Persidangan Umum
Persepuluhan: Membuka Tingkap-tingkap Syurga
Persidangan Umum Oktober 2023


Persepuluhan: Membuka Tingkap-tingkap Syurga

Tingkap-tingkap syurga berbuka dalam pelbagai cara. Percayalah pada masa Tuhan; berkat-berkat sentiasa datang.

Saudara dan saudari yang dikasihi, semasa saya berada di Amerika Selatan baru-baru ini, Brother Roger Parra dari Venezuela berkongsi pengalaman berikut dengan saya:

“Pada tahun 2019, Venezuela mengalami gangguan yang menyebabkan tiada bekalan elektrik selama lima hari.

“Huru-hara dan anarki di merata tempat, dan ramai orang terdesak kerana kekurangan makanan.

“Ada yang mula mencuri dari perniagaan makanan, memusnahkan segala dalam laluan mereka.

“Sebagai pemilik kedai roti kecil, saya amat risau tentang perniagaan kami. Sebagai sebuah keluarga, kami bersetuju untuk memberi semua makanan dari kedai kami kepada orang dalam keperluan.

“Terdapat satu malam di mana rusuhan berlaku di merata tempat. Kebimbangan utama saya ialah keselamatan isteri dan anak-anak saya.

“Saya pergi ke kedai roti kami pada masa pagi. Malangnya, setiap kedai makanan berdekatan telah dimusnahkan oleh para pencuri, tetapi saya terkejut untuk melihat kedai saya masih elok. Tiada apa pun yang telah dimusnahkan. Dengan rendah hati, saya mengucap syukur kepada Bapa Syurgawi.

“Apabila tiba di rumah, saya memberitahu keluarga saya tentang berkat dan perlindungan Tuhan.

“Mereka semua sangat bersyukur.

“Anak sulung saya, Rogelio, yang hanya berumur dua belas tahun, berkata, ‘Papa! Saya tahu mengapa kedai kita dilindungi. Kamu dan Mama selalu membayar persepuluhan.’”

Brother Parra menyimpulkan: “Kata-kata Maleakhi datang ke minda saya. ‘Aku tidak akan membiarkan serangga merosakkan tanaman kamu’ [Maleakhi 3:11]. Kami melutut dan mengucap syukur kepada Bapa Syurgawi dan mukjizat-Nya.”1

Imej
Keluarga Parra.

Ujilah Aku

Segala yang kita miliki dan menjadi adalah daripada Tuhan. Sebagai pengikut Kristus, kita berkongsi secara sukarela dengan orang di sekeliling kita.

Dengan semua yang Tuhan berikan kita, Dia telah meminta kita untuk kembalikan kepada-Nya dan kerajaan-Nya di bumi 10 peratus peningkatan kita. Dia berjanji bahawa apabila kita jujur dalam persepuluhan kita, Dia akan “membuka tingkap-tingkap syurga, dan melimpahi … segala yang baik.”2 Dia telah berjanji kepada kita bahawa Dia akan melindungi kita dari kejahatan.3 Janji-janji ini sungguh muktamad,4 sehinggakan Tuhan berfirman, “Ujilah Aku,”5 satu frasa yang tidak dijumpai dalam tulisan suci lain selain ayat Maleakhi.

Tingkap-tingkap syurga berbuka dalam pelbagai cara. Ada yang duniawi, tetapi kebanyakannya rohani. Ada yang halus dan mudah diabaikan. Percayalah pada masa Tuhan; berkat-berkat sentiasa datang.

Kita bersedih dengan mereka yang bergelut untuk memperoleh keperluan hidup. Gereja baru-baru ini mendermakan $54 juta dolar Amerika kepada kanak-kanak dan ibu yang terjejas di seluruh dunia.6 Dan dengan dermaan dari puasa bulanan anda, uskup-uskup kita membantu ribuan orang setiap minggu yang memerlukan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Satu-satunya penyelesaian muktamad untuk kemiskinan dunia ialah injil Yesus Kristus.7

Perihal Iman

Rasul Paulus memberi amaran bahawa kebijaksanaan manusia memahami hal-hal duniawi tetapi sukar untuk memahami hal-hal Tuhan.8 Dunia bercakap tentang persepuluhan dari segi wang, tetapi hukum persepuluhan kudus itu berdasarkan keimanan. Berjujur dalam persepuluhan adalah cara kita menunjukkan kerelaan untuk mengutamakan Tuhan dalam kehidupan kita, melebihi kepentingan dan minat sendiri. Saya berjanji kepada anda semasa anda percaya kepada Tuhan, berkat-berkat syurga akan datang.

