Persidangan Umum
Melihat Keluarga Tuhan melalui Kanta Keseluruhan
Persidangan Umum Oktober 2023


Melihat Keluarga Tuhan melalui Kanta Keseluruhan

Saya percaya kita boleh, melalui mata iman, zum keluar dan lihat diri dan keluarga kita dengan harapan dan kebahagiaan.

Ketika anak perempuan bongsu kami, Berkeley, masih kecil, saya mula mengguna cermin mata untuk membaca―jenis yang zum dan membesarkan objek. Suatu hari, semasa kami duduk membaca buku bersama, saya melihat dia dengan kasih sayang dan sayu kerana, tiba-tiba, dia kelihatan lebih matang. Saya fikir, “Kenapa masa lalu cepat? Dia sudah besar!”

Apabila saya mengangkat cermin mata untuk menyapu air mata, saya dapati, “Eh—Dia tidaklah begitu besar; hanya cermin mata ini! Tidak mengapa!”

Kadangkala kita hanya dapat lihat mereka yang dikasihi secara dekat dan diperbesarkan. Malam ini, saya menjemput anda untuk zum keluar dan melihat melalui kanta yang berbeza—kanta abadi yang berfokus pada gambaran besar, cerita keseluruhan anda.

Semasa manusia mula menerokai ruang angkasa, roket tanpa kawalan angkasawan tidak mempunyai tingkap. Tetapi di misi Apollo 8 ke bulan, para angkasawan hanya ada satu tingkap. Semasa terapung di angkasa, mereka kagum melihat bumi kita dan mengambil imej ini yang menakjubkan dan menarik perhatian seluruh dunia. Para angkasawan itu mengalami satu sensasi yang begitu hebat, dinamakan: overview effect (kesan keseluruhan).

Imej
Bumi dari angkasa.

NASA

Melihat pemandangan dari tempat baharu mengubah segala-galanya. Seorang angkasawan berkata bahawa ia “mengurangkan sesuatu sehingga saiz yang boleh diuruskan. … Kita boleh lakukannya. Kedamaian di bumi—tiada masalah. Ia memberi orang tenaga seperti itu … kuasa seperti itu.”1

Sebagai manusia, kita mempunyai pandangan dari segi dunia tetapi Tuhan melihat gambaran keseluruhan yang agung tentang alam semesta. Dia melihat semua ciptaan, iaitu kita semua, dan dipenuhi dengan harapan.

Bolehkah kita mula melihat sepertimana Tuhan melihat dalam hidup di bumi ini—untuk merasa perasaan keseluruhan ini? Saya percaya kita boleh, melalui mata iman, zum keluar dan lihat diri dan keluarga kita dengan harapan dan kebahagiaan.

Tulisan suci bersetuju. Moroni bercakap tentang mereka yang beriman “sangat kuat” sehinggakan mereka “benar-benar telah melihat … dengan mata iman, dan mereka gembira.”2

Dengan mata tertumpu kepada Juruselamat, mereka merasa kebahagiaan dan mengetahui kebenaran ini: kerana Kristus, semuanya baik-baik sahaja. Semua yang ANDA dan ANDA dan ANDA risaukan—semuanya akan baik-baik sahaja! Dan mereka yang melihat dengan mata iman dapat merasakan ia akan menjadi baik-baik sekarang.

Tahun terakhir sekolah menengah saya agak mencabar kerana saya membuat pilihan yang kurang baik. Saya ingat ibu menangis dan tertanya-tanya jika saya telah mengecewakan dia. Pada masa itu, saya risau tangisannya menunjukkan dia telah hilang harapan untuk saya, dan jika dia tidak ada harapan untuk saya, mungkin tidak ada jalan untuk kembali.

Tetapi bapa saya lebih bertenang dan memandang secara keseluruhan. Dia belajar dari pengalaman bahawa kerisauan terasa seperti kasih, tetapi ia tidak sama.3 Dia menggunakan mata iman untuk melihat semuanya akan baik-baik sahaja, dan caranya yang penuh harapan telah mengubah saya.

Apabila saya tamat sekolah menengah dan datang ke BYU, ayah menghantar surat, mengingatkan saya tentang diri saya. Dia menjadi penyorak saya, dan semua orang perlukan seorang penyorak—seorang yang tidak berkata, “Cepat lagi”; sebaliknya mereka mengingatkan anda bahawa anda boleh.

