Persidangan Umum
Lebih Daripada Seorang Wira
Persidangan Umum Oktober 2023


Lebih Daripada Seorang Wira

Yesus Kristus bukan sahaja wira kita, Dialah Tuhan dan Raja kita, Juruselamat dan Penebus manusia.

Dari 1856 hingga 1860, beribu-ribu perintis Orang Suci Zaman Akhir menarik harta milik mereka dengan gerabak tangan sejauh 1,000 batu (1,600 km) ke Lembah Salt lake. Seratus enam puluh tujuh tahun yang lalu minggu ini, pada 4 Oktober 1856, Presiden Brigham Young terkejut apabila belajar bahawa dua kumpulan gerabak tangan, yang dipimpin oleh Edward Martin dan James Willie, masih beratus-ratus batu dari Salt Lake, dengan musim sejuk yang hampir datang.1 Pada keesokan harinya, tidak jauh daripada persidangan ini, Presiden Young berdiri di hadapan para Orang Suci dan berkata, “Ramai saudara dan saudari kita berada di dataran dengan gerabak tangan mereka, dan mereka mesti dibawa ke sini … Pergi dan bawa mereka yang berada di dataran.”

Hanya dua hari kemudian, kumpulan penyelamat pertama berlepas untuk mencari para perintis gerabak tangan itu.

Seorang ahli kumpulan Willie menggambarkan keadaan terdesak sebelum ketibaan pasukan penyelamat utama. Dia berkongsi: “Apabila semua kelihatan akan hilang, dan nampaknya tiada lagi harapan, … seperti kilat muncul dari langit yang cerah, Tuhan menjawab doa kami. Sepasukan penyelamat, membawa makanan dan bekalan … , muncul dalam pandangan … Betapa kami bersyukur kepada Tuhan atas penyelamatan kami.”3

Para penyelamat ini adalah wira-wira kepada para perintis, membahayakan nyawa mereka sendiri dalam keadaan cuaca yang ekstrem demi membawa pulang sebanyak mungkin orang dengan selamat. Salah seorang wira itu ialah Ephraim Hanks.

Pada pertengahan Oktober, dan tanpa menyedari keadaan gerabak tangan, Hanks sedang pulang ke rumahnya di Salt Lake selepas satu perjalanan, apabila, pada malam tersebut, dia dibangunkan oleh satu suara yang berkata, “Rombongan gerabak tangan berada dalam kesulitan, dan anda diperlukan; adakah anda akan pergi dan membantu mereka?”

Dengan soalan itu bergema ke dalam fikirannya, dia segera kembali ke Salt Lake City. Dan setelah mendengar Presiden Heber C. Kimball memanggil sukarelawan tambahan, Hanks pergi dengan sendiri pada hari berikutnya untuk membantu. Dengan pantas, dia mengejar penyelamat lain yang sedang dalam perjalanan dan, setelah mencapai kumpulan Martin, Hanks berkata, ‘Pemandangan yang saya lihat di saat saya memasuki perkhemahan mereka akan kekal dalam ingatan saya … [dan] sudah cukup untuk menyentuh hati yang paling teguh.4

Pada hari-hari berikutnya Ephraim Hanks pergi dari khemah ke khemah untuk memberkati orang sakit. Dia menceritakan bahawa “dalam puluhan kejadian, ketika kami melayan orang sakit, dan mengecam penyakit dalam nama Tuhan Yesus Kristus, para penderita akan pulih bersama; mereka sembuh hampir segera.”5 Ephraim Hanks akan selamanya menjadi seorang wira bagi para perintis gerabak tangan itu.

Seperti penyelamatan hebat itu, kebanyakan peristiwa yang mempengaruhi aliran sejarah adalah hasil keputusan dan pencapaian individu lelaki dan wanita—pencapaian pelukis, ahli sains, pemimpin bisnes dan ahli politik. Individu-individu luar biasa ini sering dihormati sebagai wira, dengan monumen dan peringatan yang dibina untuk memperingati pencapaian mereka.

Ketika saya masih kecil, wira pertama saya adalah atlet sukan. Kenangan awal saya adalah mengumpulkan kad-kad besbol dengan gambar dan statistik pemain Besbol Liga Utama. “Pemujaan wira” sebagai seorang kanak-kanak adalah menyenangkan dan tidak berbahaya … seperti kanak-kanak berpakaian sebagai superhero kegemaran mereka untuk Halloween. Walaupun kita mengagumi dan menghormati ramai lelaki dan wanita berbakat dan luar biasa demi kebolehan dan sumbangan mereka, tahap di mana mereka dihormati, jika berlebihan, boleh menjadi seperti anak-anak Israel yang menyembah patung anak lembu emas di padang belantara Sinai.

