Persidangan Umum
Membiarkan Tuhan Menang
Persidangan umum Oktober 2020


Membiarkan Tuhan Menang

Adakah anda sudi untuk membiarkan Tuhan menang dalam kehidupan anda? Adakah anda sudi menjadikan Tuhan pengaruh yang paling penting dalam kehidupan anda?

Saudara dan saudari yang dikasihi, saya bersyukur untuk pesanan-pesanan yang mengagumkan dalam persidangan ini dan peluang untuk berucap kepada anda sekarang.

Selama lebih daripada 36 tahun sebagai seorang Rasul, ajaran pengumpulan Israel telah menarik perhatian saya.1 Segala mengenainya menarik minat saya, termasuk pelayanan dan nama-nama2 Abraham, Ishak, dan Yakub; kehidupan mereka dan isteri mereka; perjanjian yang Tuhan buat dengan mereka dan dilanjutkan melalui keturunan mereka;3 penyebaran dua belas suku; dan banyak nubuat tentang pengumpulan pada zaman kita.

Saya telah mempelajari tentang pengumpulan, berdoa mengenainya, jamui setiap tulisan suci yang berkaitan, dan meminta Tuhan meningkatkan pemahaman saya.

Jadi, bayangkan kegembiraan saya apabila saya menemui satu pandangan baharu. Dengan bantuan dua sarjana Ibrani, saya mempelajari bahawa salah satu makna perkataan Israel dalam bahasa Ibrani adalah “membiarkan Tuhan menang.”4 Oleh itu, nama Israel merujuk kepada seorang yang sudi membiarkan Tuhan menang dalam hidupnya. Konsep itu mengilhami jiwa saya!

Perkataan sudi sangat penting dalam tafsiran Israel.5 Kita semua mempunyai hak pilihan. Kita boleh memilih untuk menjadi sebahagian Israel, atau tidak. Kita boleh memilih untuk membiarkan Tuhan menang dalam hidup kita, atau tidak. Kita boleh memilih untuk membiarkan Tuhan menjadi pengaruh yang paling berkuasa dalam hidup kita, atau tidak.

Mari kita renung kembali titik perubahan penting dalam kehidupan Yakub, cucu Abraham. Di tempat Yakub menamakan Peniel (yang bermakna “muka Tuhan”),6 Yakub berjuang dengan satu cabaran yang serius. Hak pilihannya diuji. Dalam perjuangannya, Yakub membuktikan apa yang paling penting baginya. Dia menunjukkan bahawa dia sudi membiarkan Tuhan menang dalam hidupnya. Kerana itu, Tuhan menukar nama Yakub kepada Israel,7 bermakna “membiarkan Tuhan menang.” Tuhan kemudian menjanjikan Israel bahawa semua berkat yang diberikan kepada Abraham akan diberikan kepadanya.8

Malangnya, keturunan Israel melanggar perjanjian mereka dengan Tuhan. Mereka merejam para nabi dan tidak sudi membiarkan Tuhan menang dalam hidup mereka. Seterusnya, Tuhan mencerai-beraikan mereka ke seluruh permukaan bumi.9 Dengan belas kasihan, Dia kemudiannya berjanji untuk mengumpul mereka, seperti dilaporkan oleh Yesaya: “Sebentar saja Aku telah meninggalkan kamu [Israel]; tetapi dengan penuh kasih Aku akan mengambil kamu kembali.”10

Dengan definisi Ibrani bagi Israel di minda, pengumpulan Israel mempunyai makna tambahan. Tuhan sedang mengumpulkan mereka yang sudi membiarkan Tuhan menang dalam hidup mereka. Tuhan sedang mengumpulkan mereka yang memilih untuk membiarkan Tuhan menjadi pengaruh yang paling penting dalam hidup mereka.

Selama berabad, para nabi telah bernubuat tentang pengumpulan ini,11 dan ia sedang berlaku sekarang! Sebagai pendahuluan penting bagi Kedatangan Kedua Tuhan, ia adalah pekerjaan yang paling penting di dunia!

