Persidangan Umum
Menunggu Tuhan
Persidangan umum Oktober 2020


Menunggu Tuhan

Iman bermakna mempercayai Tuhan dalam masa baik dan tidak baik, walaupun ia termasuk penderitaan sehingga kita melihat lengan-Nya didedahkan bagi pihak kita.

Saudara dan saudari yang dikasihi, kita semua bersemangat—terutamanya saya—untuk mendengar ucapan penutup dari nabi kita, Presiden Russell M. Nelson. Persidangan ini sangat mengagumkan, tetapi ini adalah kali kedua COVID-19 telah mengubah cara berkumpul kita yang biasa. Kita sangat letih dengan penularan ini, seperti kita ingin mencabut-cabut rambut kita. Nampaknya, beberapa Saudara saya telah melakukan itu. Sila tahu bahawa kami konsisten berdoa untuk mereka yang terkesan dalam cara apa pun, terutama bagi mereka yang kehilangan orang terkasih. Semua orang bersetuju bahawa ini telah berterusan terlalu lama.

Berapa lama harus kita tunggu untuk kelegaan dari kesusahan yang menimpa kita? Bagaimana pula dengan menanggung percubaan peribadi sementara menunggu untuk bantuan yang lambat tiba? Mengapakah ia lambat apabila beban seolah-olah lebih berat daripada yang kita boleh tanggung?

Ketika bertanya soalan-soalan seperti ini, kita boleh, jika kita cuba, mendengar seruan seseorang yang bergema dari sel penjara yang gelap dan suram pada suatu musim sejuk yang paling sejuk di tempat itu.

“Ya Tuhan, di manakah Engkau?” kita mendengar dari dalam Penjara Liberty. “Dan di manakah khemah yang menutupi tempat persembunyian-Mu? Berapa lamakah tangan-Mu akan ditahan?”1 Ya, Ya Tuhan, berapa lamakah?

Oleh itu, kita bukanlah yang pertama atau yang terakhir untuk bertanya soalan seperti ini apabila kesedihan menimpa kita atau rasa sakit di hati kita terus berlanjutan. Saya tidak berucap tentang wabak atau penjara tetapi tentang anda, keluarga anda, dan jiran-jiran anda yang menghadapi cabaran. Saya berucap tentang keinginan orang-orang yang mahu berkahwin tetapi belum atau mereka yang sudah berkahwin dan berharap hubungan mereka lebih selestial. Saya berucap tentang mereka yang terpaksa menghadapi keadaan perubatan yang serius—yang mungkin tidak dapat diubati—atau yang berjuang sepanjang hidup dengan kecacatan genetik yang tidak ada ubat. Saya berucap tentang perjuangan berterusan bagi cabaran kesihatan mental dan emosi yang membebani jiwa orang-orang yang menderitanya, dan hati mereka yang mengasihi dan menderita bersamanya. Saya berucap tentang orang miskin, yang Juruselamat perintahkan kita untuk tidak lupakan, dan saya berucap tentang anda yang menunggu kepulangan seorang anak, tidak kira usia, yang telah memilih jalan yang berbeza dari yang anda doakan.

Selanjutnya, saya mengakui bahawa senarai panjang ini yang kita tunggu secara peribadi masih tidak membicarakan kebimbangan ekonomi, politik, dan sosial besar yang kita hadapi secara kolektif. Bapa Syurgawi kita mengharapkan kita untuk mengatasi masalah-masalah awam dan peribadi yang sukar ini, tetapi ada masanya walaupun dengan usaha rohani yang terbaik dan doa-doa ikhlas, ia tidak akan menghasilkan kejayaan yang kita inginkan, sama ada ia mengenai masalah global yang besar atau masalah peribadi yang kecil. Sementara kita bekerja dan menunggu jawapan doa-doa kita, saya memberikan janji bahawa doa anda didengar dan dijawab, walaupun bukan pada masa atau dalam cara yang kita mahu. Tetapi ia sentiasa dijawab pada masa dan dalam cara seorang bapa yang penuh kasih dan maha mengetahui harus menjawab. Para saudara dan saudari yang dikasihi, tolonglah memahami bahawa Dia yang tidak pernah terlelap atau tertidur2 mengambil berat tentang kebahagiaan dan permuliaan tertinggi anak-anak-Nya lebih daripada apapun yang makhluk ilahi harus lakukan. Dia adalah peribadi agung yang memiliki kasih suci, dan Bapa yang Penyayang adalah nama-Nya.

“Jika demikian,” anda mungkin berkata, “mengapakah kasih dan belas kasihan-Nya tidak membahagikan Laut Merah peribadi kita dan membenarkan kita berjalan melalui masalah kita di atas tanah kering? Mengapakah Dia tidak menghantar burung camar (bantuan) abad ke-21 untuk memakan cengkerik bedebah (masalah sukar) abad-21 kita?

Jawapan kepada soalan seperti ini adalah “Ya, Tuhan boleh memberikan keajaiban dengan serta-merta, tetapi kita akan mempelajari bahawa hanya Tuhan seorang boleh mengarahkan waktu dan masa perjalanan fana kita.” Dia mengarahkan waktu dan masa kita secara individu. Ada orang yang sakit disembuhkan dengan serta-merta ketika dia tunggu untuk memasuki Kolam Betesda,3 ada pula yang menghabiskan 40 tahun di padang gurun menunggu untuk memasuki tanah yang dijanjikan.4 Nefi dan Lehi dilindungi ilahi dengan dikelilingi api kerana iman mereka,5 manakala Abinadi menderita kematian oleh api kerana imannya.6 Dan kita ingat bahawa Elia yang sama yang memanggil Tuhan menurunkan api dengan segera dari syurga untuk bersaksi terhadap nabi-nabi Baal7 adalah Elia yang sama yang menanggung suatu tempoh di mana tidak terdapat hujan untuk beberapa tahun, dan untuk satu masa, diberi makan sedikit oleh apa yang dibawa oleh cakar burung gagak.8 Saya menganggap itu bukanlah hidangan yang kita akan panggil “happy meal.”

