Bab 30
Korihor, si anti-Kristus, mengolok-olok Kristus, Korban Tebusan, dan roh nubuat—Dia mengajar bahawa tidak ada Tuhan, tidak ada kejatuhan manusia, tidak ada hukuman bagi dosa, dan tidak ada Kristus—Alma bersaksi bahawa Kristus akan datang dan bahawa segala sesuatu menunjukkan ada seorang Tuhan—Korihor menuntut sebuah tanda dan terserang kebisuan—Iblis telah menampakkan diri kepada Korihor sebagai seorang malaikat dan mengajari dia apa yang mesti dikatakan—Korihor diinjak-injak dan mati. Kira-kira 76–74 tahun S.M.
1 Lihatlah, sekarang terjadilah bahawa setelah orang Amon menetap di negeri Yerson, ya, dan juga setelah bangsa Laman dihalau keluar dari negeri itu, dan orang mati mereka dikuburkan oleh rakyat negeri itu—
2 Sekarang, orang mati mereka tidak terbilang kerana besarnya jumlah mereka; tidak juga yang mati daripada bangsa Nefi terbilang—tetapi terjadilah setelah mereka menguburkan orang mati mereka, dan juga setelah hari-hari puasa, dan duka nestapa, dan doa, (dan itu pada tahun keenam belas zaman pemerintahan hakim-hakim atas bangsa Nefi) mulai ada kedamaian berterusan di seluruh negeri.
3 Ya, dan bangsa itu berusaha untuk mentaati perintah-perintah Tuhan; dan mereka ketat dalam mentaati tatacara-tatacara Tuhan, menurut hukum Musa; kerana mereka diajar untuk mentaati hukum Musa sampai digenapi.
4 Dan oleh demikian bangsa itu tidak mengalami gangguan di sepanjang tahun keenam belas zaman pemerintahan hakim-hakim atas bangsa Nefi.
5 Dan terjadilah bahawa pada permulaan tahun ketujuh belas zaman pemerintahan hakim-hakim, ada kedamaian yang berterusan.
6 Tetapi terjadilah bahawa pada penghujung tahun ketujuh belas, datanglah seorang lelaki ke negeri Zarahemla, dan dia seorang Anti-Kristus, kerana dia mula berkhutbah kepada umat itu menentang nubuat-nubuat yang telah diucapkan oleh para nabi, berkenaan kedatangan Kristus.
7 Sekarang, tidak ada hukum yang melarang kepercayaan seseorang; kerana itu sama sekali bertentangan dengan perintah-perintah Tuhan bahawa adanya sebuah hukum yang akan menjadikan manusia tidak setaraf.
8 Kerana demikianlah kata tulisan suci: Pilihlah kamu hari ini, siapa yang akan kamu layani.
9 Sekarang, jika seseorang berhasrat untuk melayani Tuhan, itu ialah hak istimewanya; atau lebih tepat, jika dia percaya kepada Tuhan, itu ialah hak istimewanya untuk melayani-Nya; tetapi jika dia tidak percaya kepada-Nya tidak ada hukum untuk menghukumnya.
10 Tetapi jika dia membunuh dia dihukum hingga mati; dan jika dia merompak dia juga dihukum; dan jika dia mencuri dia juga dihukum; dan jika dia berzina dia juga dihukum; ya, untuk segala kejahatan ini mereka dihukum.
11 Kerana ada sebuah hukum bahawa manusia hendaknya dihakimi menurut jenayah-jenayah mereka. Walaupun demikian, tidak ada hukum yang melarang kepercayaan seseorang; oleh itu, seseorang dihukum hanya untuk tindakan kejahatan yang telah dia lakukan; oleh itu semua orang setaraf.
12 Dan Anti-Kristus ini, yang namanya Korihor, (dan hukum tidak dapat memiliki pengaruh atas dirinya) mula berkhutbah kepada orang bahawa tidak akan ada Kristus. Dan menurut cara ini dia berkhutbah, mengatakan:
13 Wahai kamu yang terikat di bawah suatu harapan yang bodoh dan yang sia-sia, mengapakah kamu memasang kuk pada dirimu sendiri dengan hal-hal yang sedemikian bodohnya? Mengapakah kamu menanti-nantikan seorang Kristus? Kerana tiada seorang pun dapat tahu tentang apa-apa pun yang akan datang.
