Persidangan Umum
Berfikiran Selestial!
Persidangan Umum Oktober 2023


Berfikiran Selestial!

Pilihan anda akan menentukan ke mana anda akan hidup sepanjang keabadian, keadaan tubuh anda yang akan dibangkitkan, dan orang yang anda akan hidup bersama selamanya.

Saudara dan saudari yang dikasihi, saya amat bersyukur untuk berucap kepada anda hari ini. Pada usia saya, setiap hari baharu membawa kejutan yang menakjubkan dan mencabar. Tiga minggu lalu, saya tercedera otot-otot belakang saya. Oleh itu, dulu saya berdiri menyampaikan lebih dari 100 ucapan persidangan umum, hari ini saya fikir saya akan duduk. Saya berdoa agar Roh akan membawa pesanan saya ke dalam hati anda hari ini.

Baru-baru ini saya menyambut hari jadi saya yang ke-99 dan demikianlah bermula tahun ke-100 saya hidup. Saya sering ditanya rahsia untuk panjang hidup. Soalan yang lebih baik ialah “Apa yang saya telah pelajari selama hidup berabad?”

Masa hari ini tidak membenarkan saya menjawabnya dengan penuh, tetapi saya boleh kongsikan salah satu pengajaran terpenting yang saya telah pelajari.

Saya telah belajar bahawa rancangan Bapa Syurgawi bagi kita adalah menakjubkan, apa yang kita lakukan dalam kehidupan ini benar-benar penting, dan Korban Tebusan Juruselamat membolehkan rancangan Bapa kita.1

Semasa saya mengalami kesakitan besar disebabkan oleh kecederaan saya baru-baru ini, saya telah merasakan penghargaan yang lebih mendalam terhadap Yesus Kristus dan kurnia Korban Tebusan-Nya yang tidak dapat sepenuhnya difahami. Fikirkanlah! Juruselamat menderita “kesakitan dan kesengsaraan dan cubaan daripada setiap jenis”2 supaya Dia dapat menghibur kita, menyembuhkan kita, menyelamatkan kita pada masa yang memerlukan.3 Yesus Kristus menggambarkan pengalaman-Nya di Getsemani dan di Kalvari: “Penderitaan itu menyebabkan diri-Ku, bahkan Tuhan, yang terbesar daripada semuanya, menggeletar kerana kesakitan, dan berdarah pada setiap liang roma.”4 Kecederaan saya telah menyebabkan saya berulang kali merenungkan tentang “keagungan Yang Kudus dari Israel.”5 Semasa kesembuhan saya, Tuhan telah menyatakan kuasa ilahi-Nya dengan cara yang damai dan nyata.

Kerana Korban Tebusan Yesus Kristus yang tidak terhingga, rancangan Bapa Syurgawi kita adalah sempurna! Pemahaman rancangan Tuhan menjawab misteri-misteri hidup dan ketidakpastian masa depan kita. Ia membenarkan setiap kita memilih bagaimana kita akan tinggal di bumi dan di mana kita akan hidup selamanya. Fikiran yang tidak betul bahawa kita harus “makanlah, minumlah, dan bersukarialah, kerana esok kita mati; dan akan baik-baik saja bagi kita”6 adalah salah satu dusta yang paling tidak masuk akal di alam semesta.

Inilah berita baik rancangan Tuhan: hal-hal yang akan menjadikan kehidupan fana anda terbaik yang mungkin adalah hal-hal sama yang akan menjadikan hidup anda di sepanjang keabadian yang terbaik! Hari ini, untuk membantu anda layak untuk berkat-berkat yang Bapa Syurgawi ada untuk anda, saya menjemput anda untuk mengamalkan amalan “berfikiran selestial”!7 Berfikiran selestial bermaksud berfikiran rohani Kita belajar daripada nabi Yakub dalam Kitab Mormon bahawa “berfikiran rohani adalah kehidupan abadi.”8

Kefanaan adalah kelas induk dalam belajar memilih hal-hal yang paling penting yang kekal. Terlalu ramai orang yang hidup seolah-olah hidup ini sahaja yang ada. Walau bagaimanapun, pilihan anda hari ini akan menentukan tiga hal: di mana anda akan hidup sepanjang keabadian, jenis tubuh anda yang akan dibangkitkan, dan mereka yang anda akan hidup bersama selamanya. Jadi, berfikiran selestial.

