Persidangan Umum
Kebenaran Abadi
Persidangan Umum Oktober 2023


Kebenaran Abadi

Keperluan kita untuk mengenali kebenaran tidak pernah menjadi lebih penting!

Saudara dan saudari, terima kasih atas pengabdian anda kepada Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus, dan atas kasih sayang dan pelayanan antara satu sama lain. Anda benar-benar hebat sekali!

Pengenalan

Selepas isteri saya, Anne dan saya menerima panggilan ke misi sebagai pemimpin misi sepenuh masa, keluarga kami bertekad untuk mempelajari setiap nama misionari sebelum tiba di misi kami. Kami mendapat foto, buat kad imbas dan mula menghafal nama dan muka mereka.

Setelah kami tiba, kami mengadakan sebuah sidang pertama dengan misionari. Sewaktu pergaulan, saya terdengar anak saya berumur sembilan tahun berkata:

“Sam, bagus bertemu dengan kamu!”

“Rachel, kamu datang dari mana?”

“Wow, David, tingginya kamu!”

Saya terkejut dan pergi ke anak saya dan berbisik, “Hei, panggil mereka dengan Elder atau Sister.”

Dia memandang saya dengan bingung dan berkata, “Ayah, saya ingat kita sudah hafal nama-nama mereka.” Anak kami telah buat betul mengikut pemahamannya.

Maka, apa pemahaman kita tentang kebenaran di dunia hari ini? Kita sentiasa diserang dengan pendapat yang kuat, laporan yang berat sebelah dan data yang tidak lengkap. Pada masa yang sama, jumlah dan sumber maklumat ini sedang berkembang. Keperluan kita untuk mengenali kebenaran tidak pernah menjadi lebih penting!

Kebenaran adalah penting bagi kita untuk menubuhkan dan memperkuatkan hubungan dengan Tuhan, mencari kedamaian dan kebahagiaan, dan mencapai potensi ilahi kita. Jadi, marilah kita pertimbangkan soalan-soalan berikut:

  • Apakah kebenaran dan mengapakah ia penting?

  • Bagaimanakah kita menemui kebenaran?

  • Apabila kita menemui kebenaran, bagaimana kita boleh berkongsi?

Kebenaran Adalah Abadi

Tuhan mengajar kita dalam tulisan suci bahawa, “kebenaran adalah pengetahuan tentang hal-hal sebagaimana ianya ada, dan sebagaimana adanya dahulu, dan sebagaimana adanya yang akan datang” (Ajaran dan Perjanjian 93:24). Ia “bukanlah diciptakan atau dibuat” (Ajaran dan Perjanjian 93:29) dan “tidak berakhir” (Ajaran dan Perjanjian 88:66).1 Kebenaran adalah mutlak, tetap, dan tidak berubah. Dalam kata lain, kebenaran adalah abadi.2

Kebenaran membantu kita mengelak dari penipuan,3 membezakan kebaikan dari kejahatan,4 menerima perlindungan,5 dan mencari penghiburan dan kesembuhan.6 Kebenaran juga boleh membimbing tindakan kita7 membebaskan kita,8 menyucikan kita,9 dan membimbing kita ke arah kehidupan abadi.10

Tuhan Mengungkapkan Kebenaran Abadi

Tuhan mengungkapkan kebenaran abadi kepada kita melalui jaringan hubungan wahyu yang melibatkan Diri-Nya, Yesus Kristus, Roh Kudus, nabi dan kita. Izinkan saya membincangkan peranan yang jelas namun saling berkait tentang setiap peserta dalam proses ini.

Pertama, Tuhan ialah sumber kebenaran abadi.11 Dia dan Putera-Nya, Yesus Kristus,12 mempunyai pemahaman yang sempurna tentang kebenaran dan sentiasa bertindak secara harmoni dengan asas-asas dan hukum yang benar.13 Kuasa ini membenarkan Mereka untuk mencipta dan mengatur dunia-dunia14 serta mengasihi dan memelihara satu sama lain dengan sempurna.15 Mereka ingin kami memahami dan mengaplikasikan kebenaran agar kita menikmati berkat-Nya.16 Mereka boleh berikan kebenaran secara bersemuka atau cara lain melalui utusan seperti Roh Kudus, malaikat, atau nabi hidup.

Kedua, Roh Kudus bersaksi tentang semua kebenaran.17 Dia mengungkapkan kebenaran kepada kita secara langsung dan bersaksi tentang kebenaran yang diajar oleh orang lain. Tanggapan daripada Roh biasanya datang sebagai fikiran kepada minda dan perasaan kita ke dalam hati kita.18

Ketiga, para nabi menerima kebenaran daripada Tuhan dan berkongsi kebenaran itu dengan kita.19 Kita mempelajari kebenaran dari para nabi dahulu dalam tulisan suci20 dan dari nabi hidup di persidangan umum dan melalui saluran rasmi.

