Kitab Suci
Mosia 3


Bab 3

Raja Benyamin melanjutkan titah ucapannya—Tuhan Yang Maha Kuasa akan melayani di kalangan manusia dalam jasad yang diperbuat daripada tanah liat—Darah akan keluar dari setiap liang roma sewaktu Dia menebas dosa-dosa dunia—Hanya nama-Nya sahaja yang akan mendatangkan keselamatan—Manusia dapat menanggalkan manusia alami dan menjadi Orang Suci melalui Korban Tebusan—Seksaan bagi yang jahat akan bagaikan sebuah tasik api dan belerang. Kira-kira 124 tahun S.M.

1 Dan lagi saudara-saudaraku, aku hendak meminta perhatianmu, kerana aku ada sedikit lagi untuk dibicarakan kepadamu; kerana lihatlah, aku memiliki hal-hal untuk diberitahukan kepadamu berkenaan apa yang akan datang.

2 Dan apa yang akan aku beritahu kepadamu disingkapkan kepadaku oleh seorang malaikat daripada Tuhan. Dan dia berkata kepadaku: Bangunlah; dan aku bangun, dan lihatlah dia berdiri di hadapanku.

3 Dan dia berkata kepadaku: Bangunlah, dan dengarlah kata-kata yang akan aku beritahumu; kerana lihatlah, aku telah datang untuk memaklumkan kepadamu khabar gembira tentang kebahagiaan yang besar.

4 Kerana Tuhan telah mendengar doa-doamu, dan telah menilai kesolehanmu, dan telah mengutusku untuk memaklumkan kepadamu bahawa engkau boleh bersukacita; dan bahawa engkau boleh memaklumkan kepada rakyatmu, agar mereka juga boleh dipenuhi dengan kebahagiaan.

5 Kerana lihatlah, waktunya mendekat, dan tidaklah terlalu jauh, ketika dengan kuasa, Tuhan Yang Maha Kuasa yang memerintah, yang dahulu wujud, dan wujud dari segala keabadian ke segala keabadian, akan turun dari syurga ke kalangan anak-anak manusia, dan akan berdiam dalam fana, dan akan pergi ke kalangan manusia, mengerjakan mukjizat-mukjizat yang agung, seperti menyembuhkan yang sakit, menghidupkan kembali yang mati, menyebabkan yang lumpuh berjalan, yang buta menerima penglihatan mereka, dan yang tuli mendengar, dan menyembuhkan segala macam penyakit.

6 Dan Dia akan mengusir para iblis, atau roh-roh jahat yang berdiam dalam hati anak-anak manusia.

7 Dan tengoklah, Dia akan menderita cubaan, dan rasa sakit tubuh, kelaparan, kehausan, dan keletihan, bahkan lebih daripada yang dapat manusia derita, kecuali kematian; kerana lihatlah, darah keluar dari setiap liang roma, akan sedemikian dahsyat kepedihan-Nya kerana kejahatan dan kekejian umat-Nya.

8 Dan Dia akan dipanggil Yesus Kristus, Putera Tuhan, Bapa langit dan bumi, Pencipta segala-galanya sejak awal; dan ibu-Nya akan dipanggil Maria.

9 Dan tengoklah, Dia datang kepada umat-Nya, agar keselamatan boleh datang kepada anak-anak manusia bahkan melalui iman pada nama-Nya; dan bahkan setelah semuanya ini mereka akan menganggap-Nya seorang manusia, dan mengatakan bahawa Dia dirasuk iblis, dan akan mencambuk-Nya, dan akan menyalibkan-Nya.

10 Dan Dia akan bangkit pada hari ketiga dari kematian; dan lihatlah, Dia berdiri untuk menghakimi dunia; dan lihatlah, segala hal ini dilakukan agar penghakiman yang adil boleh datang ke atas anak-anak manusia.

11 Kerana lihatlah, dan juga darah-Nya menebus dosa-dosa mereka yang telah jatuh kerana pelanggaran Adam, yang telah mati tanpa mengetahui kehendak Tuhan berkenaan mereka, atau yang telah berdosa tanpa mengetahuinya.

12 Tetapi celakalah, celakalah dia yang mengetahui bahawa dia memberontak melawan Tuhan! Kerana keselamatan tidak datang kepada yang demikian kecuali melalui pertaubatan dan iman kepada Tuhan Yesus Kristus.

13 Dan Tuhan Raja telah mengutus para nabi kudus-Nya ke kalangan semua anak manusia, untuk memaklumkan hal-hal ini kepada setiap kaum, bangsa, dan bahasa, agar dengan demikian barang siapa akan percaya bahawa Kristus akan datang, orang yang sama boleh menerima pengampunan dosa-dosa mereka, dan bersukacita dengan kebahagiaan yang amat besar, bahkan seakan-akan Dia telah datang di kalangan mereka.

