Persidangan Umum
Kita Anak-anak-Nya
Persidangan Umum Oktober 2023


Kita Anak-anak-Nya

Kita mempunyai asal ilahi dan potensi tidak terhingga yang sama melalui rahmat Yesus Kristus.

Ingatkah anda pengalaman nabi Samuel ketika Tuhan menghantarnya ke rumah Isai untuk menyapukan minyak pada raja Israel yang baru? Samuel melihat Eliab, anak sulung Isai. Eliab, nampaknya, teguh dan kelihatan seperti seorang pemimpin. Samuel melihat itu dan membuat kesimpulan yang terburu. Ternyata ia kesimpulan yang salah, dan Tuhan mengajar Samuel: “Janganlah perhatikan tinggi badannya atau kacak rupanya; … Manusia melihat rupa tetapi Aku melihat hati.”1

Ingatkah anda pengalaman pengikut Ananias ketika Tuhan menghantarnya untuk memberkati Saul? Reputasi Saul telah mendahuluinya, dan Ananias telah mendengar tentang Saul dan penganiayaannya yang kejam terhadap para Orang Suci. Ananias mendengar dan membuat kesimpulan yang terburu bahawa dia tidak harus melayani Saul. Ternyata ia kesimpulan yang salah, dan Tuhan mengajar Ananias, “Aku sudah memilih dia untuk mengabdikan diri kepada-Ku, supaya dia memberitakan nama-Ku kepada bangsa-bangsa bukan Yahudi, raja-raja, dan umat Israel.”2

Apakah masalah Samuel dan Ananias dalam kedua-dua keadaan ini? Mereka melihat dengan mata dan mendengar dengan telinga, dan akibatnya, mereka menghakimi orang berdasarkan penampilan dan pendengaran.

Apabila guru Taurat dan orang Farisi melihat wanita yang dituduh berzina, apakah yang mereka lihat? Seorang wanita yang rosak akhlak, seorang pendosa yang patut dibunuh. Apabila Yesus melihatnya, apakah yang Dia lihat? Seorang wanita yang telah mengalah kepada kelemahan daging buat sementara tetapi boleh dipulihkan melalui pertaubatan dan Korban Tebusan-Nya. Apabila orang melihat ketua askar, yang hambanya sakit dengan lumpuh, apakah yang mereka lihat? Mereka mungkin nampak seorang penceroboh, orang asing, seorang yang dikeji. Apabila Yesus melihat dia, apakah yang Dia lihat? Seorang lelaki yang bimbang akan kesejahteraan ahli keluarganya, yang mencari Tuhan dengan ketulusan dan iman. Apabila orang melihat wanita dengan masalah pendarahan, apakah yang mereka lihat? Mungkin seorang wanita yang kotor, terbuang untuk dihina. Apabila Yesus melihatnya, apakah yang Dia lihat? Seorang wanita yang berpenyakit, keseorangan dan terasing kerana keadaan di luar kawalannya, yang berharap untuk disembuhkan dan tergolong semula.

Dalam setiap situasi, Tuhan melihat individu-individu ini sebagai diri asli mereka dan melayani setiap orang. Seperti Nefi dan adiknya Yakub mengisytiharkan:

“Dia menjemput mereka semua datang kepada Dia … , hitam dan putih, terikat dan bebas, lelaki dan perempuan; dan Dia mengingati orang kafir; dan semua adalah sama bagi Tuhan.”3

“Dan satu makhluk adalah sama berharganya dalam pandangan-Nya seperti yang lain.”4

Semoga kita juga tidak biarkan mata, telinga, atau ketakutan menyesatkan kita, tetapi buka hati dan minda dan melayani mereka yang di sekeliling kita sepertimana Dia telah lakukan.

Beberapa tahun yang lalu, isteri saya, Isabelle, menerima tugas pelayanan yang luar biasa. Dia diminta untuk melawat seorang balu warga emas dalam bahagian kami, seorang saudari yang mempunyai cabaran kesihatan dan kesunyiannya telah membawa kepahitan ke dalam hidupnya. Tirainya ditutup; pangsapurinya pengap; dia tidak mahu dikunjungi dan menjelaskan bahawa “tidak ada apa-apa yang boleh saya lakukan untuk sesiapa pun.” Isabelle menjawab, “Ya, ada! Kamu boleh melakukan sesuatu bagi kami dengan membenarkan kami datang melawat kamu.” Dan Isabelle masuk dengan iman.

