Persidangan Umum
Kuasa Penyembuhan Yesus Kristus
Persidangan umum Oktober 2020


Kuasa Penyembuhan Yesus Kristus

Ketika kita datang kepada Yesus Kristus dengan menjalankan iman kepada-Nya, bertaubat, serta membuat dan mentaati perjanjian, kehancuran kita—apa pun penyebabnya—dapat disembuhkan.

Sejak awal tahun ini, kita telah alami banyak peristiwa yang tidak dijangka. Kehilangan nyawa dan pendapatan akibat wabak di seluruh dunia telah beri kesan serius kepada masyarakat dan ekonomi global.

Gempa bumi, kebakaran, dan banjir di seluruh dunia, serta bencana lain yang berkaitan dengan cuaca, telah membuat orang merasa tidak berdaya, putus asa, dan patah hati, tertanya-tanya jika kehidupan mereka akan jadi sama.

Izinkan saya memberitahu anda kisah peribadi mengenai kehancuran.

Semasa anak-anak kami masih kecil, mereka memutuskan ingin mengikuti pelajaran piano. Suami saya, Rudy, dan saya ingin beri peluang ini kepada anak-anak kami, tetapi kami tiada piano. Kami tidak mampu beli piano baharu, jadi Rudy mula cari piano terpakai.

Pada tahun itu untuk Krismas, dia mengejutkan kami semua dengan sebuah piano, dan selama bertahun-tahun, anak-anak kami belajar memainkannya.

Imej
Piano lama

Apabila anak-anak lelaki kami membesar dan meninggalkan rumah, piano lama tidak dipakai dan kami menjualnya. Beberapa tahun berlalu, dan kami telah menyimpan sejumlah wang. Suatu hari Rudy berkata, “Saya rasa tiba masanya kita mendapat piano baharu.”

Saya bertanya, “Mengapa kita mahu piano baharu, ketika kami berdua tidak mainkannya?”

Dia berkata, “Oh, tapi kita boleh beli piano yang dimainkan sendiri! Dengan iPad, anda dapat memprogramkan piano untuk mainkan lebih dari 4,000 lagu, termasuk lagu rohani, lagu Koir Tabernacle, semua lagu Sekolah Primer, dan banyak lagi.”

Rudy adalah jurujual hebat yang sangat meyakinkan.

Imej
Piano Baharu

Kami membeli piano baharu yang indah, dan beberapa hari kemudian, dua lelaki besar dan kuat hantarnya ke rumah kami.

Saya tunjukkan kepada mereka di mana saya mahu letaknya dan memberi laluan.

Imej
Mengalihkan piano

Itu adalah piano yang berat, dan untuk masukkannya melalui pintu, mereka buka kakinya dan berjaya meletakkan piano di sisi atas trak tangan yang mereka bawa bersama mereka.

Rumah kami berada di sedikit lereng, dan awal hari itu salji turun, menjadikan kawasan basah dan licin. Bolehkah anda agak apa yang akan berlaku?

Ketika mereka menggerakkan piano ke atas lereng kecil, ia tergelincir, dan saya terdengar bunyi hempasan yang sangat kuat. Piano telah jatuh dari trak tangan dan jatuh ke tanah dengan kuat sehingga ada lubang besar di halaman kami.

Saya berkata, “Alamak. Kamu ok?”

Syukurlah kedua-dua lelaki itu baik-baik saja.

Mata mereka terbeliak semasa mereka lihat satu sama lain, lalu melihat saya dan berkata, “Kami minta maaf. Kami akan bawanya balik dan minta pengurus kami menghubungi kamu.”

Selepas itu, pengurus bercakap dengan Rudy untuk mengatur penghantaran piano baharu. Rudy baik dan pemaaf dan berkata kepada pengurus yang mereka boleh memperbaiki kerosakan dan bawa kembali piano yang sama, tetapi pengurus itu menegaskan yang kami akan dapat yang baharu.

Rudy menjawab, dengan berkata, “Tidak mungkin ia sangat teruk. Perbaikinya saja dan hantarnya ke sini.”

Pengurus itu berkata, “Kayunya pecah, dan setelah kayu patah, ia tidak akan berbunyi sama. Kamu akan dapat piano baharu.”

Saudara dan saudari, bukankah kita semua seperti piano ini, sedikit patah, retak, dan rosak, rasa seperti kita tidak akan pernah jadi sama lagi? Namun, ketika kita datang kepada Yesus Kristus dengan menjalankan iman kepada-Nya, bertaubat, serta membuat dan mentaati perjanjian, kehancuran kita—apa pun penyebabnya—dapat disembuhkan. Proses ini, yang menjemput kuasa penyembuhan Juruselamat ke dalam hidup kita, bukan hanya memulihkan kita kepada apa yang sebelumnya tetapi menjadikan kita lebih baik daripada sebelumnya. Saya tahu yang melalui Juruselamat, Yesus Kristus, kita semua dapat dibaiki, dijadikan sempurna, dan memenuhi tujuan kita, seperti piano baharu yang berbunyi indah.

