2010–2019
Korban Tebusan Yesus Kristus
Persidangan Umum April 2019


Korban Tebusan Yesus Kristus

Korban tebusan Juruselamat bukan sahaja tidak terhingga dalam kapasiti, tetapi juga berada dalam jangkauan individu.

Pada musim Paskah ini kita terutamanya bergembira dan memikirkan Korban tebusan Juruselamat. Ia sememangnya ajaran paling ilahi yang dunia atau alam semesta ini pernah diketahui. Ia adalah apa yang memberi harapan dan tujuan kepada hidup kita.

Jadi apa itu Korban tebusan Yesus Kristus? Ia adalah satu siri peristiwa ilahi yang bermula di Taman Getsemani, berterusan di atas salib, dan berakhir dengan Kebangkitan Juruselamat dari kubur. Ia didorong oleh kasih mendalam untuk setiap kita. Ia memerlukan seorang yang tidak berdosa; yang mempunyai kuasa tidak terhingga di atas dunia—bahkan kematian; yang memiliki kapasiti tidak terbatas untuk menderita akibat semua dosa-dosa dan kesakitan kita; dan telah turun di bawah segalanya.1 Inilah misi Yesus Kristus—inilah Korban tebusan-Nya.

Jadi apakah tujuannya? Ia adalah untuk membolehkan kita kembali ke hadirat Tuhan, menjadi lebih seperti-Nya, dan menerima kebahagiaan yang penuh. Ini dilakukan dengan mengatasi empat halangan:

  1. Kematian jasmani

  2. Kematian rohani disebabkan oleh Adam dan dosa-dosa kita

  3. Kesengsaraan dan kelemahan kita

  4. Kelemahan dan ketidaksempurnaan kita

Tetapi bagaimanakah Juruselamat mengatasi ini tanpa melanggar hukum keadilan?

Imej
Jatuh bebas dari kapal terbang

Bayangkan seketika seorang lelaki memikirkan penerjunan bebas yang menggembirakan lalu membuat keputusan terburu-buru dan melompat secara spontan dari kapal terbang kecil. Selepas membuat demikian, dengan cepat dia menyedari kebodohan tindakannya. Dia mahu mendarat dengan selamat, tetapi terdapat satu halangan—daya graviti. Dia menggerakkan lengannya dengan cepat, berharap untuk terbang, tetapi tidak berjaya. Dia memposisikan tubuhnya untuk mengapung atau meluncur untuk memperlahankan pendaratannya, tetapi daya graviti tidak boleh diubah atau dihentikan. Dia kemudian berkata: “Ini satu kesilapan. Saya tidak akan melakukannya lagi.” Tetapi tidak ada orang yang mendengarnya. Daya graviti tidak mengenal belas kasihan; ia tidak membuat pengecualian. Dengan mujur, lelaki ini tiba-tiba merasakan sesuatu di belakangnya. Kawannya di kapal terbang telah meletakkan satu payung terjun di belakangnya sebelum dia melompat. Dia mencari tali pembuka payung terjun dan menariknya. Dengan lega, dia mengapung dengan selamat ke tanah. Kita mungkin bertanya, “Adakah hukum graviti dilanggar, atau payung terjun itu digunakan di dalam hukum untuk menyediakan pendaratan yang selamat?”

Imej
Payung terjun ke pendaratan selamat

Apabila kita berdosa, kita seperti lelaki bodoh yang melompat dari kapal terbang. Tidak kira apa yang kita lakukan sendiri, hanya pendaratan kemalangan menanti kita. Kita tertakluk kepada hukum keadilan, yang seperti hukum graviti, akan menuntut dan tidak memaafkan. Kita hanya boleh diselamatkan kerana Juruselamat, melalui Korban tebusan-Nya, dengan belas kasihan menyediakan payung terjun rohani untuk kita. Jika kita mempunyai iman dalam Yesus Kristus dan bertaubat (bermakna kita melakukan bahagian kita dan menarik tali pembuka), dan kemudian kuasa pelindung Juruselamat dilepaskan bagi pihak kita dan kita boleh mendarat secara rohani dengan selamat.

Ini mungkin, bagaimanapun, hanya kerana Juruselamat mengatasi empat halangan yang boleh menghalang kemajuan rohani kita.

