Persidangan Umum
Layak kepada Tuhan
Persidangan umum Oktober 2020


Layak kepada Tuhan

Mulakan proses sekarang untuk menjadi “layak kepada Tuhan” supaya roh-Nya akan bersama anda dengan banyak.

Selamat pagi, saudara dan saudari. Sebagai pengikut Juruselamat kita, Yesus Kristus, saya telah menantikan pengumpulan secara “virtual” dari setiap sudut dunia untuk persidangan ini.

Imej
Bait Suci Durban Afrika Selatan

Tahun ini bukanlah tahun yang biasa. Untuk saya, ia bermula dengan tugasan dari Presidensi Utama untuk membaktikan sebuah bait suci kepada Tuhan di Durban, Afrika Selatan. Saya tidak akan pernah melupakan keindahan bangunan itu. Tetapi lebih daripada tempatnya, saya akan selalu menghargai usaha mereka yang begitu sedia untuk masuk bangunan kudus itu. Mereka datang bersedia untuk mengambil bahagian dalam salah satu berkat terbesar Pemulihan: pembaktian rumah Tuhan. Mereka datang dengan hati yang penuh kasih terhadap Dia dan Korban Tebusan-Nya. Mereka datang penuh dengan kesyukuran kepada Bapa Syurgawi atas tatacara-tatacara kudus yang akan membawa permuliaan. Mereka datang dengan layak.

Imej
Pembaktian Bait Suci Durban Afrika Selatan

Bait suci, tidak kira di mana ia berada, melebihi cara-cara dunia. Setiap bait suci Orang Suci Zaman Akhir di dunia—kesemua 168—berdiri sebagai kesaksian iman kita tentang kehidupan abadi dan kebahagiaan bersama keluarga kita dan Bapa Syurgawi kita. Menghadiri bait suci meningkatkan pemahaman kita tentang Kesatuan Ketuhanan dan injil abadi, komitmen kita untuk mematuhi dan mengajarkan kebenaran, dan kesediaan untuk mengikuti teladan Tuhan dan Juruselamat kita, Yesus Kristus.

Imej
Kekudusan kepada Tuhan

Di luar setiap bait suci Gereja terdapat kata-kata yang sesuai, “Kekudusan kepada Tuhan.” Bait suci ialah rumah Tuhan dan tempat perlindungan dari dunia. Roh-Nya menyelubungi orang yang menyembah di dalam bangunan itu. Dia menetapkan standard melaluinya kita masuk sebagai tetamu-Nya.

Imej
Blaine Twitchell

Bapa mentua saya, Blaine Twitchell, adalah salah seorang lelaki terbaik saya kenali, mengajarkan saya pelajaran hebat. Sister Rasband dan saya melawatnya menjelang akhir kehidupannya. Ketika kami masuk biliknya, uskupnya sedia untuk pergi. Semasa kami menyapa uskup itu, saya fikir, “Uskup ini sangat baik. Dia di sini melayani seorang ahli bahagiannya yang beriman.”

Saya berkata kepada Blaine, “Uskup itu sangat baik datang melawat kamu.”

Blaine memandang saya dan menjawab, “Ia lebih sekadar lawatan. Saya minta uskup datang kerana saya ingin temu duga rekomen bait suci. Saya ingin meninggal dengan layak kepada Tuhan.” Dan itu yang terjadi!

Ungkapan itu, “layak kepada Tuhan,” telah kekal dengan saya. Ia telah menambah perspektif baharu tentang ditemu duga oleh pemimpin Gereja. Kad rekomen bait suci begitu penting sehingga, pada masa awal Gereja hingga tahun 1891, setiap kad rekomen ditandatangani 1 oleh Presiden Gereja.

Untuk remaja ataupun dewasa, temu duga rekomen bait suci bukanlah tentang apa yang patut dan tidak patut dilakukan. Kad rekomen bukanlah sebuah senarai semak, pas dewan, atau tiket untuk tempat duduk khas. Ia mempunyai tujuan yang jauh lebih tinggi dan kudus. Untuk melayakkan diri untuk kad rekomen bait suci, anda mesti hidup selaras dengan ajaran-ajaran Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

Dalam temu duga, anda mempunyai kesempatan untuk merenung tentang iman anda kepada Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya. Anda boleh menyatakan kesaksian anda tentang injil yang dipulihkan, kesediaan anda untuk menyokong mereka yang Tuhan telah memanggil untuk memimpin Gereja-Nya, iman anda kepada ajaran Injil, pelaksanaan tanggungjawab keluarga anda, sifat-sifat kejujuran anda, kemurnian akhlak, kesetiaan, kepatuhan Kata-Kata Bijaksana, hukum persepuluhan dan menguduskan Hari Sabat. Hal-hal itu merupakan asas kehidupan yang tertumpu kepada Yesus Kristus dan pekerjaan-Nya.