Akhirnya, anda dan saya memainkan peranan penting dalam proses ini. Tuhan mengharapkan kita untuk mencari, mengenali dan bertindak menurut kebenaran. Kemampuan untuk menerima dan mengaplikasi kebenaran tergantung kepada keeratan perhubungan kita dengan Bapa dan Putera, kepekaan pengaruh Roh Kudus dan penyesuaian dengan nabi zaman akhir.

Kita perlu ingat bahawa Setan berusaha untuk menjauhi kita daripada kebenaran. Dia tahu jika tanpa kebenaran, kita tidak boleh perolehi kehidupan abadi. Dia memasuki sedikit kebenaran dalam falsafah untuk menggeliru dan mengganggu kita daripada apa yang di sampaikan oleh Tuhan.21

Mencari, Mengenali dan Mengaplikasikan Kebenaran Abadi

Apabila kita mencari kebenaran abadi,22 dua soalan berikut dapat membantu kita mengenali sama ada konsep itu datang dari Tuhan atau dari sumber lain:

  • Adakah ia konsisten seperti diajar dalam tulisan suci dan oleh nabi hidup?

  • Adakah konsep itu disahkan oleh kesaksian Roh Kudus?

Tuhan mengungkapkan kebenaran ajaran melalui para nabi, dan Roh Kudus bersaksi tentang kebenaran kepada kita dan bantu kita mengaplikasinya.23 Kita mesti mencari dan bersedia untuk menerima tanggapan rohani ini apabila ia datang.24 Kita lebih menerima kesaksian Roh apabila kita merendahkan hati,25 berdoa dengan ikhlas dan mengkaji firman Tuhan,26 dan mematuhi perintah-perintah-Nya.27

Selepas Roh Kudus mengesahkan kebenaran tertentu kepada kita, pemahaman kita lebih mendalam semasa kita mengamalkan asas itu. Dengan menjalani prinsip itu dengan konsisten, lama-kelamaan kita memperolehi pengetahuan kukuh tentang kebenaran itu.28

Contohnya, saya telah membuat kesilapan dan menyesal atas pilihan tidak baik. Tetapi melalui doa, kajian, dan iman kepada Yesus Kristus, saya menerima kesaksian asas pertaubatan.29 Apabila saya terus bertaubat, pemahaman saya tentang pertaubatan menjadi lebih kuat. Saya merasa lebih dekat kepada Tuhan dan Putera-Nya. Saya sekarang tahu bahawa dosa dapat diampuni melalui Yesus Kristus, kerana saya mengalami berkat-berkat pertaubatan setiap hari.30

Mempercayai Tuhan Ketika Kebenaran Belum Diungkapkan

Jadi, apakah yang harus kita lakukan apabila kita mencari kebenaran yang belum diungkapkan? Saya berempati untuk kita yang inginkan jawapan yang sepertinya tidak datang.

Untuk Joseph Smith, Tuhan menasihati, “Senyaplah kamu sehingga Aku melihat ianya sesuai untuk mendedahkan segala hal … tentang hal ini” (Ajaran dan Perjanjian 10:37).

Dan kepada Emma Smith, Dia menjelaskan, “Janganlah merungut kerana hal-hal yang belum engkau lihat, kerana ia ditahan daripadamu dan dari dunia, yang adalah bijaksana di dalam Aku pada suatu masa yang akan datang” (Ajaran dan Perjanjian 25:4).

Saya juga telah mencari jawapan kepada soalan-soalan ikhlas. Banyak jawapan telah datang, dan masih belum datang.31 Semasa kita berpegang—mempercayai kebijaksanaan dan kasih Tuhan, mematuhi perintah-perintah-Nya, dan bergantung pada apa yang kita tahu—Dia membantu kita mencari kedamaian sehingga Dia mengungkapkan kebenaran tentang segala hal.32

Memahami Ajaran dan Polisi

Apabila mencari kebenaran, ia membantu untuk memahami perbezaan di antara ajaran dan polisi. Ajaran merujuk kepada kebenaran abadi, seperti sifat Kesatuan Ketuhanan, rancangan keselamatan dan korban tebusan Yesus Kristus. Polisi ialah penggunaan ajaran berdasarkan keadaan semasa. Polisi membantu kita melayani di Gereja dengan cara yang teratur.

