Persidangan Umum
Cerialah
Persidangan umum Oktober 2020


Cerialah

Iman kita tidak tergoyah dalam ajaran injil Yesus Kristus yang dipulihkan membimbing langkah kita dan memberi kita kegembiraan.

Pada hari-hari terakhir kehidupan fana-Nya, Yesus Kristus memberitahu para Rasul-Nya tentang penganiayaan dan penderitaan yang mereka akan lalui. 1 Dia berfirman dengan jaminan ini: “Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia” (Yohanes 16:33). Itulah pesanan Juruselamat kepada semua anak Bapa Syurgawi kita. Itulah khabar gembira untuk setiap kita dalam kehidupan fana kita.

“Cerialah” juga merupakan jaminan yang diperlukan di dunia di mana Kristus yang telah bangkit mengutus para Rasul-Nya. “Kami sering kali dianiaya,” Rasul Paulus memberitahu Korintus, “tetapi kami tidak menyerah kalah. Kadangkala kami kebingungan, tetapi tidak pernah putus harapan;meskipun kami sering dianiaya, kami tidak binasa” (2 Korintus 4:8–9).

Imej
Yesus melayani satu per satu

Dua ribu tahun kemudian, kita juga “sering kali dianiaya,” dan kita juga memerlukan pesanan yang sama untuk tidak berputus harapan tetapi menjadi ceria. Tuhan mempunyai kasih yang istimewa dan keprihatinan terhadap para puteri-Nya. Dia tahu keinginan, keperluan, dan ketakutan anda. Tuhan sangat berkuasa. Percayalah Dia.

Nabi Joseph Smith mengajarkan “pekerjaan, dan rancangan, dan tujuan-tujuan Tuhan tidak dapat digagalkan, tidak juga ia dapat disia-siakan” (Ajaran dan Perjanjian 3:1). Kepada anak-anak-Nya yang sedang bergelut, Tuhan memberikan jaminan ini:

“Lihatlah, inilah janji Tuhan kepadamu, Wahai kamu para hamba-Ku.

“Kerana itu, jadilah riang, dan janganlah takut, kerana Aku Tuhan bersertamu, dan akan berdiri di sisimu; dan kamu akan memberikan kesaksian tentang Aku, bahkan Yesus Kristus, bahawa Aku ialah Putera Tuhan yang hidup” (Ajaran dan Perjanjian 68:5–6).

Tuhan berdiri dekat kita, dan Dia berfirman:

“Apa yang Aku firmankan kepada satu orang Aku firmankan kepada semuanya, cerialah, anak-anak kecil; kerana Aku berada di tengah-tengahmu, dan Aku tidak meninggalkanmu” (Ajaran dan Perjanjian 61:36).

“Kerana selepas banyak kesengsaraan datanglah berkat” (Ajaran dan Perjanjian 58:4).

Para saudari, saya bersaksi bahawa janji-janji ini, yang diberikan ketika penganiayaan dan tragedi peribadi, berguna bagi anda dalam keadaan yang merisaukan anda hari ini. Ia sangat berharga dan ia mengingatkan kita untuk cerialah dan memiliki sukacita dalam kegenapan injil ketika kita terus maju menghadapi cabaran kefanaan.

Kesengsaraan dan cabaran adalah pengalaman biasa dalam kefanaan. Pertentangan adalah bahagian penting dalam rancangan ilahi untuk membantu kita berkembang, 2 dan dalam proses itu, kita memiliki jaminan Tuhan bahawa, dalam pandangan keabadian, pertentangan tidak akan mengalahkan kita. Dengan bantuan-Nya dan kesetiaan kita serta bertahan sampai akhir, kita akan mengatasinya. Seperti kehidupan fana, segala kesengsaraan adalah sementara. Dalam kontroversi yang mendahului perang yang dahsyat, presiden Amerika Syarikat Abraham Lincoln dengan bijak mengingatkan para pendengarnya tentang kebijaksanaan ini bahawa “ini juga, akan berlalu.” 3

Seperti yang anda ketahui, penderitaan fana yang saya ucapkan—yang menjadikannya sukar untuk ceria—terjadi kepada kita sama dengan banyak orang yang lain, seperti berjuta-juta yang kini berjuang melalui kesan buruk dari wabak COVID-19. Begitu juga di Amerika, berjuta-juta orang menderita kerana permusuhan dan pertikaian yang terjadi akibat pilihan raya presiden, tetapi kali ini adalah yang paling parah yang mungkin diingati oleh kita.

