2010–2019
Membina Kubu Kerohanian dan Perlindungan
Persidangan Umum April 2019


Membina Kubu Kerohanian dan Perlindungan

Apabila kita menjalani injil Yesus Kristus, apabila kita menggunakan Korban tebusan Juruselamat dan mara ke depan dengan iman, kita diperkuatkan daripada muslihat musuh.

Saudara dan saudari yang saya kasihi, apabila persidangan ini berakhir, saya bersyukur kepada Bapa di Syurga untuk nasihat, kebenaran, dan wahyu yang dikongsi di mimbar ini dalam dua hari yang lalu. Kita telah diajar oleh hamba-hamba Tuhan yang dipanggil untuk berucap kata-kata-Nya yang kudus. Tuhan telah mengingatkan kita dalam wahyu zaman akhir, “Melalui suara-Ku sendiri atau … suara para hamba-Ku, itu adalah sama.”1

Melihat pada jemaah Orang suci ini dan membayangkan ahli yang sedang menonton persidangan umum di seluruh dunia, saya memikirkan pertemuan dalam Kitab Mormon ketika Yesus Kristus muncul kepada bangsa Nefi selepas penyaliban-Nya. Dia mengajar mereka injil dan kemudian menggalakkan, “Kembalilah kamu ke rumah-rumahmu, dan renungkanlah hal-hal yang telah Aku firmankan, dan mintalah kepada Bapa, dalam nama-Ku, agar kamu boleh memahami.”2

“Kembalilah kamu ke rumah-rumahmu, dan renungkanlah” adalah langkah seterusnya selepas mendengar kata-kata para nabi dan pemimpin Gereja yang diucapkan dalam suasana kudus ini. Rumah berpusat kepada Kristus adalah kubu untuk kerajaan Tuhan di bumi untuk hari seperti yang dinubuatkan, iblis “mengamuk dalam hati anak-anak manusia, dan menghasut mereka menjadi marah terhadap apa yang baik.”3

Sepanjang sejarah, kubu selalu di bina untuk menghalang musuh masuk. Selalunya, kubu-kubu ini termasuk menara pengawal di mana para penjaga seperti nabi—memberi amaran tentang ancaman dan serangan yang akan datang.

Imej
Thomas Rasband

Pada awal waktu perintis Utah, datuk moyang saya Thomas Rasband dan keluarganya adalah beberapa orang peneroka awal yang ke Lembah Heber di Pergunungan Wasatch Utah yang indah.

Pada 1859, Thomas membantu membina Kubu Heber, dibina untuk perlindungan mereka. Ia adalah struktur kayu balak yang biasa, diletakkan bersebelahan yang lain, membentuk perimeter kubu itu. Pondok kayu balak dibina di dalam kubu menggunakan dinding itu. Struktur ini menyediakan keselamatan bagi keluarga perintis ketika mereka mula menetap di situ dan menyembah Tuhan.

Imej
Kubu Perintis

Begitu juga dengan kita. Rumah kita adalah kubu melawan kejahatan dunia. Di rumah kita, kita datang kepada Kristus dengan belajar mengikuti perintah-perintah-Nya, mempelajari ayat suci serta berdoa bersama-sama, dan membantu satu sama lain kekal pada jalan perjanjian. Penekanan baru dalam kajian peribadi dan keluarga di rumah melalui kurikulum Ikutlah Aku dicipta untuk “mendalamkan penukaran hati kita dan membantu kita menjadi lebih seperti Yesus Kristus.”4 Dengan melakukannya, Paulus mengatakan kita menjadi “manusia baru”5 dengan hati dan jiwa kita bersatu dengan Tuhan. Kita memerlukan kekuatan untuk menghadapi dan menghindari serangan musuh.

Apabila kita hidup dengan kesetiaan yang lahir dari iman kepada Yesus Kristus, kita akan merasakan kehadiran Roh Kudus yang damai, yang membimbing kita kepada kebenaran, mengilhami kita untuk hidup dengan layak untuk berkat Tuhan, dan bersaksi bahawa Tuhan hidup dan mengasihi kita. Semua ini di dalam kubu rumah kita sendiri. Tetapi ingat, rumah kita hanya kuat seperti kekuatan kerohanian setiap orang di dalam rumah.

Presiden Russell M. Nelson mengajarkan, “Di hari-hari yang mendatang, ia akan menjadi mustahil untuk bertahan secara rohani tanpa bimbingan, arahan, galakan, dan pengaruh yang tetap daripada Roh Kudus.”6 Sebagai nabi yang hidup, pelihat, dan pewahyu pada hari ini, penjaga di menara kubu kita, Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, dia melihat pergerakan musuh.

Saudara dan saudari, kita sedang berperang dengan Setan untuk jiwa manusia. Peperangan ini telah ditetapkan dalam kehidupan pra-bumi kita. Setan dan satu pertiga daripada anak-anak Bapa di Syurga kita telah berpaling dari janji-Nya untuk permuliaan. Sejak itu, penolong musuh telah berlawan dengan yang orang beriman yang memilih rancangan Bapa.