Walaupun ajaran tidak pernah berubah, polisi disesuaikan dari masa ke masa. Tuhan bekerja melalui para nabi-Nya untuk menegakkan ajaran-Nya dan untuk mengubahsuai polisi Gereja mengikut keperluan anak-anak-Nya.

Malangnya, kadangkala kita menggabungkan polisi dengan ajaran. Jika kita tidak memahami perbezaannya, kita berisiko menjadi kecewa apabila polisi berubah dan mula mempersoalkan kebijaksanaan Tuhan atau peranan wahyu para nabi.33

Mengajar Kebenaran Abadi

Apabila kita mendapat kebenaran daripada Tuhan, Dia menggalakkan kita untuk berkongsi pengetahuan itu dengan orang lain.34 Kita melakukan ini apabila kita mengajar kelas, membimbing anak, atau membincangkan kebenaran injil dengan kawan.

Sasaran kita adalah untuk mengajar kebenaran dengan cara yang menjemput kuasa penukaran hati Roh Kudus.35 Izinkan saya berkongsi beberapa siri jemputan mudah daripada Tuhan dan para nabi-Nya yang boleh membantu.36

  1. Berpusat pada Bapa Syurgawi, Yesus Kristus, dan ajaran asas Mereka.37

  2. Amalkan diri kepada tulisan suci dan dalam ajaran-ajaran nabi zaman akhir.38

  3. Bergantung pada ajaran yang ditubuhkan melalui pelbagai saksi yang berwewenang.39

  4. Elakkan spekulasi, pendapat peribadi atau idea duniawi.40

  5. Ajarkan satu pokok ajaran dalam konteks kebenaran injil yang berkaitan.41

  6. Gunakan kaedah pengajaran yang mengundang pengaruh Roh Kudys.42

  7. Berkomunikasi dengan jelas untuk mengelakkan salah faham.43

Bercakap Kebenaran dengan Kasih

Bagaimana kita mengajarkan kebenaran amat penting. Paulus menggalakkan kita untuk bercakap “perkara-perkara benar dengan hati yang penuh kasih” (lihat Efesus 4:14–15). Kebenaran terbaik untuk memberkati orang lain disampaikan dengan kasih seperti Kristus.44

Kebenaran diajar tanpa kasih boleh menyebabkan perasaan penghakiman, kecewa, dan kesunyian. Ia sering membawa kepada kemarahan dan perbalahan—bahkan konflik. Sebaliknya, kasih tanpa kebenaran adalah hampa dan kekurangan janji perkembangan.

Kebenaran dan kasih adalah penting untuk perkembangan rohani kita.45 Kebenaran menyediakan ajaran, asas-asas, dan hukum yang diperlukan untuk memperoleh kehidupan abadi, sementara kasih membawa motivasi yang diperlukan untuk mengamal dan bertindak ke atas apa yang benar.

Saya selamanya bersyukur kepada orang-orang yang mengajar saya tentang kebenaran abadi dengan kasih.

Kesimpulan

Kesimpulannya, biarlah saya berkongsi kebenaran abadi yang telah menjadi sauh kepada jiwa saya. Saya telah mengetahui kebenaran-kebenaran ini dengan mengikuti asas-asas yang dibincangkan hari ini.

Saya tahu bahawa Tuhan ialah Bapa Syurgawi kita.46 Dia Maha Mengetahui,47 Maha Kuasa,48 dan penyayang yang sempurna.49 Dia menciptakan sebuah rancangan untuk memperoleh kehidupan abadi dan menjadi seperti Dia.50

Sebahagian daripada rancangan itu, Dia mengutus Putera-Nya, Yesus Kristus, untuk membantu kita.51 Yesus mengajar kita untuk melakukan kehendak Bapa52 dan mengasihi sesama manusia.53 Dia menebus dosa-dosa kita54 dan menyerahkan nyawa-Nya di atas salib.55 Dia bangkit dari kematian selepas tiga hari.56 Melalui Kristus dan rahmat-Nya, kita akan dibangkitkan,57 kita boleh diampun,58 dan mencari kekuatan dalam penderitaan.59

Semasa pelayanan duniawi-Nya, Yesus menubuhkan Gereja-Nya.60 Lama-kelamaan, Gereja diubah dan kebenaran hilang.61 Yesus Kristus memulihkan Gereja-Nya dan kebenaran injil melalui Nabi Joseph Smith.62 Dan hari ini, Kristus terus memimpin Gereja-Nya melalui para nabi dan rasul hidup.63

Saya tahu apabila kita datang kepada Kristus, akhirnya kita boleh “disempurnakan di dalam Dia” (Moroni 10:32), menerima “kegenapan kebahagiaan” (Ajaran dan Perjanjian 93:33), dan menerima “segala yang Bapa miliki” (Ajaran dan Perjanjian 84:38). Atas kebenaran ilahi ini saya bersaksi dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat Mazmur 117:2; Ajaran dan Perjanjian 1:39.

