Persidangan Umum
Kuasa Yesus Kristus dalam Kehidupan Kita Setiap Hari
Persidangan Umum Oktober 2023


Kuasa Yesus Kristus dalam Kehidupan Kita Setiap Hari

Sumber kekuatan kita adalah iman kepada Yesus Kristus semasa kita berusaha untuk datang kepada-Nya setiap hari.

Saudara dan saudari sekalian, inilah Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Betapa gembiranya untuk berkumpul sebagai Gereja-Nya. Saya bersyukur bahawa Presiden Russell M. Nelson kerap kali mengingatkan kita untuk menggunakan nama Gereja Tuhan yang betul supaya kita mengingati Gereja siapa ini dan ajaran-ajaran siapa yang kita ikuti.

Presiden Nelson telah mengatakan: “Dalam hari-hari akan datang, kita akan melihat pernyataan kuasa terbesar oleh Juruselamat yang dunia belum pernah saksikan. … Dia akan memberikan banyak hak istimewa, berkat dan mukjizat kepada orang yang beriman.”1

Salah satu keistimewaan terbesar bagi saya dan isteri saya, Renee, ialah bertemu dengan Orang Suci di mana kami melayan. Kami mendengar cerita mereka, melihat kehilangan harta mereka, merasa kesedihan mereka dan bersukacita dengan kejayaan mereka. Kami telah menyaksikan banyak berkat dan mukjizat yang Juruselamat telah berikan kepada orang beriman. Kami bertemu dengan ramai orang yang melalui situasi yang mustahil dan menderita hal yang dahsyat.

Imej
Presiden José Batalla dan isterinya, Sister Valeria Batalla.
Imej
Flavia Cruzado dan bapanya.

Kami telah melihat pernyataan kuasa Juruselamat dalam seorang balu yang suaminya meninggal dunia semasa mereka menjalankan tugasan Tuhan di Bolivia.2 Kami telah melihatnya dalam seorang remaja puteri di Argentina yang terjatuh ke bawah kereta api dan kehilangan kakinya, kerana seseorang ingin mencuri telefon bimbitnya.3 Dan bapa tunggalnya, yang kini perlu menguatkan anak perempuannya selepas kejadian kejam yang tidak dapat dijelaskan. Kami telah melihatnya dalam keluarga-keluarga yang kehilangan rumah dan harta mereka semasa kebakaran berlaku di Chile, dua hari sebelum Krismas dalam 2022.4 Kami telah melihatnya dalam orang yang menderita selepas perceraian yang traumatik dan dalam mangsa penderaan yang tidak bersalah.

Imej
Kebakaran di Chile.

Apakah yang memberi mereka kuasa untuk melalui hal-hal yang susah? Apakah yang memberi kekuatan tambahan untuk maju apabila semuanya kelihatan tiada harapan?

Saya telah mendapati bahawa sumber kekuatan itu adalah iman kepada Yesus Kristus semasa kita berusaha dengan tujuan untuk datang kepada-Nya setiap hari.

Nabi Yakub mengajar, “Dan Dia datang ke dunia agar Dia dapat menyelamatkan semua manusia jika mereka akan mendengarkan suara-Nya; kerana lihatlah, Dia menderita kesakitan setiap makhluk yang hidup, baik lelaki, perempuan, mahupun kanak-kanak, yang termasuk dalam keluarga Adam.”5

Kadangkala, beriman kepada Yesus Kristus kelihatannya agak mustahil, seperti tidak dapat dicapai. Mungkin kita berfikir bahawa datang kepada Kristus memerlukan kekuatan, kuasa dan kesempurnaan yang kita tidak mempunyai, dan tidak bertenaga untuk buat demikian. Tetapi apa yang saya pelajari dari semua contoh ini adalah iman kepada Yesus Kristus yang memberi kita tenaga untuk memulakan perjalanan. Kadangkala kita berfikir, “Saya perlu memperbaiki hidup saya sebelum saya datang kepada Yesus,” tetapi kebenarannya ialah kita datang kepada Yesus untuk memperbaiki kehidupan kita melalui Dia.

