Bab 34
Amulek bersaksi bahawa firman ada di dalam Kristus yang mendatangkan keselamatan—Kecuali suatu korban tebusan dibuat, seluruh umat manusia mesti binasa—Seluruh hukum Musa menunjuk pada pengorbanan Putera Tuhan—Rancangan penebusan abadi berdasarkan pada iman dan pertaubatan—Berdoalah untuk berkat-berkat duniawi dan rohani—Kehidupan ini waktu bagi manusia untuk bersedia bertemu dengan Tuhan—Usahakanlah keselamatanmu dengan rasa takut di hadapan Tuhan. Kira-kira 74 tahun S.M.
1 Dan sekarang, terjadilah bahawa setelah Alma mengucapkan perkataan-perkataan ini kepada mereka dia duduk di atas tanah, dan Amulek bangkit dan mula mengajar mereka, mengatakan:
2 Saudara-saudaraku, aku fikir tidak mungkin bahawa kamu tidak tahu tentang apa yang telah dibicarakan berkenaan kedatangan Kristus, yang diajarkan oleh kami ialah Putera Tuhan; ya, aku tahu bahawa hal-hal ini diajarkan kepadamu secara berlimpah-limpah sebelum pembelotanmu daripada antara kami.
3 Dan seperti yang telah kamu hasratkan daripada saudara terkasihku agar dia hendaknya menyingkapkan kepadamu apa yang patutnya kamu lakukan, kerana kesengsaraanmu; dan dia telah berucap sedikit kepadamu untuk menyediakan fikiranmu; ya, dan dia telah mendesakmu menuju iman dan pada kesabaran—
4 Ya, bahkan agar kamu akan memiliki sedemikian besarnya iman bahkan untuk menanamkan firman itu dalam hatimu, agar kamu boleh mencuba percubaan akan kebaikannya.
5 Dan kami telah melihat bahawa soalan besar yang ada dalam fikiranmu ialah sama ada firman itu berada dalam Putera Tuhan, ataupun sama ada tidak akan ada Kristus.
6 Dan kamu juga melihat bahawa saudaraku telah membuktikan kepadamu, dalam banyak hal, bahawa firman itu berada di dalam Kristus yang mendatangkan penyelamatan.
7 Saudaraku telah merujuk pada kata-kata Zenos, bahawa penebusan datang melalui Putera Tuhan, dan juga pada kata-kata Zenok; dan juga dia telah merujuk kepada Musa, untuk membuktikan bahawa hal-hal ini benar.
8 Dan sekarang, lihatlah, aku akan bersaksi kepadamu diriku sendiri bahawa hal-hal ini benar. Lihatlah, aku berkata kepadamu, bahawa aku tahu bahawa Kristus akan datang di kalangan anak-anak manusia, untuk mengambil pada diri-Nya pelanggaran umat-Nya, dan bahawa Dia akan menebuskan dosa-dosa dunia; kerana Tuhan Raja telah memfirmankannya.
9 Kerana perlu bahawa suatu korban tebusan hendaknya dibuat; kerana menurut rancangan agung Tuhan Yang Abadi mestilah ada suatu korban tebusan dibuat, jikalau tidak, seluruh umat manusia tidak dapat mengelakkan kebinasaan; ya, semuanya bersikap keras; ya, semuanya terjatuh dan tersesat, dan mesti binasa kecuali melalui korban tebusan yang perlu dibuat.
10 Kerana perlu bahawa hendaknya ada suatu korban yang agung dan terakhir; ya, bukan korban manusia, tidak juga korban binatang, tidak juga jenis unggas yang lain; kerana ia bukan merupakan korban manusia; tetapi ia mestilah korban yang tidak terhingga dan abadi.
11 Sekarang, tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengorbankan darahnya sendiri yang akan menebuskan dosa-dosa orang lain. Sekarang, jika seorang manusia membunuh, lihatlah akankah hukum kita, yang adil, mengambil nyawa saudaranya? Aku berkata kepadamu, Tidak.
12 Tetapi hukum menuntut nyawa daripada dia yang telah membunuh; oleh itu tidak dapat ada sesuatu pun yang kurang daripada suatu korban tebusan yang tidak terhingga yang akan cukup untuk dosa-dosa dunia.
