Persidangan Umum
Betapa Besar Kebahagiaanmu
Persidangan Umum Oktober 2023


Betapa Besar Kebahagiaanmu

Saya sekarang menjemput anda untuk mengambil pengalaman anda bergabung dengan kesaksian dan pergi melayani misi.

Saudara dan saudari yang dikasihi, fikiran saya hari ini adalah tentang pengumpulan Israel, sesuatu yang Presiden Russell M. Nelson panggil “hal yang paling penting berlaku di bumi hari ini. Tidak ada yang lain sebanding dengan kebesarannya, tidak ada yang sebanding dengan kepentingannya, tidak ada yang sebanding dengan keagungannya.”1

Pengumpulan itu adalah pengiktirafan utama bahawa “nilai semua jiwa adalah besar di mata Tuhan.”2 Ia semudah itu. Kita sedang mengumpulkan anak-anak Tuhan pada zaman akhir ini agar mereka boleh ada “berkat-berkat yang dicurahkan ke atas kepala mereka”3 dan janji-janji “kekayaan keabadian.”4 Untuk mengumpulkan Israel, kita perlukan para misionari—lebih daripada bilangan yang kini sedang melayani.5 Hari ini, saya berucap kepada para senior berpengalaman dalam Gereja yang boleh melayani sebagai misionari. Tuhan perlukan anda! Kami memerlukan anda di New York dan Chicago, Australia dan Afrika, Thailand dan Mexico dan di merata tempat.

Izinkan saya membawa anda kembali ke tahun 2015. Saya seorang ahli Kuorum Dua Belas Rasul yang baru dipanggil. Salah satu tanggungjawab yang kami pikul sebagai Rasul adalah untuk menugaskan misionari ke kawasan misi mereka. Saya telah mengambil bahagian dalam proses itu sebagai ahli Tujuh Puluh,6 tetapi sekarang, sebagai Rasul, saya lebih memahami betapa besarnya tanggungjawab tugas itu. Saya bermula dengan menempatkan sejumlah besar elder dan sister muda dengan penuh doa, satu demi satu, dalam misi di seluruh dunia. Kemudian, saya mula dengan pasangan senior. Terdapat 10 orang dalam senarai itu. Tidak begitu banyak. Dengan hairan, saya tanya rakan saya dari Jabatan Misionari, “Berapa banyak pasangan senior yang kita perlukan untuk memenuhi permintaan minggu ini?”

Dia menjawab, “300.”

Saya terkejut dengan bilangan itu: 10 pasangan untuk 300 permintaan.

Presiden Russell M. Nelson telah menggalakkan pasangan untuk “berlutut dan bertanya kepada Bapa Syurgawi jika masa sesuai untuk mereka melayani misi.”7 Dari semua kelayakan, dia berkata, “keinginan untuk melayani mungkin yang paling penting.”8

Tulisan suci mengajar, “Oleh itu, jika kamu memiliki hasrat untuk melayani Tuhan kamu dipanggil pada pekerjaan itu.”9 Pekerjaan itu adalah tentang hukum penuaian. Kita membaca dalam Yohanes, “Orang yang menabur benih dan orang yang menuai tuaian boleh bergembira bersama-sama.”10

Saya telah melihat hukum penuaian digenapi dalam keluarga saya sendiri.

Beberapa tahun yang lalu, saya melawat keluarga apabila uskup meminta saya untuk menutup pertemuan sakramen.11 Selepas pertemuan sakramen, seorang wanita menghampiri saya dengan tujuh anaknya dan memperkenalkan dirinya sebagai Sister Rebecca Guzman.

Dia bertanya, “Elder Rasband, kamu kenal Rulon dan Verda Rasband?”

Dengan senyum saya menjawab, “Mereka ibu bapa saya.”

Bolehkah anda lihat arah perbualan ini? Dengan kebenaran Rebecca, yang berada di sini dengan keluarganya di Pusat Persidangan, saya berkongsi kisah keluarganya.12

Imej
Sister Verda dan Elder Rulon Rasband.

