Kitab Suci
Alma 5


Perkataan yang Alma, seorang Imam Tinggi menurut tarekat kudus Tuhan, telah sampaikan kepada rakyat di kota dan desa-desa di seluruh negeri itu.

Permulaan dengan bab 5.

Bab 5

Untuk memperoleh keselamatan, manusia mesti bertaubat dan mentaati perintah-perintah, dilahirkan kembali, membersihkan pakaian mereka melalui darah Kristus, menjadi rendah hati dan melucuti diri mereka daripada keangkuhan dan rasa iri hati, dan melakukan kerja-kerja kesolehan—Gembala Yang Baik memanggil umat-Nya—Mereka yang melakukan pekerjaan jahat adalah anak-anak iblis—Alma bersaksi tentang kebenaran ajarannya dan memerintahkan manusia agar bertaubat—Nama orang yang soleh akan ditulis dalam kitab kehidupan. Kira-kira 83 tahun S.M.

1 Sekarang, terjadilah bahawa Alma mula menyampaikan firman Tuhan kepada umat itu, pertama di negeri Zarahemla, dan dari sana ke seluruh negeri.

2 Dan inilah perkataan-perkataan yang dia ucapkan kepada umat di gereja yang ditegakkan di kota Zarahemla, menurut catatannya sendiri, mengatakan:

3 Aku, Alma, setelah ditahbiskan oleh ayahku, Alma, untuk menjadi imam tinggi atas gereja Tuhan, dia memiliki kuasa dan wewenang daripada Tuhan untuk melakukan hal-hal ini, lihatlah, aku berkata kepadamu bahawa dia mula menegakkan sebuah gereja di negeri yang berada di sempadan Nefi; ya, negeri yang dipanggil negeri Mormon, ya, dan dia membaptis saudara-saudaranya di Perairan Mormon.

4 Dan lihatlah, aku berkata kepadamu, mereka dibebaskan daripada tangan rakyat raja Nuh, oleh belas kasihan dan kuasa Tuhan.

5 Dan lihatlah, setelah itu, mereka dibawa ke dalam perhambaan oleh tangan bangsa Laman di padang belantara; ya, aku berkata kepadamu, mereka berada dalam penawanan, dan sekali lagi Tuhan membebaskan mereka daripada perhambaan oleh kuasa firman-Nya; dan kita dibawa ke negeri ini, dan di sini kita mula menegakkan gereja Tuhan di seluruh negeri ini juga.

6 Dan sekarang, lihatlah, aku berkata kepadamu, saudara-saudaraku, kamu yang menganggotai gereja ini, adakah kamu telah cukup menyimpan dalam ingatan penawanan nenek moyangmu? Ya, dan adakah kamu telah cukup menyimpan dalam ingatan belas kasihan dan panjang sabar-Nya terhadap mereka? Dan di samping itu, sudahkah kamu cukup menyimpan dalam ingatan bahawa Dia telah membebaskan jiwa mereka dari neraka?

7 Lihatlah, Dia mengubahkan hati mereka; ya, Dia membangunkan mereka dari tidur yang nyenyak, dan mereka terbangun kepada Tuhan. Lihatlah, mereka berada di tengah-tengah kegelapan; walaupun demikian, jiwa mereka diterangi oleh cahaya firman yang berkekalan; ya, mereka dikelilingi oleh ikatan kematian, dan rantai neraka, dan kehancuran yang berkekalan menunggu mereka.

8 Dan sekarang, aku bertanya kepadamu, saudara-saudaraku, adakah mereka dihancurkan? Lihatlah, aku berkata kepadamu, Tidak, mereka tidak dihancurkan.

9 Dan lagi aku bertanya, adakah ikatan kematian diputuskan, dan rantai neraka yang mengelilingi mereka, adakah ia dilepaskan? Aku berkata kepadamu, Ya, ia dilepaskan, dan jiwa mereka mengembang, dan mereka menyanyikan kasih penebusan. Dan aku berkata kepadamu bahawa mereka diselamatkan.

10 Dan sekarang, aku bertanya kepadamu dengan syarat apakah mereka diselamatkan? Ya, atas dasar apakah mereka harus berharap untuk penyelamatan? Apakah sebabnya mereka dilepaskan daripada ikatan kematian, ya, dan juga rantai neraka?