Secara peribadi, setiap kita bergelut dengan beberapa kesukaran kefanaan, seperti kemiskinan, rasisme, kesihatan, kehilangan pekerjaan atau kekecewaan, anak-anak yang degil, perkahwinan yang buruk atau tanpa perkahwinan dan kesan dosa—dosa kita sendiri atau orang lain.

Namun, di tengah semua ini, kita miliki nasihat syurgawi untuk cerialah dan mencari sukacita dalam asas-asas dan janji-janji injil dan hasil pekerjaan kita. 4 Nasihat itu sama, bagi para nabi dan untuk kita semua. Kita mengetahui ini dari pengalaman para pendahulu kita dan apa yang Tuhan firmankan kepada mereka.

Imej
Saudara Joseph

Ingatlah keadaan Nabi Joseph Smith. Dilihat melalui pandangan kesukaran, dia hidup dalam kemiskinan, penganiayaan, kekecewaan, penderitaan keluarga dan mati syahid. Ketika dia menjalani hukuman penjara, isteri dan anak-anaknya serta Orang Suci yang lain mengalami kesulitan yang luar biasa ketika mereka diusir keluar dari Missouri.

Ketika Joseph merayu untuk kelegaan, Tuhan menjawab:

“Anak-Ku, damai sejahteralah bagi jiwamu; kesusahanmu dan kesengsaraanmu akan menjadi bahkan suatu saat yang kecil;

“Dan kemudian, jika engkau bertahan di dalamnya dengan baik, Tuhan akan memuliakan engkau di syurga, engkau akan memenangi semua musuhmu.” (Ajaran dan Perjanjian 121:7–8).

Ini adalah nasihat peribadi dan abadi yang membantu Nabi Joseph untuk kekalkan sifat riangnya dan kasih serta kesetiaan umatnya. Sifat-sifat yang sama ini memperkuatkan para pemimpin dan perintis yang mengikuti, dan juga dapat memperkuatkan anda.

Imej
Para penginjil yang awal berjalan melalui salji yang dalam

Fikirkan tentang ahli-ahli Gereja awal! Berkali-kali, mereka diusir dari tempat ke tempat. Akhirnya mereka menghadapi cabaran untuk mendirikan rumah dan Gereja mereka di padang belantara. 5 Dua tahun setelah kumpulan perintis awal tiba di lembah Great Salt Lake, keyakinan perintis untuk bertahan hidup di kawasan bermusuh itu masih tidak menentu. Sebilangan besar ahli masih menyeberangi dataran atau berjuang untuk mendapatkan sumber untuk melakukannya. Namun, para pemimpin dan ahli masih berharap dan ceria.

Walaupun belum menetap di kediaman baharu mereka, pada persidangan umum Oktober 1849 kumpulan besar penginjil dihantar ke Scandinavia, Perancis, Jerman, Itali dan Pasifik Selatan. 6 Pada tahap yang paling rendah, para perintis bangun ke tahap baru. Dan tiga tahun kemudian, 98 lagi dipanggil untuk mula mengumpulkan Israel yang tercerai-berai. Salah seorang pemimpin Gereja menjelaskan ketika itu bahawa misi ini “secara umumnya, bukan tugas yang sangat panjang; mungkin 3 hingga 7 tahun lamanya mereka tidak dapat bersama keluarganya.” 7

Para saudari, Presidensi Utama prihatin akan cabaran-cabaran anda. Kami mengasihi anda dan berdoa untuk anda. Pada masa yang sama, kami bersyukur bahawa cabaran jasmani kita—selain dari gempa bumi, kebakaran, banjir, dan taufan—biasanya lebih sedikit dari apa yang dihadapi oleh orang yang sebelum kita.