Dalam pesanan pertama saya sebagai Presiden Gereja, saya menggalakkan anda untuk mula berfikir tentang penghujung. Ini bermaksud menjadikan kerajaan selestial sebagai matlamat abadi anda dan kemudian teliti mempertimbangkan ke mana setiap keputusan anda semasa di bumi akan menempatkan anda di dunia seterusnya.9

Tuhan telah jelas mengajar bahawa hanya lelaki dan wanita yang dimeteraikan sebagai suami dan isteri di bait suci, dan yang mentaati perjanjian mereka, akan bersama di sepanjang keabadian. Dia berkata, “Semua perjanjian, kontrak, ikatan, kewajipan, sumpah, ikrar, pelaksanaan, hubungan, persatuan, atau jangkaan, yang tidak dibuat dan dimasuki dan dimeteraikan oleh Roh Kudus perjanjian … akan berakhir apabila manusia mati.”10

Oleh itu, jika kita dengan tidak wajar memilih untuk mematuhi hukum telestial sekarang, kita memilih untuk dibangkitkan dengan tubuh telestial. Kita memilih untuk tidak hidup bersama keluarga kita buat selama-lamanya.

Jadi, saudara dan saudari yang dikasihi, bagaimana dan di mana dan dengan siapakah yang anda ingin hidup selamanya? Anda boleh memilih.11

Apabila anda membuat pilihan, saya menjemput anda untuk renung panjang—pandangan abadi. Utamakan Yesus Kristus dahulu, kerana kehidupan abadi anda bergantung pada iman anda kepada Dia dan dalam Korban Tebusan-Nya.12 Ia juga bergantung kepada kepatuhan anda terhadap hukum-hukum-Nya. Kepatuhan mendatangkan satu kehidupan yang gembira untuk anda hari ini dan ganjaran abadi yang besar di hari esok.

Apabila anda berhadapan dengan dilema, berfikiran selestial! Apabila diuji oleh godaan, berfikiran selestial! Apabila kehidupan atau orang yang dikasihi mengecewakan anda, berfikiran selestial! Apabila seseorang meninggal dunia pramatang, berfikiran selestial. Apabila seseorang menghidap penyakit dahsyat, berfikiran selestial. Apabila tekanan kehidupan mengelilingi anda, berfikiran selestial! Semasa anda pulih dari kemalangan atau kecederaan, seperti saya sekarang, berfikiran selestial!

Apabila anda fokus pada fikiran selestial, bersedialah untuk menghadapi pertentangan.13 Berdekad-dekad lalu, seorang rakan sekerja profesional mengkritik saya kerana mempunyai “terlalu banyak bait suci” dalam diri saya, dan lebih daripada seorang penyelia menghukum saya kerana kepercayaan saya. Tetapi, saya yakin bahawa berfikiran selestial mempertingkatkan kerjaya saya.

Apabila anda berfikiran selestial, hati anda akan berubah secara beransur-ansur. Anda akan ingin berdoa dengan lebih kerap dan lebih ikhlas. Jangan biarkan doa anda berbunyi seperti senarai beli-belah. Perspektif Tuhan melangkaui kebijaksanaan fana anda. Jawapan-Nya terhadap doa anda mungkin mengejutkan anda dan akan membantu anda untuk berfikiran selestial.

Pertimbangkan jawapan Tuhan kepada Joseph Smith ketika dia merayu untuk bantuan di Penjara Liberty. Tuhan mengajar Nabi bahawa penderitaan yang dialaminya akan memberinya pengalaman dan demi kebaikannya.14 “Jika engkau bertahan di dalamnya dengan baik,” Tuhan berjanji, “Tuhan akan memuliakan engkau di syurga.”15 Tuhan sedang mengajar Joseph untuk berfikiran selestial dan untuk membayangkan ganjaran abadi dan bukannya berfokus pada kesusahan yang menyeksa pada hari itu. Doa kita boleh—dan harus—[merupakan] perbincangan hidup dengan Bapa Syurgawi kita.

Semasa anda berfikiran selestial, anda akan mendapati diri anda mengelak apa-apa yang merompak hak pilihan anda. Apa-apa ketagihan—sama ada permainan, perjudian, hutang, dadah, alkohol, kemarahan, pornografi, seks, atau bahkan makanan—yang menyinggung Tuhan. Mengapa? Kerana obsesi anda menjadi tuhan anda. Anda melihat kepadanya, dan bukan kepada Dia, untuk ketenangan. Jika anda bergelut dengan ketagihan, carilah bantuan rohani dan profesional yang anda perlukan. Tolong jangan biarkan obsesi merompak anda dari kebebasan anda untuk mengikuti rancangan Tuhan yang menakjubkan.