Beberapa waktu kemudian, saudari baik ini mempunyai pembedahan pada kakinya, yang memerlukan balutannya ditukar setiap hari, sesuatu yang dia tidak dapat lakukan bagi sendiri. Selama berhari-hari, Isabelle pergi ke rumahnya, membasuh kakinya, dan tukar balutan dia. Dia tidak melihat keburukan; dia tidak terhidu bau busuk. Dia hanya melihat anak Tuhan cantik yang memerlukan kasih sayang dan penjagaan yang lembut.

Selama bertahun-tahun, saya dan ramai yang lain telah diberkati oleh kurnia Isabelle untuk melihat sepertimana Tuhan lihat. Sama ada anda adalah presiden pancang atau penyambut bahagian, sama ada anda raja England atau tinggal dalam satu pondok, sama ada anda bercakap bahasanya atau yang lain, sama ada anda mematuhi semua perintah atau bergelut dengan beberapa perintah, Isabelle akan melayani anda dengan makanan terbaik dengan pinggannya yang terbaik. Status ekonomi, warna kulit, latar belakang kebudayaan, kewarganegaraan, tahap kesolehan, kedudukan sosial, atau pengenalan atau label lain tiada maksud baginya. Dia melihat dengan hatinya; dia melihat anak Tuhan dalam semua orang.

Presiden Russell M. Nelson telah mengajarkan:

“Musuh bersukacita dalam label kerana mereka memisahkan kita dan menyekat cara kita berfikir tentang diri kita dan satu sama lain. Betapa sedihnya apabila kita menghormati label lebih daripada kita menghormati satu sama lain.

“Label boleh membawa kepada penghakiman dan permusuhan. Sebarang penderaan atau prasangka terhadap orang lain kerana kewarganegaraan, bangsa, orientasi seksual, jantina, ijazah pendidikan, budaya atau pengenalan ketara lain menyinggung Pencipta kita!”5

Perancis bukanlah siapa saya; di situlah saya dilahirkan. Putih bukanlah siapa saya; ia adalah warna kulit saya, atau kekurangannya. Profesor bukanlah siapa saya; ia adalah apa yang saya lakukan untuk menyokong keluarga saya. Penguasa Umum Tujuh Puluh bukanlah siapa saya; ia adalah di mana saya melayani dalam kerajaan pada waktu ini.

“Pertama dan terulung,” seperti Presiden Nelson mengingatkan kita, saya seorang “anak Tuhan.”6 Demikian juga anda, dan semua yang di sekeliling kita. Saya berdoa agar kita boleh lebih menghargai kebenaran yang menakjubkan ini. Ia mengubah segala-galanya!

Kita dibesarkan dalam budaya yang berbeza; kita datang dari keadaan sosioekonomi yang berbeza; warisan kita, termasuk kewarganegaraan kita, warna kulit, pilihan makanan, orientasi politik dan lain-lain juga amat berbeza. Tetapi kita anak-anak-Nya, tiada yang dikecualikan. Kita mempunyai asal ilahi dan potensi tidak terhingga yang sama melalui rahmat Yesus Kristus.

C. S. Lewis mengatakan: “Ia suatu hal yang serius untuk hidup dalam masyarakat yang mungkin mempunyai dewa dan dewi, untuk mengingati bahawa orang yang paling tidak menarik yang berbicara dengan anda suatu hari nanti mungkin adalah makhluk yang, jika anda melihatnya sekarang, anda akan sangat tergoda untuk menyembah. … Tidak ada orang yang biasa. Anda tidak pernah bercakap dengan seorang fana biasa. Bangsa, budaya, seni, tamadun—inilah yang fana, dan kehidupan itu bagaikan kehidupan seekor agas bagi kita. Tetapi orang baqalah yang kita berjenaka, bekerja dengan, berkahwin, menghina, dan mengeksploitasikan.”7