  2. “Di sebalik keraguan sesetengah orang, memang ada perkara yang benar dan salah. Memang ada kebenaran mutlak—kebenaran abadi. Salah satu wabak zaman kita adalah tidak ramai yang tahu ke mana untuk berpaling bagi kebenaran,” (Russell M. Nelson, “Kebenaran Suci, Ajaran Suci, dan Wahyu Suci,” Liahona, Nov. 2021, 6).

  3. Lihat Joseph Smith—Matius 1:37.

  4. Lihat Moroni 7:19.

  5. Lihat 2 Nefi 1:9; Ajaran dan Perjanjian 17:8.

  6. Lihat Yakub 2:8.

  7. Lihat Mazmur 119:105; 2 Nefi 32:3.

  8. Lihat Yohanes 8:32; Ajaran dan Perjanjian 98:8.

  9. Lihat Yohanes 17:17.

  10. Lihat 2 Nefi 31:20.

  11. Lihat Ajaran dan Perjanjian 88:11–13; 93:36.

  12. Lihat Yohanes 5:19–20; 7:16; 8:26; 18:37; Musa 1:6.

  13. Lihat Ibrani 42:12–26; Ajaran dan Perjanjian 88:41.

  14. Lihat Musa 1:30–39

  15. Lihat 2 Nefi 26:24.

  16. Lihat Ajaran dan Perjanjian 82:8–9.

  17. Lihat Yohanes 16:13; Yakub 4:13; Moroni 10:5; Ajaran dan Perjanjian 50:14; 75:10; 76:12; 91:4; 124:97.

  18. Lihat Ajaran dan Perjanjian 6:22–23; 8:2–3.

  19. Lihat Yeremia 1:5, 7; Amos 3:7; Matius 28:16–20; Moroni 7:31; Ajaran dan Perjanjian 1:38; 21:1–6; 43:1–7. Seorang nabi ialah “orang yang telah dipanggil dan berbicara bagi Tuhan. Sebagai orang utusan Tuhan, nabi menerima perintah, nubuat, dan wahyu dari Tuhan. Tanggungjawabnya adalah untuk memberitahukan kehendak dan watak sejati Tuhan kepada umat manusia dan untuk menunjukkan erti urusan-Nya dengan mereka. Nabi mengecam dosa dan meramalkan akibatnya. Dia adalah pengkhutbah kebenaran. Pada kesempatan tertentu, para nabi boleh diilhami untuk meramalkan masa depan demi manfaat umat manusia. Tanggungjawab utama-Nya, meskipun demikian, adalah memberikan kesaksian tentang Kristus. Presiden Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah nabi Tuhan di atas bumi hari ini. Ahli Presidensi Utama serta Dua Belas Rasul disokong sebagai nabi, pelihat, dan pewahyu” (Panduan Tulisan Suci, “Nabi,” Gospel Library). Contoh asas-asas ini ditemui dalam kehidupan Adam (lihat Musa 6:51–62), Henokh (lihat Musa 6:26–36), Nuh (lihat Musa 8:19, 23–24), Abraham (lihat Kejadian 12:1–3; Abraham 2:8–9), Musa (Lihat Keluaran 3:1–15; Musa 1:1–6, 25–26), Petrus (lihat Matius 16:13–19), dan Joseph Smith (lihat Ajaran dan Perjanjian 5:6–10; 20:2; 21:4–6).

  20. Lihat 2 Timotius 3:16.

  21. Lihat Yohanes 8:44; 2 Nefi 2:18; Ajaran dan Perjanjian 93:39; Musa 4:4.

  22. Lihat 1 Nefi 10:19. Presiden Dallin H. Oaks mengarah: “Kita perlu berhati-hati ketika mencari kebenaran Tuhan dan memilih sumber-sumber bagi pencarian itu. Kita tidak patut mempertimbangkan keunggulan duniawi atau hak kuasa sebagai sumber-sumber. … yang layak. Apabila kita mencari kebenaran tentang agama, kita harus menggunakan kaedah-kaedah rohani yang bersesuaian: doa, kesaksian Roh Kudus, dan pengkajian ayat suci dan kata-kata nabi moden” (Dallin H. Oaks, “Kebenaran dan Rancangan,” Liahona, Nov. 2018, 25).