13 Oleh itu, perlu bahawa hendaknya ada suatu korban yang agung dan terakhir, dan kerana itu akan ada, atau perlu hendaknya ada, suatu penghentian penumpahan darah; barulah hukum Musa akan digenapi; ya, kesemuanya akan digenapi, setiap titik dan tanda huruf, dan tidak ada yang akan lenyap.
14 Dan lihatlah, inilah seluruh erti hukum itu, setiap butir menunjuk kepada korban yang agung dan terakhir itu; dan korban yang agung dan terakhir itu ialah Putera Tuhan, ya, tidak terhingga dan abadi.
15 Dan demikianlah Dia akan membawa keselamatan kepada semua mereka yang akan percaya pada nama-Nya; inilah maksud korban yang terakhir ini, untuk mendatangkan sanubari belas kasihan, yang mengalahkan keadilan, dan mendatangkan cara bagi manusia agar mereka boleh memiliki iman menuju pertaubatan.
16 Dan demikianlah belas kasihan dapat memuaskan tuntutan keadilan, dan mengelilingi mereka dalam lengan penyelamatan, sementara dia yang tidak menjalankan iman menuju pertaubatan terdedah kepada seluruh hukum tuntutan keadilan; oleh itu hanya kepada dia yang memiliki iman menuju pertaubatan didatangkan rancangan penebusan yang agung dan abadi.
17 Oleh itu semoga Tuhan mengabulkan kepadamu, saudara-saudaraku, bahawa kamu boleh mula menjalankan imanmu menuju pertaubatan, hingga kamu mula memanggil nama kudus-Nya, agar Dia berbelas kasihan pada dirimu;
18 Ya, berserulah kepada-Nya untuk belas kasihan; kerana Dia perkasa untuk menyelamatkan.
19 Ya, rendahkanlah hatimu, dan teruslah dalam doa kepada-Nya.
20 Berserulah kepada-Nya ketika kamu berada di ladangmu, ya, atas semua kawanan ternakmu.
21 Berserulah kepada-Nya di dalam rumahmu, ya, atas seluruh isi rumahmu, baik pagi, tengah hari, mahupun malam.
22 Ya, berserulah kepada-Nya melawan kekuatan musuhmu.
23 Ya, berserulah kepada-Nya melawan iblis, iaitu musuh kepada segala kesolehan.
24 Berserulah kepada-Nya berkenaan tanaman ladangmu, agar kamu boleh makmur kerananya.
25 Berserulah berkenaan kawanan ternak di ladangmu, agar boleh bertambah.
26 Tetapi ini bukanlah semuanya; kamu mesti mencurahkan jiwamu dalam bilikmu, dan tempat-tempat rahsiamu, dan di padang belantaramu.
27 Ya, dan apabila kamu tidak berseru kepada Tuhan, biarlah hatimu penuh, tercurah dalam doa kepada-Nya secara berterusan demi kesejahteraanmu, dan juga demi kesejahteraan mereka yang berada di sekitarmu.
28 Dan sekarang, lihatlah, saudara-saudaraku yang dikasihi, aku berkata kepadamu, janganlah mengira bahawa ini kesemuanya; kerana setelah kamu melakukan segala hal ini, jika kamu menolak orang yang memerlukan, dan yang telanjang, dan tidak mengunjungi yang sakit dan yang sengsara, dan memberikan harta kekayaanmu, jika kamu milikinya, kepada mereka yang memerlukan—aku berkata kepadamu, jika kamu tidak melakukan apa pun daripada hal-hal ini, lihatlah, doamu sia-sia, dan tidak berfaedah apa pun bagimu, dan kamu seperti orang munafik yang menyangkal iman.
29 Oleh itu, jika kamu tidak ingat untuk berkasih ihsan, kamu seperti sampah, yang dibuang oleh para perajin, (kerana itu tidak berharga) dan diinjak-injak di bawah kaki orang.
30 Dan sekarang, saudara-saudaraku, aku menghendaki bahawa, setelah kamu menerima sedemikian banyaknya kesaksian, melihat bahawa tulisan-tulisan suci yang kudus bersaksi tentang hal-hal ini, kamu tampil dan membawa buah yang menghasilkan pertaubatan.