Sebagai orang dewasa, apa yang seronok pada masa kanak-kanak boleh menjadi satu batu penghalang apabila “pemujaan wira” terhadap ahli politik, penulis blog, pempengaruh, atlet atau pemuzik membuatkan kita melihat “melampaui sasaran”6 dan kehilangan fokus terhadap apa yang sebenarnya penting.

Bagi anak-anak Israel, cabarannya bukanlah emas yang dibawa bersama dalam perjalanan mereka ke tanah yang dijanjikan, tetapi mereka benarkan emas itu menjadi patung berhala, yang kemudian menjadi objek pemujaan mereka, mengalihkan perhatian mereka dari Yehova, yang telah memisahkan Laut Merah dan membebaskan mereka dari perhambaan. Fokus mereka pada anak lembu menjejaskan keupayaan mereka untuk menyembah Tuhan yang benar.7

Wira itu—wira kita, kini dan sentiasa, adalah Yesus Kristus, dan segala sesuatu, atau sesiapa pun, yang mengalihkan perhatian kita dari ajaran-Nya, sebagaimana terdapat dalam kitab suci dan melalui kata-kata para nabi yang hidup, dapat menjadi kesan negatif bagi kemajuan kita dalam jalan perjanjian. Sebelum Penciptaan dunia ini, kita memandang kepada Yesus Kristus apabila ia menjadi jelas bahawa rancangan yang dicadangkan oleh Bapa di Syurga, yang termasuk peluang untuk maju dan menjadi seperti Dia, telah dicabar.

Yesus Kristus bukan sahaja pejuang dalam mempertahankan rancangan Bapa kita, tetapi Dia juga yang akan memainkan peranan yang paling penting dalam pelaksanaannya. Dia menjawab Bapa dan dengan sukarela menawarkan diri-Nya “menyelamatkan manusia,”8 untuk membayar hutang kerana setiap kita akan melalui dosa tetapi tidak dapat membayarnya sendiri.

Presiden Dallin H. Oaks telah mengajar, “[Yesus Kristus] telah melakukan semua yang penting untuk perjalanan kefanaan kita kepada takdir yang digariskan dalam rancangan Bapa Syurgawi kita.”9

Di Taman Getsemani, apabila menghadapi tugas yang begitu besar, Juruselamat menyatakan dengan berani, “Janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu berlakulah,” dan terus mengambil ke atas diri-Nya kesakitan, penyakit dan penderitaan bagi dosa-dosa semua orang yang akan hidup.10 Dengan pematuhan dan komitmen yang sempurna, Yesus Kristus menyelesaikan perkara yang agung dan berani dalam semua penciptaan yang memuncak ke Kebangkitan-Nya yang mulia.

Dalam persidangan umum baru-baru ini, Presiden Russell M. Nelson mengingatkan kita: “Semua soalan atau masalah yang anda ada, jawapannya sentiasa boleh didapati dari kehidupan dan ajaran Yesus Kristus. Belajarlah tentang Korban Tebusan-Nya, kasih, belas kasihan, ajaran, dan injil-Nya yang dipulihkan tentang penyembuhan dan perkembangan. Berpalinglah kepada Tuhan! Ikutlah Dia!”11 Dan saya mahu tambah, “Pilihlah Dia.”

Dalam dunia kompleks ini, kita boleh tergoda untuk berpaling kepada wira-wira masyarakat untuk memberi kejelasan kepada kehidupan sewaktu keadaan kelihatan keliru atau amat berat. Kita membeli pakaian yang mereka taja, bersetuju dengan politik yang disokong, dan mengikut cadangan yang dikongsi di media sosial. Ini mungkin baik untuk mengalih perhatian sementara, tetapi kita mesti berwaspada agar jenis pemujaan wira ini tidak menjadi anak lembu emas kita. Memilih wira yang benar mempunyai akibat abadi.

Apabila keluarga kami tiba di Sepanyol untuk pelayanan kami sebagai pemimpin misi, kami menemui satu petikan yang di kongsi dari Elder Neal A. Maxwell yang mempunyai kaitan dengan wira yang kita pilih untuk ikuti. Dia berkata, “Jika kamu belum memilih kerajaan Tuhan terlebih dahulu, maka tidak pentingnya apa yang kamu pilih akhirnya.”12 Saudara dan saudari, kita memilih kerajaan Tuhan apabila kita memilih Yesus Kristus, Raja di atas segala raja. Pilihan lain adalah sama dengan memilih daging manusia, atau anak lembu emas, dan akhirnya akan menggagalkan kita.

