Persidangan Umum
Memelihara Suara Orang Perjanjian dalam Generasi Muda
Persidangan Umum Oktober 2023


Memelihara Suara Orang Perjanjian dalam Generasi Muda

Salah satu tanggungjawab yang paling kudus adalah untuk bantu anak-anak kita tahu secara mendalam dan khusus bahawa Yesus ialah Kristus.

Salah satu masa yang paling menyentuh hati dalam Kitab Mormon adalah kunjungan Juruselamat yang telah dibangkit kepada orang ramai di bait suci di negeri Kelimpahan. Selepas sehari mengajar, menyembuh, dan membina iman, Yesus mengarahkan perhatian orang kepada generasi muda: “Dia memerintahkan agar anak-anak kecil mereka harus dibawa.”1 Dia berdoa untuk mereka dan memberkati mereka satu demi satu. Pengalaman itu sangat menyentuh hati sehingga Juruselamat menangis berulang kali.

Kemudian, Yesus berkata kepada orang ramai:

“Lihatlah anak-anak kecil-mu.

“Dan sewaktu mereka memandang … mereka melihat langit terbuka, dan mereka melihat para malaikat turun dari syurga,” melayani anak-anak mereka.2

Saya sering berfikir tentang pengalaman ini. Ia semestinya telah menyentuhkan hati setiap orang! Mereka nampak Juruselamat. Mereka merasakan Dia. Mereka kenal Dia. Dia mengajar mereka. Dia memberkati mereka. Dan Dia kasihi mereka. Tidak hairanlah bahawa selepas peristiwa kudus ini, anak-anak ini membesar untuk bantu menubuhkan masyarakat kedamaian, kemakmuran dan kasih seperti Kristus yang bertahan selama beberapa generasi.3

Bukankah ia indah jika anak-anak kita boleh alami pengalaman seperti itu dengan Yesus Kristus—sesuatu yang akan mengikat hati mereka kepada-Nya! Dia jemput kita, seperti Dia jemput ibu bapa itu dalam Kitab Mormon, untuk membawa anak-anak kita kepada-Nya. Kita boleh bantu mereka kenal Juruselamat dan Penebus mereka dengan cara sama seperti kanak-kanak ini. Kita boleh tunjukkan kepada mereka bagaimana untuk cari Juruselamat dalam tulisan suci dan bina landasan-landasan mereka kepada-Nya.4

Baru-baru ini, seorang kawan baik mengajar saya sesuatu yang saya tidak perasan sebelum ini tentang perumpamaan lelaki bijaksana yang bina rumahnya di atas batu. Menurut laporan dalam Lukas, semasa lelaki bijaksana itu letakkan landasan untuk rumahnya, dia “menggali lubang dalam-dalam”5 Ia bukan usaha yang mudah atau sederhana—ia perlukan usaha!

Untuk bina kehidupan kita di atas batu Penebus kita, Yesus Kristus, kita perlu menggali dengan dalam. Kita singkirkan apa-apa yang tidak stabil atau tidak diperlukan dalam hidup kita. Kita terus menggali sehingga kita temui Dia. Dan kita mengajar anak-anak kita untuk mengikat diri mereka kepada-Nya melalui tatacara dan perjanjian kudus supaya bilamasa ribut dan banjir pertentangan datang, mereka hanya sedikit terkesan “kerana di atas batu yang [mereka] bangunkan.”6

Kekuatan seperti ini tidak berlaku begitu saja. Ia tidak berikan kepada generasi seterusnya seperti warisan rohani. Setiap orang mesti menggali dengan dalam untuk mencari batu itu.

Kita pelajari pengajaran ini dari laporan lain dalam Kitab Mormon. Apabila Raja Benyamin memberi ucapan terakhirnya kepada rakyatnya, mereka berkumpul sebagai keluarga untuk mendengar kata-katanya.7 Raja Benyamin memberi kesaksian yang kuat tentang Yesus Kristus, dan rakyat sangat tersentuh oleh kesaksiannya. Mereka menyatakan:

“Roh … mengerjakan perubahan yang hebat dalam diri kami, atau dalam hati kami. …

“Dan kami bersedia untuk masuk ke dalam suatu perjanjian dengan Tuhan kami untuk melakukan kehendak-Nya … bermula dari saat ini.”8

Seseorang mungkin mengharapkan bahawa anak-anak kecil dengan ibu bapa yang telah bertukar hati akan bertukar hati dan membuat perjanjian bagi diri mereka pada masa kelak. Namun, atas beberapa sebab yang tidak disebutkan dalam catatan itu, perjanjian yang dibuat oleh ibu bapa kurang disokong oleh beberapa anak-anak mereka. Tahun-tahun kemudian “ada banyak daripada generasi muda yang tidak dapat memahami perkataan-perkataan raja Benyamin, kerana masih anak-anak kecil pada waktu dia berbicara kepada rakyatnya; dan mereka tidak mempercayai adat resam nenek moyang mereka.