14 Lihatlah, hal-hal ini yang kamu panggil nubuat, yang kamu katakan diturunkan oleh para nabi kudus, lihatlah, itu adat resam bodoh nenek moyangmu.
15 Bagaimana kamu mengetahui tentang kepastiannya? Lihatlah, kamu tidak dapat tahu tentang apa yang kamu tidak nampak; oleh itu kamu tidak dapat tahu bahawa akan adanya seorang Kristus.
16 Kamu berharap dan berkata bahawa kamu melihat suatu pengampunan dosa-dosamu. Tetapi lihatlah, hal itu ialah kesan fikiran yang gila-gila; dan kekalutan fikiranmu ini datang kerana adat resam nenek moyangmu, yang menyesatkanmu ke dalam suatu kepercayaan tentang apa yang bukanlah hakikat.
17 Dan banyak lagi hal-hal seperti itu dia katakan kepada mereka, memberitahu mereka bahawa tidak dapat ada korban tebusan yang dibuat untuk dosa-dosa manusia, tetapi setiap orang berkeadaan dalam kehidupan ini menurut pengurusan dirinya sendiri; oleh itu setiap orang makmur menurut bakatnya, dan bahawa setiap orang berjaya menurut kekuatannya; dan apa pun yang seseorang lakukan bukanlah jenayah.
18 Dan demikianlah dia berkhutbah kepada mereka, menyesatkan hati ramai orang, menyebabkan mereka mengangkat kepala mereka dalam kejahatan mereka, ya, menyesatkan ramai wanita, dan juga lelaki, untuk melakukan pelacuran—memberitahu mereka bahawa ketika seseorang mati, itulah pengakhirannya.
19 Sekarang, lelaki ini pergi ke negeri Yerson juga, untuk mengkhutbahkan hal-hal ini di kalangan orang Amon, yang dahulunya bangsa Laman.
20 Tetapi lihatlah mereka lebih bijak daripada ramai di antara bangsa Nefi; kerana mereka menangkapnya, dan mengikatnya, dan membawanya ke hadapan Amon, iaitu seorang imam tinggi atas umat itu.
21 Dan terjadilah bahawa dia menyuruh agar dia hendaknya dibawa keluar dari negeri itu. Dan dia pergi ke negeri Gideon, dan mula berkhutbah kepada mereka juga; dan di sini dia tidak mengalami banyak kejayaan, kerana dia ditangkap dan diikat dan dibawa ke hadapan imam tinggi, dan juga hakim utama atas negeri itu.
22 Dan terjadilah bahawa imam tinggi berkata kepadanya: Mengapakah kamu berkelana untuk menyimpangkan jalan Tuhan? Mengapakah kamu mengajar orang ini bahawa tidak akan ada Kristus, untuk mencela kegembiraan merekakah? Mengapakah kamu berbicara menentang segala nubuat para nabi kudus?
23 Sekarang, nama imam tinggi itu ialah Gidona. Dan Korihor berkata kepadanya: Kerana aku tidak mengajarkan adat resam bodoh nenek moyangmu, dan kerana aku tidak mengajar orang ini untuk mengikat diri mereka di bawah tatacara dan pelaksanaan yang bodoh yang ditegakkan oleh para imam zaman dahulu, untuk merebut kekuasaan dan wewenang atas diri mereka, untuk mengekalkan mereka dalam kejahilan, agar mereka tidak dapat mengangkat kepala mereka, tetapi dijatuhkan menurut kata-katamu.
24 Kamu berkata bahawa orang ini orang bebas. Lihatlah, aku berkata mereka dalam perhambaan. Kamu berkata bahawa nubuat-nubuat kuno itu benar. Lihatlah, aku berkata bahawa kamu tidak tahu bahawa ianya benar.
25 Kamu berkata bahawa orang ini orang yang bersalah dan yang terjatuh, kerana pelanggaran seorang ibu bapa. Lihatlah, aku berkata bahawa seorang anak tidak bersalah kerana ibu bapanya.
