Kitab Suci
2 Nefi 2


Bab 2

Penebusan datang melalui Mesias Kudus—Kebebasan memilih (hak pilihan) adalah perlu untuk kewujudan dan kemajuan—Adam jatuh agar manusia boleh wujud—Manusia bebas memilih kemerdekaan dan kehidupan abadi. Kira-kira 588–570 tahun S.M.

1 Dan sekarang, Yakub, aku berkata kepadamu: Kamulah anakku yang sulung pada masa kesukaranku di padang belantara. Dan lihatlah, pada zaman kanak-kanakmu, kamu telah menderita kesengsaraan dan banyak dukacita, disebabkan kekasaran saudara-saudaramu.

2 Walaupun demikian, Yakub, anak sulungku di padang belantara, kamu tahu keagungan Tuhan; dan Dia akan membaktikan kesengsaraanmu demi keuntunganmu.

3 Oleh kerana itu, jiwamu akan diberkati, dan kamu akan hidup dengan selamat bersama abangmu, Nefi; dan hidupmu akan dihabiskan dalam pelayanan bagi Tuhanmu. Oleh kerana itu, aku tahu kamu ditebuskan, kerana kesolehan Penebusmu; kerana kamu telah lihat bahawa pada kegenapan masa, Dia datang untuk membawa keselamatan kepada manusia.

4 Dan kamu telah nampak pada masa remajamu kemuliaan-Nya; oleh kerana itu, kamu diberkati, bahkan seperti mereka yang akan Dia layani dalam daging; kerana Roh adalah sama, kelmarin, hari ini, dan selama-lamanya. Dan jalan disediakan sejak kejatuhan manusia, dan keselamatan adalah percuma.

5 Dan manusia diberi arahan yang mencukupi sehingga mereka tahu yang baik dari jahat. Dan hukum diberi kepada manusia. Dan menurut hukum tiada daging yang tidak berdosa; atau, menurut hukum, manusia disingkirkan. Ya, menurut hukum duniawi mereka disingkirkan; dan juga, menurut hukum rohani, mereka binasa daripada apa yang baik, dan menjadi sengsara selama-lamanya.

6 Oleh kerana itu, penebusan datang dalam dan melalui Mesias Kudus; kerana Dia penuh dengan rahmat dan kebenaran.

7 Lihatlah, Dia mempersembahkan diri-Nya sebagai korban bagi dosa, untuk memenuhi tujuan hukum, demi mereka semua yang mempunyai hati yang hancur dan jiwa yang menyesal; dan bukan oleh orang lain tujuan hukum itu dapat dipenuhi.

8 Oleh kerana itu, betapa besarnya kepentingan untuk menjadikan hal-hal ini nyata kepada penghuni-penghuni bumi, agar mereka dapat tahu bahawa tiada daging yang dapat hidup di hadirat Tuhan, kecuali melalui jasa, dan belas kasihan, dan rahmat Mesias yang Kudus, yang menyerahkan nyawa-Nya menurut keadaan daging, dan mengambilnya kembali melalui kuasa Roh, agar Dia dapat mendatangkan kebangkitan orang mati, menjadi yang pertama yang akan bangkit.

9 Oleh kerana itu, Dialah buah pertama bagi Tuhan, kerana Dia akan membuat perantaraan bagi semua anak manusia; dan mereka yang percaya kepada Dia akan diselamatkan.

10 Dan kerana perantaraan bagi semua, semua manusia datang kepada Tuhan; oleh kerana itu, mereka berdiri di hadirat-Nya, untuk dihakimi oleh Dia menurut kebenaran dan kekudusan yang ada dalam Dia. Oleh kerana itu, tujuan hukum itu yang telah Yang Kudus berikan, untuk penimpaan hukuman yang dikaitkan, dan hukuman yang dikaitkan itu adalah bertentangan dengan kebahagiaan yang dikaitkan, untuk memenuhi tujuan korban tebusan

11 Kerana semestinya ada pertentangan dalam segala hal. Jika tidak, anak sulungku di padang belantara, kesolehan tidak dapat dijadikan, tidak juga kejahatan, tidak juga kekudusan atau penderitaan, tidak juga yang baik atau yang jahat. Oleh kerana itu, semua hal mesti digabungkan menjadi satu; oleh kerana itu, jika ianya adalah satu jasad, ia mesti tetap seperti mati, tidak memiliki kehidupan ataupun kematian, atau kereputan ataupun ketidakreputan, kebahagiaan ataupun kegetiran atau kesedaran ataupun ketidaksedaran.

12 Oleh kerana itu, ia mesti telah diciptakan sebagai sesuatu yang sia-sia; oleh kerana itu, tidak akan ada tujuan dalam penciptaannya. Oleh kerana itu, hal ini mesti akan memusnahkan kebijaksanaan Tuhan dan tujuan-tujuan abadi-Nya, dan juga kuasa, dan belas kasihan, dan keadilan Tuhan.

13 Dan jika kamu akan berkata tiada hukum, kamu juga akan berkata tiada dosa. Jika kamu akan berkata tiada dosa, kamu juga akan berkata tiada kesolehan. Dan jika tiada kesolehan, tiadalah kebahagiaan. Dan jika tiada kesolehan dan kebahagiaan, tiadalah hukuman atau kegetiran. Dan jika hal-hal ini tidak wujud, tiadalah Tuhan. Dan jika tiada Tuhan, kita tidak wujud, tidak juga bumi; kerana tidak mungkin ada penciptaan apa pun, tidak juga untuk bertindak atau untuk ditindaki; oleh kerana itu, segalanya mestilah telah lenyap.