“Mereka tidak percaya apa yang telah dikatakan berkenaan kebangkitan orang mati, tidak juga mereka percaya berkenaan kedatangan Kristus. …

“Dan mereka tidak mahu dibaptis; tidak juga mereka mahu menyertai gereja. Dan mereka adalah umat yang terpisah berkaitan dengan iman mereka.”9

Sungguh menyedihkan! Bagi generasi muda, ia tidak cukup untuk iman kepada Yesus Kristus menjadi “adat resam nenek moyang mereka.” Mereka perlu miliki iman kepada Kristus bagi diri mereka sendiri. Sebagai umat perjanjian Tuhan, bagaimanakah kita menanamkan keinginan ke dalam hati anak-anak agar mereka membuat dan mentaati perjanjian dengan Dia?

Kita boleh mulakan dengan mengikuti contoh Nefi: “kita berbicara berkenaan Kristus, kita berbahagia dalam Kristus, kita berkhutbah berkenaan Kristus, kita bernubuat berkenaan Kristus, dan kita menulis menurut nubuat-nubuat kita, agar anak-anak kita dapat mengetahui kepada punca mana mereka dapat berpaling bagi pengampunan dosa-dosa mereka.”10 Kata-kata Nefi bermaksud usaha berterusan untuk ajar anak-anak kita tentang Kristus. Kita boleh memastikan suara orang-orang perjanjian tidak terdiam kepada telinga generasi muda dan bahawa Yesus bukan sebuah topik hari Ahad sahaja.11

Suara umat perjanjian ditemui dalam kata-kata kesaksian kita sendiri. Ia ditemui dalam kata-kata nabi yang hidup. Dan ia dipelihara dengan berkuasa dalam tulisan suci. Di sanalah anak-anak kita akan kenal Yesus dan cari jawapan kepada soalan mereka. Di sana mereka akan belajar untuk diri mereka ajaran Kristus. Di sana mereka akan temui harapan. Ini akan menyediakan mereka sepanjang hidup untuk cari kebenaran dan hidup di jalan perjanjian.

Saya suka nasihat ini daripada Presiden Russell M. Nelson:

“Di mana kita boleh pergi untuk mendengar Dia?

“Kita boleh membaca dalam tulisan suci. Ia mengajar kita tentang Yesus Kristus dan injil-Nya, kebesaran Korban tebusan-Nya, dan rancangan kebahagiaan dan penebusan Bapa kita. Bacaan harian firman Tuhan sangat penting untuk kehidupan rohani, terutama pada hari-hari pergolakan yang semakin meningkat. Semasa kita berjamu pada firman Kristus harian, firman Kristus akan beritahu kita bagaimana untuk bertindak terhadap kesukaran yang kita tidak pernah fikir kita akan hadapi.”12

Jadi, bagaimanakah perasaannya untuk menjamu firman Kristus dan mendengar-Nya? Nampaknya, ia kelihatan seperti cara yang terbaik untuk anda! Seperti berkumpul dengan keluarga untuk bercakap tentang hal-hal yang Roh Kudus ajarkan anda dalam kajian tulisan suci dengan menggunakan Ikutlah Aku. Ataupun seperti berkumpul setiap hari bersama anak-anak untuk baca beberapa ayat dari tulisan suci dan kemudian cari peluang untuk bincangkan apa yang anda pelajari semasa anda luangkan masa bersama. Cari apa yang berkesan untuk anda dan sekeluarga; kemudian cuba lakukan lebih baik setiap hari.

Pertimbangkan pandangan ini dari Mengajar dengan Cara Juruselamat: “Jika diambil secara individu, satu malam keluarga, sesi pengkajian tulisan suci, atau perbualan injil mungkin tidak kelihatan seperti ia mencapai banyak kejayaan. Tetapi usaha yang kecil, sederhana, diulangi secara konsisten yang terkumpul dari masa ke masa, boleh menjadi lebih berkuasa dan kuat daripada pelajaran hebat di luar yang berkala. Jadi janganlah putus asa, dan jangan risau tentang mencapai sesuatu yang hebat setiap kali. Jadilah konsisten dalam usaha anda.”13

Salah satu tanggungjawab yang paling kudus adalah untuk bantu anak-anak kita tahu secara mendalam dan khusus bahawa Yesus ialah Kristus, Putera Tuhan Yang Hidup, Juruselamat dan Penebus peribadi mereka, yang mengetuai Gereja-Nya! Kita tidak boleh membenarkan suara perjanjian kita untuk menjadi bisu atau diam apabila berkaitan dengan-Nya.