  23. Elder D. Todd Christofferson mengajar: “Para rasul dan nabi … menyatakan firman Tuhan, namun pula, kita percaya lelaki dan perempuan termasuk anak-anak boleh belajar daripada dan dibimbing oleh inspirasi ilahi kepada doa dan kajian kitab suci. … Para ahli Gereja Yesus Kristus telah diberi kurnia Roh Kudus, yang memudahkan komunikasi berterusan dengan Bapa Syurgawi. … Ini tidak bermaksud setiap ahli mewakili Gereja sebagai ketua atau mengubah ajaran namun setiap mereka dapat menerima bimbingan ilahi berkenaan cabaran dan peluang dalam hidup mereka” (“The Doctrine of Christ,” Liahona, Mei 2012, 89–90, note 2).

  24. Lihat 2 Nefi 33:1–2.

  25. Lihat Ajaran dan Perjanjian 1:28.

  26. Lihat Moroni 10:3–5; Ajaran dan Perjanjian 9:7–9; 84:85.

  27. Lihat Ajaran dan Perjanjian 5:35; 63:23; 93:27–28. Walau bagaimanapun usaha kita, ada di kalangan kita masih bergelut untuk merasai Roh Tuhan atas sebab masalah kesihatan mental. Kemurungan, keresahan, dan masalah saraf lain boleh merumitkan pengenalan Roh Kudus. Untuk kes-kes ini, Tuhan menjemput kita untuk terus mengamalkan injil, dan Dia akan berkati kita (lihat Mosia 2:41). Kita boleh mencari aktiviti tambahan—seperti mendengar muzik suci, melayani dengan aktif atau meluangkan masa di alam semula jadi—yang membantu kita merasai Roh (lihat Galatia 5:22–23) dan menguatkan hubungan kita dengan Tuhan.

    Elder Jeffery R. Holland menyatakan: “Bagaimana kamu bertindak bila kamu atau orang yang kamu kasihi menghadapi cubaan-cubaan mental atau emosi? Terutamanya, jangan putus asa dalam iman anda kepada Bapa di Syurga yang mengasihi anda begitu banyak. … Amalkan nasihat dari pertemuan rohani yang membawa Roh Tuhan ke dalam hidup anda. Carilah nasihat daripada mereka yang boleh bantu kesejahteraan rohani anda. Minta dan hargai berkat keimamatan. Ambillah sakramen setiap minggu, berpegang kuat kepada janjian Korban Tebusan Yesus Kristus. Percayalah dalam mukjizat. Saya telah lihat banyak mukjizat di mana setiap tanda mengatakan tiada harapan lagi. Harapan tidak pernah hilang”(“Like a Broken Vessel,” Liahona, Nov. 2013, 40–41).

  28. Lihat Yohanes 7:17; Alma 32:26–34. Akhirnya, Tuhan berhasrat agar kita memperoleh kebenaran “baris demi baris, ajaran demi ajaran,” sehingga kita memahami segala hal (lihat Amsal 28:5; 2 Nefi 28:30; Ajaran dan Perjanjian 88:67; 93:28).

  29. Lihat 1 Yohanes 1:9–10; 2:1–2.

  30. Presiden Russell M. Nelson menjelaskan: “Tiada apa-apa pun yang lebih membebaskan, lebih memuliakan, mahupun lebih penting bagi kemajuan individu kita daripada fokus harian yang tetap tentang pertaubatan. Pertaubatan bukanlah sebuah peristiwa tetapi sebuah proses. Ia merupakan kunci kepada kegembiraan dan kedamaian minda. Ketika digabungkan dengan iman, pertaubatan membuka akses kepada kuasa Korban Tebusan Yesus Kristus” (“Kita Boleh Melakukan Lebih Baik dan Menjadi Lebih Baik,” Liahona, Mei 2019, 67).

  31. Saya tidak tahu semua sebab Tuhan menahan beberapa kebenaran abadi daripada kita, tetapi Elder Orson F. Whitney memberikan gambaran yang menarik: “Adalah diberkati untuk percaya tanpa melihat, kerana melalui menjalankan iman datanglah perkembangan rohani, salah satu objek besar kewujudan fana manusia; sementara pengetahuan, menghanyutkan dan membantutkan iman, demikian menghalang perkembangan itu. ‘Pengetahuan adalah kuasa;’ dan segalanya mesti diketahui pada waktunya. Tetapi pengetahuan pramatang—mengetahui pada masa yang salah—membawa maut kepada kemajuan dan kegembiraan” (“The Divinity of Jesus Christ,” Improvement Era, Jan. 1926, 222, lihat juga Liahona, Dis. 2003, 14–15).