26 Dan kamu juga berkata bahawa Kristus akan datang. Tetapi lihatlah, aku berkata bahawa kamu tidak tahu bahawa akan ada seorang Kristus. Dan kamu berkata juga bahawa Dia akan dibunuh bagi dosa-dosa dunia—
27 Dan demikianlah kamu menyesatkan orang ini menurut adat resam bodoh nenek moyangmu, dan menurut hasratmu sendiri; dan kamu menindas mereka, bahkan seakan-akan dalam perhambaan, agar kamu boleh mempermewah dirimu dengan pekerjaan tangan mereka, agar mereka tidak berani memandang ke atas dengan keberanian, dan agar mereka tidak berani menikmati hak dan hak istimewa mereka.
28 Ya, mereka tidak berani menggunakan apa yang adalah milik mereka takut kalau-kalau mereka menyinggung para imam mereka, yang memasangkan kuk kepada mereka menurut hasrat mereka, dan telah membawa mereka untuk percaya, dengan adat resam mereka dan mimpi mereka dan kerenah mereka dan penglihatan mereka dan misteri rekaan mereka, bahawa mereka akan, jika mereka tidak melakukan menurut kata-kata mereka, menyinggung makhluk yang tidak dikenali, yang mereka katakan ialah Tuhan—makhluk yang tidak pernah dilihat atau dikenal, yang tidak pernah wujud, tidak juga pernah akan wujud.
29 Sekarang, ketika imam tinggi dan hakim utama melihat kekerasan hatinya, ya, ketika mereka melihat bahawa dia akan mencaci maki bahkan Tuhan, mereka tidak mahu memberi jawapan apa pun berkenaan perkataan-perkataannya; tetapi mereka menyuruh agar dia hendaknya diikat; dan mereka menyerahkannya ke dalam tangan para pegawai, dan menghantarkannya ke negeri Zarahemla, agar dia boleh dibawa ke hadapan Alma, dan hakim utama yang merupakan pentadbir di seluruh negeri.
30 Dan terjadilah bahawa ketika dia dibawa ke hadapan Alma dan hakim utama, dia meneruskan dengan cara yang sama seperti yang dia lakukan di negeri Gideon; ya, dia terus menista.
31 Dan dia bangkit dan meluahkan perkataan-perkataan yang berkobar-kobar di hadapan Alma, dan mencaci maki para imam dan pengajar, menuduh mereka menyesatkan orang menurut adat resam nenek moyang mereka yang karut, demi kepentingan untuk mempermewah diri dengan usaha umat itu.
32 Sekarang, Alma berkata kepadanya: Engkau tahu bahawa kami tidak mempermewah diri kami dengan usaha umat ini; kerana lihatlah aku telah bekerja bahkan sejak permulaan zaman pemerintahan hakim-hakim sampai sekarang, dengan tanganku sendiri untuk tunjanganku, walaupun banyaknya pengembaraanku di sekitar negeri untuk memaklumkan firman Tuhan kepada bangsaku.
33 Dan walaupun banyaknya kerja yang telah aku laksanakan di dalam gereja, aku tidak pernah menerima sebanyak bahkan satu senin pun untuk kerjaku; tidak juga sesiapa pun di antara saudara-saudaraku, kecuali di kerusi kehakiman; dan dalam hal itu kami telah menerima hanya menurut hukum untuk waktu kami.
34 Dan sekarang, jika kami tidak menerima apa pun untuk kerja kami di dalam gereja, apakah untungnya kami bekerja di dalam gereja kecuali untuk memaklumkan kebenaran, agar kami boleh merasakan kesukacitaan dalam kebahagiaan saudara-saudara kami?
35 Maka, mengapakah engkau berkata bahawa kami berkhutbah kepada orang ini untuk memperoleh keuntungan, bila engkau, dirimu sendiri, tahu bahawa kami tidak menerima keuntungan? Dan sekarang, percayakah engkau bahawa kami menipu orang ini, yang menyebabkan kebahagiaan seperti itu dalam hati mereka?
