Persidangan Umum
Adakah Anda Ingin Menjadi Gembira?
Persidangan Umum Oktober 2023


Adakah Anda Ingin Menjadi Gembira?

Kekal pada jalan perjanjian. Hidup anda akan menjadi lebih senang, gembira dan dipenuhi dengan kebahagiaan.

Adakah anda ingin menjadi gembira? Apakah yang buat anda tidak gembira? Presiden Russell M. Nelson berkata: “Jika anda ingin menjadi sengsara, melanggar perintah-perintah—dan jangan bertaubat. Jika anda inginkan kebahagiaan, kekal pada jalan perjanjian.”1 Bukankah ia mudah untuk menjadi gembira? Buatlah perjanjian dan taatinya dalam hidup anda. Marilah kita kaji semula beberapa perkara yang dapat bantu kita kekal pada jalan perjanjian dan buat kita gembira.

1. Apakah Jalan Perjanjian?

Menurut Elder Dale G. Renlund: “istilah jalan perjanjian merujuk kepada perjanjian berkala di mana kita datang kepada Kristus dan berhubung dengan-Nya. Melalui ikatan perjanjian ini, kita mendapat akses kepada kuasa abadi-Nya. Jalan itu bermula dengan iman kepada Yesus Kristus dan pertaubatan, diikuti dengan pembaptisan dan penerimaan Roh Kudus”.2 Kita memperbaharui perjanjian itu setiap kali kita mengambil sakramen.

Bermula dengan perjanjian pembaptisan, kita buat lebih banyak perjanjian sepanjang hidup kita. Lagi, Elder Renlund berkata: “Jalan perjanjian membawa kepada tatacara bait suci, seperti anugerahan bait suci. Anugerahan ialah kurniaan perjanjian kudus Tuhan yang lebih sepenuhnya menghubungkan kita kepada-Nya.”3

2. Adakah Anda berada di Jalan Perjanjian?

Kadangkala apabila kita buat perjanjian, kita gagal mentaatinya. Apabila ini berlaku, bagaimanakah anda boleh kembali ke jalan perjanjian? Biar saya berkongsi beberapa contoh untuk kembali ke jalan perjanjian.

Sebulan lebih yang lalu, saya menerima pesanan daripada seorang misionari yang habis misi dan telah melayani bersama kami. Dia berkata: “Masa kebelakangan amat sukar baginya. Bertempur dengan kebimbangan dan kemurungan setiap hari telah membebani saya dan ia sangat susah. Saya berasa keseorangan dan sengsara. Saya telah berdoa untuk bimbingan Bapa Syurgawi untuk kedamaian dan ketenangan dalam apa yang saya boleh lakukan untuk mengatasi kesusahan ini. … Semasa saya berdoa, saya terasa dorongan roh untuk bayar persepuluhan saya dengan penuh. … Saya merasai roh dengan begitu kuat dan segera merasai keinginan untuk berbuat demikian. Dengan keinginan untuk berbuat demikian, saya merasai dorongan bahawa ‘jika anda membayar persepuluhan anda, semua akan menjadi baik-baik saja.’ Saya masih bergelut untuk mencari kedamaian, tetapi saya ada kesaksian dalam Juruselamat kita dan melalui kepatuhan saya, saya dapat rasa dan menemui kedamaian yang dicari dalam hati dan minda saya. Baru-baru ini saya telah memutuskan untuk kembali ke Gereja dan cari Roh Kudus dalam semua yang saya lakukan.”

Kini dia baik-baik sahaja. Anda juga boleh meminta Bapa Syurgawi untuk kedamaian, tetapi jawapannya mungkin berbeza daripada jangkaan anda. Selagi anda mencari untuk mengetahui tentang Juruselamat dan berdoa kepada Bapa Syurgawi, Dia akan memberi jawapan yang khusus untuk anda.

Presiden Thomas S. Monson mengajar:

“Pengajaran yang paling besar kita boleh belajar dalam kefanaan adalah apabila Tuhan berfirman dan kita mematuhi, kita sentiasa akan betul.”4

“Apabila kita patuhi perintah, hidup kita akan menjadi lebih gembira, lebih penuh dan kurang rumit. Cabaran dan masalah kita akan menjadi lebih senang untuk dilalui, dan kita akan menerima berkat [Tuhan] yang dijanjikan.”5

Ketika saya dipanggil untuk menjadi uskup, masa itu adalah yang paling sukar dalam hidup saya. Saya seorang bapa muda berumur 30 tahun lebih, tetapi saya berada dalam kesusahan kewangan kerana cabaran keluarga. Saya tidak dapat mencari penyelesaian, dan saya fikir cabaran-cabaran itu tidak akan berakhir. Saya amat letih dari segi kewangan dan emosi. Saya mula meragui kekuatan rohani saya juga. Pada masa yang susah itu presiden pancang saya memberikan panggilan kepada saya. Saya menerima panggilan itu, walaupun ia susah.

Isteri saya juga bertemu duga dengan presiden pancang, tetapi dia tidak dapat berkata ya ataupun tidak. Hanya boleh menangis. Dia menangis sepanjang minggu, bertanya kepada Bapa Syurgawi, “Mengapa sekarang?” dan “Adakah Engkau benar-benar mengenali setiap individu?” Dia tidak mendapat jawapan, tetapi saya disokong sebagai uskup pada hari Ahad berikutnya. Dia tidak menanya Bapa Syurgawi soalan-soalan itu lagi, dia menyokong saya dalam panggilan itu selama enam tahun.

