Persidangan Umum
Diuji, Dibuktikan, dan Diasah
Persidangan umum Oktober 2020


Diuji, Dibuktikan, dan Diasah

Berkat terbesar yang akan datang apabila kita membuktikan diri dengan mentaati perjanjian-perjanjian kita ketika berhadapan dengan dugaan ialah perubahan alamiah kita.

Saudara dan saudari yang dikasihi, saya amat bersyukur dapat berucap kepada anda hari ini. Saya berharap untuk memberi galakkan apabila hidup kelihatan susah dan kurang pasti. Ini mungkin terjadi kepada sesetengah daripada anda sekarang. Jika tidak, masa sebegini akan datang.

Itu bukanlah pandangan yang murung. Ia realistik—namun optimistik—kerana tujuan Tuhan dalam Penciptaan dunia ini. Tujuannya supaya anak-anak Dia berpeluang untuk membuktikan mereka boleh dan sedia untuk memilih yang benar apabila dalam kesusahan. Dengan demikian, alamiah mereka akan berubah dan mereka boleh menjadi seperti Dia. Dia tahu ini memerlukan iman yang teguh kepada Dia.

Kebanyakan yang saya tahu datang dari keluarga saya. Ketika saya berumur lapan tahun, ibu saya meminta abang dan saya untuk mencabut rumput bersamanya di kawasan belakang rumah. Ia tugas yang mudah, tetapi kami tinggal di New Jersey. Sini sentiasa hujan. Tanah adalah tanah liat. Rumput tumbuh lebih cepat daripada sayur-sayuran.

Saya ingat kemarahan saya apabila rumput terputus di tangan saya, akarnya masih terpaut dalam tanah berlumpur. Ibu dan abang saya telah jauh ke depan di bahagian mereka. Semakin saya mencuba, semakin saya ketinggalan.

“Ini sangat susah!” Saya menjerit.

Tanpa berikan simpati, ibu senyum dan berkata, “Oh, Hal, sudah tentunya, ia susah. Ia memang susah. Hidup ini satu ujian.”

Di saat itu, saya tahu bahawa kata-kata dia adalah benar dan sentiasa benar di masa depan saya.

Senyuman kasih Ibu menjadi jelas bertahun kemudian apabila saya membaca tentang Bapa Syurgawi dan Putera-Nya menjelaskan tujuan penciptaan dunia ini dan memberi anak-anak roh peluang untuk kehidupan fana:

“Dan kita akan menguji mereka dengan ini, untuk melihat apakah mereka akan melakukan segala hal apa pun yang akan Tuhan mereka perintahkan kepada mereka;

“Dan mereka yang menepati syarat keadaan pertama mereka akan ditambahkan kepadanya; dan mereka yang tidak menepati syarat keadaan pertama mereka tidak akan memperoleh kemuliaan di dalam kerajaan yang sama bersama mereka yang menepati syarat keadaan pertama mereka; dan mereka yang menepati syarat keadaan kedua mereka akan memperoleh kemuliaan yang ditambahkan ke atas kepala mereka untuk selama-lamanya.”1

Anda dan saya telah menyahut jemputan untuk diuji dan membuktikan bahawa kita akan memilih untuk mentaati perintah-perintah Tuhan apabila kita tidak berada dalam hadirat Bapa Syurgawi.

Bahkan dengan jemputan penuh kasih daripada Bapa Syurgawi, Lusifer telah meyakinkan satu pertiga daripada anak-anak roh untuk mengikut dia dan menolak rancangan Bapa bagi perkembangan dan kegembiraan abadi kita. Oleh kerana pemberontakan Setan, dia bersama para pengikutnya telah diusir. Kini, dia cuba mempengaruhi seramai yang boleh untuk menolak Tuhan dalam kehidupan fana ini.

Kita menerima rancangan itu kerana iman kita kepada Yesus Kristus, yang menawarkan diri-Nya untuk menjadi Juruselamat dan Penebus kita. Kita percaya bahawa sebarang kelemahan fana yang kita ada, dan apa pun kejahatan yang akan menentang kita, kuasa kebaikan adalah jauh lebih hebat.

Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus mengenali dan mengasihi anda. Mereka ingin anda kembali kepada Mereka dan menjadi seperti Mereka. Kejayaan anda adalah kejayaan Mereka. Anda telah merasai kasih yang Roh Kudus sahkan apabila anda membaca atau mendengar ayat ini: “Kerana lihatlah, inilah pekerjaan-Ku dan kemuliaan-Ku—untuk mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia.”2

Tuhan mempunyai kuasa untuk menjadikan jalan kita lebih senang. Dia telah memberikan roti manna kepada anak-anak Israel ketika pengembaraan ke negeri yang dijanjikan. Tuhan dalam pelayanan fana-Nya telah memulihkan mereka yang sakit, membangkitkan mereka yang telah meninggal dan menenangkan laut. Setelah Kebangkitan-Nya, Dia membukakan “penjara bagi mereka yang tertawan.”3

Malah Nabi Joseph Smith, salah satu nabi-Nya yang terhebat, menderita di penjara dan diajar satu ajaran yang memanfaatkan kita semua dan diperlukan dalam ujian iman kita: “Dan jika engkau akan dilemparkan ke dalam lubang, atau ke dalam tangan para pembunuh, dan hukuman mati dijatuhkan ke atas dirimu; jika engkau dilemparkan ke dalam laut dalam; jika ombak yang menggulung bersubahat melawan engkau; jika angin dahsyat menjadi musuhmu; jika langit mengumpulkan kegelapannya, dan semua unsur bergabung untuk menghalang jalan; dan lebih dari segalanya, jika rahang neraka akan menganga membuka mulut dengan luas terhadapmu, ketahuilah engkau, anak-Ku, bahawa semua hal ini akan memberi engkau pengalaman, dan akan menjadi kebaikanmu.”4

Anda mungkin tertanya mengapa seorang Tuhan yang penuh kasih dan serba berkuasa membenarkan ujian fana kita menjadi sangat susah. Ini kerana Dia tahu bahawa kita harus berkembang dari segi kesucian rohani dan perawakan untuk hidup dalam hadirat-Nya sebagai keluarga selamanya. Untuk menjayakan ini, Bapa Syurgawi memberikan seorang Juruselamat dan kuasa untuk memilih bagi diri kita melalui iman untuk mentaati perintah-perintah dan untuk bertaubat dan datang kepada-Nya.

Rancangan kegembiraan Bapa bertujuan supaya kita menjadi lebih seperti Putera terkasih-Nya, Yesus Kristus. Dalam segala hal, teladan Juruselamat merupakan bimbingan terbaik kita. Dia tidak dikecualikan untuk membuktikan Diri-Nya. Dia bertahan untuk semua anak Bapa Syurgawi, bagi membayar segala dosa-dosa kita. Dia merasa penderitaan semua yang telah dan akan datang ke dunia fana.

Ketika anda tertanya berapa banyak lagi kepedihan yang anda boleh bertahan, ingatlah Dia. Dia menderita apa yang anda deritai agar Dia tahu bagaimana untuk mengangkat anda. Dia mungkin tidak akan menghilangkan beban itu, tetapi Dia akan memberikan anda kekuatan, bantuan, dan harapan. Dia tahu jalannya. Dia telah minum dari cawan yang amat pahit itu. Dia telah bertahan semua penderitaan.

Anda dijaga dan dihiburkan oleh seorang Juruselamat yang penuh kasih, yang tahu bagaimana untuk membantu anda dalam segala ujian yang anda hadapi. Alma mengajarkan:

“Dan Dia akan pergi, menderita kesakitan dan kesengsaraan dan cubaan daripada setiap jenis; dan ini agar firman boleh digenapi yang mengatakan Dia akan mengambil ke atas diri-Nya kesakitan dan penyakit umat-Nya.

“Dan Dia akan mengambil ke atas diri-Nya kematian, agar Dia boleh melepaskan ikatan kematian yang mengikat umat-Nya; dan Dia akan mengambil ke atas diri-Nya kelemahan mereka, agar sanubari-Nya boleh dipenuhi dengan belas kasihan, menurut keadaan daging, agar Dia boleh mengetahui menurut keadaan daging bagaimana menyokong umat-Nya menurut kelemahan mereka.”5

Satu cara Dia menyokong anda adalah dengan menjemput anda untuk sentiasa mengingati-Nya dan datang kepada Dia. Dia telah menggalakkan kita:

“Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.

“Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan.”6

Untuk datang kepada Dia adalah dengan menjamu firman-firman-Nya, menjalankan iman bagi pertaubatan, pilih untuk dibaptiskan dan ditetapkan oleh hamba-Nya yang berwewenang, dan mentaati perjanjian-perjanjian anda dengan Tuhan. Dia mengutus Roh Kudus untuk menjadi teman, penghibur, dan pembimbing anda.

Semasa anda hidup layak untuk kurnia Roh Kudus, Tuhan boleh memimpin anda ke arah keselamatan bahkan ketika anda tidak nampak jalanya. Bagi saya, Dia kerap kali menunjukkan langkah seterusnya yang harus diambil. Dia jarang memberi saya pengetahuan tentang masa depan, namun pengetahuan itu membimbing pilihan-pilihan dalam kehidupan seharian saya.

Tuhan menjelaskan:

“Kamu tidak dapat melihat dengan mata alamimu, pada masa kini, rancangan Tuhanmu tentang hal-hal yang akan datang selepas ini, dan kemuliaan yang akan menyusul[i] … banyak kesengsaraan.