Berfikiran selestial juga akan membantu anda mematuhi hukum kemurnian akhlak. Beberapa hal akan merumitkan kehidupan anda dengan lebih cepat daripada melanggar hukum ilahi ini. Bagi mereka yang telah membuat perjanjian dengan Tuhan, keadaan tidak berakhlak adalah salah satu cara yang paling cepat untuk kehilangan kesaksian anda.

Kebanyakan godaan musuh yang paling tidak henti-henti adalah melibatkan pelanggaran kemurnian moral. Kuasa untuk mencipta nyawa adalah satu hak istimewa ketuhanan yang Bapa Syurgawi benarkan anak-anak fana-Nya untuk jalankan. Oleh itu, Tuhan menetapkan garis panduan yang jelas untuk penggunaan kuasa ilahi yang hidup ini. Keintiman jasmani hanya untuk seorang lelaki dan seorang wanita yang telah berkahwin dengan satu sama lain.

Kebanyakan dunia tidak mempercayai ini, tetapi pendapat umum bukanlah penentu kebenaran. Tuhan telah mengisytiharkan bahawa tidak ada orang yang tidak bersih akan mencapai kerajaan selestial. Jadi, apabila anda membuat keputusan mengenai kemurnian akhlak, sila berfikiran selestial. Dan jika anda telah melanggar, saya merayu kepada anda untuk bertaubat. Datanglah kepada Kristus dan menerima janji-Nya tentang pengampunan yang lengkap semasa anda bertaubat sepenuhnya dari dosa-dosa anda.16

Apabila anda berfikiran selestial, anda akan melihat percubaan dan pertentangan dalam cahaya baharu. Apabila seseorang yang anda kasihi menyerang kebenaran, berfikiran selestial, dan tidak mempersoalkan kesaksian anda. Rasul Paulus bernubuat bahawa “pada akhir zaman beberapa orang akan menyangkal Kristus. Mereka akan taat kepada roh yang menyesatkan dan kepada ajaran roh jahat.”17

Tiada pengakhiran kepada penipuan musuh. Sila bersedia. Janganlah pernah menerima nasihat daripada mereka yang tidak percaya. Carilah bimbingan dari suara-suara yang anda boleh percaya—dari para nabi, pelihat, dan pewahyu dan dari bisikan Roh Kudus, yang “akan memperlihatkan kepadamu segalanya yang kamu harus lakukan.”18 Sila lakukan pekerjaan rohani untuk meningkatkan kemampuan anda untuk menerima wahyu peribadi.19

Apabila anda berfikiran selestial, iman anda akan meningkat. Apabila saya seorang pelatih muda, pendapatan saya adalah $15 sebulan. Pada satu malam, isteri saya Dantzel bertanya jika saya membayar persepuluhan dengan gaji kecil itu. Saya tidak membayar. Saya segera bertaubat dan mula membayar tambahan $1.50 dalam persepuluhan bulanan.

Adakah Gereja berbeza kerana kita menggandakan persepuluhan kita? Tentunya tidak. Walau bagaimanapun, menjadi pembayar penuh persepuluhan mengubah saya. Itu apabila saya belajar bahawa membayar persepuluhan adalah tentang iman, bukan wang. Semasa saya menjadi pembayar persepuluhan yang penuh, tingkap-tingkap syurga mula terbuka untuk saya. Saya menyifatkan beberapa peluang profesional berikutnya adalah kerana bayaran persepuluhan kita yang beriman.20

Membayar persepuluhan memerlukan iman, dan ia juga membina iman kepada Tuhan dan Putera Terkasih-Nya.

Memilih untuk menjalani kehidupan yang hemah dalam dunia yang seksualistik dan berpolitik membina iman.

Meluangkan lebih banyak masa di bait suci membina iman. Dan pelayanan anda dan penyembahan di bait suci akan membantu anda untuk berfikiran selestial. Bait suci adalah tempat wahyu. Di sana anda ditunjukkan bagaimana untuk maju ke arah kehidupan selestial. Di sana anda mendekati Juruselamat dan diberi akses yang lebih besar kepada kuasa-Nya. Di sana anda dibimbing dalam menyelesaikan masalah dalam hidup anda, bahkan masalah yang paling menyedihkan anda.