Ibu bapa saya, Elder Rulon dan Sister Verda Rasband, melayani sebagai pasangan senior di Misi Florida Fort Lauderdale.13 Mereka berkhutbah dan dengan bimbingan ilahi mengetuk pintu rumah Rebecca. Dia seorang remaja dan suka mendengar muzik keluarga Osmond, terutamanya, kawan kami Donny—yang berada bersama kita hari ini.14 Dia telah mendengar temu duga media Osmond dan belajar bahawa mereka adalah ahli gereja Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Dia dapat merasai sesuatu keunikan tentang mereka, dan berfikir ia mungkin berkenaan agama mereka, Rebecca menghabiskan dua tahun menyelidik kepercayaan Gereja di perpustakaan sekolah. Jadi, apabila pasangan yang kelihatan baik hati mengetuk pintu keluarganya dan memperkenalkan diri mereka sebagai misionari Orang Suci Zaman Akhir, dia terkejut.

“Ibu saya beritahu saya untuk menghalau mereka,” Rebecca kemudian menulis, “tetapi hati saya berkata, ‘Tidak.’ Saya melihat wajah mereka dan merasakan begitu banyak kemesraan dan kasih sayang. Ingatan itu masih membawa air mata dan emosi yang mendalam bagi saya.”15

Rebecca menjemput mereka masuk, dan ibu bapa misionari saya berkongsi pesanan dengannya, dua adiknya dan kepada ibunya walaupun ibunya membantah.

Rebecca menggambarkan kepada saya: “Kedua-dua ibu bapa anda sangat baik dalam menjelaskan sebarang soalan yang kami ada. Saya masih boleh lihat wajah mereka seolah-olah cahaya mengelilingi mereka. Kami selalu memeluk ibu kamu apabila dia pergi dan ibu kamu selalu menasihati saya untuk membantu ibu saya berasa selesa dan dihormati. Bapa kamu selalu mempunyai cahaya di matanya semasa mengajar kami tentang Yesus Kristus. Dia cuba mengundang bapa saya dalam perbincangan dan akhirnya memenangi hatinya. Bapa saya seorang chef di kelab negara tempatan dan mula memasak untuk ibu bapa kamu, termasuk membuat pai limau kegemaran bapa kamu.”16

Ketika Elder dan Sister Rasband meminta Rebecca dan keluarganya untuk membaca Kitab Mormon, Rebecca membaca sehingga habis dalam lima hari. Dia ingin dibaptiskan dengan segera, tetapi ahli keluarganya belum bersedia. Selepas empat bulan, Rebecca menegaskan untuk diri dia dibaptiskan dan menyertai Gereja yang benar. Dia teringat, “Setiap serat jiwa saya tahu ia benar.”17 Pada 5 April 1979, misionari membaptiskan Rebecca yang berumur 19 tahun, ibunya, dan dua adik perempuannya. Bapa saya menjadi seorang saksi dalam pembaptisan itu.

Semasa saya bertemu dengan Rebecca dan keluarganya di gereja, kami mengambil gambar bersama keluarganya. Saya membawa gambar itu pulang kepada ibu saya dan dia memegangnya dengan erat pada dadanya. Kemudian dia berkata, “Ronnie, inilah satu-satunya hari yang paling gembira dalam hidup saya.”

Imej
Ahli keluarga Guzman, pasangan Rasband dan pasangan Ozmonds.

Balasan ibu saya mencetuskan soalan kepada pasangan senior kita: “Apakah yang anda lakukan pada peringkat hidup anda ini?” Terdapat begitu banyak perkara misionari senior boleh lakukan yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain. Anda merupakan pengaruh besar untuk kebaikan, berpengalaman dalam Gereja, dan bersedia untuk menggalakkan dan menyelamatkan anak-anak Tuhan.

Ada di antara anda yang mungkin berfikir: “Bagaimana pula dengan meninggalkan cucu-cucu? Kami akan merindui perayaan keluarga, hari jadi, kawan-kawan, dan juga haiwan peliharaan kami.” Jika saya menanya ibu saya mengapa dia dan Ayah pergi melayani misi, saya tahu dia akan berkata ini, “Saya ada cucu-cucu. Saya mahu mereka tahu bahawa bapa kamu dan saya melayani di ladang misi, kami ingin menetapkan teladan untuk keturunan kami, dan kami diberkati, amat diberkati.”

