempat itu tepat satu tahun selepas waktu itu, dan bahawa dia akan bertemu denganku di sana, dan bahawa aku mesti terus berbuat begitu sehingga waktunya akan tiba untuk mendapatkan kepingan-kepingan itu.

54 Sesuai dengan itu, sebagaimana aku telah diperintahkan, aku pergi pada setiap akhir tahun, dan pada setiap kalinya aku menemukan utusan yang sama di sana, dan menerima petunjuk dan pengetahuan daripadanya pada setiap perbincangan kami, berkenaan apa yang Tuhan akan lakukan, dan bagaimana dan dengan cara apa kerajaan-Nya mesti dikendalikan pada zaman akhir ini.

Joseph Smith mengahwini Emma Hale—Dia menerima kepingan-kepingan emas daripada Moroni dan menterjemahkan beberapa huruf-huruf itu—Martin Harris memperlihatkan huruf-huruf dan terjemahan itu kepada Profesor Anthon, yang mengatakan, “Aku tidak dapat membaca sebuah kitab yang termeterai.” (Ayat 55–65.)

55 Kerana keadaan duniawi ayahku sangat terhad, kami perlu bekerja dengan tangan kami, mendapatkan upah dengan kerja harian dan dengan cara lain, selagi kami mendapat peluang. Kadang-kadang kami berada di rumah, dan kadang-kadang di luar daerah, dan dengan terus bekerja membolehkan kami memperoleh sara hidup yang selesa.

56 Pada tahun 1823 keluarga ayahku ditimpa dengan suatu kesengsaraan yang hebat dengan kematian abang sulungku, Alvin. Pada bulan Oktober 1825, aku diupah oleh seorang lelaki tua yang bernama Josiah Stoal, yang tinggal di Chenango County, Negeri New York. Dia telah mendengar sesuatu tentang sebuah lombong perak yang telah dibuka oleh orang-orang Sepanyol di Harmony, Susquehanna County, Negeri Pennsylvania; dan sebelum aku diupah olehnya, sudah menggali, agar, jika dapat, untuk mencari lombong itu. Setelah aku pergi untuk tinggal bersamanya, dia mengambilku, dengan kakitangannya yang lain, untuk menggali lombong perak itu, di mana aku terus bekerja selama hampir sebulan, tanpa hasil dalam pekerjaan kami, dan akhirnya aku berjaya memujuk lelaki tua itu untuk berhenti menggalinya. Dari situ timbulnya cerita yang tersebar luas tentang diriku sebagai seorang penggali harta.

57 Sepanjang waktu aku diupah, aku ditempatkan untuk menumpang bersama Tuan Isaac Hale, dari tempat itu; di sanalah aku pertama kalinya melihat isteriku (anak perempuannya), Emma Hale. Pada tarikh 18 Januari 1827, kami berkahwin, semasa aku masih lagi diupah bekerja untuk Tuan Stoal.

58 Disebabkan aku terus menegaskan bahawa aku telah melihat sebuah penglihatan, penganiayaan masih mengikutiku, dan keluarga isteriku sangat menentang perkahwinan kami. Oleh kerana itu, aku perlu membawanya ke tempat lain; jadi kami pergi dan berkahwin di rumah Majistret Tarbill, di South Bainbridge, Chenango County, New York. Dengan segera selepas pernikahanku, aku meninggalkan Tuan Stoal, dan pergi kepada ayahku, dan bertani dengannya pada musim itu.

59 Pada akhirnya waktunya tiba untuk mendapatkan kepingan-kepingan, Urim dan Tumim, dan perisai dada itu. Pada hari kedua puluh dua bulan September, seribu lapan ratus dua puluh tujuh, setelah pergi seperti biasa pada akhir tahun yang lain ke tempat di mana ia disimpan, utusan syurgawi yang sama menyerahkannya kepadaku dengan tanggungjawab ini: bahawa aku mesti bertanggungjawab atasnya; bahawa jika aku akan membiarkannya terlepas kerana cuai, atau melalui apa pun kelalaian diriku, aku akan disingkirkan; tetapi bahawa jika aku akan menggunakan segala usahaku untuk melindunginya, sehingga dia, utusan itu, akan datang mengambilnya, ia akan dilindungi.