Apakah maksudnya? Maksudnya adalah iman bermakna mempercayai Tuhan dalam masa baik dan tidak baik, walaupun ia termasuk beberapa penderitaan sehingga kita melihat lengan-Nya didedahkan bagi pihak kita.9 Ia sukar kerana di dunia moden kita banyak orang percaya bahawa perkara paling baik dalam hidup adalah mengelak segala penderitaan, bahawa tidak ada orang yang harus bersedih untuk apa-apa.10 Tetapi kepercayaan itu tidak akan membimbing kita untuk “menjadi matang dan sempurna seperti Kristus.”11

Minta maaf Elder Neal A. Maxwell kerana [saya] berani mengubahsuai dan memanjangkan sesuatu yang dia pernah katakan, saya juga mencadangkan bahawa “kehidupan seseorang … tidak boleh dipenuhi iman dan bebas dari tekanan.” Ia tidak masuk akal “untuk menjalani kehidupan tanpa mengenali kesusahan,” dan berkata sambil menghirup minuman (bersantai), “Tuhan, berikan saya semua sifat baik-Mu yang paling hemah, tetapi janganlah memberi saya kesedihan, dukacita, kesakitan, ataupun pertentangan. Tolong jangan biarkan siapapun untuk tidak menyukai saya atau mengkhianati saya, dan terutamanya, jangan sesekali biarkan saya rasa ditinggalkan oleh-Mu atau mereka yang saya kasihi. Sebenarnya, Tuhan, berhati-hatilah untuk menjauhkan saya dari semua pengalaman yang menjadikan-Mu ilahi. Dan kemudian, apabila kesusahan orang lain sudah berakhir, tolong izinkan saya datang dan tinggal bersama-Mu, agar saya boleh bermegah tentang bagaimana kekuatan dan perwatakan kita serupa semasa saya terapung di awan agama Kristian yang selesa.”12

Para saudara dan saudari yang dikasihi, agama Kristian menghiburkan, tetapi ia bukan kehidupan yang senang. Jalan menuju kekudusan dan kebahagiaan di dunia fana dan akhirat adalah panjang dan kadangkala susah. Ia mengambil masa dan kegigihan untuk menghadapinya. Tetapi ganjarannya adalah sangat besar dan penting. Kebenaran ini diajar dengan jelas dan meyakinkan dalam bab ke-32 Alma dalam Kitab Mormon. Imam tinggi dalam bab ini mengajar jika firman Tuhan ditanamkan di dalam hati kita sebagai sebiji benih, dan jika kita memberinya air, merumput, memelihara, dan menggalakkannya, ia akan dalam masa depan menghasilkan buah “yang paling berharga, … yang manis melebihi segala yang manis,” yang setelah memakannya tidak akan dahaga atau kelaparan lagi.13

Banyak ajaran diajar dalam bab ini, tetapi yang paling penting adalah kebenaran bahawa benih itu harus dipelihara dan kita mesti tunggu ia matang; kita “menanti-nantikan dengan mata iman pada buahnya.”14 Penuaian kita, seperti dikatakan Alma, akan datang “dalam masa yang singkat.”15 Tidak hairan bahawa dia mengakhiri ajarannya dengan mengulangi tiga kali panggilan untuk ketekunan dan kesabaran dalam memelihara firman Tuhan dalam hati kita, “menunggu” seperti dikatakan-Nya, dengan “panjang sabarmu … [untuk] pokok itu menghasilkan buah bagimu”16

COVID dan kanser, keraguan dan kekecewaan, masalah kewangan dan percubaan keluarga. Bilakah beban-beban ini akan diangkat? Jawapannya ialah “dalam masa yang singkat.”17 Dan sama ada ia tempoh singkat atau tempoh panjang bukanlah kita yang tentukan, tetapi dengan rahmat Tuhan, berkat-berkat akan datang kepada mereka yang berpegang teguh kepada Injil Yesus Kristus. Itu telah diselesaikan di taman yang sangat peribadi dan di bukit yang sangat awam di Yerusalem lama dahulu.

Semasa kita mendengar nabi terkasih kita mengakhiri persidangan ini, semoga kita ingat, seperti Russell Nelson tunjukkan sepanjang hidupnya, mereka yang “berharap kepada Tuhan akan mendapat kekuatan baru [dan] seperti burung rajawali, terbang tinggi dengan kekuatan sayapnya; mereka akan berlari, dan tidak lelah; … mereka akan berjalan, dan tidak menjadi lemah.”18 Saya berdoa bahawa “dalam masa yang singkat”—cepat atau lambat—berkat-berkat itu akan datang kepada setiap anda yang mencari kelegaan dari kesedihan anda dan kebebasan dari dukacita anda. Saya memberi kesaksian tentang kasih Tuhan dan Pemulihan Injil gemilang-Nya, yang dalam satu cara atau yang lain, merupakan jawapan untuk setiap masalah yang kita hadapi dalam hidup. Dalam nama penebus Tuhan Yesus Kristus, amin.