Semasa saya melawat misi-misi di seluruh dunia, saya telah melihat pelayanan hebat daripada misionari senior kami. Ia jelas mereka gembira melakukan “tugasan Tuhan” dan terlibat dalam “urusan Tuhan.”18

Bagi sesetengah orang, dan kami berharap beribu-ribu daripada anda, pelayanan misionari sepenuh masa di tempat lain akan menjadi tempat yang betul.19 Bagi yang lain, melayani misi pelayanan Gereja di negara sendiri mungkin lebih baik. Oleh kerana isu-isu kesihatan dan keadaan lain, terdapat mereka yang tidak dapat melayani. Kami memahami situasi-situasi itu, dan adalah harapan saya anda boleh mencari cara untuk menyokong mereka yang melayani. Ikuti nasihat nabi dan berdoa agar mengetahui kehendak Tuhan untuk anda.

Ladang misi di seluruh dunia memohon untuk bantuan anda. Presiden Russell M. Nelson berkata tentang misionari senior kita, “Mereka muda dalam jiwa, bijak dan rela bekerja.”20

Di ladang misi, anda berpeluang banyak: anda boleh melayani dalam pejabat misi atau bait suci, menguatkan misionari muda, mengukuhkan cabang-cabang kecil, bekerja di pusat FamilySearch atau di tempat bersejarah, mengajar institut, menyediakan pelayanan kemanusiaan, bekerja dengan belia, membantu di pusat pekerjaan atau di ladang Gereja. Maklumat dan cara untuk melayani, mengikut kesesuaian anda, di mana anda diperlukan, dan bagaimana anda boleh bersedia untuk pergi ditujukan di laman web “Senior Missionary.”21 Anda juga boleh bercakap dengan uskup atau presiden cabang anda.

Saya telah memanggil banyak pasangan untuk pergi melayan dan memerhati Cahaya Kristus telah memenuhi wajah mereka.22 Setelah mereka pulang, mereka berkongsi perhubungan erat dengan Tuhan dan satu sama lain, merasakan berkat-berkat Roh Tuhan, dan mengetahui bahawa mereka telah membuat perbezaan.23 Siapakah yang tidak mahu itu?

Misi akan menjadi masa paling gembira dalam kehidupan pasangan. Tajuk yang baik mungkin adalah “Tuhan Memerlukanku.”24 Anda mungkin merasa tidak pasti; tetapi, kuasa Roh akan membantu anda rasa berkebolehan.

Ibu bapa saya, dan beribu-ribu pasangan misionari yang sudah pulang telah memberi kesaksian tentang kebahagiaan yang mereka temui dalam pekerjaan misionari. Tuhan telah berkata, “Dan jika demikian halnya bahawa kamu akan bekerja sepanjang hidupmu dalam menyerukan pertaubatan kepada orang-orang ini, dan membawa, meskipun hanya satu jiwa kepada-Ku, maka betapa besarnya kebahagiaanmu bersamanya di dalam kerajaan Bapa-Ku!”25

Yesaya memberi kita gambaran puitis tentang apa yang dimaksudkan untuk melayani dalam “ladang” misi. Tulisan suci memberitahu kita “ladang adalah dunia.”26 Nabi kuno hebat ini menulis, “Kamu akan meninggalkan Babel dengan sukacita, kamu akan dipimpin keluar dari kota itu dengan kedamaian. Gunung dan bukit akan bernyanyi dengan gembira, semua pokok di padang akan bertepuk tangan.”27 Gunung-gunung, bukit, ladang dan pokok boleh disamakan dengan presiden misi, uskup, pemimpin daerah, para ahli dan orang yang mencari kebenaran tetapi “tidak tahu di mana untuk menemuinya,”28 Mereka akan bersaksi bahawa misionari senior membuat perubahan besar dengan kesaksian mereka tentang Juruselamat dan Penebus kita, Yesus Kristus.

Sebagai Rasul Tuhan Yesus Kristus, saya meminta anda untuk melayani sebagai misionari dalam pengumpulan Israel dan mungkin melayani sekali lagi. Kami memerlukan anda—kami memerlukan anda. Kami bersyukur kepada anda para senior, kerana kehidupan yang anda telah bantu dan contoh-contoh anda di rumah, bahagian dan pancang anda. Saya sekarang menjemput anda untuk mengambil pengalaman anda digabungkan dengan kesaksian, dan pergi melayani misi. Saya berdoa agar lain kali saya menugaskan pasangan senior, akan ada ratusan daripada anda yang menantikan panggilan dengan bersemangat.

