2010–2019
Berhati-hati lawan Bersahaja
Persidangan Umum April 2019


Berhati-hati lawan Bersahaja

Oleh kerana pengaruh dunia semakin menerima kejahatan, kita harus berusaha dengan tekun untuk tetap teguh pada jalan yang membawa kita kepada Juruselamat kita dengan selamat.

Saya pernah melihat satu tanda di sebuah tingkap kedai yang berkata, “Kebahagiaan, $15.00.” Saya sangat ingin mengetahui betapa banyak kebahagiaan yang saya dapat beli dengan harga $15 sehingga saya masuk ke dalam untuk melihat. Apa yang saya temui adalah banyak perhiasan dan cenderamata murah—tidak satu barang yang saya lihat boleh memberikan saya jenis kebahagiaan yang tersirat pada tanda itu! Selama bertahun, saya telah berfikir banyak kali tentang tanda itu dan betapa mudahnya untuk mencari kebahagiaan dalam barang-barang yang murah atau sementara. Sebagai ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, kita diberkati untuk mengetahui bagaimana dan di mana kebahagiaan sejati dapat ditemui. Ia didapati dengan menjalani injil yang ditubuhkan oleh Tuhan dan Juruselamat kita, Yesus Kristus, dengan berhati-hati dan dalam usaha untuk menjadi lebih seperti Dia.

Kami mempunyai seorang kawan terkasih yang merupakan seorang jurutera kereta api. Suatu hari ketika dia memandu kereta api di laluannya, dia nampak sebuah kereta berhenti di atas landasan di hadapannya. Dia dengan segera menyedari bahawa kereta itu terperangkap dan tidak dapat melintasi landasan. Dia segera meletakkan kereta api dalam mod kecemasan, yang menggunakan brek pada setiap gerabak yang memanjang sejauh tiga perempat mil (1.2 kilometer) di belakang enjin, membawa beban sebanyak 6,500 tan (5,897 tan metrik). Tiada ada peluang langsung kereta api itu dapat berhenti sebelum ia terlanggar kereta tersebut, dan ia terlanggar. Mujurlah orang-orang di dalam kereta terdengar amaran wisel kereta api dan melarikan diri dari kereta sebelum hentaman itu. Semasa jurutera tersebut bercakap dengan pegawai polis yang sedang menyiasat, seorang wanita yang sedang marah mendekati mereka. Dia menjerit bahawa dia telah melihat kejadian itu dan kemudian memberi keterangan bahawa jurutera itu tidak cuba belok untuk mengelak kereta tersebut!

Jelas sekali, jika jurutera tersebut dapat belok dan meninggalkan landasan untuk mengelakkan kemalangan, dia dan seluruh kereta apinya akan tergelincir dan pergerakan kereta api itu akan terhenti dengan tiba-tiba. Mujurlah baginya, landasan yang kereta apinya gunakan dapat mengekalkan roda kereta api yang bergerak ke arah destinasinya tanpa mengira halangan dalam perjalanannya. Mujurlah bagi kita, kita juga berada di atas landasan yang betul, jalan perjanjian yang kita telah berada apabila kita dibaptis sebagai ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Walaupun kadangkala kita mungkin menghadapi halangan di sepanjang jalan, jalan ini akan memastikan kita bergerak ke arah destinasi abadi yang berharga jika kita tetap teguh di atasnya.

Imej
Penglihatan Lehi tentang pokok kehidupan

Penglihatan tentang pokok kehidupan menunjukkan kepada kita bagaimana kesan-kesan bersahaja dapat menyimpangkan kita dari jalan perjanjian. Pertimbangkan bahawa batang besi dan lorong sempit dan kecil itu, atau jalan perjanjian, yang menuntun terus kepada pokok kehidupan, di mana semua berkat yang disediakan oleh Juruselamat kita dan Korban tebusan-Nya boleh didapati untuk orang-orang yang setia. Juga dilihat dalam penglihatan itu adalah air sungai yang mewakili kekotoran dunia. Tulisan suci menggambarkan bahawa sungai ini “mengalir” di sepanjang jalan itu namun hanya melalui “dekat” pokok itu, bukan kepada ia. Dunia ini penuh dengan gangguan yang dapat memperdaya bahkan umat pilihan, menyebabkan mereka menjadi bersahaja dalam memenuhi perjanjian mereka—dengan demikian membawa mereka dekat pokok itu, tetapi tidak kepada ia. Sekiranya kita tidak berhati-hati dalam menjalani perjanjian kita dengan tepat, usaha kita yang bersahaja mungkin akan membawa kita ke jalan yang terlarang atau bergabung dengan mereka yang telah memasuki bangunan besar dan lapang itu. Jika tidak berhati-hati kita bahkan akan tenggelam ke dalam kekotoran sungai.1