Yesus berfirman “berikan apa yang menjadi milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan apa yang menjadi milik Tuhan kepada Tuhan.”9 Juruselamat yang dibangkit memintakan bangsa Nefi untuk catatkan dalam rekod tentang janji-janji yang didapati dalam Maleakhi.10 Dalam zaman kita, Tuhan menegas semula hukum persepuluhan ilahi, dengan berfirman: “Ini akan menjadi permulaan persepuluhan umat-Ku. Dan [mereka] akan membayar sepersepuluh daripada seluruh pendapatan tahunan mereka; dan ini akan menjadi sebuah hukum yang tetap bagi mereka untuk selamanya.”11

Tuhan dengan jelasnya mengarahkan bagaimana persepuluhan harus dibayar, iaitu, “Bawalah seluruh persepuluhan kamu ke Rumah-Ku,”12 yang bermaksud bawalah persepuluhan ke dalam kerajaan-Nya yang dipulihkan, Gereja Yesus Kristus Dari Orang Suci Zaman Akhir.13 Dia mengarahkan bahawa penggunaan persepuluhan kudus harus dipertimbangkan dengan doa oleh majlis Presidensi Utama, Kuorum Dua Belas Rasul, Uskup Utama, “dan melalui suara-Ku sendiri kepada mereka, firman Tuhan.”14

Dana Kudus Tuhan

Dana kudus ini bukan milik pemimpin-pemimpin Gereja. Ia milik Tuhan. Para orang suruhannya menyedari sifat kudus pengawasan mereka.

Presiden Gordon B. Hinckley menceritakan pengalaman masa kecilnya: “Ketika kecil saya telah mengemukakan satu soalan kepada bapa saya … berkenaan perbelanjaan dana Gereja. Dia mengingatkan saya bahawa kewajipan yang Tuhan berikan saya adalah untuk membayar persepuluhan dan sumbangan saya. Setelah berbuat demikian, [ayah berkata,] apa yang saya berikan bukanlah milik saya lagi. Ia kini kepunyaan Tuhan yang saya telah baktikan kepada.” Bapa dia menambah: “Apa yang pihak berkuasa Gereja lakukan dengan sumbangan saya tiada kaitan dengan [kamu, Gordon]. Mereka bertanggungjawab kepada Tuhan, yang akan menerima laporan penggunaan wang tersebut.”15

Kita merasai keberatan tentang “bertanggungjawab kepada Tuhan.”

Pemberian Sepersepuluh dan Sumbangan Anda

Dari pemberian persepuluhan dan sumbangan yang anda telah baktikan kepada Tuhan, lebih daripada satu bilion dolar Amerika telah digunakan untuk memberkati mereka yang memerlukannya pada tahun lepas.16

Dalam tanggungjawab kita untuk membawa injil yang dipulihkan ke seluruh dunia, kita mempunyai lebih daripada 71,000 orang misionari melayani dalam 414 misi.17 Oleh kerana persepuluhan dan sumbangan anda, para misionari, tidak kira keadaan kewangan keluarga mereka, dapat melayani.

Bait suci sedang dibina di seluruh dunia dalam bilangan yang tidak pernah terjadi sebelum ini. Sekarang, 177 bait suci telah beroperasi, 59 sedang dibina atau diubah suai, dan 79 lagi dalam perancangan dan direka bentuk.18 Persepuluhan anda membenarkan berkat-berkat bait suci dibawa ke tempat yang hanya Tuhan dapat lihat.

Terdapat lebih daripada 30,000 jemaah yang ditempatkan dalam beribu-ribu bangunan gereja dan kemudahan lain di 195 negara dan wilayah.19 Kerana persepuluhan setia anda, Gereja sedang dibina di tempat yang anda mungkin tidak akan kunjungi ataupun kenali Orang Suci soleh di situ.

Gereja kini menaja lima institusi pengajian tinggi.20 Ini melayani lebih daripada 145,000 orang pelajar. Satu ratus dan sepuluh ribu kelas diajar setiap minggu di seminari dan institut kita.21

Berkat-berkat ini dan banyak lagi datang secara besar-besaran daripada orang muda dan tua yang membayar persepuluhan dengan jujur.