Kad rekomen bait suci anda menunjukkan niat rohani yang mendalam bahawa anda berusaha untuk mematuhi hukum Tuhan dan mengasihi apa yang Dia kasihi: kerendahan hati, kelembutan hati, ketabahan, kasih ihsan, keberanian, rasa kasihan, keampunan dan kepatuhan. Anda tekad hidup menurut standard itu semasa anda menandatangani dokumen kudus itu dengan nama anda.

Kad rekomen bait suci anda membuka pintu gerbang syurga untuk anda dan orang lain kepada hak dan tatacara abadi, termasuk pembaptisan, anugerahan, perkahwinan, dan pemeteraian.

Untuk “layak kepada Tuhan” adalah apa yang diharapkan sebagai Orang Suci Zaman Akhir yang mematuhi perjanjian. Bapa mentua saya, Blaine, memandangnya sebagai persediaan tidak ternilai agar nanti dia boleh berdiri di hadapan Tuhan dengan rendah hati.

Imej
Semak terbakar

Fikirkan bila Musa mendaki Gunung Horeb dan Tuhan Yehova muncul kepada dia dalam semak terbakar. Tuhan memberitahu dia, “Tanggalkan kasutmu kerana engkau sedang berdiri di tanah yang suci.” 2

Tanggalkan kasut di pintu bait suci ialah melepaskan keinginan atau nafsu duniawi yang mengganggu perkembangan rohani kita, mengetepikan hal-hal yang menyimpangkan kefanaan kita yang berharga, tinggalkan pertikaian, dan mencari masa untuk menjadi kudus.

Badan jasmani kita adalah ciptaan Tuhan, sebuah bait suci untuk roh anda, dan patut diperlakukan dengan takzim. Betapa benar lagu Sekolah Primer, “Badan saya ialah bait suci yang perlu jagaan terbaik.” 3 Sewaktu Tuhan muncul kepada bangsa Nefi, Dia memerintahkan, “Dikuduskan melalui penerimaan Roh Kudus, agar kamu boleh berdiri tanpa noda di hadapan-Ku.” 4 “Kamu harus menjadi orang yang bagaimana?” Tuhan bertanya, dan kemudian menjawab, “Bahkan seperti Aku.” 5 Untuk “layak kepada Tuhan,” kita berusaha untuk menjadi seperti-Nya.

Saya ingat Presiden Howard W. Hunter dalam ucapannya yang pertama sebagai Presiden ke-14 Gereja. Dia berkata: “Keinginan hati saya yang paling mendalam ialah untuk setiap ahli Gereja menjadi layak untuk memasuki bait suci. Ini akan menggembirakan Tuhan jika setiap ahli dewasa menjadi layak—dan memiliki—kad rekomen bait suci.” 6 Saya ingin menambah kad rekomen penggunaan terhad akan menetapkan jalan yang jelas untuk remaja kita.

Presiden Russel M. Nelson mengenang kata-kata Presiden Hunter, “Pada hari itu, 6 Jun 1994, kad rekomen bait suci yang kita miliki menjadi objek lain dalam dompet saya. Sebelum ini, kad rekomen merupakan kaedah untuk mencapai tujuan. Ia membolehkan saya masuk rumah kudus Tuhan; tetapi selepas ucapan Presiden Hunter, kad rekomen telah memenuhi hasrat saya. Ia menjadi lencana kepatuhan saya kepada nabi Tuhan.” 7

Imej
Bait Suci Nauvoo

Jika anda belum terima kad rekomen atau jika kad rekomen anda sudah tamat, berbarislah di depan pintu uskup seperti Orang Suci awal berbaris di pintu Bait Suci Nauvoo pada tahun 1846. 8 Nenek moyang saya ada di kalangan orang beriman itu. Mereka meninggalkan kota indah mereka untuk berjalan ke barat, tetapi mereka tahu terdapat pengalaman kudus sedang menanti di dalam bait suci. Sarah Rich menulis dari negeri Iowa, “Jika kami tidak diberikan iman dan pengetahuan di dalam bait suci itu …, perjalanan kami akan menjadi seperti … melompat dalam kegelapan.” 9 Itulah yang kita terlepas jika kita melalui kehidupan ini sendirian tanpa ilham dan kedamaian yang dijanjikan di dalam bait suci.