Terdapat cara yang berhati-hati dan cara yang bersahaja untuk melakukan segala-galanya, termasuk menjalani injil. Semasa kita mempertimbangkan komitmen kita terhadap Juruselamat, adakah kita berhati-hati atau bersahaja? Kerana sifat fana kita, tidakkah kita kadangkala merasionalkan tingkah laku kita, kadangkala merujuk kepada tindakan kita sebagai kelabu [di tengah-tengah], atau mencampur-adukan kebaikan dengan sesuatu yang tidak begitu baik? Bilamasa kita mengatakan, “bagaimanapun,” “kecuali,” atau “tetapi” apabila perkataan ini dikaitkan dengan mengikuti nasihat nabi, pemimpin kita atau dalam menjalani injil dengan berhati-hati, kita sebenarnya berkata, “Nasihat itu tidak berkaitan kepada saya.” Kita boleh merasionalkan sebanyak yang kita mahu, tetapi hakikatnya, tidak ada cara yang betul untuk melakukan perkara yang salah!

Tema remaja untuk tahun 2019 diambil dari Yohanes 14:15, di mana Tuhan berfirman, “Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan mentaati perintah-perintah-Ku.” Jika kita mengasihi Dia seperti yang kita katakan, bolehkah kita menunjukkan kasih itu dengan menjadi lebih berhati-hati dalam mematuhi perintah-perintah-Nya?

Berhati-hati dalam menjalani injil tidak semestinya bermaksud menjadi formal atau kolot. Maksudnya adalah menjadi sesuai dalam pemikiran dan tingkah laku kita sebagai pengikut Yesus Kristus. Semasa kita merenungkan perbezaan antara berhati-hati dan bersahaja dalam kehidupan injil kita, berikut adalah beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan:

Adakah kita berhati-hati dalam penyembahan hari Sabat dan dalam persediaan kita untuk mengambil bahagian dalam sakramen setiap minggu?

Bolehkah kita lebih berhati-hati dalam doa dan kajian tulisan suci kita atau lebih aktif dalam Ikutlah Aku—Untuk Individu dan Keluarga?

Adakah kita berhati-hati dalam penyembahan bait suci kita, dan adakah kita dengan berhati-hati dan cermat mematuhi perjanjian yang kita telah buat ketika pembaptisan dan di bait suci? Adakah kita berhati-hati dalam penampilan dan kesopanan pemakaian kita, terutamanya di tempat dan keadaan yang kudus? Adakah kita berhati-hati dalam cara kita memakai pakaian suci bait suci? Atau adakah fesyen di dunia menentukan sikap yang lebih bersahaja?

Adakah kita berhati-hati dalam cara kita melayani orang lain dan dalam cara kita memenuhi panggilan dalam Gereja, atau adakah kita bersikap tidak ambil peduli atau bersahaja dalam panggilan kita untuk melayani?

Adakah kita berhati-hati atau bersahaja dalam apa yang kita baca dan apa yang kita tonton di TV dan di peranti mudah alih kita? Adakah kita berhati-hati dalam bahasa kita? Atau adakah kita dengan mudah menerima [bahasa] yang kasar dan kesat?

Dalam risalah Untuk Kekuatan Remaja terkandung standard-standard yang, apabila diikuti dengan berhati-hati, akan mendatangkan berkat-berkat yang kaya dan membantu kita kekal di jalan perjanjian. Walaupun ia ditulis untuk manfaat para remaja, standardnya tidak luput apabila kita meninggalkan program Remaja Putera dan Remaja Puteri. Ia digunakan oleh setiap kita sepanjang masa. Mengulang kaji standard ini mungkin mendorong cara lain agar kita dapat lebih berhati-hati dalam menjalani injil kita.

