Persidangan Umum
Memberi Kesaksian tentang Yesus Kristus dalam Pertuturan dan Tindakan
Persidangan Umum Oktober 2023


Memberi Kesaksian tentang Yesus Kristus dalam Pertuturan dan Tindakan

Semasa kita berusaha untuk hidup selaras dengan injil Yesus Kristus, kelakuan kita akan jadi kesaksian hidup tentang Penebus kita.

Pada pembaptisan, salah satu janji yang kita buat ialah bahawa kita rela mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus. Tujuan saya hari ini adalah untuk mengingatkan kita bahawa kita boleh menunjukkan kepada Tuhan bahawa kita mengambil nama Putera-Nya ke atas diri kita dengan memberi kesaksian dalam pertuturan dan tindakan, sekerap yang kita boleh, bahawa Yesus ialah Kristus.

Semasa Juruselamat melayani dan mengajar orang-orang di Benua Amerika selepas Kebangkitan-Nya, Dia berfirman:

“Tidakkah mereka membaca tulisan suci, yang mengatakan kamu mesti mengambil ke atas dirimu nama Kristus, yang merupakan nama-Ku? Kerana dengan nama ini kamu akan dipanggil pada hari terakhir;

“Dan sesiapa yang mengambil ke atas dirinya nama-Ku, dan bertahan sampai akhir, merekalah yang akan diselamatkan pada hari terakhir.”1

Presiden Russell M. Nelson telah ajarkan kita bahawa “mengambil nama Juruselamat ke atas diri kita termasuk menegaskan dan bersaksi kepada orang lain—melalui tindakan dan pertuturan kita—bahawa Yesus ialah Kristus.”2

Sebagai ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, kita ada berkat dan hak istimewa untuk berdiri sebagai saksi bagi Tuhan dan nama-Nya di mana-mana kita berada.3 Semasa kita berusaha untuk hidup selaras dengan injil Yesus Kristus, kelakuan kita akan jadi kesaksian hidup tentang Penebus kita dan nama-Nya. Lebih-lebih lagi, kita bersaksi tentang Kristus dalam kata-kata dengan berkongsi dengan orang lain apa yang kita percaya, rasa, atau tahu tentang Yesus Kristus.

Apabila kita dengan rendah hati berkongsi kesaksian kita tentang Tuhan melalui pertuturan dan tindakan kita, Roh Kudus mengesahkan4 kepada mereka dengan niat yang bersungguh-sungguh, hati terbuka, dan minda rela bahawa Yesus sememangnya Kristus.5

Saya ingin berkongsi dua contoh yang berinspirasi tentang ahli-ahli yang menunjukkan kepada Tuhan bahawa mereka mengambil nama Yesus Kristus ke atas diri mereka sendiri dengan bercakap tentang Dia dan memberi kesaksian tulen tentang Tuhan dalam pertemuan Gereja.

Contoh pertama: Semasa isteri saya, Elaine, dan saya pergi ke Sepanyol pada tahun 2022, kami menghadiri pertemuan hari Ahad di unit kecil Gereja di sana. Semasa saya duduk di depan dan isteri saya dikalangan jemaah, saya menyedari bahawa dia duduk di sebelah seorang wanita yang lebih tua. Apabila pertemuan sakramen berakhir, saya berjalan ke arah Elaine dan meminta dia untuk memperkenalkan saya kepada kawan barunya. Dia berbuat demikian dan berkata bahawa wanita ini, yang bukan ahli Gereja, telah melawat Gereja selama kira-kira dua tahun. Apabila saya mendengar itu, saya bertanya kepada wanita yang kasihi Tuhan ini apa yang membuat dia kembali dan menghadiri pertemuan kami untuk jangka masa yang lama. Wanita itu menjawab dengan penuh kasih, “Saya suka datang ke sini kerana anda bercakap tentang Yesus Kristus dalam pertemuan-pertemuan anda.”

Jelasnya, ahli-ahli Gereja dalam unit itu di Sepanyol bercakap, mengajar, dan bersaksi tentang Kristus dalam pertemuan mereka.

Contoh kedua: Selepas melayani di Kawasan Brazil, saya menerima tugas baru untuk melayani di ibu pejabat Gereja. Apabila kami berpindah ke Salt Lake City, pada akhir Julai tahun ini, kami menghadiri pertemuan hari Ahad di bahagian baru kami yang menakjubkan. Salah satu pertemuan ini adalah pertemuan puasa dan kesaksian. Selepas mengambil sakramen dengan rasa hormat, ahli-ahli berdiri dan memberi kesaksian yang tulus ikhlas tentang Juruselamat satu demi satu. Pertemuan ini berpusat pada Yesus Kristus, dan kita boleh merasai Roh. Kami diperkukuhkan dan iman kami diperkuatkan. Jika kawan-kawan Gereja, mencari kebenaran dengan jujur, telah berada di pertemuan itu, mereka akan mengenali bahawa ini adalah Gereja Yesus Kristus.