Kita tidak datang kepada Yesus kerana kita sempurna. Kita datang kepada-Nya kerana kita lemah dan melalui Dia kita boleh “disempurnakan.”6

Bagaimanakah kita mula menjalankan sedikit iman setiap hari? Bagi saya ia bermula pada waktu pagi: Apabila saya bangun pagi, saya bangun dan berdoa, bukannya melihat telefon saya. Doa yang mudah pun boleh. Selepas itu saya membaca kitab suci. Ini membantu saya dengan perjanjian mingguan semasa mengambil sakramen untuk “selalu mengingati-Nya.”7 Apabila saya memulakan hari dengan doa dan kitab suci, saya boleh “mengingati-Nya” ketika saya melihat telefon saya. Saya boleh “mengingati-Nya” semasa saya menghadapi masalah dan konflik, dan cuba menghadapi hal-hal itu seperti Yesus.

Apabila saya “mengingati-Nya,” saya rasa keinginan untuk berubah dan bertaubat. Saya menemui sumber tenaga untuk mentaati perjanjian, dan merasakan pengaruh Roh Kudus dalam hidup saya “dan mentaati perintah-perintah-Nya yang telah Dia berikan kepada [saya]; agar [saya] boleh selalu memiliki Roh-Nya.”8 Ia membantu saya bertahan sampai akhir.9 Atau sekurang-kurangnya sampai hujung hari! Dan pada hari-hari yang saya gagal untuk mengingati-Nya sepanjang hari, Dia masih di sana, mengasihi dan memberitahu saya, “Baiklah, kamu boleh cuba lagi esok.”

Walaupun kita tidak sempurna dengan mengingati-Nya, Bapa Syurgawi kita tidak pernah lupa untuk mengingati kita.

Salah satu kesalahan yang kita sering buat ialah berfikir bahawa mentaati perjanjian, atau janji-janji yang kita buat kepada Tuhan, sebagai sebuah transaksi antara kita dengan Dia: saya patuh, dan Dia melindungi saya daripada keburukan yang terjadi kepada saya. Saya membayar persepuluhan, dan saya tidak akan kehilangan pekerjaan atau api tidak akan membakar rumah saya. Tetapi apabila hal-hal tidak berlaku seperti yang kita harapkan, kita berseru kepada Tuhan, “Tidakkah engkau peduli bahawa saya hampir tenggelam?”10

Perjanjian-perjanjian kita bukan sebuah transaksi; ia membawa perubahan.11 Melalui perjanjian, saya menerima kuasa Yesus Kristus yang menguduskan dan memperkuatkan. Ia membolehkan saya menjadi orang baru, untuk mengampuni apa yang tidak dapat diampuni, untuk mengatasi yang mustahil. Dengan tujuan mengingati Yesus Kristus selalu berkuasa; ia memberi kekuatan tambahan untuk “mentaati perintah-perintah-Nya yang telah dia berikan kepada [saya].”12 Ia membantu saya menjadi lebih baik hati, untuk senyum tanpa sebab, untuk menjadi pendamai,13 untuk mengelakkan konflik, untuk membenarkan Tuhan menguasai hidup saya.14

Apabila kesakitan kita atau orang yang dikasihi menjadi sungguh berat sehingga tidak dapat menanggungnya lagi, mengingati Yesus Kristus dan datang kepada-Nya dapat meringankan beban, kesakitan dan melembutkan hati. Inilah kuasa yang membolehkan seorang bapa melampaui keupayaannya untuk menyokong anak perempuannya melalui kesakitan jasmani dan emosi kerana kehilangan kakinya.

Imej
Flavia Cruzado dengan Elder Ulisses Soares.