11 Lihatlah, aku dapat memberitahu kamu—bukankah ayahku Alma percaya kepada kata-kata yang disampaikan oleh mulut Abinadi? Dan bukankah dia seorang nabi kudus? Tidakkah dia mengucapkan firman Tuhan, dan ayahku Alma mempercayainya?

12 Dan menurut imannya ada perubahan yang hebat ditempa dalam hatinya. Lihatlah aku berkata kepadamu bahawa ini semuanya benar.

13 Dan lihatlah, dia mengkhutbahkan firman itu kepada nenek moyangmu, dan perubahan yang hebat juga ditempa dalam hati mereka, dan mereka merendahkan hati mereka dan menaruh kepercayaan mereka kepada Tuhan yang hidup dan sejati. Dan lihatlah, mereka setia sampai akhir; oleh itu mereka diselamatkan.

14 Dan sekarang, lihatlah, aku bertanya kepadamu, saudara-saudaraku di dalam gereja, adakah kamu secara rohani telah dilahirkan daripada Tuhan? Adakah kamu telah menerima rupa-Nya pada air mukamu? Adakah kamu telah mengalami perubahan yang hebat ini dalam hatimu?

15 Adakah kamu menjalankan iman pada penebusan daripada Dia yang menciptakanmu? Adakah kamu menanti-nantikan dengan mata iman, dan memandang tubuh fana ini dibangkitkan dalam kebaqaan, dan kereputan ini dibangkitkan dalam ketidakreputan, untuk berdiri di hadapan Tuhan untuk dihakimi menurut perbuatan yang telah dilakukan dalam tubuh fana?

16 Aku berkata kepadamu, dapatkah kamu membayangkan kepada dirimu sendiri bahawa kamu mendengar suara Tuhan, memfirmankan kepadamu, pada hari itu: Datanglah kepada-Ku kamu yang diberkati, kerana lihatlah, pekerjaanmu adalah pekerjaan kesolehan di atas muka bumi?

17 Atau adakah kamu membayangkan kepada dirimu sendiri bahawa kamu dapat berdusta kepada Tuhan pada hari itu, dan berkata—Tuhan, pekerjaan kami adalah pekerjaan kesolehan di atas muka bumi—dan bahawa Dia akan menyelamatkanmu?

18 Atau jika tidak, dapatkah kamu membayangkan dirimu dibawa ke hadapan kerusi pengadilan Tuhan dengan jiwamu dipenuhi dengan rasa bersalah dan penyesalan, memiliki ingatan akan segala kesalahanmu, ya, ingatan yang sempurna akan segala kejahatanmu, ya, ingatan bahawa kamu telah menentang perintah-perintah Tuhan?

19 Aku berkata kepadamu, dapatkah kamu memandang kepada Tuhan pada hari itu dengan hati yang murni dan tangan yang bersih? Aku berkata kepadamu, dapatkah kamu memandang ke atas, memiliki rupa Tuhan terukir pada wajahmu?

20 Aku berkata kepadamu, dapatkah kamu berfikir untuk diselamatkan ketika kamu telah menyerahkan dirimu untuk menjadi tunduk kepada iblis?

21 Aku berkata kepadamu, kamu akan mengetahui pada hari itu bahawa kamu tidak dapat diselamatkan; kerana tidak ada seorang pun dapat diselamatkan kecuali pakaiannya dibasuh hingga putih; ya, pakaiannya mesti dimurnikan sampai dibersihkan daripada segala noda, melalui darah Dia yang telah dibicarakan oleh nenek moyang kita, yang akan datang untuk menebus umat-Nya daripada dosa-dosa mereka.

22 Dan sekarang, aku bertanya kepadamu, saudara-saudaraku, bagaimana perasaan siapa pun di antara kamu, jika kamu akan berdiri di hadapan susur penghakiman Tuhan, dengan pakaianmu dinodai dengan darah dan segala macam kekotoran? Lihatlah, apa yang akan hal-hal ini persaksikan menentangmu?

23 Lihatlah tidak akankah ia bersaksi bahawa kamu adalah pembunuh, ya, dan juga bahawa kamu bersalah atas segala macam kejahatan?

24 Lihatlah, saudara-saudaraku, adakah kamu mengira bahawa orang yang demikian dapat memperoleh tempat untuk duduk di dalam kerajaan Tuhan, bersama Abraham, bersama Ishak, dan bersama Yakub, dan juga semua nabi kudus, yang pakaiannya dibersihkan dan tanpa noda, murni dan putih?