Ayah mencontohi mimpi Lehi. Seperti Lehi, dia tahu bahawa anda tidak mengejar orang yang dikasihi dan rasa putus asa. “Kamu tunggu di mana kamu berada dan memanggil mereka. Pergilah ke pokok itu, tunggu di sana, makan buah-buahnya dan, dengan senyuman di muka, teruskan menggalakkan orang yang dikasihi dan tunjukkan melalui teladan bahawa memakan buah itu adalah sesuatu yang menggembirakan!”4

Gambaran visual ini telah membantu saya pada saat-saat sedih ketika mendapati diri saya di pokok itu, memakan buahnya dan menangis kerana saya rasa risau; adakah ia membantu? Sebaliknya, marilah kita memilih harapan—harapan terhadap Pencipta kita dan terhadap satu sama lain, menambah keupayaan kita untuk menjadi lebih baik daripada sekarang.

Tidak lama selepas Elder Neal A. Maxwell meninggal dunia, seorang pemberita menanya anak lelakinya apa yang dia paling rindu. Dia merindui makan malam di rumah ibu bapanya, kerana dia selalu rasa ayahnya mempercayai dia.

Inilah juga masa anak-anak dewasa kami mula pulang ke rumah untuk makan malam pada hari Ahad bersama pasangan mereka. Sepanjang minggu saya membuat senarai dalam minda tentang hal-hal yang saya boleh ingatkan mereka pada hari Ahad, seperti “Cuba dan bantu menjaga anak-anak ketika berada di rumah” atau “Jangan lupa untuk menjadi seorang pendengar yang baik.”

Apabila saya membaca komen Brother Maxwell, saya buangkan senarai itu dan padamkan fikiran kritikal itu, jadi apabila melihat anak-anak dewasa saya buat masa singkat setiap minggu, saya fokus pada hal-hal positif yang mereka telah lakukan. Apabila anak lelaki sulung kami, Ryan, meninggal dunia beberapa tahun kemudian, saya bersyukur masa kami bersama adalah lebih gembira dan lebih positif.

Sebelum kita berinteraksi dengan orang tersayang, tanyalah diri “Adakah apa yang saya akan lakukan atau katakan itu berguna atau menyakitkan?” Pertuturan kita adalah salah satu kuasa kita, dan ahli keluarga bagaikan papan tulis, yang berdiri di hadapan kita dan berkata, “Tuliskan apa yang kamu fikirkan tentang saya!” Pesanan-pesanan ini, sama ada sengaja atau tidak, haruslah dipenuhi harapan dan menggalakkan.5

Tugas kita bukanlah untuk mengajar seseorang yang sedang melalui cabaran bahawa mereka tidak baik atau mengecewakan. Kadangkala kita terdorong untuk membetulkan, tetapi kerap kali kita patut beritahu orang tersayang apa yang mereka ingin dengar: “Keluarga kita lengkap kerana adanya kamu.” “Kamu akan disayangi sepanjang hidup—tidak kira apa pun.”

Kadangkala kita perlukan empati berbanding dengan nasihat; lebih mendengar bukan meleter; seseorang yang mendengar dan bertanya, “Bagaimanakah perasaan saya jika saya kata apa yang mereka katakan?”

Ingatlah, keluarga adalah seperti makmal yang Tuhan berikan, jadi kesalahan dan salah faham bukan sahaja mungkin berlaku tetapi akan berlaku. Dan tidakkah ia menarik jika, pada akhir kehidupan, kita dapat melihat bahawa hubungan-hubungan itu, bahkan pada saat-saat yang mencabar itu, akan membantu kita menjadi lebih seperti Juruselamat? Setiap interaksi yang sukar adalah peluang untuk belajar cara untuk mengasihi pada tahap yang lebih mendalam—tahap seperti Tuhan.6

Marilah kita zum keluar dan melihat hubungan keluarga sebagai contoh untuk mengajar kita pelajaran yang diperlukan semasa kita berpaling kepada Juruselamat.

Hakikatnya, dalam dunia yang terjatuh, agak mustahil untuk menjadi pasangan, ibu bapa, anak, cucu, mentor, atau kawan yang sempurna—tetapi ada sejuta cara untuk menjadi seorang yang baik.7 Marilah kita kekal di pokok itu, mengambil bahagian dalam kasih Tuhan, dan kongsikannya. Dengan mengangkat orang di sekeliling kita, kita naik bersama.