Saya juga berjanji apabila anda melayani, anda akan merasakan kasih Tuhan dalam hidup anda. Anda akan mengenali-Nya. Dia akan mengenali anda dan “betapa besarnya kebahagiaanmu.”29 Pelayanan berdedikasi anda kepada Yesus Kristus akan mengilhami dan memberkati keluarga, cucu-cucu dan cicit anda. “Berkat, kesejahteraan, dan rahmat [akan] berlimpah-limpah”30 dalam kehidupan mereka selama bertahun-tahun yang akan datang. Saya berjanji. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Russell M. Nelson, “Harapan Israel” (pertemuan rohani remaja sedunia, 3 Jun 2018), Gospel Library.

  2. Ajaran dan Perjanjian 18:10.

  3. 3 Nefi 10:18.

  4. Ajaran dan Perjanjian 78:18.

  5. Gereja mempunyai 62,544 misionari sepenuh masa dalam 414 misi di seluruh dunia dari Amerika Utara dan Selatan ke Eropah dan Afrika, Asia, dan Australia/Oceania. Terdapat 27,000 misionari senior pelayanan Gereja. (Missionary Department data, Sept. 2023.)

  6. Lihat Ronald A. Rasband, “The Divine Call of a Missionary,” Liahona, Mei 2010, 52–53.

  7. Russell M. Nelson, “Senior Missionary Moments,” Liahona, Apr. 2016, 27.

  8. Russell M. Nelson, “Senior Missionaries and the Gospel,” Liahona, Nov. 2004, 81.

  9. Ajaran dan Perjanjian 4:3.

  10. Yohanes 4:36.

  11. Saya berada di New York, USA, menghadiri pembaptisan cucu perempuan Brooklyn dan berkat cucu perempuan Ella, April 2006.

  12. Surat daripada Rebecca Guzman kepada Elder Ronald A. Rasband, 8 Sept. 2009.

  13. Ibu bapa saya melayani dalam Misi Florida Fort Lauderdale pada tahun 1979.

  14. Keluarga Osmond adalah kumpulan muzik Amerika yang terkenal untuk lagu-lagu pop mereka. Kumpulan itu mencapai kemuncak kemasyhuran pada pertengahan tahun 1970, membuat persembahan di rancangan pelbagai televisyen. Donny dan Marie meneruskan televisyen dengan kerjaya pentas sementara saudara-saudara mereka membuat persembahan selama berdekad-dekad sebagai artis desa di Branson, Missouri.

  15. Surat daripada Rebecca Guzman, 8 Sept. 2009.

  16. Surat daripada Rebecca Guzman, 8 Sept. 2009.

  17. Surat dari Rebecca Guzman, 8 Sept. 2009.

  18. Ajaran dan Perjanjian 64:29.

  19. Peluang misionari senior mengambil banyak bentuk, dan pasangan atau saudari senior boleh menyenaraikan keutamaan serta tugasan sepenuh masa atau pelayanan Gereja. Akhirnya, nabi Gereja mengeluarkan panggilan untuk pelayanan sepenuh masa. Presiden pancang mengeluarkan tugasan pelayanan Gereja. Pelayanan boleh bertambah dari 6 bulan ke 23 bulan, dan misionari senior mempunyai lebih fleksibiliti dan aktiviti yang kurang berat daripada misionari muda. Lihat seniormissionary.ChurchofJesusChrist.org.

  20. Russell M. Nelson, “Senior Missionaries and the Gospel,” Liahona, Nov. 2004.

  21. Lihat seniormissionary.ChurchofJesusChrist.org.

  22. Lihat Alma 5:14. “Air muka” (wajah) boleh digambarkan sebagai menggambarkan sikap dan keadaan rohani individu.

  23. Lihat Yudas 1:22; Mosia 4:20.

  24. Lihat “’Ku Pergi ke Mana Kau Inginkan,” Nyanyian Rohani, no. 128.

  25. Ajaran dan Perjanjian 18:15.

  26. Tuhan menjelaskan, “Ladang itu dunia ini; … masa menuai tuaian itu Hari Kiamat” (Matius 13:38–39).

  27. Yesaya 55:12.

  28. Ajaran dan Perjanjian 123:12.

  29. Ajaran dan Perjanjian 18:15.

  30. Yudas 1:2.