60 Tidak lama kemudian aku mengetahui sebab mengapa aku telah menerima perintah-perintah yang sangat ketat untuk menjaganya dengan selamat, dan mengapa utusan itu berkata bahawa apabila aku telah melakukan apa yang dituntut dari tanganku, dia akan datang mengambilnya. Kerana tidak lama setelah diketahui bahawa aku memilikinya, usaha-usaha yang paling dahsyat digunakan untuk mendapatkannya daripadaku. Setiap tipu muslihat yang dapat diciptakan digunakan untuk tujuan itu. Penganiayaan menjadi lebih pahit dan teruk daripada sebelumnya, dan orang ramai sentiasa bersedia untuk mendapatkannya daripadaku jika mungkin. Tetapi dengan kebijaksanaan Tuhan, ia tetap selamat dalam tanganku, sehingga aku telah menyempurnakan apa yang dituntut dari tanganku. Apabila, seperti yang telah dirancangkan, utusan itu datang mengambilnya, aku menyerahkannya kepadanya; dan dia memilikinya dalam jagaannya sehingga ke hari ini, hari kedua dalam bulan Mei, seribu lapan ratus tiga puluh lapan.

61 Kekecohan itu, walau bagaimanapun, masih berlanjutan, dan khabar angin dengan ribuan lidahnya digunakan sepanjang waktu untuk menyebarkan kebohongan tentang keluarga ayahku, dan tentang diriku. Jika aku memberitahu seperseribu bahagian daripadanya, ia akan mengisi berjilid-jilid buku. Penganiayaan, walau bagaimanapun, menjadi sangat tak tertanggung sehingga aku terpaksa kerana perlu untuk meninggalkan Manchester, dan pergi bersama isteriku ke Susquehanna County, di Negeri Pennsylvania. Semasa bersiap sedia untuk bermula—kerana sangat miskin, dan penganiayaan begitu berat ke atas kami sehingga tidak ada kemungkinan yang keadaan kami akan berubah sebaliknya—di tengah-tengah kesengsaraan kami, kami menemukan seorang sahabat yang bernama Martin Harris, yang datang kepada kami dan memberikan kami lima puluh dolar untuk membantu kami dalam perjalanan kami. Tuan Harris adalah seorang penduduk kota Palmyra, Wayne County, di Negeri New York, dan seorang petani yang dihormati.

62 Dengan bantuan yang tepat pada waktunya itu aku dapat sampai ke tempat tujuanku di Pennsylvania; dan dengan segera setelah tibanya aku di sana aku mula menyalin huruf-huruf dari kepingan-kepingan itu. Aku menyalin sejumlah besar daripadanya, dan melalui Urim dan Tumim aku menterjemahkan sebahagian daripadanya, yang aku lakukan di antara waktu aku tiba di rumah ayah isteriku, pada bulan Desember, dan bulan Februari berikutnya.

63 Suatu masa pada bulan Februari ini, Tuan Martin Harris tersebut telah datang ke tempat kami, mengambil huruf-huruf yang aku telah salin dari kepingan-kepingan itu, dan mula membawanya ke kota New York. Perkara yang terjadi dengan dia dan huruf-huruf itu, aku merujuk kepada catatannya sendiri tentang keadaan itu, seperti yang dia beritahukan kepadaku selepas dia kembali, yang adalah seperti berikut:

64 “Aku pergi ke kota New York, dan menyampaikan huruf-huruf yang telah diterjemahkan, dengan terjemahannya, kepada Profesor Charles Anthon, seorang lelaki yang terkenal dengan kejayaan-kejayaannya dalam kesusasteraan. Profesor Anthon menyatakan bahawa terjemahan itu betul, bahkan lebih daripada apa pun yang pernah dia lihat sebelum ini diterjemahkan dari bahasa Mesir. Aku kemudian menunjukkan kepadanya bahagian yang belum diterjemahkan, dan dia mengatakan bahawa itu adalah bahasa Mesir, bahasa Kasdim, bahasa Assyria, dan bahasa Arab; dan dia mengatakan ianya adalah huruf-huruf yang asli. Dia memberikanku sekeping sijil, membuktikan kepada orang-orang di Palmyra bahawa itu adalah huruf-huruf yang asli, dan bahawa terjemahan yang telah dibuat juga betul. Aku mengambil sijil itu dan meletakkannya ke dalam sakuku, dan baru sahaja ingin meninggalkan rumah itu, apabilaTuan Anthon memanggilku kembali, dan menanyakanku bagaimana pemuda itu menemukan bahawa adanya kepingan-kepingan emas di tempat dia menemuinya. Aku menjawab bahawa seorang malaikat Tuhan telah memberitahukannya kepada dia.

65 “Dia kemudiannya berkata kepadaku, ‘Biar aku melihat sijil itu.’ Aku pun mengambilnya dari sakuku dan memberikan kepadanya, lalu dia mengambilnya dan mengoyakkannya bercebis-cebis, mengatakan bahawa sekarang tidak ada hal yang sedemikiannya seperti pelayanan para malaikat, dan bahawa jika aku mahu membawa kepingan-kepingan itu kepadanya dia akan menterjemahkannya. Aku memberitahunya bahawa sebahagian daripada kepingan-kepingan itu telah dimeterai, dan bahawa aku dilarang untuk membawanya. Dia menyahut, ‘Aku tidak dapat membaca sebuah kitab yang termeterai.’ Aku meninggalkannya dan pergi kepada Dr. Mitchell, yang mengesahkan apa yang telah dikatakan oleh Profesor Anthon tentang huruf-huruf dan terjemahan itu.”

· · · · · · ·

Oliver Cowdery melayani sebagai jurutulis dalam penterjemahan Kitab Mormon—Joseph dan Oliver menerima Imamat Harun daripada Yohanes Pembaptis—Mereka dibaptiskan, ditahbiskan, dan menerima roh nubuat. (Ayat 66–75.)

66 Pada hari ke-5 bulan April 1829, Oliver Cowdery datang ke rumahku, sehinggalah waktu itu aku belum pernah melihatnya. Dia menyatakan kepadaku bahawa dia sedang mengajar sekolah di kawasan di mana ayahku tinggal, dan ayahku ialah salah satu seorang daripada mereka yang menghantar ke sekolah itu, dia telah menumpang untuk suatu masa di rumahnya, dan sementara dia berada di sana keluarga itu memberitahukan kepadanya keadaan ku setelah menerima kepingan-kepingan itu, dan disebabkan itu dia telah datang untuk bertanya kepadaku.

67 Dua hari selepas ketibaan Tuan Cowdery (iaitu pada tarikh 7 April) aku mula menterjemahkan Kitab Mormon, dan dia mula menulis bagiku.

· · · · · · ·

68 Kami masih meneruskan pekerjaan penterjemahan, apabila, pada bulan yang berikutnya (Mei 1829), pada suatu hari kami pergi ke hutan untuk berdoa dan bertanya kepada Tuhan tentang pembaptisan untuk pengampunan dosa-dosa, yang kami temui disebut di dalam penterjemahan kepingan-kepingan itu. Sementara kami melakukan demikian, berdoa dan meminta kepada Tuhan, seorang utusan dari syurga turun di dalam suatu awan cahaya, dan setelah meletakkan tangannya ke atas kami, dia menahbiskan kami, mengatakan:

69 Ke atas dirimu para hamba sesamaku, di dalam nama Mesias aku menganugerahkan Imamat Harun, yang memegang kunci-kunci pelayanan para malaikat, dan Injil pertaubatan, dan pembaptisan melalui pencelupan untuk pengampunan dosa-dosa; dan ini tidak akan pernah diambil lagi dari bumi, sehingga anak-anak lelaki Lewi mempersembahkan lagi suatu persembahan kepada Tuhan dalam kesolehan.