36 Dan Korihor menjawab dia, Ya.
37 Dan kemudian Alma berkata kepadanya: Percayakah engkau bahawa ada seorang Tuhan?
38 Dan dia menjawab, Tidak.
39 Sekarang, Alma berkata kepadanya: Akankah kamu menyangkal lagi bahawa ada seorang Tuhan, dan juga menyangkal Kristus? Kerana lihatlah, aku berkata kepadamu, aku tahu ada seorang Tuhan, dan juga bahawa Kristus akan datang.
40 Dan sekarang, bukti apakah yang kamu miliki bahawa tidak ada Tuhan, atau bahawa Kristus tidak datang? Aku berkata kepadamu bahawa engkau tidak memiliki apa pun, kecuali perkataanmu saja.
41 Tetapi, lihatlah, aku memiliki segala sesuatu sebagai kesaksian bahawa hal-hal ini benar; dan kamu juga memiliki segala sesuatu sebagai kesaksian bagimu bahawa ianya benar; dan akankah kamu menyangkalnya? Percayakah engkau bahawa hal-hal ini benar?
42 Lihatlah, aku tahu bahawa engkau percaya, tetapi engkau dikuasai roh dusta, dan kamu telah menanggalkan Roh Tuhan sehingga Dia tidak boleh memiliki tempat dalam dirimu; tetapi iblis memiliki kuasa atas dirimu, dan dia membawamu ke sana ke mari, mengerjakan muslihat agar dia boleh menghancurkan anak-anak Tuhan.
43 Dan sekarang, Korihor berkata kepada Alma: Jika engkau akan memperlihatkan kepadaku sebuah tanda, agar aku boleh diyakinkan bahawa ada seorang Tuhan, ya, perlihatkanlah kepadaku bahawa Dia memiliki kuasa, dan kemudian akanlah aku diyakinkan pada kebenaran kata-katamu.
44 Tetapi Alma berkata kepadanya: Engkau telah memperoleh cukup tanda; akankah kamu menguji Tuhanmu? Akankah kamu berkata, Perlihatkanlah kepadaku sebuah tanda, bila kamu memiliki kesaksian semua saudaramu ini, dan juga semua nabi kudus? Tulisan suci terbentang di hadapanmu, ya, dan segala sesuatu menunjukkan adanya seorang Tuhan; ya, bahkan bumi, dan segala sesuatu yang berada di atas permukaannya, ya, dan pergerakannya, ya, dan juga semua cakerawala yang bergerak dalam laluannya yang biasa menyaksikan bahawa ada seorang Pencipta Yang Maha Agung.
45 Namun tetapkah kamu berkelana, menyesatkan hati umat ini, bersaksi kepada mereka tidak ada Tuhan? Namun akankah kamu menyangkal Tuhan menentang semua saksi ini? Dan dia berkata: Ya, aku akan menyangkal, kecuali kamu akan memperlihatkan kepadaku sebuah tanda.
46 Dan sekarang terjadilah bahawa Alma berkata kepadanya: Lihatlah, aku pilu kerana kekerasan hatimu, ya, bahawa kamu akan masih menampik roh kebenaran, sehingga jiwamu dihancurkan.
47 Tetapi lihatlah, lebih baik bahawa jiwamu akan hilang, daripada bahawa engkau akan menjadi sarana untuk membawa banyak jiwa kepada kehancuran, melalui dustamu dan melalui perkataan-perkataanmu yang mengangkat-angkat; oleh itu jika engkau akan menyangkal lagi, lihatlah, Tuhan akan menghentammu, sehingga engkau menjadi bisu, agar engkau tidak akan membuka mulutmu lagi, agar engkau tidak akan menipu umat ini lagi.
48 Sekarang, Korihor berkata kepadanya: Aku tidak menyangkal kewujudan seorang Tuhan, tetapi aku tidak percaya bahawa adanya seorang Tuhan; dan aku berkata juga, bahawa kamu tidak tahu bahawa ada seorang Tuhan; dan kecuali kamu memperlihatkan kepadaku sebuah tanda, aku tidak akan percaya.
49 Sekarang, Alma berkata kepadanya: Ini akan aku berikan kepadamu sebagai sebuah tanda, bahawa engkau akan terserang kebisuan, menurut perkataan-perkataanku; dan aku berkata, bahawa demi nama Tuhan, kamu akan terserang kebisuan, agar kamu tidak akan lagi memiliki pertuturan.
