Persidangan Umum
Bertahan Pada Hari Itu dalam Kristus
Persidangan Umum Oktober 2023


Bertahan Pada Hari Itu dalam Kristus

Yesus Kristus membolehkan kita untuk “bertahan pada hari itu.”

Pada hari itu yang penuh dengan perumpamaan, soalan kompleks dan ajaran mendalam. Selepas menegur mereka yang seperti “kubur yang bercat putih; baik di luar tetapi di dalamnya penuh dengan tulang dan mayat yang busuk.”1 Yesus mengajar tiga perumpamaan tentang persediaan rohani dan penganutan. Salah satunya ialah perumpamaan tentang sepuluh gadis.

“Pada masa itu Pemerintahan Tuhan seperti perumpamaan berikut. Sepuluh orang gadis keluar membawa pelita untuk menyambut pengantin lelaki.

“Lima orang daripada mereka kurang bijak, tetapi lima orang yang lain bijak.

“Lima orang gadis yang kurang bijak membawa pelita, tetapi tidak membawa minyak tambahan:

“Lima orang gadis yang bijak membawa pelita dan juga bekas yang penuh dengan minyak.

“Pengantin lelaki itu lambat datang, maka mengantuklah semua gadis itu lalu tertidur.

“Pada tengah malam, terdengar suara orang berseru, Pengantin lelaki datang! Mari, sambutlah dia!

“Sepuluh orang gadis itu bangun lalu memasang pelita.

“Lima orang gadis yang kurang bijak berkata kepada yang bijak, Berilah kami sedikit minyak, kerana pelita kami hampir padam.

“‘Tidak boleh!’ kata gadis-gadis yang bijak itu. ‘Minyak tidak cukup untuk kita semua. Pergilah ke kedai dan belilah minyak.’

“Sementara mereka pergi, pengantin lelaki tiba. Kelima-lima orang gadis yang sudah siap itu masuk bersama-sama pengantin lelaki ke balai perjamuan, dan pintu ditutup.

“Kemudian gadis-gadis yang lain itu tiba. ‘Tuan, tuan,’ seru mereka, ‘bukalah pintu untuk kami’.2

“Tetapi pengantin lelaki itu menjawab, ‘Aku tidak kenal kamu!3

“Oleh itu, berjaga-jagalah kerana kamu tidak tahu hari ataupun waktunya.”4

Presiden Dallin H. Oaks tanyakan soalan yang merangsang fikiran berikut tentang kedatangan Pengantin Lelaki:5 “Bagaimana jika hari kedatangan-Nya berlaku esok? Jika kita tahu bahawa kita akan bertemu dengan Tuhan esok—akibat kematian awal atau kedatangan-Nya yang tidak disangka—apakah yang akan kita lakukan hari ini?”6

Saya telah belajar daripada pengalaman peribadi bahawa persediaan rohani untuk kedatangan Tuhan bukan sahaja penting tetapi ia satu-satunya cara untuk mencari kedamaian dan kegembiraan sejati.

Pada hari musim luruh, Saya mendengar kata-kata “Kamu mempunyai kanser,” buat kali pertama. Suami saya dan saya terkejut! Semasa kami pulang ke rumah dengan senyap dan memproses berita itu, minda saya tertumpu kepada tiga anak lelaki kami.

Dalam minda saya, saya bertanya kepada Bapa Syurgawi, “Adakah saya akan mati?”

Roh Kudus berbisik, “Semuanya akan baik-baik sahaja.”

Kemudian saya bertanya, “Adakah saya akan hidup?”

Sekali lagi, jawapan itu datang, “Semuanya akan baik-baik sahaja.”

Saya agak keliru. Mengapa saya menerima jawapan tentang sama ada saya akan hidup atau mati berulang kali?

Tiba-tiba seluruh badan saya dipenuhi dengan kedamaian apabila saya diingatkan: Kami tidak perlu bergegas pulang ke rumah dan mengajar anak-anak kami cara untuk berdoa. Mereka tahu cara untuk menerima jawapan dan penghiburan daripada doa. Kami tidak perlu bergegas pulang ke rumah dan mengajar mereka tentang tulisan suci atau kata-kata para nabi hidup. Kata-kata itu sudah menjadi sumber kekuatan dan pemahaman lazim. Kami tidak perlu bergegas pulang ke rumah dan mengajar mereka tentang pertaubatan, Kebangkitan, Pemulihan, rancangan penyelamatan, keluarga abadi atau ajaran Yesus Kristus.

Pada ketika itu, setiap pengajaran malam keluarga, sesi kajian tulisan suci, doa yang penuh iman, berkat yang diberikan, kesaksian yang dikongsi, perjanjian yang dibuat dan ditaati, rumah Tuhan yang dihadiri dan hari Sabat yang dihormati sangat bermakna. Sememangnya, semua hal ini bermakna! Ia terlalu lambat untuk meletakkan minyak ke dalam pelita-pelita kami. Kami perlukan setiap titisan, dan kami perlukannya sekarang!