Pengumpulan pra-milenium ini adalah kisah individu dalam mengembangkan iman dan keberanian rohani bagi berjuta-juta orang. Dan sebagai para ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, atau “umat perjanjian Israel zaman akhir,”12 kita telah ditugaskan untuk membantu Tuhan dalam pekerjaan yang sangat penting ini.13

Apabila kita berbicara tentang pengumpulan Israel di kedua-dua belah tirai, kita merujuk kepada pekerjaan penginjil, bait suci, dan sejarah keluarga. Kita juga merujuk kepada pembinaan iman dan kesaksian dalam hati mereka yang kita tinggal, bekerja, dan melayani bersama. Bila-bila masa kita lakukan apa-apa saja yang membantu seseorang—di kedua-dua belah tirai—untuk membuat dan mentaati perjanjian dengan Tuhan, kita sedang membantu mengumpulkan Israel.

Tidak lama lalu, isteri salah seorang cucu lelaki kami berjuang secara rohani. Saya akan memanggilnya “Jill.” Walaupun dengan puasa, doa, dan berkat imamat, ayah Jill nazak. Dia dicengkam ketakutan bahawa dia akan kehilangan ayahnya dan kesaksiannya.

Pada suatu petang, isteri saya, Sister Wendy Nelson, memberitahu saya tentang keadaan Jill. Pada pagi seterusnya, Wendy terdorong untuk kongsi dengan Jill bahawa respon saya terhadap perjuangan rohaninya hanya satu perkataan! Perkataan itu adalah myopic(rabun).

Jill kemudian memberitahu Wendy bahawa pada mulanya dia sangat sedih dengan respon saya. Dia berkata, “Saya berharap Datuk akan menjanjikan satu mukjizat untuk ayah saya. Saya terus tertanya mengapa perkataan myopic (rabun) adalah perkataan yang dia katakan.”

Selepas ayah Jill meninggal dunia, perkataan myopic (rabun) masih terlintas di fikirannya. Dia membuka hatinya untuk lebih memahami bahawa myopic (rabun) bermakna “rabun jauh.” Dan pemikirannya mula berubah. Jill kemudian berkata, “Myopic (rabun) telah menyebabkan saya berhenti, berfikir, dan sembuh. Perkataan itu kini memenuhi saya dengan kedamaian. Ia mengingatkan saya untuk luaskan pandangan saya dan mencari berkat yang abadi. Ia mengingatkan saya tentang rancangan ilahi dan bahawa ayah saya masih hidup dan mengasihi serta mengawasi saya.. Myopic (rabun) telah membawa saya kepada Tuhan.”

Saya sangat bangga dengan cucu perempuan mentua kami. Dalam masa sukar dalam hidupnya ini, Jill belajar untuk menerima kehendak Tuhan untuk ayahnya, dengan perspektif abadi untuk hidupnya sendiri. Dengan memilih untuk membiarkan Tuhan menang, dia menemui kedamaian.

Jika kita benarkan, terdapat banyak cara tafsiran Ibrani Israel ini boleh membantu kita. Bayangkan bagaimana doa-doa kita untuk para penginjil—dan untuk usaha kita sendiri dalam mengumpulkan Israel—boleh berubah dengan konsep ini dalam minda. Kita selalu berdoa bahawa kita dan para penginjil akan dipimpin kepada mereka yang bersedia untuk menerima kebenaran Injil Yesus Kristus yang dipulihkan. Saya tertanya, siapakah yang akan kita temui apabila kita berdoa untuk mencari mereka yang sudi membiarkan Tuhan menang dalam hidup mereka?

Kita mungkin dipimpin kepada mereka yang tidak pernah mempercayai Tuhan atau Yesus Kristus tetapi sekarang ingin belajar tentang Mereka dan rancangan kebahagiaan Mereka. Orang lain yang mungkin “dilahirkan dalam perjanjian”14 tetapi telah meninggalkan jalan perjanjian. Mereka sekarang mungkin telah bersedia untuk bertaubat, kembali, dan membiarkan Tuhan menang. Kita boleh membantu menyambut mereka dengan tangan dan hati terbuka. Sesetengah orang yang kita temui mungkin merasa kehilangan sesuatu dalam hidup mereka. Mereka juga menginginkan kesatuan dan kebahagiaan yang datang kepada mereka yang sudi membiarkan Tuhan menang dalam hidup mereka.