Kuasa rohani daripada hukum persepuluhan ilahi tidak diukur dengan jumlah wang yang disumbangkan, tetapi Tuhan perintahkan yang makmur dan yang miskin untuk menyumbang 10 peratus dari pendapatan mereka.22 Kuasa datang dari menaruh kepercayaan kita kepada Tuhan.23

Hasil sumbangan Tuhan yang terdiri daripada persepuluhan anda telah memperkuatkan simpanan Gereja, menyediakan peluang untuk memajukan pekerjaan Tuhan melampaui apa pun yang kita telah alami. Tuhan tahu segalanya, dan tiba masanya, apabila kita akan melihat tujuan kudus-Nya digenapi.24

Berkat-berkat Datang dalam Pelbagai Cara

Berkat-berkat persepuluhan datang dalam pelbagai cara. Pada tahun 1998, saya menemani Elder Henry B. Eyring ke satu pertemuan Gereja yang besar di kawasan Utah yang kini dikenali sebagai Silicon Slopes, satu komuniti inovasi yang hebat dalam teknologi. Ia merupakan masa yang semakin makmur, dan Elder Eyring memberi amaran kepada Orang Suci tentang sikap membandingkan apa yang mereka ada dengan orang lain dan keinginan lebih. Saya akan sentiasa mengingati janji-Nya, bahawa apabila mereka membayar persepuluhan yang jujur, keinginan mereka untuk peroleh lebih banyak akan berkurangan. Dalam masa dua tahun, keruntuhan saham teknologi berlaku. Ramai kehilangan pekerjaan mereka, dan banyak syarikat bergelut pada masa penyesuaian kewangan ini. Mereka yang mengikuti nasihat Presiden Eyring telah diberkati.

Janjinya mengingatkan saya tentang satu lagi pengalaman lain. Saya bertemu dengan Charlotte Hlimi yang berumur 12 tahun berdekatan Carcassonne, France, pada tahun 1990 semasa melayan sebagai presiden misi. Keluarga Hlimis adalah sebuah keluarga beriman yang tinggal di sebuah pangsapuri dengan lapan orang anak. Mereka mempunyai satu gambar Juruselamat dan nabi di atas dinding. Dalam temu duga untuk berkat bapa bangsanya, saya tanya Charlotte jika dia telah membayar persepuluhan dengan jujur. Dia menjawab, “Ya, Presiden Andersen. Ibu saya mengajar bahawa terdapat berkat duniawi dan berkat rohani yang datang dari membayar persepuluhan kita. Ibu saya mengajar jika kita selalu membayar persepuluhan, kita tidak akan kekurangan. Dan Presiden Andersen, kami tidak kekurangan.”

Imej
Keluarga Hlimi.

Charlotte, kini berusia 45 tahun dan dimeterai di bait suci telah membenarkan saya kongsikan ceritanya: “Kesaksian mengenai persepuluhan saya sangat nyata pada masa itu, dan kini semakin kuat. Saya amat bersyukur untuk perintah ini. Semasa saya mengamalkannya, saya diberkati selalu.”25

Satu hari nanti, setiap kita akan menyelesaikan perjalanan duniawi kita. Dua puluh lima tahun yang lalu, beberapa hari sebelum ibu mertua saya, Martha Williams, meninggal dunia kerana kanser, dia telah menerima satu cek kecil dalam pos. Dia segera meminta isteri saya, Kathy, untuk membawa buku cek agar membayar persepuluhannya. Oleh kerana ibunya begitu lemah sehingga dia tidak dapat menulis, Kathy bertanya jika dia boleh menulis cek itu untuknya. Ibunya menjawab, “Jangan, Kathy. Saya ingin melakukannya sendiri.” Dan berkata dengan lembut, “Saya ingin menjadi benar di hadapan Tuhan.” Salah satu perkara terakhir yang Kathy lakukan untuk ibunya adalah memberi sampul surat persepuluhan kepada uskupnya.

Pekerjaan Penting Tuhan

Saudara dan saudari, Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir “keluar dari keadaan yang tidak dikenali,”26 membawa berkat-berkat luar biasa ke seluruh dunia. Ada orang yang menggalakkan kita ke hadapan dan ada yang tidak. Saya telah memikirkan kata-kata Gamaliel, yang, setelah terdengar mukjizat-mukjizat Rasul Petrus dan Yohanes, memberi amaran kepada majlis di Yerusalem:

“Biarkan [lelaki-lelaki ini] pergi: Jika apa … dilakukan mereka itu daripada manusia, maka semuanya akan lenyap:

“Tetapi jika semua itu datang daripada Tuhan, saudara-saudara tidak akan dapat mengalahkan mereka; malah … akan ternyata bahawa saudara-saudara melawan Tuhan.”27

Anda dan saya adalah sebahagian daripada pekerjaan Tuhan yang penting di bumi. Ia tidak akan menjadi sia-sia tetapi akan terus tersebar ke seluruh dunia, menyediakan jalan untuk kedatangan Juruselamat. Saya bersaksi akan kata-kata Presiden Russell M. Nelson: “Dalam hari-hari yang akan datang, kita akan melihat pernyataan kuasa terbesar oleh Juruselamat yang dunia belum pernah saksi. Dari sekarang hingga masa Dia kembali … , Dia akan memberi banyak keistimewaan, berkat, dan mukjizat, yang tidak terhingga kepada mereka yang beriman.”28

Inilah kesaksian saya. Yesus ialah Kristus. Ini adalah pekerjaan kudus-Nya. Dia akan datang lagi. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Surat-menyurat peribadi dari Roger Parra, 4 Ogos 2023.

  2. Maleakhi 3:10.

  3. Lihat Maleakhi 3:11. Elder Jeffrey R. Holland berkata: “Dalam kehidupan saya, contohnya, saya telah melihat janji Tuhan dikabulkan bahawa Dia tidak akan ‘membiarkan serangga merosakkan [demi aku]’ [Maleakhi 3:11]. Berkat perlindungan daripada kejahatan itu telah dicurahkan ke atas diri saya dan orang yang saya kasihi di luar kemampuan yang saya miliki untuk mengakui dengan secukupnya. Tetapi saya percaya bahawa keselamatan ilahi telah tiba, sekurang-kurangnya sebahagiannya, kerana keazaman kita, secara individu dan sebagai sebuah keluarga, untuk membayar persepuluhan” (“Like a Watered Garden,” Ensign, Jan. 2002, 38).

  4. Tuhan akan membuka tingkap-tingkap syurga menurut keperluan kita, dan bukan menurut ketamakan kita. Jika kita membayar persepuluhan hanya untuk menjadi kaya, kita melakukannya untuk sebab yang salah. … Berkat kepada pemberi … mungkin tidak selalu dalam bentuk faedah kewangan atau barangan” (Teachings of Gordon B. Hinckley [1997], 657).

  5. Maleakhi 3:10; 3 Nefi 24:10.

  6. Lihat “The Church of Jesus Christ Is Helping Alleviate Global Malnutrition,” 11 Ogos 2023, newsroom.ChurchofJesusChrist.org; lihat juga “How the Church of Jesus Christ and UNICEF Are Keeping Mothers and Children Healthy and Safe,” 17 Ogos 2023, newsroom.ChurchofJesusChrist.org.

  7. “Dan Tuhan menyebut umat-Nya Sion, kerana mereka satu hati dan satu fikiran, dan berdiam dalam kesolehan; dan tidak ada yang miskin di kalangan mereka.” (Musa 7:18).

  8. Lihat 1 Korintus 2:14. Logik manusia hampir selalunya tidak sejajar dengan kebijaksanaan Tuhan. Pada zaman Maleakhi, ramai yang telah menjauhi Tuhan. Tuhan merayu kepada umat perjanjian-Nya, “Kembalilah kepada-Ku, maka Aku juga akan kembali kepada kamu.” Jemputan lembut ini diikuti dengan soalan yang sangat penting bagi setiap kita: “Tetapi kamu bertanya, Apakah yang harus kami lakukan untuk kembali kepada-Mu?” (Maleakhi 3:7). Atau dalam kata lain, “Apakah yang harus saya ubah? Bagaimanakah saya mendekati Engkau?” Tuhan menjawab dengan mengajar kepentingan persepuluhan, bukan hanya sebagai hukum kewangan, tetapi cara yang nyata untuk memalingkan keinginan hati kita kepada-Nya.

