Kitab Suci
Alma 55


Bab 55

Moroni enggan bertukar orang tawanan—Para pengawal bangsa Laman diumpan untuk menjadi mabuk, dan para tawanan bangsa Nefi dibebaskan—kota Gid direbut tanpa pertumpahan darah. Kira-kira 63–62 tahun S.M.

1 Sekarang, terjadilah bahawa ketika Moroni telah menerima surat ini dia lebih marah, kerana dia tahu bahawa Amoron memiliki suatu pengetahuan yang sempurna tentang apenipuannya; ya, dia tahu bahawa Amoron tahu bahawa bukanlah suatu perkara yang adil yang telah menyebabkannya mencetuskan peperangan melawan bangsa Nefi.

2 Dan dia berkata: Lihatlah, aku tidak akan bertukar orang tawanan dengan Amoron kecuali dia menarik balik maksudnya, seperti yang telah aku nyatakan dalam suratku; kerana aku tidak akan mengabulkan baginya bahawa dia akan memiliki lebih banyak kekuatan apa pun daripada yang telah dia miliki.

3 Lihatlah, aku tahu tempat di mana bangsa Laman mengawal orangku yang telah mereka tangkap sebagai tawanan; dan kerana Amoron tidak mahu mengabulkan bagiku suratku itu, lihatlah, aku akan memberi kepadanya menurut perkataan-perkataanku; ya, aku akan mengupayakan kematian di kalangan mereka sampai mereka merayu untuk perdamaian.

4 Dan sekarang, terjadilah bahawa ketika Moroni telah mengatakan perkataan-perkataan ini, dia menyuruh agar suatu pencarian hendaknya diadakan di kalangan orangnya, agar barangkali dia boleh menemukan seorang lelaki yang berketurunan Laman di kalangan mereka.

5 Dan terjadilah bahawa mereka menemukan satu orang, yang namanya Laman; dan dia asalah seorang orang suruhan raja itu yang dibunuh oleh Amalikia.

6 Sekarang, Moroni menyuruh agar Laman dan sejumlah kecil orangnya hendaknya pergi kepada para pengawal yang menjaga bangsa Nefi.

7 Sekarang, bangsa Nefi ditahan di dalam kota Gid; oleh itu Moroni melantik Laman dan menyuruh agar sejumlah kecil orang hendaknya pergi bersamanya.

8 Dan pada malam hari Laman pergi kepada para pengawal yang menjaga bangsa Nefi, dan lihatlah, mereka melihatnya datang dan mereka berseru kepadanya; tetapi dia berkata kepada mereka: Janganlah takut; lihatlah, aku bangsa Laman. Lihatlah, kami telah melarikan diri daripada bangsa Nefi, dan mereka tidur; dan lihatlah kami telah mengambil wain mereka dan membawanya bersama kami.

9 Sekarang, ketika bangsa Laman mendengar kata-kata ini mereka menyambutnya dengan sukacita; dan mereka berkata kepadanya: Berilah kami wainmu, agar kami boleh minum; kami gembira bahawa kamu telah demikian membawa wain bersamamu kerana kami lelah.

10 Tetapi Laman berkata kepada mereka: Marilah kita simpan wain kita sampai kita pergi melawan bangsa Nefi untuk bertempur. Tetapi perkataannya ini hanya membuat mereka lebih berhasrat untuk minum wain itu;

11 Kerana, kata mereka: Kami lelah, oleh itu marilah kita minum wain, dan sedikit demi sedikit kita akan menerima wain untuk catuan kita, yang akan memperkuatkan kita untuk pergi melawan bangsa Nefi.

12 Dan Laman berkata kepada mereka: Kamu boleh melakukan menurut hasratmu.

13 Dan terjadilah bahawa mereka banyak-banyak meminum wain itu; dan itu menyenangkan bagi cita rasa mereka, oleh itu mereka lebih banyak lagi meminumnya; dan wain itu keras, kerana disediakan sedemikian kekuatannya.

14 Dan terjadilah mereka minum dan bersukaria, dan sedikit demi sedikit mereka semuanya mabuk.

15 Dan sekarang, ketika Laman dan orangnya melihat bahawa mereka semuanya mabuk, dan sedang tidur nyenyak, mereka kembali kepada Moroni dan memberitahu dia segala sesuatu yang telah terjadi.

16 Dan sekarang, ini menurut rancangan Moroni. Dan Moroni telah mempersiapkan orangnya dengan senjata peperangan; dan dia pergi ke kota Gid, sementara bangsa Laman sedang tidur nyenyak dan mabuk, dan melemparkan senjata peperangan kepada para tawanan, sedemikian rupa sehingga mereka semuanya dipersenjatai;

17 Ya, bahkan kepada kaum wanita mereka, dan mereka semua yang anak mereka, sebanyak yang mampu menggunakan senjata peperangan, ketika Moroni telah mempersenjatai semua tawanan itu; dan segala sesuatu itu dilakukan dalam senyap sunyi.