25 Aku berkata kepadamu, Tidak; kecuali kamu menjadikan Pencipta kita pendusta sejak awal, atau membayangkan bahawa Dia adalah pendusta sejak awal, kamu tidak dapat membayangkan bahawa orang yang demikian dapat memperoleh tempat di dalam kerajaan syurga; tetapi mereka akan dicampak keluar kerana mereka adalah anak-anak kerajaan iblis.

26 Dan sekarang, lihatlah, aku berkata kepadamu, saudara-saudaraku, jika kamu telah mengalami suatu perubahan hati, dan jika kamu telah merasakan untuk menyanyikan nyanyian kasih penebusan, aku mahu bertanya, dapatkah kamu merasakan demikian sekarang?

27 Adakah kamu telah berjalan, menjaga dirimu tanpa salah di hadapan Tuhan? Dapatkah kamu berkata, jika kamu dipanggil untuk mati pada waktu ini, di dalam dirimu sendiri, bahawa kamu telah cukup rendah hati? Bahawa pakaianmu telah dibersihkan dan dijadikan putih melalui darah Kristus, yang akan datang untuk menebus umat-Nya daripada dosa-dosa mereka?

28 Lihatlah, adakah kamu telah dilucuti keangkuhan? Aku berkata kepadamu, jika kamu belum kamu tidak siap untuk bertemu Tuhan. Lihatlah kamu mesti bersiap dengan cepat; kerana kerajaan syurga segera tiba, dan orang yang demikian tidak memiliki kehidupan abadi.

29 Lihatlah, aku berkata, adakah seseorang di antara kamu yang tidak dilucuti rasa iri hati? Aku berkata kepadamu bahawa orang yang demikian belumlah siap; dan aku menghendaki agar dia hendaknya bersiap dengan cepat, kerana waktunya dekat di depan mata, dan dia tidak tahu bila masanya akan datang; kerana orang yang demikian tidak didapati tak bersalah.

30 Dan lagi aku berkata kepadamu, adakah seseorang di antara kamu yang menjadikan saudaranya sasaran ejekan, atau yang menimpakan ke atas dirinya penganiayaan?

31 Celakalah orang yang demikian, kerana dia belum siap, dan waktunya di depan mata bahawa dia mesti bertaubat atau dia tidak dapat diselamatkan!

32 Ya, bahkan celakalah kamu semua pekerja kederhakaan; bertaubatlah, bertaubatlah, kerana Tuhan Raja telah memfirmankannya!

33 Lihatlah, Dia mengirimkan ajakan kepada semua orang, kerana lengan belas kasihan dihulurkan kepada mereka, dan Dia berfirman: Bertaubatlah, dan Aku akan menerimamu.

34 Ya, Dia berfirman: Datanglah kepada-Ku dan kamu akan makan buah dari pokok kehidupan; ya, kamu akan makan dan minum, roti dan air kehidupan dengan bebas;

35 Ya, datanglah kepada-Ku dan hasilkan pekerjaan kesolehan, dan kamu tidak akan ditebang dan dilemparkan ke dalam api—

36 Kerana lihatlah, waktunya di depan mata bahawa barang siapa menghasilkan buah yang tidak baik, atau barang siapa tidak melakukan pekerjaan kesolehan, orang yang sama memiliki alasan untuk meratap dan berduka nestapa.

37 Wahai kamu pekerja kederhakaan; kamu yang bongkak dalam apa yang sia-sia daripada dunia, kamu yang telah mendakwa mengetahui jalan kebenaran tetapi telah tersesat, bagaikan domba yang tanpa gembala, sekalipun seorang gembala telah memanggil kepadamu dan masih memanggil kepadamu, tetapi kamu tidak mahu mendengar suara-Nya!

38 Lihatlah, aku berkata kepadamu, bahawa gembala yang baik memanggilmu; ya, dan dalam nama-Nya sendiri Dia memanggilmu, yang adalah nama Kristus; dan jika kamu tidak mahu mendengar suara gembala yang baik, kepada nama yang dengannya kamu dipanggil, lihatlah, kamu bukanlah domba gembala yang baik.

39 Dan sekarang, jika kamu bukan domba gembala yang baik itu, dari kawanan manakah kamu? Lihatlah, aku berkata kepadamu, bahawa iblis adalah gembalamu, dan kamu adalah dari kawanannya; dan sekarang, siapakah yang dapat menyangkal ini? Lihatlah, aku berkata kepadamu, barang siapa menyangkal ini adalah pendusta dan anak iblis.