Pada hari Ahad ketika saya dilepaskan dari panggilan, isteri saya terdengar sebuah suara ketika dia menerima sakramen. Suara itu berbisik kepadanya, “Kerana ia terlalu sukar untuk anda berjalan, saya memanggil dia sebagai uskup untuk memegang anda dan berjalan untuk anda.” Melihat kembali enam tahun yang lalu, dia menyedari bahawa semua cabaran yang nampaknya tidak ada akhirnya telah diselesaikan sepanjang perjalanan.

Kami belajar bahawa apabila kita fikir ia bukanlah masa yang baik untuk kita menerima panggilan, mungkin masa itulah yang kita amat memerlukan panggilan. Apabila Tuhan meminta kita untuk melayani dalam panggilan apa pun, sama ada ia sebuah panggilan yang lebih ringan atau lebih berat, Dia melihat keperluan kita. Dia menyediakan kekuatan yang kita perlukan dan mempunyai berkat-berkat yang sedia untuk dicurahkan ke atas kita semasa kita melayani dengan beriman.

Terdapat banyak perkara lain yang mengganggu kita dari kekal pada jalan perjanjian. Tidak kira apa-apa pun, masanya tidak pernah terlalu lambat untuk memalingkan hati kita kepada Bapa Syurgawi untuk bantuan. Elder Paul V. Johnson mengajar kita: “Apabila kita mengikuti Setan, kita memberinya kuasa. Apabila kita mengikut Tuhan, Dia memberi kita kuasa.”6

Raja Benyamin dalam Kitab Mormon berkata: “Dan selain itu, aku berhasrat agar kamu hendaknya mempertimbangkan keadaan diberkati dan bahagia orang yang mentaati perintah-perintah Tuhan. Kerana lihatlah, mereka diberkati dalam segala hal, baik duniawi mahupun rohani; dan jika mereka bertahan setia sampai akhir mereka diterima ke dalam syurga, agar dengan demikian mereka boleh berdiam bersama Tuhan dalam suatu keadaan kebahagiaan yang tak akan berakhir.”7

3. Bagaimanakah Mentaati Perjanjian dengan Tuhan Menjadikan Anda Gembira?

Isteri saya berkata bahawa perkahwinan kami adalah seperti memasang kuk bersama, oleh itu dia dapat lakukan hal-hal yang dia tidak dapat lakukan sebelumnya. Contohnya, sejak dia masih muda, ia susah bagi dia untuk keluar dalam keadaan gelap, tetapi ia tidak susah lagi kerana saya pergi bersama dia. Dia pendek dan tidak boleh sampai ke rak tinggi kecuali dia menggunakan kerusi atau tangga, tetapi saya boleh ambil benda-benda dari rak tinggi untuk dia kerana saya lebih tinggi. Mengambil kuk Juruselamat ke atas diri kita ialah seperti itu. Apabila kita memasang kuk kepada-Nya, kita dapat lakukan perkara yang kita tidak dapat lakukan sendiri kerana Dia dapat lakukan hal-hal yang kita tidak dapat lakukan untuk diri kita sendiri.

Elder David A. Bednar berkata: “Mengikat dan mematuhi perjanjian suci menempatkan kita di kuk di sebelah Tuhan Yesus Kristus. Pada dasarnya, Juruselamat meminta kita untuk bergantung pada Dia dan menarik bersama Dia, walaupun usaha sedaya upaya kita tidak setanding dan tidak dapat dibandingkan dengan usaha Dia. Semasa kita mempercayai Dia dan menarik beban bersama Dia semasa perjalanan kefanaan ini, betul-betul kuk-Nya mudah dan beban-Nya ringan.”8

Presiden Nelson juga telah ajarkan:

“Mengikat diri dengan Juruselamat bermakna anda boleh mempunyai kekuatan dan kuasa penebusan-Nya.”9

“Ganjaran untuk patuhi perjanjian dengan Tuhan adalah kuasa syurgawi—kuasa yang kuatkan kita untuk tahan cubaan, godaan, dan kesakitan hati kita dengan lebih baik. Kuasa ini memudahkan cara kita. Mereka yang patuhi hukum-hukum Yesus Kristus yang lebih tinggi ada akses kepada kuasa-Nya yang lebih tinggi.”10

“Mentaati perjanjian sebenarnya menjadikan kehidupan lebih mudah! Setiap orang yang membuat perjanjian dalam kolam pembaptisan dan di bait suci—dan mentaatinya—telah meningkatkan akses kepada kuasa Yesus Kristus.”11

Saudara dan saudari yang dikasihi, adakah anda ingin menjadi gembira? Kekal pada jalan perjanjian. Hidup anda akan menjadi lebih senang, gembira, dan dipenuhi dengan kebahagiaan. Juruselamat menjemput kita: “Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.”12 Dia ialah Kristus yang hidup. Dia membawa beban kita dan menjadikan kehidupan kita lebih senang. Dalam nama Yesus Kristus, amin.