14 Dan sekarang, anak-anak lelakiku, aku mengucapkan semua hal ini bagi keuntungan dan pembelajaranmu; kerana adanya Tuhan, dan Dia telah mencipta segala sesuatu, baik langit mahupun bumi, dan segala yang ada di dalamnya, baik makhluk yang bertindak mahupun makhluk yang kepadanya dikenakan tindakan.

15 Dan untuk mencapai tujuan-tujuan-Nya yang abadi bagi manusia, setelah Dia mencipta ibu bapa pertama kita, dan binatang di padang, dan unggas di udara, dan kesimpulannya, segala yang dicipta, mestilah perlu bahawa ada suatu pertentangan; bahkan buah terlarang bertentangan dengan pokok kehidupan; yang satu manis, dan yang lain pahit.

16 Oleh kerana itu, Tuhan telah membenarkan manusia bertindak bagi dirinya sendiri. Oleh kerana itu, manusia tidak dapat bertindak bagi dirinya sendiri kecuali dia dipujuk oleh satu atau yang lain.

17 Dan aku, Lehi, menurut hal-hal yang telah aku baca, mesti menganggap bahawa seorang malaikat Tuhan, menurut apa yang telah ditulis, telah jatuh dari syurga; oleh kerana itu, dia menjadi seorang iblis, kerana telah mencari yang jahat di hadapan Tuhan.

18 Dan kerana dia telah jatuh dari syurga, dan telah menjadi sengsara selama-lamanya, dia juga cuba mewujudkan penderitaan bagi seluruh umat manusia. Oleh kerana itu, dia berkata kepada Hawa, ya, bahkan ular tua itu, yang adalah iblis, yang adalah bapa segala kebohongan, oleh kerana itu, dia berkata: Makanlah buah terlarang, dan kamu tidak akan mati, tetapi kamu akan menjadi seperti Tuhan, mengetahui yang baik dan yang jahat.

19 Dan setelah Adam dan Hawa makan buah terlarang, mereka dihalau dari taman Eden, untuk memugar tanah.

20 Dan mereka melahirkan anak-anak; ya, bahkan keluarga seluruh bumi.

21 Dan umur anak-anak manusia diperpanjangkan, menurut kehendak Tuhan, agar mereka dapat bertaubat semasa dalam daging; oleh kerana itu, keadaan mereka menjadi keadaan percubaan, dan hayat mereka diperpanjangkan, menurut perintah-perintah yang Tuhan telah berikan kepada anak-anak manusia. Kerana Dia memberi perintah bahawa semua manusia mesti bertaubat; kerana Dia memperlihatkan kepada semua manusia bahawa mereka tersesat, akibat pelanggaran ibu bapa mereka.

22 Dan sekarang, lihatlah, jika Adam tidak melanggar perintah, dia tidak akan jatuh, tetapi dia akan tetap tinggal di taman Eden. Dan segala yang telah dicipta mesti tetap dalam keadaan yang sama sebagaimana wujudnya setelah ia diciptakan; dan ia mesti tetap wujud selama-lamanya, dan tiada pengakhiran.

23 Dan mereka tidak akan ada anak; oleh kerana itu, mereka akan tetap dalam keadaan tidak berdosa, tidak mempunyai kebahagiaan, kerana mereka tidak mengenal kesengsaraan; tidak membuat baik, kerana mereka tidak mengenal dosa.

24 Tetapi lihatlah, segala hal telah dibuat dalam kebijaksanaan Dia yang mengetahui segala hal.

25 Adam jatuh agar manusia boleh wujud; dan manusia wujud agar mereka boleh berbahagia.

26 Dan Mesias datang pada kegenapan zaman, agar Dia dapat menebuskan anak-anak manusia daripada kejatuhan. Dan kerana mereka telah ditebuskan daripada kejatuhan, mereka telah menjadi bebas selama-lamanya, mengetahui yang baik daripada yang jahat; untuk bertindak bagi diri mereka sendiri dan bukan ditindaki, kecuali ianya melalui hukuman daripada hukum pada hari yang agung dan terakhir, menurut perintah-perintah yang telah Tuhan berikan.

27 Oleh kerana itu, manusia bebas menurut keadaan dagingnya; dan segalanya diberikan kepada mereka yang perlu untuk manusia. Dan mereka bebas untuk memilih kemerdekaan dan kehidupan abadi, melalui Pengantara agung bagi semua manusia, atau untuk memilih penawanan dan kematian, menurut penawanan dan kuasa iblis; kerana dia berusaha agar semua manusia getir seperti dirinya sendiri.

28 Dan sekarang, anak-anak lelakiku, aku menghendaki agar kamu berpaling kepada Pengantara agung itu, dan mematuhi perintah-perintah agung-Nya; dan setia kepada firman-Nya, dan memilih kehidupan abadi, menurut kehendak Roh Kudus-Nya.

29 Dan tidak memilih kematian abadi, menurut kehendak daging dan kejahatan yang ada dalamnya, yang memberikan roh iblis kuasa untuk menawan, untuk membawamu turun ke neraka, agar dia dapat memerintah ke atas dirimu di dalam kerajaannya.

30 Aku telah mengucapkan beberapa kata ini kepada kamu semua, anak-anak lelakiku, pada waktu terakhir percubaanku; dan aku telah memilih bahagian yang baik, menurut kata-kata nabi. Dan aku tiada matlamat lain kecuali kesejahteraan kekal bagi jiwa-jiwamu. Amin.