40 Kerana aku berkata kepadamu bahawa apa pun yang baik datang daripada Tuhan, dan apa pun yang jahat datang daripada iblis.

41 Oleh itu, jika seseorang menghasilkan pekerjaan yang baik dia mendengar suara gembala yang baik, dan dia mengikuti-Nya; tetapi barang siapa menghasilkan pekerjaan yang jahat, orang yang sama menjadi anak iblis, kerana dia mendengar suaranya, dan mengikutinya.

42 Dan barang siapa melakukan ini mestilah menerima upahnya dari dia; oleh itu, sebagai upahnya dia menerima kematian, berkaitan dengan apa yang berhubungan dengan kebenaran, kerana mati berkaitan dengan semua pekerjaan yang baik.

43 Dan sekarang, saudara-saudaraku, aku menghendaki agar kamu hendaknya mendengarku, kerana aku berbicara dalam tenaga jiwaku; kerana lihatlah, aku telah berbicara kepadamu dengan jelas agar kamu tidak dapat khilaf, atau telah berbicara menurut perintah-perintah Tuhan.

44 Kerana aku dipanggil untuk berbicara menurut cara ini, menurut tarekat kudus Tuhan, yang ada pada Kristus Yesus; ya, aku diperintahkan untuk berdiri dan bersaksi kepada umat ini apa yang telah diucapkan oleh nenek moyang kita berkenaan apa yang akan datang.

45 Dan ini bukanlah kesemuanya. Tidakkah kamu mengira bahawa aku mengetahui hal-hal ini diriku sendiri? Lihatlah, aku bersaksi kepadamu bahawa aku tahu bahawa hal-hal ini yang berkenaannya telah aku ucapkan adalah benar. Dan bagaimanakah kamu mengira bahawa aku mengetahui akan kepastiannya?

46 Lihatlah, aku berkata kepadamu itu disingkapkan kepadaku oleh Roh Kudus Tuhan. Lihatlah, aku telah berpuasa dan berdoa berhari-hari agar aku boleh mengetahui hal-hal ini bagi diriku sendiri. Dan sekarang, aku tahu bagi diriku sendiri bahawa itu adalah benar; kerana Tuhan Raja telah menyatakannya kepadaku oleh Roh Kudus-Nya; dan ini adalah roh wahyu yang ada dalam diriku.

47 Dan lebih-lebih lagi, aku berkata kepadamu bahawa itu telah demikian diungkapkan kepadaku, bahawa perkataan-perkataan yang telah diucapkan oleh nenek moyang kita adalah benar, bahkan demikian menurut roh nubuat yang ada dalam diriku, yang adalah juga melalui pernyataan Roh Tuhan.

48 Aku berkata kepadamu, bahawa aku tahu bagi diriku sendiri bahawa apa pun yang akan aku katakan kepadamu, berkenaan apa yang akan datang, adalah benar; dan aku berkata kepadamu, bahawa aku tahu bahawa Yesus Kristus akan datang, ya, Putera, Anak Tunggal Bapa, penuh rahmat, dan belas kasihan, dan kebenaran. Dan lihatlah, adalah Dia yang datang untuk mengambil pergi dosa-dosa dunia, ya, dosa-dosa setiap orang yang dengan tabah percaya pada nama-Nya.

49 Dan sekarang, aku berkata kepadamu bahawa ini adalah imamat yang menurutnya aku dipanggil, ya, untuk berkhutbah kepada saudara-saudaraku yang dikasihi, ya, dan setiap orang yang berdiam di negeri ini; ya, untuk berkhutbah kepada semua orang, baik tua mahupun muda, baik tertawan mahupun bebas; ya, aku berkata kepadamu yang lanjut usia, dan juga yang pertengahan umur, dan generasi yang meningkat dewasa; ya, untuk berseru kepada mereka bahawa mereka mesti bertaubat dan dilahirkan kembali.

50 Ya, demikianlah firman Roh: Bertaubatlah, kamu segenap hujung bumi, kerana kerajaan syurga segera tiba; ya, Putera Tuhan datang dalam kemuliaan-Nya, dalam kekuatan, keagungan, kuasa, dan kekuasaan-Nya. Ya, saudara-saudaraku yang dikasihi, aku berkata kepadamu, bahawa Roh berfirman: Lihatlah kemuliaan Raja seluruh bumi; dan juga Raja syurga akan sangat segera bersinar di kalangan semua anak manusia.