Keluarga kami mempunyai peluang istimewa untuk tinggal di negara dan budaya yang berbeza; anak-anak kami telah diberkati untuk berkahwin dalam bangsa-bangsa yang berbeza. Saya sedar bahawa injil Yesus Kristus adalah penyeimbang yang hebat. Apabila kita benar-benar memeluknya, “Roh Tuhan bersama dengan roh kita menyatakan bahawa kita anak-anak Tuhan.”8 Kebenaran menakjubkan ini membebaskan kita, dan semua label dan perbezaan yang mungkin menimpa kita dan hubungan kita dengan satu sama lain adalah “tertelan dalam … Kristus.”9 Ia akan menjadi jelas bahawa kita, dan juga orang lain, “bukan lagi orang asing ataupun pendatang, Sekarang kamu warga umat Tuhan dan anggota keluarga Tuhan.”10

Baru-baru ini saya dengar seorang presiden cabang dari salah satu unit bahasa pelbagai budaya kita merujuk kepada ini, sepertimana dilakukan oleh Elder Gerrit W. Gong, sebagai pemilikan perjanjian.11 Betapa indah konsep itu! Kita tergolong kepada sekumpulan orang yang cuba meletakkan Juruselamat dan perjanjian mereka di pusat kehidupan mereka dan mematuhi injil dengan gembira. Oleh itu, daripada melihat satu sama lain melalui kanta kefanaan yang cacat, injil meningkatkan penglihatan kita dan membenarkan kita melihat satu sama lain melalui kanta sempurna yang tidak berubah dari perjanjian kudus kita. Dengan berbuat demikian, kita mula menghapuskan prasangka dan berat sebelah kita sendiri terhadap orang lain, yang membantu mereka mengurangkan prasangka dan berat sebelah terhadap kita,12 dalam kitaran mulia yang menakjubkan. Sesungguhnya, kita mengikuti jemputan nabi yang dikasihi: “Saudara dan saudari yang dikasihi, bagaimana kita melayani satu sama lain benar-benar penting! Bagaimana kita bercakap dengan dan tentang orang lain di rumah, di gereja, di tempat kerja dan online benar-benar penting. Hari ini, saya minta kita untuk berinteraksi dengan orang lain dalam cara yang lebih tinggi dan lebih kudus.”13

Tengah hari ini, saya ingin menambahkan janji saya bersama anak-anak Sekolah Primer yang menakjubkan:

Bila kau tak pandai berjalan,

Orangpun menjauhimu,

‘Ku tak begitu!

Bila kau tak pandai berbicara,

Orang mentertawakanmu,

‘Ku tak begitu!

Aku akan menolongmu.

Kar’na ku mengasihimu.

Yesuspun melayani,

Mengasihi semua orang.

Akupun mau! Aku mau!14

Saya bersaksi bahawa Dia yang kita panggil Bapa Syurgawi memanglah Bapa kita. Dia mengasihi kita dan mengenali setiap anak-Nya secara peribadi. Dia sangat mengambil berat tentang setiap orang dan kita semua sama rupa dengan-Nya. Saya bersaksi bahawa cara kita melayan satu sama lain adalah petunjuk kepada pemahaman dan penghargaan kita untuk pengorbanan dan Korban Tebusan Putera-Nya, Juruselamat kita, Yesus Kristus. Saya berdoa agar, seperti Dia, kita boleh mengasihi orang lain kerana itulah tindakan yang betul, bukan kerana orang lain berbuat demikian atau buat menurut pandangan orang lain. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. 1 Samuel 16:7.

  2. Kisah Rasul-Rasul 9:15.

  3. 2 Nefi 26:33.

  4. Yakub 2:21.

  5. Russell M. Nelson, “Pilihan untuk Keabadian.”” (pertemuan rohani belia sedunia, 15 Mei 2022), Gospel Library.

  6. Russell M. Nelson, “Pilihan untuk Keabadian.”

  7. C. S. Lewis, The Weight of Glory and Other Addresses (1949), 14–15.

  8. Roma 8:16.

  9. Alma 31:38.

  10. Efesus 2:19.

  11. Lihat Gerrit W. Gong, “Pemilikan Perjanjian,” Liahona, Nov. 2019, 80–83.

  12. Lihat Dale G. Renlund dan Ruth Lybbert Renlund, The Melchizedek Priesthood: Understanding the Doctrine, Living the Principles (2018), 112.

  13. Russell M. Nelson, “Pendamai Diperlukan,” Liahona, Mei 2023, 99.

  14. Aku Akan Menolongmu,” Buku Nyanyian Anak-Anak, 78.