31 Ya, aku menghendaki agar kamu akan tampil dan tidak mengeraskan hatimu lebih lama lagi; kerana lihatlah, sekaranglah waktu dan masa penyelamatanmu; dan oleh itu, jika kamu bertaubat dan tidak mengeraskan hatimu, dengan serta-merta akanlah rancangan penebusan yang agung itu dibawa kepadamu.
32 Kerana lihatlah, kehidupan inilah waktu bagi manusia bersedia untuk bertemu dengan Tuhan; ya, lihatlah masa kehidupan inilah masa bagi manusia untuk melaksanakan kerja mereka.
33 Dan sekarang, seperti yang aku katakan kepadamu sebelumnya, kerana kamu telah memiliki demikian banyaknya kesaksian, oleh itu, aku memohon daripadamu agar kamu tidak menangguhkan hari pertaubatanmu sampai akhir; kerana setelah masa kehidupan ini, yang diberikan kepada kita untuk bersiap bagi keabadian, lihatlah, jika kita tidak memanfaatkan waktu kita semasa dalam kehidupan ini, kemudian datanglah malam kegelapan di mana tidak ada kerja yang dapat dilaksanakan.
34 Kamu tidak dapat berkata, ketika kamu dibawa pada kegentingan yang menyeramkan itu, bahawa aku akan bertaubat, bahawa aku akan kembali kepada Tuhanku. Tidak, kamu tidak dapat mengatakan ini; kerana roh yang sama itu yang menguasai tubuhmu pada waktu ketika kamu keluar dari kehidupan ini, roh yang sama itu akan memiliki kuasa untuk menguasai tubuhmu di dunia abadi itu.
35 Kerana lihatlah, jika kamu telah menangguhkan hari pertaubatanmu bahkan sampai kematian, lihatlah, kamu telah menjadi tunduk kepada roh iblis, dan dia memeteraikanmu sebagai miliknya; oleh itu, Roh Tuhan telah menarik diri darimu, dan tidak memiliki tempat dalam dirimu, dan iblis memiliki segala kuasa atas dirimu; dan inilah keadaan akhir orang yang jahat.
36 Dan ini aku tahu, kerana Tuhan telah berfirman Dia tidak hidup di dalam bait suci yang tidak kudus, tetapi dalam hati orang soleh Dia hidup; ya, dan Dia telah juga berfirman bahawa yang soleh akan duduk di dalam kerajaan-Nya, untuk tidak keluar lagi; tetapi pakaian mereka akan dijadikan putih melalui darah Anak Domba.
37 Dan sekarang, saudara-saudaraku yang dikasihi, aku berhasrat bahawa kamu hendaknya mengingati hal-hal ini, dan bahawa kamu hendaknya mengerjakan keselamatanmu dengan rasa takut di hadapan Tuhan, dan bahawa kamu hendaknya tidak lagi menyangkal kedatangan Kristus;
38 Agar kamu tidak berselisih lagi melawan Roh Kudus, tetapi agar kamu menerima-Nya, dan mengambil ke atas dirimu nama Kristus; agar kamu merendahkan hatimu bahkan ke debu, dan menyembah Tuhan, di tempat mana pun kamu boleh berada, dalam roh dan dalam kebenaran; dan agar kamu hidup dalam kesyukuran setiap hari, disebabkan banyaknya belas kasihan dan berkat yang Dia limpahkan ke atas dirimu.
39 Ya, dan aku juga mendesakmu, saudara-saudaraku, agar kamu waspada supaya dapat berdoa secara berterusan, agar kamu tidak akan disesatkan oleh godaan iblis, agar dia tidak akan menguasaimu, agar kamu tidak menjadi taklukkannya pada hari terakhir; kerana lihatlah, dia memberi ganjaran kepadamu itu yang tidak baik.
40 Dan sekarang, saudara-saudaraku yang dikasihi, aku mahu mendesakmu untuk memiliki kesabaran, dan agar kamu menanggung segala macam kesengsaraan; agar kamu tidak mencaci maki mereka yang mengusirmu kerana kemiskinanmu yang teramat sangat, agar jangan kamu menjadi pendosa seperti mereka;
41 Tetapi agar kamu memiliki kesabaran, dan menanggung kesengsaraan itu, dengan harapan yang teguh bahawa kamu akan suatu hari beristirahat daripada segala kesengsaraanmu.