    Kita memerhatikan ini dalam keluarga kita sendiri. Ibu Kathy menyertai Gereja pada umur 22 tahun. Martha dan Bernard Williams menghadiri gereja untuk tempoh yang singkat, tetapi setelah berpindah ke negeri lain mereka menjadi kurang aktif. Bernard menerima satu penempatan tentera di luar negeri, dan Marta berpindah balik ke Tampa, Florida, di mana dia menerima jemputan yang murah hati untuk tinggal bersama mak cik dan pak ciknya yang menentang Gereja. Semasa hidup dalam keadaan yang sederhana, menunggu ketibaan anak pertamanya dan tidak menghadiri gereja, Martha Williams membuat keputusan untuk mula menghantar chek persepuluhannya kepada uskup. Kemudian, apabila ditanya mengapa, dia berkata bahawa dia ingati sesuatu yang diajar oleh para misionari tentang persepuluhan dan berkat Tuhan: “Kami amat memerlukan berkat-berkat Tuhan dalam kehidupan kami, maka saya mula menghantar chek persepuluhan kami kepada uskup itu.” Marta dan Bernard Williams kembali ke Gereja. Berkat terbesar mereka—enam generasi telah diberkati kerana keputusannya untuk membayar persepuluhan apabila dia tidak mempunyai apa-apa kecuali iman kepada Tuhan dan harapan dalam janji-janji-Nya.

  9. Matius 22:21.

  10. Lihat 3 Nefi 24.

  11. Ajaran dan Perjanjian 119:3–4. “Persepuluhan adalah sumbangan satu persepuluh dari pendapatan seseorang kepada Gereja Tuhan (lihat Ajaran dan Perjanjian 119:3–4; pendapatan bermaksud gaji). Semua ahli yang ada gaji harus membayar persepuluhan” (Pilihan dari Buku Panduan Umum, 34.3.1, Gospel Library).

  12. Maleakhi 3:10.

  13. “Kita membayar persepuluhan, seperti mana diajar oleh Juruselamat, dengan membawa persepuluhan ‘ke dalam gudang penyimpanan’ [Maleakha 3:10; 3 Nefi 24:10]. Kita melakukan ini dengan membayar persepuluhan kita kepada uskup atau presiden cabang kita. Kita tidak membayar persepuluhan dengan menyumbang kepada badan amal kegemaran kita. Sumbangan kepada badan amal haruslah datang dari dana kita sendiri, bukanlah persepuluhan yang diperintahkan untuk membayar kepada gudang penyimpanan Tuhan” (Dallin H. Oaks, “Tithing,” Ensign, Mei 1994, 35).

  14. Ajaran dan Perjanjian 120:1.

  15. Gordon B. Hinckley, “Rise to a Larger Vision of the Work,” Ensign, Mei 1990, 96.

  16. Lihat “The 2022 Report on How the Church of Jesus Christ Cared for Those in Need,” 22 Mac 2023, newsroom.churchofjesuschrist.org.

  17. Diterima melalui e-mel dari Jabatan Misionari, 14 Sept. 2023.

  18. Lihat “Temple List,” ChurchofJesusChrist.org/temples/list.

  19. Diterima melalui e-mel dari Rekod Ahli dan Statistik, 28 Julai 2023.

  20. Ini termasuk Brigham Young, Brigham Young–Idaho, Brigham Young University–Hawaii, Ensign College, dan BYU Pathway Worldwide.

  21. Diterima melalui e-mel dari Seminari dan Institut, 28 Julai 2023.

  22. Lihat Pilihan dari Buku Panduan Umum, 34.3.1.

  23. Presiden Dallin H. Oaks berkongsi cerita ini tentang mempercayai Tuhan: “Ibu balu saya menyokong tiga anaknya dengan gaji yang [tidak seberapa]. … Saya bertanya ibu saya mengapa dia membayar kebanyakan daripada gajinya ke persepuluhan. Saya tidak akan melupakan penjelasannya: ‘Dallin, terdapat orang yang boleh hidup tanpa membayar persepuluhan, tetapi kita tidak dapat. Tuhan telah memilih untuk mengambil bapa anda dan meninggalkan saya untuk membesarkan anda dan adik beradik. Saya tidak boleh melakukan demikian tanpa berkat-berkat dari Tuhan, dan saya peroleh berkat-berkat itu melalui pembayaran persepuluhan yang jujur’” (“Tithing,” 33).

  24. “Agar melalui pemeliharaan-Ku, walau bagaimanapun kesukaran yang akan menimpa ke atas dirimu, agar gereja boleh berdiri melebihi dari semua makhluk lain di bawah dunia selestial” (Ajaran dan Perjanjian 78:14).

  25. Surat-menyurat peribadi daripada Charlotte Hlimi Martin, 30 Ogos 2023.

  26. Ajaran dan Perjanjian 1:30.

  27. Kisah Rasul-Rasul 5:38–39.

  28. Russell M. Nelson, “Mengatasi Dunia dan Mencari Kesejahteraan,” Liahona, Nov. 2022, 95.