Kerana Yesus Kristus dan injil-Nya yang dipulihkan, jika saya mati, keluarga saya akan dihiburkan, dikuatkan dan dipulihkan pada suatu hari nanti. Jika saya hidup, saya akan mempunyai akses kepada kuasa terbesar di bumi ini untuk membantu menyokong dan menyembuhkan saya. Akhirnya, kerana Yesus Kristus, semuanya boleh menjadi baik-baik sahaja.

Kita belajar daripada Ajaran dan Perjanjian bahawa “baik-baik sahaja” bermaksud:

“Dan pada hari itu, apabila Aku akan datang dalam kemuliaan-Ku, perumpamaan itu akan digenapi yang mana Aku telah firmankan tentang sepuluh orang gadis.

“Kerana mereka yang bijak dan telah menerima kebenaran, dan telah mengambil Roh Kudus untuk pembimbing mereka, dan tidak terpedaya—sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, mereka tidak akan ditebang dan dilemparkan ke dalam api, tetapi akan bertahan pada hari itu.”7

Yesus Kristus membolehkan kita untuk “bertahan pada hari itu.” Bertahan pada hari itu tidak bermaksud menambah kepada senarai tugasan yang semakin bertambah. Bayangkan sebuah kanta pembesar. Tujuan utamanya bukan sekadar untuk membuat hal-hal kelihatan lebih besar. Ia juga boleh mengumpulkan dan menumpukan cahaya untuk menjadikannya lebih kuat. Kita perlu memudahkan, menumpukan usaha kita dan menjadi pengumpul Cahaya Yesus Kristus. Kita perlukan lebih banyak pengalaman yang kudus dan berwahyu.

Sebuah banjaran gunung indah yang terletak di barat laut Israel sering dirujuk sebagai “gunung malar hijau.” Gunung Karmel8 kekal hijau setiap tahun kerana jumlah embun yang kecil. Pemeliharaan berlaku setiap hari. Seperti “embun di Karmel,”9 semasa kita berusaha untuk memelihara jiwa kita “dengan apa yang berkaitan dengan kebenaran,”10 “hal-hal yang kecil dan sederhana,”11 kesaksian kita dan anak-anak kita akan hidup!

Sekarang, anda mungkin berfikir, “Tetapi Sister Wright, kamu tidak kenal keluarga saya. Kita benar-benar bergelut dan tidak boleh bertahan seperti itu.” Anda betul. Saya tidak mengenali keluarga anda. Tetapi seorang Tuhan yang mempunyai kasih, belas kasihan, kuasa, pengetahuan dan kemuliaan yang tidak terhingga mengenali anda.

Soalan-soalan yang anda bertanya mungkin ialah soalan-soalan hati yang menyedihkan jiwa anda. Soalan-soalan yang serupa boleh didapati dalam tulisan suci:

“Guru, tidakkah Guru peduli? [keluarga saya] hampir tenggelam!”12

“Di manakah harapan bagiku?”13

“Apakah yang harus [saya] lakukan, agar awan kegelapan ini boleh dialihkan daripada membayangi [saya]?”14

“Tetapi di manakah hikmat dapat dicari? Di manakah kita dapat belajar agar mengerti?”15

“Bagaimanakah kamu dapat berpegang pada setiap hal yang baik?”16

“Tuhan, apakah yang Engkau mahu saya lakukan?”17

Dan kemudian datanglah jawapan yang manis:

“Percayakah kamu pada kuasa Kristus yang membawa keselamatan?”18

“Adakah Tuhan memerintahkan sesiapa pun bahawa mereka tidak patut mengambil bahagian dalam kebaikan-Nya?”19

“Percayakah kamu bahawa [Dia] boleh menyembuhkan kamu?”20

“Percayakah kamu kepada apa yang dikatakan oleh nabi-nabi itu?”21

“Adakah kamu menjalankan iman pada penebusan daripada Dia yang menciptakanmu?”22

“Hakim bagi seluruh bumi tentu bertindak dengan adil.”23

Kawan-kawan semua, kita tidak boleh berkongsi minyak kita, tetapi kita boleh berkongsi cahaya-Nya. Minyak pelita kita bukan sahaja akan membantu kita “bertahan pada hari itu” tetapi juga boleh menjadi cara untuk menerangi jalan yang membimbing orang yang kita kasihi kepada Juruselamat, yang bersedia “dengan tangan-tangan yang terbuka untuk menerima” mereka.24

“Hentikan tangismu dan keringkan air matamu. Jerih payahmu untuk anak-anakmu akan diberikan ganjaran; anak-anakmu akan pulang dari negeri musuh.