Presiden Russell M. Nelson ajarkan: “Ketika penderitaan berat menimpa kita, inilah waktunya untuk memperdalamkan iman kita kepada Tuhan, bekerja keras, dan melayani orang lain. Kemudian Dia akan sembuhkan hati kita yang hancur. Dia akan berikan kedamaian dan penghiburan peribadi kepada kita. Kurnia besar itu tidak akan musnah, bahkan dengan kematian.” 1

Yesus berkata:

“Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.

“Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan.

“Perintah yang Aku berikan kepada kamu mudah diturut, dan beban yang Aku berikan mudah dipikul.” (Matius 11:28–30).

Imej
Juruselamat kita, Yesus Kristus

Untuk menyembuhkan kehancuran dengan datang kepada-Nya, kita harus miliki iman kepada Yesus Kristus. “Miliki iman kepada Yesus Kristus bererti bergantung sepenuhnya kepada-Nya—mempercayai kuasa-Nya yang tidak terhingga … dan kasih. Ia termasuk mempercayai ajaran-ajaran-Nya. Ia bererti mempercayai yang walaupun kita tidak memahami semua hal, Dia tahu. Kerana Dia telah alami semua kesakitan, kesengsaraan, dan kelemahan kita, Dia tahu bagaimana untuk bantu kita atasi kesulitan harian kita.” 2

Apabila kita datang kepada-Nya, “kita dapat dipenuhi dengan kegembiraan, kedamaian, dan kelegaan. Semua yang [sukar dan mencabar] tentang kehidupan boleg dibetulkan melalui Korban tebusan Yesus Kristus.” 3 Dia menasihati kita, “Lihatlah kepada-Ku dalam setiap pemikiran; janganlah ragu, janganlah takut.” (Ajaran dan Perjanjian 6:36).

Dalam Kitab Mormon ketika Alma dan orangnya hampir dihancurkan oleh beban mereka, orang-orang itu merayu untuk bantuan. Tuhan tidak mengambil beban mereka; sebaliknya Dia berjanji kepada mereka:

“Dan Aku akan juga meringankan beban yang ditaruh di atas bahumu, sehingga bahkan kamu tidak dapat merasakannya di atas belakangmu, bahkan sewaktu kamu berada dalam perhambaan; dan ini akan Aku lakukan agar kamu boleh tahu dengan suatu kepastian bahawa Aku, Tuhan Raja, mengunjungi umat-Ku dalam kesengsaraan mereka.

“Dan sekarang, terjadilah bahawa beban yang diletakkan ke atas diri Alma dan saudara-saudaranya dijadikan ringan; ya, Tuhan menguatkan mereka agar mereka dapat menanggung beban mereka dengan mudah, dan mereka tunduk dengan riang dan dengan kesabaran pada segala kehendak Tuhan.” (Mosia 24:14–15).

Mengenai kemampuan Juruselamat untuk menyembuhkan dan meringankan beban, Elder Tad R. Callister telah ajarkan:

“Salah satu berkat Korban tebusan adalah kita dapat menerima kuasa bantuan Juruselamat. Yesaya berulang kali berbicara tentang pengaruh penyembuhan Tuhan yang menenangkan. Dia bersaksi yang Juruselamat ialah ‘perlindungan pada masa kesusahan, daripada angin ribut, dan daripada panas terik’ (Yesaya 25:4). Bagi mereka yang berduka, Yesaya menyatakan yang Juruselamat memiliki kuasa untuk ‘menghiburkan orang yang berduka’ (Yesaya 61:2), dan ‘menghapuskan air mata daripada setiap wajah’ (Yesaya 25:8; lihat juga Wahyu 7:17); ‘tinggal juga bersama-sama orang yang rendah hati’ (Yesaya 57:15); dan ‘memulihkan orang yang hancur hati’ (Yesaya 61:1; lihat juga Lukas 4:18; Mazmur 147:3). Begitu besar kuasa bantuan-Nya yang dia boleh tukarkan ‘kesukaan serta kegembiraan, dan bukan kedukaan, lagu pujian, dan bukan kesedihan’ (Yesaya 61:3).

“Oh, harapan yang ada dalam janji-janji itu! … Rohnya menyembuhkan; menyempurnakan; menghiburkan; menghidupkan kehidupan baharu ke dalam hati yang tiada harapan. Ia memiliki kuasa untuk ubah semua yang hodoh, kejam dan tidak berharga dalam hidup menjadi sesuatu yang agung dan mulia. Dia memiliki kuasa untuk ubah abu kematian kefanaan menjadi keindahan keabadian.” 4

Saya bersaksi yang Yesus Kristus adalah Juruselamat, Penebus, Tuan Penyembuh kita yang pengasih, dan teman kita yang setia. Jika kita berpaling kepada-Nya, Dia akan sembuhkan kita dan membuat kita sempurna. Saya bersaksi yang ini adalah Gereja-Nya dan Dia sedang bersiap untuk kembali sekali lagi memerintah dengan kuasa dan kemuliaan di bumi ini. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Russell M. Nelson, “Jesus Christ—the Master Healer,” Liahona, Nov. 2005, 87.

  2. Faith in Jesus Christ,” Gospel Topics, topics.ChurchofJesusChrist.org.

  3. Preach My Gospel: A Guide to Missionary Service, rev. ed. (2018), 52, ChurchofJesusChrist.org.

  4. Tad R. Callister, The Infinite Atonement (2000), 206–7.