70 Dia mengatakan bahawa Imamat Harun ini tidak memiliki kuasa perletakan tangan untuk kurnia Roh Kudus, tetapi ini akan dianugerahkan ke atas kami selepas ini; dan dia memerintahkan kami untuk pergi dan dibaptiskan, dan memberi kami arahan-arahan bahawa aku harus membaptis Olive Cowdery, dan selepas itu dia harus membaptisku.

71 Kerana itu kami pergi dan dibaptiskan. Mula-mula aku membaptisnya, dan selepas itu dia membaptisku—yang mana selepas itu aku meletakkan tanganku ke atas kepalanya dan menahbiskannya pada Imamat Harun, dan selepas itu dia meletakkan tangannya ke atasku dan menahbiskanku pada Imamat yang sama—kerana demikianlah kami diperintahkan.*

72 Utusan yang mengunjungi kami semasa kejadian ini dan menganugerahkan Imamat ini ke atas kami, mengatakan bahawa namanya ialah Yohanes, orang yang sama yang disebut Yohanes Pembaptis dalam Perjanjian Baru, dan bahawa dia bertindak di bawah arahan Petrus, Yakobus, dan Yohanes, yang memegang kunci-kunci Imamat Melkisedek, yang mana Imamat itu, dia berkata, pada waktu yang tepat akan dianugerahkan ke atas kami, dan bahawa aku akan dipanggil Penatua Gereja yang pertama, dan dia (Oliver Cowdery) yang kedua. Ianya terjadi pada hari kelima belas bulan Mei 1829, bahawa kami ditahbiskan di bawah tangan utusan ini, dan dibaptiskan.

73 Dengan segera apabila kami keluar dari air selepas dibaptiskan, kami mengalami berkat-berkat yang besar dan mulia daripada Bapa Syurgawi. Tidak lama selepas aku membaptiskan Oliver Cowdery, Roh Kudus turun ke atasnya, dan dia berdiri dan bernubuat banyak hal yang tidak lama lagi akan terjadi. Dan lagi, tidak lama selepas aku dibaptiskan olehnya, aku juga memperoleh roh nubuat, apabila, aku berdiri, aku bernubuat tentang kebangkitan Gereja ini, dan banyak lagi hal lain yang berkaitan dengan Gereja, dan generasi anak-anak manusia ini. Kami dipenuhi dengan Roh Kudus, dan bersukacita di dalam Tuhan keselamatan kita.

74 Fikiran kami sekarang diterangi, kami mula merasakan tulisan suci terbuka bagi pemahaman kami, dan tujuan dan maksud yang sebenar daripada petikan-petikannya yang lebih misteri didedahkan kepada kami dalam suatu cara yang tidak pernah kami dapatkan sebelum ini, mahupun pernah terfikirkan sebelum ini. Sementara itu kami dipaksa untuk menyimpan rahsia tentang keadaan kami yang telah menerima Imamat dan dibaptiskan, disebabkan oleh semangat penganiayaan yang telah wujud di kawasan itu.

75 Kami telah diancam untuk diserang, dari waktu ke waktu, dan ini, juga, oleh para profesor agama. Dan tujuan mereka untuk menyerang kami hanyalah dihalang oleh pengaruh keluarga ayah isteriku (di bawah pemeliharaan Ilahi yang baik), yang telah menjadi sangat baik kepadaku, dan yang menentang kumpulan-kumpulan perusuh, dan inginkan aku untuk meneruskan pekerjaan penterjemahan tanpa halangan; dan oleh kerana itu telah menawarkan dan menjanjikan kami perlindungan dari segala tindakan yang tidak sah, sejauh yang mereka mampu.

  • Oliver Cowdery menggambarkan kejadian-kejadian ini sedemikian: “Inilah hari-hari yang tidak akan pernah dilupakan—duduk di bawah bunyi suara yang dibimbing melalui inspirasi dari syurga, membangunkan rasa kesyukuran yang penuh di dalam sanubari ini! Dari hari ke hari aku meneruskan, tanpa halangan, untuk menulis daripada mulutnya, semasa dia menterjemah dengan Urim dan Tumim, atau, seperti yang bangsa Nefi telah katakan, ‘Penafsir,’ sejarah atau catatan itu yang dipanggil ‘Kitab Mormon.’