Betapa hebatnya berkat untuk melihat bahawa pertemuan Gereja kita merupakan peluang pilihan bagi kita untuk bersaksi tentang Kristus dan menunjukkan kepada Tuhan bahawa kita bergembira dalam mengambil nama Putera-Nya ke atas diri kita.

Sekarang, biarlah saya menyebut satu teladan yang kuat tentang mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus dengan memberikan kesaksian tentang Dia melalui tindakan.

Ogos lepas, saya menemani Elder Jonathan S. Schmitt ke rumah terbuka Bait suci Feather River California di Yuba City. Di sana, saya mengalami berkat membimbing kumpulan-kumpulan dalam jelajah bait suci. Salah satu kumpulan ini termasuk seorang ahli Gereja, Virgil Atkinson dan tujuh kawannya dari agama lain. Pada akhir kunjungan itu, di bilik pemeteraian bait suci, Brother Atkinson beremosi apabila dia menyatakan kesyukuran kepada kawan-kawannya yang telah datang ke bait suci pada hari itu. Hampir serta-merta selepas dia melakukan demikian, seorang wanita dalam kumpulan berdiri dan berkata, “Kami semua suka Virgil. Dia tidak pernah memaksa agamanya kepada kita. Tetapi dia tidak malu tentangnya juga. Dia hanya mengamalkan hal-hal yang dia percaya.”

Selama bertahun-tahun, cara hidup Brother Atkinson, yang seperti Kristus, menjadi kesaksian yang kuat kepada kawan-kawannya. Teladan-Nya ialah bukti kukuh bahawa dia telah mengambil ke atas dirinya nama Kristus.

Sebagai kesimpulan, saya ingin berkongsi suatu pelajaran yang saya pelajari tentang bagaimana untuk mengambil ke atas diri kita nama Kristus dan bersaksi tentang Dia dengan menggunakan nama Gereja yang betul.

Presiden Nelson, nabi hidup Tuhan, dalam ucapan persidangan umum 2018 bertajuk “Nama Gereja yang Betul,” berkata: “Ia suatu pembetulan. Ia adalah perintah Tuhan. Joseph Smith tidak menamakan Gereja yang dipulih melaluinya; mahupun Mormon. Juruselamat Sendiri yang berkata, “Kerana demikianlah gereja-Ku akan dinamakan pada zaman akhir, bahkan Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.” [Ajaran dan Perjanjian 115:4].”6

Kita semua bersurai dari persidangan umum pada hari itu bertekad untuk mengikut nabi dan menggunakan nama Gereja yang diungkapkan. Saya benar-benar memerhatikan diri saya supaya saya menggunakan nama Gereja yang betul. Beberapa kali pertama saya perlu memastikan diri dan tidak membenarkan diri saya kembali ke cara lama. Selepas percubaan pertama, saya rasa lebih selesa dengan penggunaan nama Gereja yang diungkapkan. Saya akui bahawa banyak kali, saya akan sebut nama Gereja dengan cepat. Saya merasa bimbang bahawa orang ramai tidak akan memberi perhatian kepada nama penuh Gereja, dan mereka mungkin berfikir ia agak panjang.

Tetapi, saya kemudian sedar bahawa mengucapkan nama penuh Gereja dengan niat benar memberi saya peluang yang berharga untuk mengucapkan nama Yesus Kristus dan sebenarnya memberi kesaksian tentang Juruselamat dengan memaklumkan nama-Nya dalam nama Gereja-Nya. Saya juga sedar bahawa apabila saya berucap nama Gereja yang betul dengan orang lain, saya lebih kerap mengingati Yesus Kristus dan merasakan pengaruh-Nya dalam hidup saya.

Dengan mengikuti nabi, kita semua boleh belajar untuk bersaksi lebih banyak tentang Yesus Kristus dengan menggunakan nama Gereja yang betul, dengan itu mengambil ke atas diri kita lebih sepenuhnya nama Tuhan.

Pagi sabat ini, saya dengan gembira bersaksi bahawa Presiden Nelson ialah nabi hidup Tuhan dan bahawa Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ialah Gereja Kristus yang dipulihkan. Saya bersaksi dengan rendah hati tentang Putera Tuhan dan keilahian-Nya. Dia ialah Putera Sulung dan Putera Tunggal Tuhan, Juruselamat dan Penebus kita, Emmanuel.7 Dalam nama Yesus Kristus, amin.