Kitab Suci
Pengenalan


Pengenalan

Mutiara yang Sangat Berharga adalah suatu koleksi bahan-bahan terpilih yang menyentuh banyak aspek penting berkaitan dengan kepercayaan dan ajaran Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Bahan-bahan ini telah diterjemahkan dan dihasilkan oleh Nabi Joseph Smith dan kebanyakannya telah diterbitkan di dalam terbitan-terbitan berkala Gereja pada zamannya.

Koleksi pertama bahan-bahan yang berjudul Mutiara yang Sangat Berharga dibuat pada 1851 oleh Elder Franklin D. Richards, yang pada waktu itu seorang anggota Majlis Dua Belas dan presiden bagi Misi British. Tujuannya adalah untuk membolehkan beberapa artikel-artikel yang penting mudah didapati yang mempunyai penyebaran yang terhad semasa zaman Joseph Smith. Sementara keanggotaan Gereja meningkat di seluruh Eropah dan Amerika, terdapat keperluan untuk menjadikan bahan-bahan ini tersedia. Mutiara yang Sangat Berharga diterima penggunaannya secara meluas dan sesudah itu menjadi sebuah kitab standard Gereja oleh Presidensi Utama dan persidangan umum di Salt Lake City pada 10 Oktober 1880.

Beberapa perubahan telah dibuat di dalam isi kandungan sebagaimana yang diperlukan oleh Gereja. Pada 1878 bahagian-bahagian dari kitab Musa yang tidak terkandung di dalam edisi pertama telah ditambahkan. Pada 1902 bahagian-bahagian tertentu dari Mutiara yang Sangat Berharga yang merupakan bahan yang berulang yang juga diterbitkan dalam Ajaran dan Perjanjian, dikeluarkan. Penyusunan bab dan ayat, dengan nota-nota kaki, telah dilakukan pada 1902. Terbitan pertama dalam halaman-halaman ruangan berganda, dengan indeks, adalah pada 1921. Tiada perubahan-perubahan lain yang dibuat sehinggalah April 1976, apabila dua buah wahyu ditambahkan. Pada 1979 dua buah wahyu ini telah dikeluarkan dari Mutiara yang Sangat Berharga dan ditempatkan di dalam Ajaran dan Perjanjian, di mana ianya merupakan bahagian 137 dan 138. Dalam edisi terkini beberapa perubahan telah dibuat untuk memastikan teks tersebut sepadan dengan dokumen-dokumen yang lebih awal.

Berikut adalah sebuah pengenalan singkat tentang isi kandungan yang terkini:

  1. Koleksi dari Kitab Musa. Sebuah petikan dari kitab Kejadian dari terjemahan Alkitab oleh Joseph Smith, yang telah dia mulakan pada Jun 1830.

  2. Kitab Abraham. Sebuah terjemahan bagi penulisan Abraham. Joseph Smith telah memulakan penterjemahannya dalam tahun 1835 setelah mendapatkan beberapa papirus Mesir. Terjemahan ini telah diterbitkan secara bersiri dalam Times and Seasons bermula pada 1 Mac 1842, di Nauvoo, Illinois.

  3. Joseph Smith—Matius. Sebuah petikan dari kesaksian Matius dalam terjemahan Alkitab oleh Joseph Smith (lihat Ajaran dan Perjanjian 45:60–61 mengenai perintah Ilahi untuk memulakan penterjemahan Perjanjian Baru).

  4. Joseph Smith—Sejarah. Petikan-petikan dari kesaksian dan sejarah rasmi Joseph Smith, yang dia dan jurutulisnya telah sediakan dalam tahun 1838–1839 dan telah diterbitkan secara bersiri di dalam Times and Seasons di Nauvoo, Illinois, bermula pada 15 Mac 1842.

  5. Fasal-Fasal Kepercayaan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Sebuah pernyataan oleh Joseph Smith yang telah diterbitkan dalam Times and Seasons pada 1 Mac 1842, bersama dengan sebuah sejarah Gereja yang singkat yang terkenal sebagai Surat Wentworth.