Dalam Kitab Daniel di Perjanjian Lama, kita membaca cerita Sadrakh, Mesakh dan Abednego, yang mengetahui dengan jelas pilihan wira mereka—dan bukan seorang pun daripada dewa-dewa Raja Nebukadnezar. Mereka berani berkata:

“Tuhan yang kami sembah itu sanggup menyelamatkan kami dari relau yang bernyala-nyala. …

“Tetapi seandainya Dia tidak melakukannya juga, hendaklah tuanku maklum bahawa kami tidak akan menyembah dewa tuanku mahupun sujud menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.”13

Seperti yang Rasul Paulus ajarkan, “Ada banyak yang disebut dewa dan tuhan,”14 Tambahan saya, kita juga dijemput untuk menunduk, menyembah dan memeluk ramai wira … Tetapi seperti tiga kawan Daniel tahu, hanya ada seorang yang dijamin untuk membebaskan—kerana Tuhan sudah dan selalu akan beri kebebasan.

Bagi kita, dalam perjalanan kita untuk kembali ke hadirat Tuhan, ke tanah yang dijanjikan, bukanlah ahli politik, pemuzik, atlet atau vlogger yang merupakan masalah tetapi, memilih untuk membenarkan mereka menjadi objek utama perhatian dan fokus kita daripada Juruselamat dan Penebus kita.

Kita memilih Dia, Yesus Kristus, semasa kita memilih untuk menghormati hari-Nya sama ada kita berada di rumah atau bercuti. Kita memilih Dia semasa kita memilih firman-Nya melalui tulisan suci dan ajaran-ajaran para nabi hidup. Kita memilih Dia semasa kita memilih untuk memegang kad rekomen bait suci dan hidup layak untuk kegunaannya. Kita memilih Dia semasa kita menjadi pendamai dan enggan bertengkar, “terutamanya apabila kita mempunyai perbezaan pendapat.”15

Tiada pemimpin yang telah menunjukkan lebih banyak keberanian, tiada kebaikan kemanusiaan yang lebih baik, tiada doktor yang menyembuhkan lebih banyak penyakit dan tiada pelukis yang lebih kreatif daripada Yesus Kristus.

Dalam dunia yang ramai wira, dengan monumen dan muzium yang dikhaskan untuk pencapaian lelaki dan wanita fana, terdapat Seorang yang berdiri di atas semua yang lain. Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus bukan sahaja wira kita; Dialah Tuhan dan Raja kita, Juruselamat dan Penebus manusia. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Kajian yang ditumpukan kepada kumpulan gerabak tangan Willie dan Martin termasuk LeRoy R. dan Ann W. Hafen, Handcarts to Zion: The Story of a Unique Western Migration, 1856–1860 (1960); Rebecca Cornwall dan Leonard J. Arrington, Rescue of the 1856 Handcart Companies (1981); Howard K. dan Cory W. Bangerter, Tragedy and Triumph: Your Guide to your Rescue of the 1856 Willie and Martin Handcart Companies, 2nd ed. (2006); and Andrew D. Olsen, The Price We Paid: The Extraordinary Story of the Willie dan Martin Handcart Pioneers (2006).

  2. Brigham Young, “Remarks,” Deseret News, 15 Okt. 1856, 252.

  3. John Oborn, “Brief History of the Life of John Oborn, Pioneer of 1856,” 2, in John Oborn reminiscences and diary, circa 1862–1901, Church History Library, Salt Lake City.

  4. Naratif Ephraim K. Hanks, dalam Andrew Jenson, “Church Emigration,” Contributor, Mac 1893, 202–3.

  5. Hanks, dalam Jenson, “Church Emigration,” 204.

  6. Yakub 4:14.

  7. Lihat Keluaran 32.

  8. 1 Timotius 2:6; lihat juga Matius 20:28.

  9. Dallin H. Oaks, “Apakah Yang Juruselamat Telah Lakukan Untuk Kita?,” Liahona, Mei 2021, 75.

  10. Lihat Lukas 22:39–44.

  11. Russell M. Nelson, “Jawapannya Selalu Yesus Kristus,” Liahona, Mei 2023, 127.

  12. Oleh William Law, seorang paderi Inggeris dalam abad kelapan belas; dipetik dalam Neal A. Maxwell, “Response to a Call,” Ensign, Mei 1974, 112.

  13. Lihat Daniel 3:13–18.

  14. 1 Korintus 8:5.

  15. Russell M. Nelson, “Pendamai Diperlukan,” Liahona, Mei 2023, 98.