“Ada harapan bagi masa depanmu; anak-anakmu akan pulang ke negeri sendiri. Aku, Tuhan, telah berfirman.”25

Yesus Kristus ialah “harapan bagi masa depanmu.” Tiada apa yang kita telah lakukan, atau belum lakukan, berada di luar jangkauan pengorbanan-Nya yang tidak terhingga dan kekal. Dialah sebab mengapa ia bukan pengakhiran cerita kita.26 Oleh kerana itu, “kamu mesti maju terus dengan ketabahan di dalam Kristus, memiliki kecerahan harapan yang sempurna, dan kasih bagi Tuhan dan bagi semua manusia.” Oleh kerana itu, jika [kita] akan maju terus, berjamu dengan firman Kristus, dan bertahan sampai akhir, lihatlah, demikian firman Bapa: [Kita] akan memperoleh kehidupan abadi.”27

Kehidupan abadi ialah kebahagiaan abadi. Kebahagiaan dalam kehidupan ini, sekarang—meskipun menghadapi cabaran zaman kita tetapi kerana bantuan Tuhan untuk belajar dan akhirnya mengatasinya—dan kebahagiaan yang tidak terhingga dalam kehidupan yang akan datang. Air mata akan kering, hati yang hancur akan pulih, apa yang hilang akan ditemui, kebimbangan akan diselesaikan, keluarga akan dipulihkan, dan semua yang Bapa miliki akan menjadi milik kita.28

Lihat kepada Yesus Kristus dan hidup29 adalah kesaksian saya dalam nama kudus yang kudus “Gembala dan Uskup jiwa [kita],”30 Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Matius 23:27.

  2. Matius 25:1–11.

  3. Joseph Smith Translation, Matthew 25:12 (dalam Matthew 25:12, nota kaki a).

  4. Matius 25:13.

  5. Elder James E. Talmage mengajarkan: “Pengantin Lelaki adalah Tuhan Yesus; jamuan perkahwinan melambangkan kedatangan-Nya dalam kemuliaan, untuk menerima Kepada Diri-Nya Gereja di bumi sebagai pengganti-Nya. Para gadis itu melambangkan mereka yang mengakui percaya kepada Kristus, dan oleh itu, dengan yakin mengharapkan untuk dimasukkan ke kalangan peserta yang diberkati pada jamuan itu. Pelita bercahaya, yang para perawan bawa, adalah pengakuan luar tentang kepercayaan dan amalan Kristian; dan dalam simpanan minyak orang yang lebih bijaksana kita dapat melihat kekuatan rohani dan kelimpahan yang terhasil dari ketekunan dan pengabdian dalam pelayanan Tuhan sahaja” (Jesus the Christ [1916], 578).

  6. Dallin H. Oaks, “Preparation for the Second Coming,” Liahona, Mei 2004, 9.

  7. Ajaran dan Perjanjian 45:56–57; penekanan ditambah.

  8. “Embun memberikan jumlah kelembapan yang terhad walaupun semasa musim panas kering, dan penting untuk tanaman musim panas seperti tembikai. Lebih dekat kawasan dengan laut, lebih baik prospeknya untuk embun pada waktu malam tanpa angin apabila tanah menjadi lebih sejuk daripada udara yang menyentuh permukaannya. Secara umumnya, Dataran Pantai mempunyai lebih banyak embun daripada kawasan pedalaman; terkaya ialah Gunung Karmel, yang mempunyai purata 250 malam embun setiap tahun” (Efraim Orni and Elisha Efrat, Geography of Israel, 3rd rev. ed. [1971], 147).

  9. Ajaran dan Perjanjian 128:19.

  10. Mosia 23:18.

  11. Alma 37:6.

  12. Markus 4:38.

  13. Ayub 17:15.

  14. Helaman 5:40.

  15. Ayub 28:12

  16. Moroni 7:20.

  17. Kisah Rasul-Rasul 9:6.

  18. Alma 15:6.

  19. 2 Nefi 26:28.

  20. Matius 9:28.

  21. Kisah Rasul-Rasul 26:27.

  22. Alma 5:15.

  23. Kejadian 18:25.

  24. Mormon 6:17.

  25. Yeremia 31:16–17; penekanan ditambah.

  26. Lihat Camille N. Johnson, “Jemput Kristus untuk Mengarang Cerita Anda,” Liahona, Nov. 2021, 82: “Biarlah kesusahan dan kesengsaraan yang merupakan sebahagian dari setiap cerita yang baik jadi cara di mana anda dekati, dan jadi lebih seperti, Yesus Kristus.”

  27. 2 Nefi 31:20.

  28. Lihat Ajaran dan Perjanjian 84:38.

  29. Lihat Alma 37:47.

  30. 1 Petrus 2:25.