Tatacara dan perjanjian bait suci mempunyai kepentingan abadi. Kami terus membina lebih banyak bait suci untuk agar kemungkinan kekudusan ini menjadi realiti dalam kehidupan setiap anda. Kami bersyukur untuk mengumumkan rancangan kami untuk membina bait suci di setiap 20 lokasi berikut.

  • Savai’i, Samoa

  • Cancún, Mexico

  • Piura, Peru

  • Huancayo, Peru

  • Viña del Mar, Chile

  • Goiânia, Brazil

  • João Pessoa, Brazil

  • Calabar, Nigeria

  • Cape Coast, Ghana

  • Luanda, Angola

  • Mbuji-Mayi, Demokratik Republik Congo

  • Laoag, Filipina

  • Osaka, Jepun

  • Kahului, Maui, Hawaii

  • Fairbanks, Alaska

  • Vancouver, Washington

  • Colorado Springs, Colorado

  • Tulsa, Oklahoma

  • Roanoke, Virginia

  • Ulaanbaatar, Mongolia

Tuhan mengarahkan kita untuk membina bait suci ini untuk membantu kita berfikiran selestial. Tuhan hidup. Yesus ialah Kristus. Gereja-Nya telah dipulihkan untuk memberkati semua anak Tuhan. Saya bersaksi dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat Yohanes 6:38.

  2. Alma 7:11.

  3. Lihat Alma 7:12.

  4. Ajaran dan Perjanjian 19:18.

  5. 2 Nefi 9:40.

  6. 2 Nefi 28:7.

  7. Ia mungkin lebih mudah untuk bertaubat dan maju secara rohani di sini, sementara roh kita bersatu dengan tubuh kita, daripada di dunia seterusnya di antara masa kita mati dan dibangkitkan. Seperti Amulek mengajar bangsa Zoram yang murtad, “Kehidupan inilah waktu … bersedia untuk bertemu Tuhan” (lihat Alma 34:32–35).

  8. 2 Nefi 9:39.

  9. Lihat Mosia 4:30, di mana Raja Benyamin menasihati rakyatnya, “jika kamu tidak menjaga dirimu, dan fikiranmu, dan perkataan-perkataanmu, dan perbuatanmu, dan mematuhi perintah-perintah Tuhan, dan berterusan dalam iman … , kamu mestilah binasa”

  10. Ajaran dan Perjanjian 132:7; penekanan ditambah.

  11. Sudah tentu, hak pilihan anda tidak boleh mengatasi hak pilihan orang lain dan akibat-akibat yang datang. Saya mahu sangat dimeteraikan kepada ibu bapa saya. Tetapi, saya perlu tunggu sehingga mereka memilih untuk dianugerahi apabila mereka berumur lebih dari 80 tahun. Kemudian mereka dimeteraikan sebagai suami dan isteri, dan kami anak-anak dimeteraikan kepada mereka.

  12. Tulisan suci berulang kali bersaksi bahawa kurnia kehidupan abadi hanya boleh terjadi melalui jasa, belas kasihan, dan rahmat Juruselamat Yesus Kristus (lihat, contohnya, Moroni 7:41, juga lihat 2 Nefi 2:6–8, 27).

  13. Lihat 2 Nefi 2:11.

  14. Lihat Ajaran dan Perjanjian 122:7.

  15. Ajaran dan Perjanjian 121:8.

  16. Lihat Yesaya 1:16–18; Ajaran dan Perjanjian 58:42–43.

  17. 1 Timotius 4:1. Ayat seterusnya adalah, “Ajaran itu disampaikan oleh orang munafik dan pendusta yang tidak mempedulikan suara hati mereka” (ayat 2). Paulus juga mengisytiharkan bahawa semua yang “hidup beribadat dan bersatu dengan Kristus akan dianiaya” (2 Timotius 3:12).

  18. 2 Nefi 32:5; penekanan ditambahkan. Jika kita akan meminta,” kita akan, “menerima wahyu demi wahyu, pengetahuan demi pengetahuan” (Ajaran dan Perjanjian 42:61).

  19. Lihat Russell M. Nelson, “Wahyu untuk Gereja, Wahyu untuk Kehidupan Kita”, Liahona, Mei 2018, 96.

  20. Ini bukanlah untuk membayangkan perhubungan sebab dan kesan. Ada yang tidak pernah membayar persepuluhan memperoleh peluang profesional, sementara ada yang membayar persepuluhan pula tidak memperolehnya. Janjinya adalah tingkap-tingkap syurga akan dibukakan kepada pembayar persepuluhan. Sifat berkat-berkat akan berbeza.