Kemampuan Injil untuk mengumpul Israel yang tercerai-berai adalah sangat besar. Terdapat ruang untuk setiap orang yang akan sepenuhnya memeluk Injil Yesus Kristus. Setiap penganut baru menjadi salah seorang anak perjanjian Tuhan,15 sama ada dilahirkan dalam perjanjian atau menyertai gereja kemudiannya. Setiap orang menjadi pewaris penuh kepada semua yang Tuhan telah janjikan anak-anak Israel yang beriman!16

Setiap kita mempunyai potensi ilahi kerana kita adalah anak Tuhan. Setiap orang adalah sama di mata-Nya. Makna kebenaran ini sangat mendalam. Saudara dan saudari, sila dengar dengan baik apa yang saya ingin katakan. Tuhan tidak mengasihi satu bangsa lebih daripada bangsa yang lain. Ajaran-Nya tentang hal ini adalah jelas. Dia menjemput semua untuk datang kepada-Nya, “hitam dan putih, terikat dan bebas, lelaki dan perempuan.”17

Saya jamin kepada anda bahawa kehadiran anda di hadirat Tuhan tidak ditentukan oleh warna kulit anda. Disenang atau tidak oleh Tuhan adalah bergantung atas kebaktian anda kepada Tuhan dan perintah-perintah-Nya dan bukannya warna kulit anda.

Saya bersedih kerana saudara dan saudari berkulit hitam kita di seluruh dunia telah mengalami kesakitan perkauman dan prasangka. Hari ini, saya menyeru para ahli kita di mana sahaja untuk memimpin dalam meninggalkan sikap dan tindakan prasangka. Saya memohon kepada anda untuk menghormati setiap anak-anak Tuhan.

Soalan untuk kita, tanpa mengira bangsa, adalah sama. Adakah anda sudi membiarkan Tuhan menang dalam hidup anda? Adakah anda sudi membiarkan Tuhan menjadi pengaruh yang paling penting dalam hidup anda? Adakah anda membenarkan firman-Nya, perintah-perintah-Nya, dan perjanjian-Nya mempengaruhi apa yang anda lakukan setiap hari? Adakah anda membenarkan suara-Nya menjadi keutamaan daripada yang lain? Adakah anda sudi membiarkan apa pun kehendak-Nya menjadi lebih penting daripada hasrat anda yang lain? Adakah anda sudi untuk membiarkan kehendak anda ditelan dalam kehendak-Nya?18

Pertimbangkan bagaimana kesudian seperti ini boleh memberkati anda. Jika anda belum berkahwin dan sedang mencari seorang teman abadi, hasrat anda untuk menjadi “sebahagian Israel” akan membantu anda menentukan siapa dan bagaimana.

Jika anda berkahwin dengan pasangan yang telah melanggar perjanjiannya, kesudian anda untuk membiarkan Tuhan menang dalam hidup anda akan membenarkan perjanjian anda dengan Tuhan kekal tidak terjejas. Juruselamat akan menyembuhkan hati anda yang hancur. Syurga terbuka semasa anda berdoa untuk mengetahui bagaimana untuk bergerak ke hadapan. Anda tidak perlu mengembara atau tertanya-tanya.

Jika anda mempunyai soalan-soalan ikhlas mengenai Injil atau Gereja, semasa anda memilih untuk membiarkan Tuhan menang, anda akan dipimpin untuk menemui dan memahami kebenaran kekal, yang akan membimbing hidup anda dan membantu anda tetap teguh di jalan perjanjian.

Apabila anda menghadapi godaan—bahkan ketika anda letih atau bersendirian atau disalah faham—bayangkan keberanian anda boleh kumpulkan apabila anda memilih untuk membiarkan Tuhan menang dan ketika anda merayu-Nya untuk kekuatan.