Dalam kesusahan, jaminan ilahi adalah sentiasa “cerialah, kerana Aku akan menuntunmu. “Kerajaan adalah milikmu dan berkat-berkat darinya adalah milikmu, dan kekayaan keabadian adalah milikmu” (Ajaran dan Perjanjian 78:18). Bagaimanakah ini berlaku? Bagaimanakah ini berlaku kepada para perintis? Bagaimanakah ia akan berlaku kepada para wanita Tuhan pada zaman ini? Dengan mengikuti bimbingan nabi kita, “gerbang neraka tidak akan berjaya melawan [kita],” Tuhan berfirman melalui wahyu pada April 1830. “Ya,” Dia berfirman, “… Tuhan Raja akan menyelerakkan kuasa kegelapan dari hadapanmu, dan menyebabkan langit bergoncang demi kebaikanmu, dan kemuliaan nama-Nya” (Ajaran dan Perjanjian 21:6). “Janganlah takut, kawanan kecil; lakukanlah kebaikan; biarlah bumi dan neraka bergabung menentangmu, kerana jika kamu dibangunkan di atas batu-Ku, mereka tidak dapat berjaya” (Ajaran dan Perjanjian 6:34).

Dengan janji Tuhan, kita “angkatlah hati [kita] dan bersukacitalah” (Ajaran dan Perjanjian 25:13), dan “dengan hati gembira dan wajah yang riang” (Ajaran dan Perjanjian 59:15), kita maju dalam jalan perjanjian. Kebanyakan kita tidak menghadapi keputusan sukar, seperti meninggalkan rumah kita untuk pergi ke tanah yang tidak diketahui. Keputusan kita kebanyakan dalam rutin seharian, tetapi seperti Tuhan firmankan, “Janganlah jemu dalam melakukan yang baik, kerana kamu sedang meletakkan landasan bagi sebuah pekerjaan yang besar. Dan dari hal-hal yang kecil bermulalah hal yang besar” (Ajaran dan Perjanjian 64:33).

Ada kekuatan yang tidak terbatas dalam ajaran injil Yesus Kristus yang dipulihkan. Iman kita yang tidak tergoyah dalam ajaran itu membimbing langkah kita dan memberi kita kegembiraan. Ia menerangi minda kita dan memberi kekuatan dan keyakinan terhadap tindakan kita. Bimbingan, keterangan dan kuasa ini adalah kurnia yang dijanjikan yang kita terima daripada Bapa Syurgawi. Dengan memahami dan menyesuaikan hidup kita dengan ajaran itu, termasuk kurnia pertaubatan ilahi, kita dapat ceria ketika kita terus menuju ke jalan takdir abadi kita—penyatuan dan permuliaan bersama ibu bapa syurgawi kita yang penuh kasih.

“Anda mungkin menghadapi cabaran yang membebankan,” Elder Richard G. Scott mengajarkan. “Kadangkala ia sangat padat, tanpa henti, membuat anda merasa seolah-olah ia di luar kemampuan anda. Jangan bersendirian menghadapi dunia. ‘Percayalah kepada Tuhan dengan sepenuh hatimu. Jangan bergantung kepada pengertianmu sendiri’ [Amsal 3:5]. … Hidup sememangnya mencabarkan, bukan untuk anda gagal, tetapi agar anda berjaya dengan mengatasinya.” 8

Saya bersaksi ini semua adalah sebahagian dari rancangan Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus. Saya berdoa agar kita semua akan sampai ke destinasi syurgawi kita, dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Lihat Yohanes 13–16.

  2. Lihat 2 Nefi 2:11.

  3. Abraham Lincoln, ucapan kepada Wisconsin State Agricultural Society, Milwaukee, 30 Sep. 1859; dalam John Bartlett, Bartlett’s Familiar Quotations (2012), 444.

  4. Lihat Ajaran dan Perjanjian 6:31.

  5. Lihat Lawrence E. Corbridge, “Surviving and Thriving like the Pioneers,” Ensign, Julai 2020, 23–24.

  6. Lihat “Minutes of the General Conference of 6 October 1849,” Koleksi Minit Umum Gereja, Jabatan Sejarah Gereja, Salt Lake City.

  7. George A. Smith, dalam Journal History of The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints, 28 Ogos, 1852, 1, Church History Library, Salt Lake City.

  8. Richard G. Scott, Finding Peace, Happiness, and Joy (2007), 248–49.