50 Sekarang, ketika Alma telah mengatakan perkataan-perkataan ini, Korihor terserang kebisuan, sehingga dia tidak dapat memiliki pertuturan, menurut perkataan-perkataan Alma.
51 Dan sekarang, ketika hakim utama nampak ini, dia menghulurkan tangannya dan menulis kepada Korihor, mengatakan: Adakah engkau diyakinkan akan kuasa Tuhan? Kepada siapakah kamu berhasrat agar Alma akan memperlihatkan tandanya? Mahukah kamu bahawa Dia menyengsarakan yang lain, untuk memperlihatkan kepadamu sebuah tanda? Lihatlah, Dia telah memperlihatkan kepadamu sebuah tanda; dan sekarang akankah kamu berhujah lagi?
52 Dan Korihor menghulurkan tangannya dan menulis, mengatakan: Aku tahu bahawa aku bisu, kerana aku tidak dapat bercakap; dan aku tahu bahawa tidak ada apa pun kecuali kuasa Tuhan yang dapat membawa ini kepada diriku; ya, dan aku selalu mengetahui bahawa ada seorang Tuhan.
53 Tetapi lihatlah, iblis telah menipuku; kerana dia menampakkan diri kepadaku dalam bentuk seorang malaikat, dan berkata kepadaku: Pergi dan pulihkanlah orang ini, kerana mereka semuanya telah tersesat mengikut seorang Tuhan yang tidak dikenali. Dan dia berkata kepadaku: Tidak ada Tuhan; ya, dan dia mengajarku apa yang hendaknya aku katakan. Dan aku telah mengajarkan perkataan-perkataannya; dan aku mengajarkannya kerana itu menyenangkan bagi fikiran badaniah; dan aku mengajarkannya, bahkan sampai aku mengalami banyak kejayaan, sedemikian rupa sehingga aku sungguh percaya bahawa itu benar; dan kerana alasan ini aku menentang kebenaran, bahkan sampai aku telah mendatangkan kutukan besar ini kepada diriku.
54 Sekarang, ketika dia telah mengatakan ini, dia memohon agar Alma hendaknya berdoa kepada Tuhan, agar kutukan itu boleh diambil darinya.
55 Tetapi Alma berkata kepadanya: Jika kutukan ini diambil darimu engkau akan kembali menyesatkan hati orang ini; oleh itu, akan terjadi kepadamu bahkan seperti yang Tuhan kehendaki.
56 Dan terjadilah bahawa kutukan itu tidak diambil dari Korihor; tetapi dia diusir, dan berkelana dari rumah ke rumah mengemis untuk makanannya.
57 Sekarang, pengetahuan tentang apa yang telah terjadi kepada Korihor dengan segera diberitakan ke seluruh negeri; ya, perisytiharan itu disebarkan oleh hakim utama kepada semua orang di negeri itu, memaklumkan kepada mereka yang telah percaya pada perkataan-perkataan Korihor bahawa mereka mesti lekas bertaubat, jangan-jangan penghakiman yang sama datang pada mereka.
58 Dan terjadilah bahawa mereka semua diyakinkan akan kejahatan Korihor; oleh itu mereka semua bertukar hati kembali kepada Tuhan; dan ini mengakhiri kederhakaan menurut cara Korihor. Dan Korihor berkelana dari rumah ke rumah, mengemis makanan untuk tunjangannya.
59 Dan terjadilah bahawa sewaktu dia pergi ke kalangan rakyat, ya, ke kalangan suatu bangsa yang telah memisahkan diri mereka daripada bangsa Nefi dan memanggil diri mereka orang Zoram, dipimpin oleh seorang lelaki yang namanya Zoram—dan sewaktu dia pergi ke kalangan mereka, lihatlah, dia terlindas dan terinjak-injak, bahkan sampai dia mati.
60 Dan demikianlah kita melihat akibat kepada dia yang menyimpangkan jalan Tuhan; dan demikianlah kita melihat bahawa iblis tidak akan menyokong anak-anaknya pada hari terakhir, tetapi selekasnya menyeret mereka turun ke neraka.