Mulakan sekarang untuk menjadi “layak kepada Tuhan” agar Roh-Nya akan berada bersama anda dan standard-Nya akan berikan anda “kedamaian hati nurani.” 10

Pemimpin remaja, presiden kuorum penatua, presiden Lembaga Pertolongan, dan para pelayan saudara dan saudari anda akan membantu anda bersedia, dan uskup atau presiden cabang anda akan membimbing anda.

Kita sedang mengalami tempoh bait suci ditutup atau terhad dalam penggunaannya. Bagi Presiden Nelson dan kami yang melayani bersamanya, keputusan terilham untuk menutup bait suci “menyakitkan” dan “penuh risau.” Presiden Nelson tertanya, “Apakah yang saya akan katakan kepada Nabi Joseph Smith? Apakah yang saya akan katakan kepada Brigham Young, Wilford Woodruff, dan presiden yang lain, sehingga Presiden Thomas S. Monson?” 11

Sekarang, bait suci dibuka semula secara berperingkat untuk pemeteraian dan anugerahan terhad.

Namun menjadi layak untuk hadiri bait suci tidak tangguh. Biar saya tekankan, sama ada anda dapat menghadiri bait suci atau tidak, anda perlukan kad rekomen bait suci yang sah untuk teguh di jalan perjanjian.

Imej
Kumpulan di New Zealand

Tahun lalu Sister Rasband dan saya ditugaskan ke New Zealand untuk berucap kepada kumpulan besar dewasa muda. Mereka tidak ada bait suci terdekat; bait suci di Hamilton di bawah pengubahsuaian, dan mereka masih menunggu pembinaan bait suci di Auckland. Namun saya rasa terdorong untuk menggalakkan mereka memperbaharui atau menerima kad rekomen bait suci.

Walaupun mereka tidak dapat menyampaikannya di bait suci, mereka akan menyampaikan diri mereka di hadapan Tuhan dengan murni dan sedia melayani Dia. Menjadi layak untuk memiliki kad rekomen bait suci yang sah ialah perlindungan dari musuh, kerana anda sudah membuat komitmen tegas kepada Tuhan tentang kehidupan anda, dan satu janji bahawa Roh akan berada bersama anda.

Kita melakukan pekerjaan bait suci apabila kita mencari nenek moyang kita dan menyerahkan nama mereka untuk tatacara. Semasa bait suci ditutup, kita masih dapat menjejak keluarga kita. Dengan Roh Tuhan di dalam hati kita, kita berdiri sebagai mereka melalui perwakilan untuk “layak kepada Tuhan.”

Sewaktu melayani sebagai Pengarah Eksekutif Jabatan Bait Suci, saya mendengar Presiden Gordon B. Hinckley merujuk ayat suci ini yang Tuhan ucapkan tentang Bait Suci Nauvoo: “Biarlah pekerjaan bait suci-Ku, dan semua pekerjaan yang telah Aku tetapkan kepadamu, diteruskan dan jangan berhenti; dan biarlah ketekunanmu, dan kegigihanmu, dan kesabaran, dan pekerjaanmu dilipatgandakan, dan kamu walau bagaimanapun tidak akan kehilangan pahalamu, firman Tuhan Semesta Alam.” 12

Pekerjaan kita di dalam bait suci terikat kepada ganjaran abadi kita. Kebelakangan ini kita telah diuji. Tuhan telah memanggil kita untuk bekerja di bait suci dengan “ketekunan … kegigihan, dan kesabaran.” 13 Menjadi “layak kepada Tuhan” memerlukan sifat-sifat itu. Kita mesti tekun dalam mematuhi perintah, tabah dalam perjanjian bait suci kita, dan bersyukur untuk apa yang Tuhan terus ajarkan tentang perjanjian, dan bersabar semasa kita menunggu pembukaan penuh bait suci.

Apabila Tuhan meminta kita untuk “menggandakan” usaha kita, Dia meminta kita untuk bertambah dalam kesolehan. Contohnya, kita boleh mengembangkan kajian tulisan suci kita, penyelidikan sejarah keluarga kita, dan doa agar kita dapat berkongsi kasih kita untuk rumah Tuhan dengan orang yang mempersiapkan diri untuk menerima kad rekomen bait suci, terutamanya ahli keluarga.

Saya berjanji kepada anda sebagai Rasul Tuhan Yesus Kristus, ketika anda berusaha menggandakan usaha anda yang soleh, anda akan diperbaharui dalam tumpuan anda kepada Tuhan Bapa dan Yesus Kristus, anda akan rasa Roh Kudus membimbing anda, anda akan bersyukur untuk perjanjian kudus, dan anda akan rasa kedamaian mengetahui anda “layak kepada Tuhan.” Dalam nama Yesus Kristus, amin.