    “Untuk menyebutkan, bahkan dalam beberapa patah kata, laporan menarik yang diberikan oleh Mormon dan anak lelakinya yang setia, Moroni, tentang orang-orang yang dahulunya dikasihi dan disenangi syurga, akan menggantikan rancanganku sekarang; oleh kerana itu aku akan menangguhkannya ke suatu waktu yang akan datang, dan, seperti yang aku katakan dalam pengenalan, khususnya lebih kepada kejadian-kejadian yang berkait rapat dengan kebangkitan Gereja ini, yang mungkin menarik bagi beberapa ribu orang yang telah melangkah ke depan, di tengah-tengah kebencian orang-orang fanatik dan fitnah mereka yang munafik, dan memeluk Injil Kristus.

    “Tiada seorang pun, dalam kewarasan mereka, dapat menterjemahkan dan menulis arahan-arahan yang diberikan kepada bangsa Nefi daripada mulut Juruselamat, cara yang tepat bagi manusia untuk membangunkan Gereja-Nya, dan terutamanya apabila kejahatan telah menyebarkan suatu ketidakpastian dalam segala bentuk dan sistem yang diamalkan di kalangan manusia, tanpa menghasratkan suatu kesempatan untuk menunjukkan kerelaan hati dengan dikuburkan ke dalam kuburan air, untuk menjawab suatu ‘suara hati yang baik melalui kebangkitan Yesus Kristus.’

    “Selepas menulis laporan yang diberikan tentang pelayanan Juruselamat kepada keturunan Yakub yang selebihnya, di atas benua ini, adalah mudah untuk dilihat, seperti yang dikatakan oleh nabi yang akan terjadi, bahawa kegelapan menyelubungi bumi dan kegelapan pekat menyelubungi fikiran orang-orang itu. Apabila merenungkannya dengan lebih mendalam, adalah mudah untuk dilihat bahawa di tengah-tengah pertikaian dan kekecohan yang hebat tentang agama itu, tiada seorang pun yang memiliki wewenang daripada Tuhan untuk melaksanakan tatacara-tatacara Injil. Kerana sebuah persoalan boleh ditanyakan, adakah manusia memiliki wewenang untuk melayani dalam nama Kristus, yang menyangkal wahyu, sedangkan kesaksian-Nya tidak kurang daripada roh nubuat, dan agama-Nya berdasarkan, dibangunkan, dan disokong oleh wahyu-wahyu secara langsung, di dalam semua zaman dunia ini semasa Dia mempunyai umatnya di bumi ini? Jika fakta-fakta ini dikuburkan, dan disembunyikan dengan cermat oleh manusia yang kelicikannya akan berada dalam bahaya jika sekali saja ianya diizinkan untuk terdedah kepada umat manusia, didedahkan kepada kita; kita hanya menunggu untuk perintah diberikan ‘Bangunlah dan dibaptiskan.’