Apabila hasrat terbesar anda adalah untuk membiarkan Tuhan menang, menjadi sebahagian Israel, banyak keputusan menjadi lebih mudah. Banyak masalah menjadi tidak penting! Anda tahu bagaimana menampilkan diri dengan baik. Anda tahu apa untuk ditonton dan dibaca, di mana meluangkan masa, dan dengan siapa untuk bergaul. Anda tahu apa yang anda ingin capai. Anda tahu jenis orang yang anda mahu jadi.

Sekarang, saudara dan saudari dikasihi, ia memerlukan iman dan keberanian untuk membiarkan Tuhan menang. Ini perlukan kerja rohani yang tegas dan berterusan untuk bertaubat dan menanggalkan manusia alamiah melalui korban tebusan Yesus Kristus.19 Ini perlukan usaha harian yang konsisten untuk mengembangkan tabiat peribadi mempelajari Injil, untuk belajar lebih banyak tentang Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus, dan untuk mencari serta bertindak terhadap wahyu peribadi.

Dalam masa kesusahan yang dinubuat oleh Rasul Paulus ini,20 Setan tidak lagi cuba untuk menyembunyikan serangannya terhadap rancangan Tuhan. Banyak kejahatan di sekeliling kita. Oleh itu, satu-satunya cara untuk terus hidup secara rohani adalah bertekad untuk membiarkan Tuhan menang dalam hidup kita, belajar mendengar suara-Nya, dan menggunakan tenaga kita untuk membantu mengumpulkan Israel.

Sekarang, bagaimanakah Tuhan rasa tentang orang-orang yang membiarkan Tuhan menang? Nefi menyimpulkannya dengan baik: “[Tuhan] menyayangi mereka yang mahukan Dia menjadi Tuhan mereka. Lihatlah, Dia menyayangi nenek moyang kita, dan Dia berjanji dengan mereka, ya, bahkan Abraham, Ishak, dan Yakub; dan Dia ingat akan perjanjian-perjanjian yang telah Dia buat.”21

Dan apakah yang Tuhan sudi lakukan untuk Israel? Tuhan telah berjanji bahawa Dia akan “berperang pertempuran [kita], dan pertempuran anak-anak [kita], dan [pertempuran] anak-anak kepada anak-anak mereka … sehingga generasi ketiga dan keempat”!22

Semasa anda mempelajari tulisan suci anda dalam enam bulan yang seterusnya, saya menggalakkan anda untuk membuat satu senarai semua perkara yang Tuhan janjikan Dia akan lakukan untuk umat perjanjian Israel. Saya rasa anda akan tercengang! Renungkan janji-janji ini. Bincangkannya dengan keluarga dan kawan-kawan anda. Kemudiannya jalankan dan lihat janji-janji ini dipenuhi dalam hidup anda sendiri.

Saudara dan saudari yang saya kasihi, semasa anda memilih untuk membiarkan Tuhan menang dalam hidup anda, anda akan alami sendiri bahawa Tuhan kita adalah “seorang Tuhan mukjizat.”23 Sebagai umat manusia, kita adalah anak-anak perjanjian-Nya, dan kita akan dipanggil dengan nama-Nya. Saya bersaksi dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Saya telah berbicara mengenai Israel sekurang-kurangnya 378 daripada 800 lebih pesanan yang saya telah berikan dalam 36 tahun sebagai seorang Rasul.

  2. Dalam bahasa Ibrani, Abram adalah nama mulia yang bermakna “bapa yang dimuliakan.” Tetapi ketika Tuhan mengubah nama itu kepada Abraham, nama itu menjadi lebih penting, ia bermakna “nenek moyang banyak orang.” Sesungguhnya, Abraham akan menjadi “nenek moyang banyak bangsa.” (Lihat Kejadian 17:5; Nehemia 9:7.)