“Kerana selepas banyak kesengsaraan datanglah berkat.”7

Berkat terhebat yang akan datang apabila kita membuktikan diri dengan mentaati perjanjian-perjanjian kita ketika berhadapan dengan dugaan ialah perubahan alamiah kita. Pilihan kita untuk mentaati perjanjian-perjanjian kita, membolehkan kuasa Yesus Kristus dan berkat-berkat Korban Tebusan Dia berjalan dalam diri kita. Hati kita boleh dilembutkan untuk mengasihi, mengampuni, dan menjemput orang untuk datang kepada Juruselamat. Keyakinan kita terhadap Tuhan meningkat. Ketakutan kita berkurangan.

Kini, walaupun berkat-berkat dijanjikan melalui kesengsaraan, kita tidak mencari kesengsaraan. Dalam pengalaman fana, kita akan mendapat peluang untuk membuktikan diri kita, untuk melalui ujian sukar untuk menjadi lebih seperti Juruselamat dan Bapa Syurgawi.

Sebagai tambahan, kita harus prihatin terhadap kesengsaraan orang lain dan cuba membantu. Ini amat susah apabila kita turut diuji. Namun kita akan dapati bahawa apabila kita mengangkat beban orang lain, walaupun sedikit, belakang kita diperkuatkan dan kita nampak cahaya dalam kegelapan itu.

Tuhan adalah Teladan kita. Di atas salib Golgota, setelah menderita kesakitan yang amat hebat dan Dia akan mati jika Dia bukan Putera Tuhan, Dia memandang kepada penghukum-Nya dan berfirman kepada Bapa-Nya, “Ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka.”8 Ketika sedang menderita bagi semua yang pernah hidup, Dia melihat kepada Yohanes dan juga ibu-Nya yang sedih dan melayan ibu-Nya dalam kesusahannya:

“Yesus nampak ibu-Nya dan pengikut yang dikasihi-Nya berdiri di situ. Oleh itu Yesus berkata kepada ibu-Nya, “Puan, dia anak puan!

“Kemudian Yesus berkata kepada pengikut itu, “Dia ibumu.” ! Sejak itu, ibu Yesus tinggal di rumah pengikut itu.”9

Melalui tindakan Yesus pada hari yang amat kudus itu, Dia dengan sukarela mengorbankan diri-Nya bagi kita, memberikan kita bukan sahaja sokongan dalam kehidupan ini tetapi kehidupan abadi di masa akan datang.

Saya telah melihat orang melaksanakan hal yang menakjubkan kerana iman dalam menghadapi cubaan yang teruk. Teladan itu ada di kalangan ahli Gereja hari ini. Ramai yang direndahkan hati kerana musuh. Melalui iman dan usaha, mereka menjadi lebih seperti Juruselamat dan Bapa Syurgawi kita.

Saya belajar satu lagi ajaran dari ibu saya. Ketika dia kecil, dia dijangkiti difteria dan hampir mati. Kemudian dia dijangkiti meningitis spina. Ayahnya telah awal meninggal, jadi ibu saya dan adik beradik lelakinya membantu untuk menyokong ibu mereka.

Sepanjang hidupnya, dia mengalami kesan kesakitan itu. Dalam 10 tahun akhir kehidupannya, dia memerlukan beberapa pembedahan. Namun, dia membuktikan iman kepada Tuhan, walaupun terlantar di atas katil. Satu-satunya gambar yang ada di dalam biliknya adalah gambar Juruselamat. Kata-kata terakhirnya kepada saya adalah: “Hal, suara anda seperti sedang sakit selesema. Jagalah diri baik-baik.”

Di upacara pengebumiannya, pembicara terakhir ialah Elder Spencer W. Kimball. Setelah mengatakan sesuatu tentang dugaan dan iman ibu saya, Elder Kimball mengatakan ini: “Ada di antara anda mungkin tertanya mengapa Mildred menderita banyak dan lama. Saya akan menjelaskan kenapa. Ia kerana Tuhan ingin mengasah Mildred lebih banyak.”

Saya mengungkapkan kesyukuran bagi ramai ahli Gereja Yesus Kristus yang memikul beban-beban dengan iman yang kukuh dan membantu memikul beban orang lain semasa Tuhan cuba mengasah mereka. Saya juga mengungkapkan kasih dan kekaguman kepada penjaga dan pemimpin-pemimpin seluruh dunia yang melayani ketika mereka dan keluarga mereka diasah.

Saya bersaksi bahawa kita adalah anak-anak Bapa Syurgawi, yang mengasihi kita. Saya merasakan kasih Presiden Russell M. Nelson bagi kita semua. Dia adalah nabi Tuhan di dunia hari ini. Saya bersaksi demikian dalam nama kudus Tuhan Yesus Kristus, amin.