14 Namun Tuhan Raja melihat bahawa umat-Nya adalah umat yang tegar leher, dan Dia menetapkan bagi mereka sebuah hukum, bahkan hukum Musa.

15 Dan banyak tanda, dan keajaiban, dan perlambang, dan bayangan diperlihatkan-Nya kepada mereka, berkenaan kedatangan-Nya; dan juga para nabi kudus berbicara kepada mereka berkenaan kedatangan-Nya; namun mereka mengeraskan hati mereka, dan tidak mengerti bahawa hukum Musa tak berfaedah langsung kecuali melalui korban tebusan daripada darah-Nya.

16 Dan bahkan jika mungkin bahawa anak-anak kecil dapat berdosa mereka tidak dapat diselamatkan; tetapi aku berkata kepadamu bahawa mereka diberkati; kerana lihatlah, sebagaimana dalam Adam, atau secara tabii, mereka jatuh, demikian pula darah Kristus menebuskan dosa-dosa mereka.

17 Dan tambahan pula, aku berkata kepadamu, bahawa tidak akan ada nama lain diberikan atau jalan lain atau cara lain apa pun yang melaluinya keselamatan dapat datang kepada anak-anak manusia, hanya dalam dan melalui nama Kristus, Tuhan Yang Maha Berkuasa.

18 Kerana lihatlah Dia menghakimi, dan penghakiman-Nya adalah adil; dan bayi yang mati pada masa bayinya tidaklah binasa; tetapi manusia meminum laknat bagi jiwa mereka sendiri kecuali mereka merendahkan hati mereka dan menjadi seperti anak kecil, dan percaya bahawa penyelamatan itu wujud dahulu, dan sekarang, dan akan datang, dalam dan melalui darah korban tebusan Kristus, Tuhan Yang Maha Berkuasa.

19 Kerana manusia alamiah adalah musuh kepada Tuhan, dan telah demikian sejak kejatuhan Adam, dan akan demikian, selama-lamanya, kecuali dia menyerah pada pujukan Roh Kudus, dan menanggalkan manusia alamiah dan menjadi orang suci melalui korban tebusan Kristus Tuhan, dan menjadi seperti seorang anak kecil, peserah, lembut hati, rendah hati, sabar, penuh dengan kasih, rela untuk berserah pada segalanya yang Tuhan anggap patut untuk ditimpakan ke atas dirinya, bahkan seperti anak kecil berserah kepada ayahnya.

20 Dan tambahan pula, aku berkata kepadamu, bahawa waktunya akan tiba ketika pengetahuan tentang Juruselamat akan menyebar ke setiap bangsa, kaum, bahasa, dan khalayak.

21 Dan lihatlah, ketika waktu itu tiba, tak seorang pun akan didapati tanpa salah di hadapan Tuhan, kecuali anak-anak kecil, hanya melalui pertaubatan dan iman pada nama Tuhan Raja Yang Maha Kuasa.

22 Dan bahkan pada waktu ini, ketika engkau akan telah mengajar rakyatmu apa yang telah Tuhan Rajamu perintahkan kepadamu, bahkan pada waktu itu mereka tidak lagi didapati tanpa kesalahan dalam pandangan Tuhan, kecuali menurut kata-kata yang telah aku ucapkan kepadamu.

23 Dan sekarang, aku telah mengucapkan firman yang telah Tuhan Raja perintahkan kepadaku.

24 Dan demikianlah firman Tuhan: Ia akan berdiri sebagai kesaksian yang cemerlang menentang bangsa ini, pada hari kiamat; oleh kerana itu mereka akan dihakimi, setiap orang menurut kerja-kerjaannya, sama ada ianya baik, atau sama ada ianya jahat.

25 Dan jika ianya jahat mereka diserahkan pada pemandangan yang menyeramkan akan kesalahan dan kekejian mereka sendiri, yang menyebabkan mereka mengecut daripada hadirat Tuhan ke dalam keadaan kegetiran dan seksaan tanpa akhir, yang daripadanya mereka tidak dapat lagi kembali; oleh kerana itu mereka telah meminum laknat bagi jiwa mereka sendiri.

26 Oleh kerana itu, mereka telah minum dari cawan kemurkaan Tuhan, yang keadilan tidak dapat menyangkal itu adalah patut bagi mereka, lebih daripada ia dapat menyangkal bahawa Adam akan jatuh kerana dia memakan buah terlarang; oleh kerana itu, belas kasihan tidak dapat menuntut hak atas diri mereka lagi buat selama-lamanya.

27 Dan seksaan mereka adalah bagaikan sebuah tasik api dan belerang, yang nyalanya tak dapat dipadamkan, dan yang asapnya naik ke atas selama-lamanya. Demikianlah Tuhan telah memerintahkanku. Amin.