  32. Lihat Ajaran dan Perjanjian 76:5–10. Tuhan menasihati Hyrum Smith untuk “janganlah berusaha untuk memaklumkan firman-Ku, tetapi terlebih dahulu usahakanlah untuk mendapatkan firman-Ku. … Senyaplah kamu; kajilah firman-Ku” (Ajaran dan Perjanjian 11:21–22). Nabi Alma menyediakan contoh untuk mengendalikan soalan-soalan yang tidak terjawab.“Misteri-misteri ini belumlah sepenuhnya disingkapkan kepadaku; oleh itu aku akan menahan diri” (Alma 37:11). Dia juga menjelaskan kepada anak lelakinya Korianton bahawa “ada banyak misteri-misteri yang disimpan, agar tiada seorang pun mengetahuinya kecuali Tuhan sendiri” (Alma 40:3). Saya juga telah menemui kekuatan daripada respon Nefi semasa dia diberi soalan yang dia tidak dapat jawab: “Aku tahu bahawa [Tuhan] mengasihi anak-anak-Nya; walau bagaimanapun, aku tidak tahu maksud segala hal” (1 Nefi 11:17).

  33. Begitu juga, tradisi budaya bukanlah ajaran atau polisi. Ia boleh berguna jika ia membantu kita mengikuti ajaran dan polisi, tetapi ia juga boleh menghentikan perkembangan rohani kita jika ia tidak berdasarkan asas-asas yang benar. Kita harus mengelakkan tradisi yang tidak membina iman kita kepada Yesus Kristus atau membantu kita maju menuju kehidupan abadi.

  34. Lihat Ajaran dan Perjanjian 15:5; 88:77–78.

  35. Lihat Ajaran dan Perjanjian 50:21–23.

  36. Disesuaikan dari dokumen “Principles for Ensuring Doctrinal Purity,” diluluskan oleh Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas Rasul pada Februari 2023.

  37. Lihat 1 Nefi 15:14. Tuhan mengarahkan hamba-hamba-Nya untuk mengelakkan berfokus pada ajaran atau konsep yang bukan berpusat pada injil-Nya: “Dan tentang ajaran yang mendalam janganlah engkau bicarakan, tetapi engkau harus memaklumkan pertaubatan dan iman terhadap Juruselamat, dan pengampunan dosa-dosa melalui pembaptisan, dan melalui api, ya, bahkan Roh Kudus” (Ajaran dan Perjanjian 19:31).

    Elder Neil L. Andersen menjelaskan: “Marilah kita selalu fokus kepada Juruselamat Yesus Kristus dan kurnia korban tebusan-Nya. Ini tidak bermaksud kita tidak dapat ceritakan pengalaman dari kehidupan kita sendiri atau berkongsi pemikiran daripada orang lain. Walaupun subjek kita mungkin tentang keluarga, pelayanan, bait suci atau misi baru-baru ini, semua … harus menunjuk kepada Tuhan Yesus Kristus” (“Kita Berbicara Berkenaan Kristus,” Liahona, Nov. 2020, 89–90).

  38. Lihat Ajaran dan Perjanjian 28:2–3, 8. Nabi Alma menasihati mereka yang ditetapkan untuk mengkhutbahkan injil untuk “tidak mengajarkan apa pun kecuali apa yang telah dia ajarkan, dan yang telah diucapkan oleh mulut para nabi kudus” (Mosia 18:19).

    Presiden Henry B. Eyring mengisytiharkan, “Kita mesti mengajar ajaran-ajaran asas Gereja seperti yang terkandung dalam pekerjaan standard dan ajaran-ajaran para nabi, yang tanggungjawabnya adalah untuk mengisytiharkan ajaran” (“The Lord Will Multiply the Harvest” [petang bersama Penguasa Umum, 6 Feb. 1998], dalam Teaching Seminary: Preservice Readings [2004], 96).

    Elder D. Todd Christofferson bersaksi bahawa “dalam Gereja hari ini, sama seperti pada Gereja zaman kuno, mendirikan ajaran Kristus atau membetulkan penyimpangan ajaran itu hanya terjadi melalui wahyu yang ilahi kepada mereka yang dianugerahi oleh Tuhan dengan wewenang kerasulan” (“Ajaran Kristus,” 86).

  39. Lihat 2 Korintus 13:1; 2 Nefi 11:3; Eter 5:4; Ajaran dan Perjanjian 6:28. Elder Neil L. Andersen memerhatikan: “Beberapa mempersoalkan iman mereka apabila mereka mendapati kenyataan yang dibuat oleh seorang pemimpin Gereja berdekad lalu yang kelihatan tidak selaras dengan ajaran kita. Terdapat satu asas penting yang mentadbir ajaran Gereja. Ajaran ini diajar oleh semua 15 ahli Presidensi Utama dan Kuorum Dua Belas. Ia bukanlah tersembunyi dalam perenggan kabur dari satu ucapan. Asas-asas benar diajar dengan kerap dan oleh banyak orang. Ajaran kita tidak susah dicari” (“Trial of Your Faith,” Liahona, Nov. 2012, 41).