18 Tetapi seandainya mereka membangunkan bangsa Laman, lihatlah mereka mabuk dan bangsa Nefi dapat membunuh mereka.

19 Tetapi lihatlah, ini bukanlah hasrat Moroni; dia tidak senang akan apembunuhan atau pertumpahan darah, tetapi dia senang akan penyelamatan bangsanya daripada kehancuran; dan kerana alasan ini dia tidak mahu mendatangkan ke atas dirinya ketidakadilan, dia tidak mahu menyerang bangsa Laman dan menghancurkan mereka dalam kemabukan mereka.

20 Tetapi dia telah mencapai hasratnya; kerana dia telah mempersenjatai para tawanan bangsa Nefi itu yang berada di sebelah dalam tembok kota, dan telah memberi mereka kekuatan untuk menguasai bahagian-bahagian itu yang berada di sebelah dalam tembok.

21 Dan kemudian dia menyuruh orang yang berada bersamanya untuk menarik diri selangkah dari mereka, dan mengepung tentera-tentera bangsa Laman.

22 Sekarang, lihatlah ini dilakukan pada waktu malam, sehingga ketika bangsa Laman terbangun pada pagi hari mereka melihat bahawa mereka dikepung oleh bangsa Nefi di luar, dan bahawa para tawanan mereka dipersenjatai di sebelah dalam.

23 Dan demikianlah mereka melihat bahawa bangsa Nefi menguasai diri mereka; dan dalam keadaan ini mereka mendapati bahawa tidaklah bijak untuk mereka berperang melawan bangsa Nefi; oleh itu para panglima utama mereka menuntut senjata peperangan mereka, dan mereka membawanya dan melemparkannya ke kaki bangsa Nefi, memohon belas kasihan.

24 Sekarang, lihatlah, inilah hasrat Moroni. Dia menangkap mereka sebagai tawanan peperangan, dan mengambil penguasaan atas kota itu, dan menyuruh agar semua tawanan hendaknya dibebaskan, yang adalah bangsa Nefi; dan mereka bergabung dengan tentera Moroni, dan merupakan kekuatan yang besar bagi tenteranya.

25 Dan terjadilah bahawa dia menyuruh bangsa Laman, yang telah dia tangkap sebagai tawanan, agar mereka hendaknya memulakan akerja dalam memperkuatkan perkubuan yang di sekitar kota Gid.

26 Dan terjadilah bahawa ketika dia telah mengubui kota Gid, menurut hasratnya, dia menyuruh agar para tawanannya hendaknya dibawa ke kota Kelimpahan; dan dia juga mengawal kota itu dengan pasukan tentera yang amat kuat.

27 Dan terjadilah bahawa mereka, tidak mengira segala komplot bangsa Laman, menahan dan melindungi semua tawanan yang telah mereka tangkap, dan juga mempertahan seluruh negeri dan kelebihan yang telah mereka rebut kembali.

28 Dan terjadilah bahawa bangsa Nefi mula lagi menang, dan mengambil kembali hak mereka dan hak istimewa mereka.

29 Berulang kali bangsa Laman berusaha untuk mengepung mereka pada malam hari, tetapi dalam usaha-usaha ini mereka kehilangan banyak tawanan.

30 Dan berulang kali mereka berusaha untuk memberikan wain mereka kepada bangsa Nefi, agar mereka boleh menghancurkan mereka dengan racun atau dengan kemabukan.

31 Tetapi lihatlah, bangsa Nefi tidak lambat untuk amengingati Tuhan Raja mereka pada waktu kesengsaraan mereka ini. Mereka tidak dapat ditangkap dalam jerat mereka; ya, mereka tidak mahu minum wain mereka, kecuali mereka telah terlebih dahulu memberikannya kepada beberapa tawanan bangsa Laman.

32 Dan demikianlah mereka waspada agar tidak ada racun akan diberikan di kalangan mereka; kerana jika wain mereka akan meracuni bangsa Laman itu akan juga meracuni bangsa Nefi; dan demikianlah mereka menguji segala minuman keras mereka.

33 Dan sekarang, terjadilah bahawa perlu bagi Moroni untuk membuat persiapan hendak menyerang kota Morianton; kerana lihatlah, bangsa Laman telah, melalui kerja mereka, mengubui kota Morianton sampai kota itu telah menjadi sebuah kubu pertahanan yang amat kuat.

34 Dan mereka secara berterusan membawa pasukan-pasukan askar baru ke dalam kota itu, dan juga peruntukan bekalan yang baru.

35 Dan demikianlah berakhirnya tahun kedua puluh dan sembilan zaman pemerintahan hakim-hakim atas bangsa Nefi.