    “Belum lama hasrat ini diinginkan, ianya telah dijadikan nyata. Tuhan, yang kaya dengan belas kasihan, dan sentiasa bersedia untuk menjawab doa-doa tanpa henti daripada mereka yang rendah hati, selepas kami meminta kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh, jauh dari tempat tinggal manusia, merendahkan diri untuk menyatakan kepada kami kehendak-Nya. Dengan tiba-tiba, seolah-olah dari pusat keabadian, suara Penebus memfirmankan kedamaian kepada kami, manakala tirai terbuka dan malaikat Tuhan turun dilitupi dengan kemuliaan, dan menyampaikan pesanan yang dinanti-nantikan, dan kunci-kunci Injil pertaubatan. Alangkah bahagianya! alangkah ajaibnya! alangkah menakjubkan! Sementara dunia terseksa dan bingung—sementara berjuta-juta orang sedang meraba-raba bagaikan orang buta mencari dinding, dan sementara semua orang sedang bersandar pada ketidakpastian, bagaikan di khalayak orang ramai, mata kami telah melihat, telinga kami telah mendengar, bagaikan ‘siang yang terang’; ya, lebih—melampaui kilauan sinar matahari di bulan Mei, yang pada waktu itu mencurahkan kegemerlapannya di atas permukaan alam! Kemudian suaranya, walaupun lembut, menusuk hati, dan perkataannya, ‘Akulah hamba sesamamu,’ menghilangkan setiap rasa takut. Kami mendengar, kami menatap, kami mengaguminya! Itulah suara seorang malaikat dari kemuliaan, itulah sebuah pesanan daripada Yang Maha Tinggi! Dan semasa kami mendengarnya kami bersukacita, sementara kasih-Nya bersemarak di jiwa kami, dan kami dilitupi dalam penglihatan Yang Maha Kuasa! Di manakah ruang untuk keraguan? Tiada; ketidakpastian telah pergi, keraguan telah tenggelam tidak lagi timbul, sementara khayalan dan penipuan telah pergi selamanya!

    “Tetapi, saudara yang dikasihi, fikirkanlah, fikirkanlah dengan mendalam untuk seketika, alangkah bahagianya hati kami dipenuhi, dan dengan kejutan apakah yang telah menundukkan kami, (kerana siapakah yang tidak akan berlutut untuk suatu berkat yang sedemikian?) semasa kami menerima Imamat Kudus daripada tangannya sambil dia berkata, ‘Ke atasmu para hamba sesamaku, dalam nama Mesias, aku menganugerahkan Imamat ini dan wewenang ini, yang akan tetap berada di atas bumi, agar para anak lelaki Lewi masih boleh mempersembahkan suatu persembahan bagi Tuhan dalam kesolehan!’

    “Saya tidak akan cuba untuk melukiskan kepada Anda perasaan hati ini, ataupun keindahan dan kemuliaan yang penuh keagungan yang mengelilingi kami semasa kejadian ini; tetapi Anda akan mempercayai saya apabila saya katakan, bumi ini, mahupun manusia, walau dengan kemahiran berbicara, tidak dapat berbicara semenarik dan dengan suatu cara yang menakjubkan seperti lembaga yang kudus ini. Tiada; ataupun bumi ini tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kebahagiaan, menganugerahkan kedamaian, atau memahami kebijaksanaan yang terkandung di dalam setiap ayat sebagaimana ianya disampaikan melalui kuasa Roh Kudus! Manusia boleh menipu sesama sendiri, penipuan demi penipuan, dan anak-anak orang yang jahat boleh mempunyai kebolehan untuk memujuk yang kurang bijak dan tidak terpelajar, sehinggalah tiada apa pun selain kekosongan mempengaruhi banyak orang, dan buah kepalsuan menghanyutkan kebanyakan mereka dengan arusnya ke kubur; tetapi dengan satu sentuhan jari kasih-Nya, ya, satu sinar cahaya kemuliaan dari dunia yang di atas, atau satu firman dari mulut Juruselamat, dari sanubari kebadian, menjadikan semuanya tidak bermakna, dan menyingkirkan ia selamanya dari fikiran. Jaminan bahawa kami pernah berada di dalam hadirat seorang malaikat, kepastian bahawa kami telah mendengar suara Yesus, dan kebenaran yang tak tercela sebagaimana ianya datang daripada seorang lembaga yang murni, dibimbing melalui kehendak Tuhan, bagiku adalah melebihi gambaran, dan saya akan sentiasa melihat kebaikan Juruselamat ini dengan kekaguman dan kesyukuran selagi saya diizinkan untuk hidup; dan di dalam rumah-rumah agam di mana kesempurnaan berada dan dosa tidak pernah ada, saya berharap untuk memuja pada hari itu yang tidak akan pernah berakhir.”—Messenger and Advocate, jld. 1 (Oktober 1834), hlm. 14–16.