  3. Tuhan Yehovah membuat satu perjanjian dengan Abraham bahawa Juruselamat dunia akan dilahirkan melalui keturunan Abraham, tanah tertentu akan diwarisi, dan semua bangsa akan diberkati melalui keturunan Abraham (lihat Bible Dictionary, “Abraham, covenant of”).

  4. Lihat Bible Dictionary, “Israel.”

  5. Perkataan Israel muncul lebih dari seribu kali dalam tulisan suci. Ia boleh diaplikasikan kepada keluarga Yakub (Israel) yang mempunyai 12 anak lelaki, ditambah -anak-anak perempuan (lihat Kejadian 35:23–26; 46:7). Hari ini ia boleh diaplikasikan secara geografi sebagai satu tempat di Bumi. Tetapi penggunaan tulisan sucinya merujuk kepada orang-orang yang sudi membiarkan Tuhan menang dalam hidup mereka.

  6. Lihat Kejadian 32:30; juga dieja sebagai Penuel dalam Kejadian 32:31.

  7. Lihat Kejadian 32:28.

  8. Lihat Kejadian 35:11–12.

  9. Untuk kajian lebih lanjut, lihat Topical Guide, “Israel, Scattering of.”

  10. Yesaya 54:7.

  11. Lihat Yesaya 11:11–12; 2 Nefi 21:11–12; Mosia 15:11.

  12. Lihat Encyclopedia of Mormonism (1992), “Covenant Israel, Latter-Day,” 1:330–31.

  13. Apabila kita menyertai dalam pengumpulan Israel, Tuhan mempunyai cara yang baik untuk menggambarkan mereka yang dikumpulkan. Dia merujuk kepada kita secara kolektif sebagai “umat pilihan-Nya,” (Keluaran 19:5; Mazmur 135:4), sebagai “permata-permata-Nya” (Maleakhi 3:17; Ajaran dan Perjanjian 101:3), dan sebagai “umat yang ditahbiskan” (Keluaran 19:6; lihat juga Ulangan 14:2; 26:18).

  14. Perjanjian yang Tuhan buat dengan Abraham, berbunyi, “Di dalam keturunanmulah semua kaum di bumi akan diberkati” (3 Nefi 20:27). “Dilahirkan dalam perjanjian” bermakna sebelum seseorang dilahirkan, ibu dan bapa orang itu telah dimeteraikan di bait suci.

  15. Janji ini diajar oleh Tuhan kepada Abraham: “Sebanyak mana yang menerima Injil ini akan dipanggil menurut namamu, dan akan dianggap keturunanmu, dan akan bangkit dan memuji engkau, sebagai bapa mereka” (Abraham 2:10; lihat juga Roma 8:14–17; Galatia 3:26–29).

  16. Setiap ahli beriman boleh meminta berkat bapa bangsa. Melalui ilham Roh Kudus, bapa bangsa menyatakan keturunan orang itu dalam bani Israel. Pernyataan itu tidak semestinya pengumuman tentang bangsa, kewarganegaraan, atau asal usul genetik orang itu. Sebaliknya, keturunan yang dinyatakan mengenal pasti suku Israel yang mana individu itu akan menerima berkatnya.

  17. 2 Nefi 26:33.

  18. Lihat Mosia 15:7. Menjadi Israel bukan untuk mereka yang tidak sudi menghadapi cabaran. Untuk menerima semua berkat yang Tuhan sediakan untuk keturunan Abraham, kita boleh menjangkakan “ujian Abrahamic” kita sendiri yang unik. Nabi Joseph Smith mengajar bahawa Tuhan akan menguji kita dengan keras sehingga kita rasa hati kita mungkin hancur. (Lihat kenangan John Taylor dalam Teachings of Presidents of the Church: Joseph Smith [2007], 231.)

  19. Lihat Mosia 3:19.

  20. Lihat 2 Timotius 3:1–13.

  21. 1 Nefi 17:40; penekanan ditambah.

  22. Ajaran dan Perjanjian 98:37; lihat juga Mazmur 31:23; Yesaya 49:25; Ajaran dan Perjanjian 105:14.

  23. Mormon 9:11.