    Elder D. Todd Christofferson mengajar yang serupa: “Ia patut diingati bahawa bukan setiap kenyataan yang dibuat oleh seorang pemimpin Gereja, yang lalu atau kini, semestinya merupakan ajaran. Ia biasanya difahami dalam Gereja bahawa kenyataan yang dibuat oleh seorang pemimpin pada satu masa kerap kali merupakan pendapat peribadi yang dipertimbangkan dan tidak bertujuan menjadi rasmi atau terikat untuk seluruh Gereja” (“The Doctrine of Christ,” 88).

  40. Lihat 3 Nefi 11:32, 40. Presiden Gordon B. Hinckley berkata: “Saya telah berucap sebelum ini tentang kepentingan mengekalkan kemurnian ajaran Gereja. … Saya risau tentang ini. Penyimpangan kecil dalam mengajar ajaran boleh mendatangkan kepalsuan yang besar dan jahat” (Teachings of Gordon B. Hinckley [1997], 620).

    Presiden Dallin H. Oaks memberi amaran bahawa terdapat sesetengah “yang memilih beberapa ayat dari ajaran-ajaran seorang nabi dan menggunakan ini untuk menyokong agenda politik mereka atau tujuan peribadi lain. … Untuk memutarbelitkan kata-kata seorang nabi untuk menyokong agenda peribadi, politik atau kewangan atau sebaliknya, adalah cuba untuk memanipulasikan nabi, bukan mengikuti dia” (“Our Strengths Can Become Our Downfall” [pertemuan rohani Brigham Young University, 7 Jun 1992], 7, speeches.byu.edu).

    Presiden Henry B. Eyring memperingatkan: “Ajaran ilahi mendapat kuasanya apabila Roh Kudus mengesahkan bahawa ianya adalah benar. … Kerana kita memerlukan Roh Kudus, kita mesti awas dan berhati-hati supaya tidak melampaui ajaran benar. Roh Kudus adalah Roh Kebenaran. Pengesahannya dijemput apabila kita tidak mengagak dan tidak membuat tafsiran peribadi. Itu mungkin susah dielakkan. … Adalah sangat menarik untuk mencuba sesuatu yang baru atau yang penuh sensasi. Tetapi kita hanya dapat menjemput Roh Kudus untuk menjadi teman kita apabila kita berhati-hati dalam mengajar hanya ajaran yang benar. Salah satu cara yang paling pasti untuk mengelakkan daripada mendekati ajaran palsu adalah membuat pilihan untuk mengajar secara sederhana. Keselamatan diperoleh melalui kesederhanaan itu, dan sedikit yang hilang” (“The Power of Teaching Doctrine,” Liahona, Julai 1999, 86).

    Elder Dale G. Renlund mengajar: “Mencari pemahaman yang lebih besar adalah bahagian penting dalam perkembangan rohani kita, tetapi sila berhati-hati. Akal tidak boleh menggantikan wahyu. Spekulasi tidak akan bawa kepada pengetahuan rohani yang lebih besar, tetapi ia boleh bawa kepada penipuan atau mengalihkan tumpuan kita daripada apa yang telah diungkapkan” (“Sifat Ilahi dan Takdir Abadi Anda,” Liahona, Mei 2022, 70).

  41. Lihat Matius 23:23. Presiden Joseph F. Smith memberi amaran: “Adalah sangat tidak bijak untuk mengambil cebisan kebenaran dan memperlakukannya seolah-olah ia adalah seluruh hal. … Semua asas Injil Kristus yang diungkapkan adalah perlu dan penting dalam rancangan penyelamatan.” Dia menjelaskan lagi: “Ia bukanlah dasar yang baik atau ajaran yang baik untuk mengambil salah satu daripada ini, mengeluarkan satu dari seluruh rancangan kebenaran Injil, menjadikannya hobi istimewa, dan bergantung padanya untuk keselamatan dan kemajuan kita. … Semua itu diperlukan” (Gospel Doctrine, edisi ke-5 [1939], 122).