Setan tahu masanya semakin kurang. Walaupun dia pandai dan licik, dia tidak akan menang. Walau bagaimanapun, peperangannya untuk mendapatkan setiap jiwa kita berterusan.

Untuk perlindungan kita, kita mesti membina sebuah kubu kerohanian dan perlindungan untuk jiwa kita, sebuah kubu yang tidak akan ditembusi oleh si jahat.

Setan adalah ular yang cerdik, menyelinap ke dalam minda dan hati kita apabila kita menurunkan pertahanan kita, menghadapi kekecewaan, atau hilang harapan. Dia menggoda kita dengan pujian, janji kemudahan, keselesaan, atau perasaan bagus untuk sementara ketika kita sedih. Dia persolehkan keangkuhan, sikap tidak baik hati, ketidakjujuran, ketidakpuasan, dan tidak berakhlak sehingga kita boleh menjadi “tidak lagi berperasaan.”7 Roh akan meninggalkan kita. “Dan demikianlah iblis mengakali jiwa mereka, dan menuntun mereka pergi dengan hati-hati turun ke neraka.”8

Sebaliknya, kita sering merasakan Roh begitu kuat ketika kita menyanyikan pujian kepada Tuhan dengan kata-kata seperti ini:

Ya, Tuhan benteng yang teguh,

Kubu tak terkalahkan.

Penolong agung Tuhanku,

Susahku Kau menangkan.9

Apabila kita membina sebuah kubu rohani yang kuat, kita boleh mengalahkan tindakan musuh, menolaknya, dan merasakan kedamaian Roh. Kita boleh mengikuti contoh Tuhan dan Juruselamat kita, yang, ketika digoda di padang belantara, berkata, “[Pergilah engkau, Setan].”10 Setiap daripada kita perlu belajar dengan pengalaman hidup bagaimana untuk melakukannya.

Tujuan soleh sedemikian digambarkan dengan baik dalam Kitab Mormon ketika Panglima Moroni mempersiapkan bangsa Nefi untuk menghadapi serangan daripada bangsa Amalikia yang penipu, ganas, dan gila kuasa. Moroni membina kubu untuk melindungi bangsa Nefi “agar mereka boleh hidup demi Tuhan Raja mereka, dan agar mereka boleh mempertahan apa yang dipanggil oleh musuh mereka perjuangan orang Kristian.”11 Moroni “teguh dalam iman kepada Kristus,”12 dan beriman “dalam mentaati perintah-perintah Tuhan … dan melawan kederhakaan.”13

Apabila bangsa Laman datang untuk berperang, mereka terkejut dengan persiapan Nefi, dan mereka kalah. Bangsa Nefi bersyukur kepada “Tuhan Raja mereka, kerana kuasa-nya yang tiada bandingnya dalam membebaskan mereka daripada tangan musuh mereka.”14 Mereka telah membina kubu untuk perlindungan dari luar, dan mereka telah membina iman kepada Tuhan Yesus Kristus dari dalam—dalam jiwa mereka.

Apakah beberapa cara kita dapat melindungi diri kita dalam masa yang susah agar kita menjadi “alat dalam tangan Tuhan untuk mendatangkan pekerjaan yang agung ini”?15 Mari kita lihat ayat suci.

Kita menjadi patuh. Tuhan memerintahkan Bapa Lehi untuk menghantar anak-anaknya kembali ke Yerusalem untuk “mencari catatan-catatan itu, dan membawanya ke sini ke dalam padang belantara.”16 Lehi tidak mempersoalkan itu; dia tidak tertanya-tanya mengapa atau bagaimana. Begitu juga dengan Nefi, yang menjawab “Aku akan pergi dan melaksanakan hal-hal yang telah Tuhan perintahkan.”17

Adakah kita bertindak dengan kepatuhan seperti Nefi? Atau adakah kita lebih cenderung untuk mempersoalkan perintah Tuhan seperti saudara-saudara Nefi, yang akhirnya berpaling daripada Tuhan kerana kekurangan iman? Kepatuhan, dijalankan dengan “kekudusan hati,”18 adalah apa yang Tuhan minta daripada kita.

Kita mempercayai Tuhan yang berkata kepada Yosua, ketika dia bersiap untuk memimpin bangsa Israel ke negeri yang dijanjikan, “[Jadilah] yakin … dan berani; jangan takut ataupun tawar hati, kerana Aku, Tuhan, Tuhanmu, menyertai engkau ke mana sahaja engkau pergi.”19 Yosua percaya kata-kata itu dan menasihati bangsanya: “Sucikanlah diri kamu kerana esok Tuhan akan melakukan mukjizat di tengah-tengah kamu.”20 Tuhan membelah perairan Yordan, dan pengembaraan bangsa Israel di padang belantara selama 40 tahun pun berakhir.