51 Dan juga Roh berfirman kepadaku, ya, berseru kepadaku dengan suara yang amat kuat, berfirman: Pergi dan katakanlah kepada bangsa ini—Bertaubatlah, kerana kecuali kamu bertaubat kamu sama sekali tidak dapat mewarisi kerajaan syurga.

52 Dan lagi aku berkata kepadamu, Roh berfirman: Lihatlah, kapak telah diletakkan pada akar pokok; oleh itu setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dilemparkan ke dalam api, ya, api yang tidak dapat dimusnahkan, bahkan api yang tidak dapat dipadamkan. Lihatlah, dan ingatlah, Yang Kudus telah memfirmankannya.

53 Dan sekarang, saudara-saudaraku yang dikasihi, aku berkata kepadamu, dapatkah kamu bertahan terhadap penyataan-penyataan ini; ya, dapatkah kamu mengesampingkan hal-hal ini, dan memijak-mijak Yang Kudus di bawah kakimu; ya, dapatkah kamu bongkak dalam keangkuhan hatimu; ya, akankah kamu masih berkeras dalam mengenakan pakaian mahal dan menaruh hatimu pada apa yang sia-sia daripada dunia, pada kekayaanmu?

54 Ya, akankah kamu berkeras dalam mengira bahawa kamu orang yang lebih baik daripada yang lain; ya, akankah kamu berkeras dalam penganiayaan terhadap saudara-saudaramu, yang merendahkan hati mereka dan berjalan menurut tarekat kudus Tuhan, yang dengannya mereka telah dibawa ke dalam gereja ini, setelah dikuduskan oleh Roh Kudus, dan mereka menghasilkan pekerjaan yang sesuai untuk pertaubatan—

55 Ya, dan akankah kamu berkeras dalam memalingkan belakangmu kepada yang miskin, dan yang memerlukan, dan dalam menahan harta kekayaanmu daripada mereka?

56 Dan akhirnya, kamu semua yang akan berkeras dalam kejahatanmu, aku berkata kepadamu bahawa inilah mereka yang akan ditebang dan dilemparkan ke dalam api kecuali mereka lekas bertaubat.

57 Dan sekarang, aku berkata kepadamu, kamu semua yang berhasrat untuk mengikuti suara Gembala yang baik, keluarlah kamu daripada yang jahat, dan asingkanlah dirimu, dan janganlah menyentuh benda mereka yang tidak bersih; dan lihatlah, nama mereka akan dipadamkan, sehingga nama orang yang jahat tidak akan terbilang di antara nama orang yang soleh, agar firman Tuhan boleh digenapi, yang mengatakan: Nama orang yang jahat tidak akan berbaur dengan nama umat-Ku;

58 Kerana nama orang yang soleh akan ditulis dalam kitab kehidupan, dan kepada merekalah akan Aku berikan warisan di sisi kanan-Ku. Dan sekarang, saudara-saudaraku, apa yang akan kamu katakan menentang ini? Aku berkata kepadamu, jika kamu berbicara menentangnya, tidaklah masalah, kerana firman Tuhan mesti digenapi.

59 Kerana gembala manakah yang ada di kalanganmu yang memiliki banyak domba tidak mengawasi mereka, agar serigala tidak masuk dan melahap kawanan dombanya? Dan lihatlah, jika seekor serigala memasuki kawanan dombanya tidakkah dia menghalaunya keluar? Ya, dan pada akhirnya, jika dia boleh, dia akan menghancurkannya.

60 Dan sekarang, aku berkata kepadamu bahawa Gembala yang baik memanggil kepadamu; dan jika kamu akan mendengar suara-Nya Dia akan membawamu ke kawanan-Nya, dan kamu adalah domba-domba-Nya; dan Dia memerintahkanmu agar kamu tidak membiarkan serigala yang rakus masuk di kalanganmu, agar kamu boleh tidak dihancurkan.

61 Dan sekarang, aku, Alma, memerintahkanmu dalam bahasa Dia yang telah memerintahkanku, agar kamu berusaha kuat untuk melakukan perkataan-perkataan yang telah aku ucapkan kepadamu.

62 Aku berucap secara perintah kepadamu yang menganggotai gereja; dan kepada mereka yang tidak menganggotai gereja aku berucap secara jemputan, mengatakan: Datanglah dan dibaptislah untuk pertaubatan, agar kamu juga boleh menjadi pemakan buah pokok kehidupan.