    Elder Neal A. Maxwell menjelaskan: “Asas-asas Injil … memerlukan penyelarasan. Apabila dikeluarkan dari satu sama lain atau diasingkan, penterjemahan dan pelaksanaan ajaran-ajaran ini mungkin menjadi liar. Kasih, jika tidak dikawal oleh perintah ketujuh, boleh menjadi alamiah. Perintah kelima menekankan menghormati ibu bapa, melainkan dikawal dengan perintah pertama, boleh mengakibatkan kesetiaan yang tidak terbatas terhadap ibu bapa yang menyimpang dan bukannya kepada Tuhan. … Bahkan kesabaran diseimbangkan dengan ‘menegur waktu tidur dengan ketajaman, apabila digerakkan oleh Roh Kudus’” [Ajaran dan Perjanjian 121:43]” (“Behold, the Enemy Is Combined,” Ensign, Mei 1993, 78–79).

    Presiden Marion G. Romney mengarah, “Menyelidiki [tulisan suci] untuk tujuan menemui apa yang Yesus ajarkan adalah seruan yang jauh dari memburunya untuk tujuan mencari petikan yang boleh ditekankan ke dalam pelayanan untuk menyokong kesimpulan yang telah ditakdirkan” (“Records of Great Worth,” Ensign, Sept. 1980, 3).

  42. Lihat 1 Korintus 2:4; Moroni 6:9. Elder Jeffrey R. Holland menekankan keperluan untuk menyampaikan injil Yesus Kristus dalam cara yang membawa kepada keteguhan rohani melalui kuasa Roh Kudus: “Tuhan tidak pernah memberi nasihat yang lebih tegas kepada Gereja daripada kita untuk mengajarkan injil ‘melalui Roh, bahkan Penolong yang diutuskan untuk mengajarkan kebenaran.’ Adakah kita mengajarkan injil ‘melalui Roh kebenaran?’ Dia bertanya. Atau adakah kita mengajarnya dengan ‘suatu cara yang lain? Dan jika melalui suatu cara yang lain,’ Dia memperingatkan, ‘ia bukanlah daripada Tuhan’ [Ajaran dan Perjanjian 50:14, 17–18]. … Tiada pembelajaran abadi yang boleh berlaku tanpa dihidupkan oleh Roh dari syurga. … Itulah yang ahli-ahli kita benar-benar inginkan. … Mereka mahu iman mereka diperkuatkan dan harapan mereka diperbaharui. Mereka mahu, secara ringkasnya, dipelihara oleh firman Tuhan yang baik, untuk diperkuatkan oleh kuasa syurga” (“A Teacher Come from God,” Ensign, Mei 1998, 26).

  43. Lihat Alma 13:23. Berbicara tentang Bapa Syurgawi kita, Presiden Russell M. Nelson bersaksi, “Dia berkomunikasi secara jelas, senyap, dan dengan kejelasan sehingga kita tidak boleh salah faham Dia” (“Dengarkanlah Dia,” Liahona, Mei 2020, 89).

  44. See Mazmur 26:3; Roma 13:10; 1 Korintus 13:1–8; 1 Yohanes 3:18.

  45. Lihat Mazmur 40:11.

  46. Lihat Roma 8:16.

  47. Lihat 1 Samuel 2:3; Matius 6:8; 2 Nefi 2:24; 9:20.

  48. Lihat Kejadian 17:1; Yeremia 32:17; 1 Nefi 7:12; Alma 26:35.

  49. Lihat Yeremia 31:3; 1 Yohanes 4:7–10; Alma 26:37.

  50. Lihat 2 Nefi 9; Ajaran dan Perjanjian 20:17–31; Musa 6:52–62.

  51. Lihat Yohanes 3:16; 1 Yohanes 4:9–10.

  52. Lihat Yohanes 8:29; 3 Nefi 27:13.

  53. Lihat Yohanes 15:12; 1 Yohanes 3:11.

  54. Lihat Lukas 22:39–46.

  55. Lihat Yohanes 19:16–30.

  56. Lihat Yohanes 20:1–18.

  57. Lihat 1 Korintus 15:20–22; Mosia 15:20–24; 16:7–9; Ajaran dan Perjanjian 76:16–17.

  58. Lihat Kisah Rasul-Rasul 11:17–18; 1 Timotius 1:14–16; Alma 34:8–10; Moroni 6:2–3, 8; Ajaran dan Perjanjian 19:13–19.

  59. Lihat Matius 11:28–30; 2 Korintus12:7–10; Filipi 4:13; Alma 26:11–13.

  60. Lihat Matius 16:18–19; Efesus 2:20.

  61. Lihat Matius 24:24; Kisah Rasul-Rasul 20:28–30.

  62. Lihat Ajaran dan Perjanjian 20:1–4; 21:1–7; 27:12; 110; 135:3; Joseph Smith—Sejarah 1:1–20.

  63. See Ajaran dan Perjanjian 1:14, 38; 43:1–7; 107:91–92.