Kita tidak merendahkan standard kita agar ia sesuai atau untuk membuat orang lain berasa selesa. Kita adalah pengikut Yesus Kristus, dan dengan itu kita akan mengangkat orang lain, mengangkat mereka ke tempat yang lebih tinggi dan suci di mana mereka juga dapat menuai berkat yang lebih besar.

Saya menjemput setiap dari kita untuk mencari bimbingan Roh Kudus untuk mengetahui penyesuaian yang kita perlu lakukan dalam kehidupan kita agar ia lebih selaras dengan perjanjian-perjanjian kita. Saya juga mohon kepada anda untuk tidak mengkritik orang lain yang sedang membuat perjalanan yang sama. “Penghakiman adalah milik-Ku, firman Tuhan.”2 Setiap kita berada dalam proses bertumbuh dan berubah.

Kisah yang diceritakan dalam Kitab Mormon tentang bangsa Amlisi yang murtad itu menarik bagi saya. Sebagai cara untuk pengakuan kepada orang lain bahawa mereka tidak lagi dikaitkan dengan Yesus Kristus dan Gereja-Nya, mereka meletakkan tanda merah pada dahi mereka untuk dilihat oleh semua.3 Sebaliknya, kita sebagai pengikut Yesus Kristus, bagaimanakah kita menandakan diri kita sendiri? Bolehkah orang lain melihat rupa-Nya dalam wajah kita dan tahu siapa yang kita wakili dengan cara kita menjalani hidup kita dengan berhati-hati?

Sebagai umat perjanjian, kita tidak dimaksudkan untuk menggabungkan diri dengan dunia. Kita telah digelar sebagai “orang unik”4—ini adalah satu pujian! Oleh kerana pengaruh dunia semakin menerima kejahatan, kita harus berusaha dengan tekun untuk tetap teguh pada jalan yang membawa kita kepada Juruselamat kita dengan selamat, meluaskan jarak antara kehidupan perjanjian kita dan pengaruh duniawi.

Semasa saya renungkan tentang memperoleh kebahagiaan yang kekal, saya menyedari bahawa kadangkala kita akan mendapati diri kita merasionalisasikan pilihan kita yang buruk. Kabut kegelapan tidak dapat dielakkan semasa kita berjalan di sepanjang jalan perjanjian. Godaan dan sifat bersahaja dapat menyebabkan kita secara halus mengalihkan perjalanan kita ke arah kegelapan dunia dan jauh dari jalan perjanjian. Untuk masa ketika hal ini boleh berlaku, nabi kita yang terkasih, Presiden Russell M. Nelson, telah menggesa kita untuk kembali kepada jalan perjanjian dan untuk melakukannya dengan cepat. Betapa saya bersyukur atas kurnia pertaubatan dan untuk kuasa Korban tebusan Juruselamat kita.

Adalah mustahil untuk menjalani kehidupan yang sempurna. Hanya seorang saja yang dapat hidup dengan sempurna semasa berada di dunia telestial ini. Dia ialah Yesus Kristus. Walaupun kita mungkin tidak sempurna, saudara dan saudari, kita boleh menjadi layak: layak untuk mengambil bahagian dalam sakramen, layak untuk berkat-berkat bait suci, dan layak untuk menerima wahyu peribadi.

Raja Benyamin bersaksi tentang berkat-berkat dan kebahagiaan yang datang kepada mereka yang dengan berhati-hati mengikuti Juruselamat: “Dan selain itu, aku berhasrat agar kamu hendaknya mempertimbangkan keadaan diberkati dan bahagia orang yang mentaati perintah-perintah Tuhan. Kerana lihatlah, mereka diberkati dalam segala hal, baik duniawi mahupun rohani; dan jika mereka bertahan setia sampai akhir mereka diterima ke dalam syurga, agar dengan demikian mereka boleh berdiam bersama Tuhan dalam suatu keadaan kebahagiaan yang tak akan berakhir.”5

Dapatkah kebahagiaan dibeli dengan $15? Tidak, tidak boleh. Kebahagiaan yang mendalam dan abadi datang melalui menjalankan injil Yesus Kristus dengan penuh hasrat dan berhati-hati. Dalam nama Yesus Kristus, amin.