Kita berdiri untuk kebenaran, seperti nabi Abinadi dalam Kitab Mormon. Ditangkap dan dibawa kepada Raja Nuh dan imam-imam yang jahat, Abinadi mengajar Sepuluh Perintah dan mengkhutbahkan dengan sangat berkuasa bahawa Kristus akan “akan turun ke kalangan anak-anak manusia, dan … menebus umat-Nya.”21 Dia kemudiannya, dengan iman yang dalam, mengisytiharkan, “Ya Tuhan, terimalah jiwaku,”22 dan Abinadi “menderita kematian oleh api.”23

Imej
Bait suci Roma Italia

Kita membuat dan membaharui perjanjian kita dengan mengambil sakramen dan dengan menyembah di bait suci. Sakramen adalah bahagian paling penting penyembahan kita, di mana kita menerima janji untuk “selalu memiliki Roh-nya bersama [kita].”24 Dengan tatacara kudus itu, kita berjanji untuk membawa kita nama Yesus Kristus, mengikuti Dia, dan menerima tanggungjawab kita dalam pekerjaan ilahi ini seperti yang Dia lakukan. Dalam bait suci kita boleh “mengetepikan hal-hal dari dunia ini”25 dan merasakan hadirat Tuhan dan kedamaian-Nya yang luar biasa. Kita boleh memberi tumpuan kepada nenek moyang kita, keluarga kita, dan kehidupan abadi di hadirat Bapa. Tidak hairanlah Presiden Nelson menyatakan baru-baru ini di Roma, “Kebaikan yang akan datang dari bait suci ini adalah sangat besar.”26

Kita harus mempunyai kesempurnaan akhlak dalam semua yang kita lakukan. Kita perlu membangunkan kemahiran membezakan dan disiplin supaya kita tidak perlu terus membezakan apa yang betul dan salah. Kita harus mengingati amaran Petrus, Rasul Gereja yang awal yang memberi amaran, “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana Iblis, musuh kamu merayau-rayau seperti singa yang mengaum sambil mencari mangsa.”27

Semasa kita menguatkan pertahanan kita dengan tekun, kita menjadi seperti Yesus Kristus, sebagai para pengikut-Nya yang benar, dengan jiwa kita dalam perlindungan-Nya.

Kesaksian anda tentang Yesus Kristus adalah kubu peribadi anda, keselamatan untuk jiwa anda. Ketika datuk saya dan rakan-rakan perintisnya membina Kubu Heber, mereka memasang satu demi satu kayu balak pada satu masa sehingga kubu itu “rapat bersama”28 dan mereka dilindungi. Begitu juga dengan kesaksian. Satu demi satu kita memperoleh kesaksian daripada Roh Kudus ketika Dia berbicara kepada roh kita sendiri, mengajar “kebenaran di bahagian dalam.”29 Apabila kita menjalani injil Yesus Kristus, apabila kita menggunakan Korban tebusan Juruselamat dan mara ke depan dengan iman, bukan ketakutan, kita diperkuatkan daripada muslihat musuh. Kesaksian kita menghubungkan kita ke syurga, dan kita diberkati dengan “kebenaran tentang semua hal.”30 Dan, seperti perintis dilindungi oleh sebuah kubu, kita selamat dikelilingi dalam tangan kasih Juruselamat.

Nabi Eter mengajarkan, “Oleh itu, sesiapa yang percaya kepada Tuhan boleh dengan suatu kepastian berharap untuk dunia yang lebih baik, ya, bahkan sebuah tempat di sebelah tangan kanan Tuhan, iaitu harapan yang dilahirkan oleh iman, menjadi sauh bagi jiwa manusia, yang akan menjadikan mereka yakin dan tabah, selalu berlimpah ruah dengan kerja-kerja baik, dituntun untuk memuliakan Tuhan.”31

Saudara dan saudari saya yang dikasihi, saya meninggalkan anda dengan berkat saya untuk mara ke depan dengan keyakinan kepada Tuhan dan dalam injil-Nya. Tunjukkan kasih anda kepada orang yang memerlukan dan dengan kekuatan Roh di dalam diri anda, pimpin mereka kembali ke kubu kerohanian dan perlindungan dengan penuh kasih. Mencari “untuk menjadi seperti Yesus”32 dalam segala yang anda lakukan; hindari kejahatan dan godaan, bertaubat, apabila kita ditegur oleh nabi kita yang dikasihi; jujur dalam hati; bersikap soleh dan benar; menunjukkan rasa kasihan dan kasih ihsan, dan mengasihi Tuhan Bapa anda dengan kesetiaan seorang pengikut yang benar.

Kesaksian kita tentang injil Yesus Kristus, rumah kita, keluarga kita, dan keahlian kita dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir akan menjadi kubu perlindungan peribadi kita yang mengelilingi kita dan melindungi kita dari kuasa si jahat. Dengan ini saya memberi kesaksian saya yang khusyuk dalam nama Tuhan dan Juruselamat kita, bahkan Yesus Kristus, amin.