Malangnya, ingatan memakan buah itu tidak mencukupi; kita perlu memakannya berulang kali supaya kanta kita diatur semula dan menghubungkan kita kepada gambaran keseluruhan syurgawi dengan membaca kitab suci, yang dipenuhi dengan cahaya untuk mengusir kegelapan; kekal berlutut sehingga doa santai kita menjadi hebat. Inilah masanya hati dilembutkan, dan kita mula melihat sepertimana Tuhan melihat.

Di zaman akhir ini, perbuatan terpenting kita adalah bersama dengan orang yang terkasih—orang-orang baik hidup di dunia yang jahat. Harapan kita mengubah cara mereka melihat diri dan siapa mereka sebenarnya. Dan melalui kanta kasih inilah mereka akan melihat siapa mereka akan menjadi.

Tetapi musuh tidak mahu kita atau orang tersayang pulang bersama kita. Dan kerana kita hidup di planet yang tertakluk kepada masa dan bilangan tahun yang terhad,8 dia cuba menanam perasaan cemas dalam kita. Hala tuju kita lebih penting daripada kelajuan semasa ia sukar untuk melihat ketika zum masuk.

Ingatlah, “Jika anda ingin cepat, pergilah sendiri. Jika anda ingin pergi jauh, pergilah bersama.”9 Syukurnya, Tuhan yang kita sembah tidak tertakluk kepada masa. Dia melihat orang yang kita kasihi dan kita yang sebenarnya,10 Maka Dia bersabar dengan kita, dengan harapan kita akan bersabar terhadap satu sama lain.

Saya mengakui ada masanya apabila bumi, rumah duniawi kita, terasa seperti satu pulau kesedihan—saat apabila saya mempunyai sebuah mata iman dan mata lagi satu pula sedang menangis.11 Tahukah anda perasaan ini?

Ia alami perasaan ini pada hari Selasa.

Bolehkah kita memilih teladan nabi kita apabila dia menjanjikan mukjizat dalam keluarga kita? Jika kita buat sedemikan, kebahagiaan kita akan meningkat, walaupun pergolakan juga meningkat. Dia berjanji bahawa kesan keseluruhan boleh dialami sekarang, tidak kira situasi kita.12

Memiliki mata iman sekarang adalah untuk merasai semula, atau menggemakan, iman yang kita ada sebelum datang ke bumi ini. Ia melihat menerusi saat-saat ketidakpastian, membolehkan kita “dengan riang melakukan segala hal yang berada dalam kuasa kita; dan kemudian … berdiri teguh.”13

Adakah sesuatu yang susah dalam hidup anda sekarang, sesuatu yang anda bimbangkan dan tidak dapat diselesaikan? Tanpa mata iman, ia mungkin terasa seperti Tuhan telah kehilangan pengawasan terhadap hal-hal itu, benarkah?

Atau ketakutan terbesar anda ialah melalui masa yang sukar ini sendirian, dan itu bermakna Tuhan telah mengabaikan anda. Adakah itu benar?

Saya bersaksi bahawa Juruselamat mempunyai keupayaan itu, kerana Korban Tebusan-Nya, untuk mengubahkan sebarang mimpi ngeri yang anda sedang lalui menjadi satu berkat. Dia berjanji “dengan sebuah perjanjian yang tidak berubah” bahawa apabila kita berusaha untuk mengasihi dan mengikuti-Nya, “segala hal yang [kita] telah disengsarakan dengannya akan bekerja demi kebaikan [kita].”14 Segala hal.

Dan kerana kita adalah anak-anak perjanjian, kita boleh memohon harapan ini sekarang!

Walaupun keluarga kita tidak sempurna, kita boleh menyempurnakan kasih terhadap orang lain sehinggalah ia menjadi kasih yang tetap, tidak berubah, tidak kira apa pun—jenis kasih yang menyokong perubahan dan membenarkan perkembangan dan manfaat.