Apabila Elder Soares mengunjungi Argentina pada Jun lepas dan menanya Flavia tentang kemalangannya, Flavia menjawab, “Saya mengalami kacau-bilau, kepahitan, kemarahan dan kebencian semasa [ini berlaku]. Suatu fikiran yang membantu saya adalah bukan untuk bertanya, ‘mengapa saya?’ tetapi ‘untuk tujuan apa?’ … Inilah fikiran yang mendekatkan saya kepada orang lain dan Tuhan. … Sebalik menjauhkan diri daripada Dia, saya perlu pegang erat kepada-Nya.”15

Presiden Nelson mengajar: “Ganjaran dari mematuhi perjanjian dengan Tuhan adalah kuasa syurgawi—kuasa yang menguatkan kita untuk menahan cubaan, godaan dan kesakitan hati kita dengan lebih baik. … Oleh itu, orang yang mematuhi perjanjian berhak menerima rehat yang istimewa.”16 Inilah jenis kedamaian dan rehat yang saya lihat di mata orang balu, walaupun kesedihannya merindui suaminya setiap hari.

Imej
Ribut di Laut Galilea.

Perjanjian Baru memberitahu tentang suatu masa ketika Yesus dan para pengikut-Nya berada di atas sebuah kapal:

“Lalu angin kencang bertiup dan ombak melanda perahu sehingga hampir penuh dengan air.

“Tetapi Yesus sedang tidur di bahagian belakang perahu itu, dengan kepala-Nya beralaskan bantal. Pengikut-pengikut-Nya membangunkan Dia dan berkata, “Guru, tidakkah Guru peduli? Kita hampir tenggelam!”

“Yesus bangun lalu menengking angin, dan berkata kepada ombak, Diam!

“Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu masih belum percaya kepada-Ku?”17

Saya selalu tertarik dengan cerita ini. Adakah Tuhan mengharapkan mereka menggunakan iman untuk menenangkan ribut? Untuk memerintah angin? Iman kepada Yesus Kristus ialah perasaan kedamaian untuk menahan ribut, mengetahui bahawa kita tidak akan tenggelam kerana Dia berada di atas kapal itu bersama kita.

Inilah jenis iman yang kami saksikan sewaktu kami melawat keluarga-keluarga selepas kebakaran di Chile. Rumah-rumah mereka telah dibakar sehingga kehilangan segala harta mereka. Namun semasa kami berjalan di mana rumah mereka telah bakar sambil mendengar pengalaman mereka, kami merasakan seperti berdiri di atas tanah suci. Seorang saudari berkata kepada isteri saya, “Apabila saya melihat rumah-rumah berdekatan sedang terbakar, saya terfikir bahawa rumah kami juga akan terbakar, dan akan kehilangan segala harta. Sebalik merasa cemas, saya mengalami ketenangan yang tidak dapat digambarkan. Perasaan seperti semua akan jadi OK. Mempercayai Tuhan dan mentaati perjanjian kita membawa kuasa kepada kelemahan kita dan kesenangan hati kepada kesedihan kita.

Saya bersyukur atas peluang yang Renee dan saya untuk bertemu dengan para Orang Suci yang hebat ini, atas contoh-contoh keimanan, kekuatan dan ketabahan mereka. Walaupun cerita sedih dan kekecewaan tidak akan diterbit di halaman utama surat khabar atau tidak menjadi viral. Walaupun tiada gambar-gambar tentang air mata dan doa selepas kehilangan atau penceraian yang traumatik; dan tiada post tentang ketakutan, kesedihan, dan kesakitan yang boleh ditanggung kerana iman kepada Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya. Saya sangat bersyukur kerana orang-orang ini menguatkan iman saya.

Saya tahu inilah Gereja Yesus Kristus. Saya tahu Dia bersedia untuk menganugerahi kita dengan kuasa-Nya, jika kita datang kepada-Nya setiap hari. Dalam nama Yesus Kristus, amin.