Anda mungkin rasa sedikit kekurangan dalam peranan ini, tetapi anda tidak harus berasa keseorangan. Contohnya, majlis bahagian dibenarkan untuk mengaturkan mesyuarat majlis pengajar bagi ibu bapa. Dalam pertemuan suku tahunan ini, ibu bapa boleh berkumpul untuk belajar daripada pengalaman satu sama lain, membincangkan bagaimana mereka memperkuatkan keluarga mereka, dan mempelajari asas-asas utama ajaran seperti Kristus. Pertemuan ini harus diadakan pada jam kedua gereja.14 Ia dipimpin oleh seorang ahli bahagian yang dipilih oleh uskup dan mengikut format mesyuarat majlis pengajar yang kerap, menggunakan Mengajar dengan Cara Juruselamat sebagai sumber utama.15 Uskup, jika bahagian anda tidak mengadakan pertemuan majlis pengajar untuk ibu bapa, bekerjasama dengan presiden Sekolah Minggu dan majlis bahagian anda untuk mengorganisasikannya.16

Kawan-kawan saya dalam Kristus, anda sedang menjadi lebih baik daripada apa yang anda fikirkan. Teruskanlah usaha anda. Anak-anak anda sedang memerhati, mendengar dan belajar. Apabila anda mengajar mereka, anda akan mengetahui sifat sebenar mereka sebagai putera dan puteri Tuhan yang dikasihi. Mereka mungkin akan melupakan Juruselamat pada suatu masa, tetapi saya berjanji kepada anda Tuhan tidak akan lupa mereka! Saat-saat ketika Roh Kudus berbicara kepada mereka akan berterusan dalam hati dan minda mereka. Dan suatu hari anak-anak anda akan mengulangi kesaksian Enos: Aku mengenal ibubapaku adalah orang yang soleh, “kerana [mereka] mengajar aku dalam bahasanya … dan juga dalam asuhan dan nasihat Tuhan—dan terpujilah nama Tuhanku oleh kerana itu.”17

Marilah kita menerima jemputan Juruselamat dan bawa anak-anak kita kepada-Nya. Apabila kita berbuat demikian, mereka akan nampak-Nya. Mereka akan merasakan-Nya. Mereka akan mengenali-Nya. Dia akan mengajar mereka. Dia akan memberkati mereka. Dan Dia akan mengasihi mereka. Betapa saya mengasihi-Nya. Dalam nama kudus-Nya, Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. 3 Nefi 17:11.

  2. 3 Nefi 17:23–24; lihat juga 3 Nefi 17:11–22.

  3. Lihat 4 Nefi 1:1–22.

  4. Lihat Lukas 6:47–49; Helaman 5:12.

  5. Lukas 6:48

  6. Helaman 5:12.

  7. Lihat Mosia 2:5.

  8. Mosia 5:2, 5. Perhatikan bahawa “tidak ada satu jiwa pun, kecuali anak-anak kecil, yang tidak masuk ke dalam perjanjian itu dan telah mengambil ke atas diri mereka nama Kristus.” (Mosia 6:2).

  9. Mosia 26:1–2, 4.

  10. 2 Nefi 25:26.

  11. “Terdapat banyak perkara untuk diajar dalam injil Yesus Kristus yang dipulihkan—asas, perintah, nubuat, dan cerita tulisan suci. Tetapi semuanya ini adalah cabang-cabang pokok yang sama, kerana semuanya mempunyai satu tujuan: untuk membantu semua orang datang kepada Kristus dan disempurnakan di dalam Dia (lihat Yarom 1:11; Moroni 10:32). Jadi tidak kira apa yang anda ajar, ingat bahawa anda benar-benar mengajar tentang Yesus Kristus dan bagaimana untuk menjadi seperti Dia.” (Mengajar dengan Cara Juruselamat: Untuk Semua Yang Mengajar di Rumah dan di Gereja [2022], 6).

  12. Russell M. Nelson, “Dengarkanlah Dia,” Liahona, Mei 2020, 89.

  13. Mengajar dengan Cara Juruselamat, 31.

  14. Aturan istimewa boleh dibuat untuk ibu bapa yang mengajar di Sekolah Primer, seperti pertemuan semasa waktu 20 minit nyanyian Sekolah Primer atau mengadakan pertemuan berasingan pada masa lain (lihat General Handbook: Serving in The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints, 17.4, Gospel Library).

  15. Para ahli dan pemimpin boleh pesan Mengajar dengan Cara Juruselamat melalui Distribution Services (Khidmat Pengedaran). Ia juga boleh didapati di aplikasi Gospel Library.

  16. Lihat General Handbook, 13.5.

  17. Enos 1:1. Ingatlah bahawa di kalangan generasi muda orang kufur dalam Kitab Mormon adalah Alma yang Muda dan para putera Mosia. Ketika Alma yang Muda akhirnya menyedari keperluannya untuk mengubah kehidupannya, dia teringat apa yang ayahnya ajarkan tentang Yesus Kristus—ajaran-ajaran yang Alma nampaknya tidak dipedulikan pada masa lalu. Tetapi ingatannya kekal, dan ingatan itu menyelamatkan Alma secara rohani (lihat Alma 36:17–20).