Adalah pekerjaan Juruselamat untuk membawa orang tersayang kembali. Adalah pekerjaan-Nya dan menurut masa-Nya. Adalah pekerjaan kita untuk menyediakan harapan dan hati yang mereka boleh kembali. “Kita tidak miliki wewenang [Tuhan] untuk menghukum atau kuasa-Nya untuk menebus, tetapi kita ada wewenang untuk menjalankan kasihnya.”15 Presiden Nelson juga mengajar bahawa orang lain perlukan kasih kita lebih daripada penghakiman kita. “Mereka perlu mengalami kasih suci Yesus Kristus yang dicerminkan dalam kata-kata dan tindakan [kita].”16

Kasih ialah kuasa yang mengubah hati. Ia adalah motif yang paling suci dari segalanya, dan orang lain dapat merasainya. Marilah kita berpegang teguh pada kata-kata nabi yang diberikan 50 tahun lalu: “Tiada keluarga akan gagal, kecuali mereka berputus asa.”17 Tentunya, mereka yang memberi kasih paling banyak dan paling lama akan menang!

Dalam keluarga duniawi, kita melakukan apa yang Tuhan telah lakukan dengan kita—menunjukkan jalan dan berharap orang yang kita kasihi akan pergi ke arah itu, mengetahui bahawa perjalanan mereka adalah pilihan mereka.

Dan apabila mereka menyeberangi tirai hidup mendekati “tarikan graviti” rumah syurgawi mereka,18 saya percaya perasaan itu serupa seperti cara mereka dikasihi di sini.

Marilah kita gunakan kanta keseluruhan itu dan lihat orang yang kita kasihi dan hidup bersama sebagai rakan kongsi di planet indah ini.

Anda dan saya? Kita boleh lakukannya! Kita boleh bertahan dan berharap! Kita boleh kekal di pokok itu dan memakan buah dengan senyuman pada muka kita, Manakala Cahaya Kristus dalam mata kita akan menjadikan sesuatu yang orang lain boleh harapkan di saat yang paling gelap. Apabila mereka melihat cahaya menyinari pada wajah kita, mereka akan tertarik kepadanya. Kemudian kita boleh membantu menumpukan perhatian mereka kepada sumber kasih dan cahaya asli, “bintang timur yang terang itu,” Yesus Kristus.19

Saya bersaksi bahawa ini—semua ini—akan menjadi lebih baik daripada jangkaan kita! Dengan mata iman kepada Yesus Kristus, semoga kita melihat bahawa semuanya akan baik-baik sahaja pada akhirnya, dan merasakan bahawa ia akan menjadi baik-baik sahaja sekarang. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Anousheh Ansari, in “The Overview Effect and Other Musings on Earth and Humanity, according to Space Travelers,” cocre.co.

  2. Eter 12:19; penekanan ditambah.

  3. Lihat Jody Moore, “How to Say Hard Things,” Better than Happy (podcast), 18 Sept. 2020, episod 270.

  4. Ronald E. Bartholomew, diguna dengan kebenaran; juga lihat 1 Nephi 8:10; 11:21–22.

  5. Lihat James D. MacArthur, “The Functional Family,” Marriage and Families, vol. 16 (2005), 14.

  6. Dicapai apabila kita “berdoalah kepada Bapa dengan sekuat tenaga hati, agar [kita] boleh dipenuhi dengan kasih ini” (Moroni 7:48).

  7. Memparafrasakan kenyataan daripada Jill Churchill.

  8. Lihat Richard Eyre, Life before Life: Origins of the Soul … Knowing Where You Came from and Who You Really Are (2000), 107.

  9. Peribahasa tradisional.

  10. Lihat Ajaran dan Perjanjian 93:24, 26.

  11. Lihat Robert Frost, “Birches,” dalam Mountain Interval (1916), 39.

  12. Russell M. Nelson, “Pesanan Pembukaan,” Liahona, Nov 2016, 81–84; juga lihat Russell M. Nelson, “Membiarkan Tuhan Menang,” Liahona, Nov. 2020, 92–95.

  13. Ajaran dan Perjanjian 123:17.

  14. Ajaran dan Perjanjian 98:3; penekanan ditambah.

  15. Wayne E. Brickey, Inviting Him In: How the Atonement Can Change Your Family (2003), 144.

  16. Lihat Russell M. Nelson, “Pendamai Diperlukan,” Liahona, Mei 2023, 100.

  17. Teachings of Presidents of the Church: Harold B. Lee (2000), 134.

  18. Lihat Paul E. Koelliker, “He Truly Loves Us,” Liahona, Mei 2012, 18.

  19. Wahyu 22:16.