1. Kematian. Dia mengatasi kematian melalui Kebangkitan mulia-Nya. Rasul Paulus mengajar, “Sebagaimana semua orang mati kerana tergolong satu dengan Adam, begitu juga semua orang akan dihidupkan semula kerana tergolong satu dengan Kristus.”2

2. Dosa. Juruselamat mengatasi dosa dan rasa salah untuk semua yang bertaubat. Kuasa pembersihan-Nya begitu teliti dan berkuasa sehingga Yesaya berjanji, “Walaupun kamu merah marak kerana dosa kamu, Aku akan mencuci kamu sehingga menjadi putih seperti salji.”3

Saya pernah bertemu dengan ahli Gereja baik yang mempunyai kesulitan memaafkan diri mereka sendiri, yang telah meletakkan had pada kuasa penebusan Juruselamat. Tanpa disedari, mereka telah menganggap Korban tebusan tidak terhingga tidak termasuk dosa atau kelemahan mereka. Tetapi ia satu Korban tebusan tidak terhingga kerana ia memasukkan dan membatasi semua dosa dan kelemahan, dan juga setiap perlakuan kejam atau kesakitan yang disebabkan oleh orang lain.

Truman G. Madsen membuat pemerhatian ini:

“Jika ada di kalangan anda yang ditipu untuk mempercayai bahawa anda telah pergi terlalu jauh … bahawa anda mempunyai racun dosa yang membuatnya mustahil untuk menjadi apa yang anda boleh menjadi—dengarlah saya.

“Saya bersaksi bahawa anda tidak boleh jatuh lebih jauh dari cahaya dan kecerdasan Yesus Kristus boleh mencapai. Saya bersaksi selagi terdapat sedikit keinginan untuk bertaubat dan mencuba, Dia berada di situ. Dia bukan sahaja turun kepada keadaan anda; Dia telah turun di bawah segalanya, ‘agar Dia boleh berada dalam segalanya dan melalui segalanya, cahaya kebenaran.’ [Ajaran dan Perjanjian 88:6.]”4

Satu sebab ia sangat penting untuk memahami Korban tebusan Juruselamat dan implikasi tidak terhingganya adalah dengan pemahaman yang meningkat datangnya keinginan mendalam untuk memaafkan diri kita dan orang lain.

Walaupun kita mungkin mempercayai kuasa pembersihan Kristus, soalan ini sering ditanya: “Bagaimana saya tahu jika saya telah diampuni dari dosa-dosa saya?” Jika kita merasai Roh, itulah saksi bahawa kita telah diampuni, atau proses pembersihan sedang berlaku. Presiden Henry B. Eyring mengajar, “Jika anda telah merasai pengaruh Roh Kudus … , anda boleh mengambilnya sebagai bukti bahawa Korban tebusan sedang bekerja dalam hidup anda.”5

Imej
Jalan buntu

Sesetengah pernah bertanya, “Jika saya telah diampuni, mengapa saya masih rasa bersalah?” Mungkin dalam belas kasihan Tuhan, ingatan akan rasa bersalah itu adalah peringatan, satu “tanda berhenti” rohani, untuk sementara waktu, mengingatkan kita apabila godaan tambahan menghadapi kita: “Jangan ikut jalan itu. Anda tahu kesakitan yang ia boleh bawa.” Dalam pengertian ini, ia berfungsi sebagai perlindungan, bukan hukuman.

Adakah ia mungkin untuk mengingati dosa-dosa kita dan masih bebas daripada rasa bersalah?

Alma mengingati dosa-dosanya, walaupun beberapa tahun selepas dia bertaubat. Tetapi ketika dia berseru kepada Yesus untuk belas kasihan, dia berkata, “Aku tidak dapat mengingat rasa sakitku lagi; ya, aku tidaklah amat tertekan oleh ingatan atas dosa-dosaku lagi.”6

Bagaimana dia boleh mengingati dosa-dosanya tetapi tidak mempunyai rasa sakit atau rasa bersalah? Kerana apabila kita bertaubat, kita telah “dilahirkan dari Tuhan.”7 Kita menjadi, seperti dikatakan dalam tulisan suci, “makhluk baru”8 dalam Kristus. Dengan kejujuran yang sempurna kita sekarang boleh berkata, “Saya bukan lelaki atau perempuan yang melakukan dosa-dosa lalu itu. Saya seorang yang baru dan telah berubah.”

3. Kesengsaraan dan Kelemahan. Alma bernubuat bahawa Kristus “akan pergi, menderita kesakitan dan kesengsaraan dan cubaan daripada setiap jenis.” Mengapa? “Agar sanubari-Nya boleh dipenuhi dengan belas kasihan, … agar Dia boleh mengetahui menurut keadaan daging bagaimana menyokong umat-Nya menurut kelemahan mereka.”9

Bagaimana Dia melakukan ini? Kadangkala Dia menyingkirkan kesengsaraan, kadangkala Dia menguatkan kita untuk bertahan, dan kadangkala Dia memberi kita perspektif abadi untuk lebih memahami sifat sementara masa kesukaran kita. Selepas Joseph Smith merana di Penjara Liberty selama dua bulan, dia akhirnya berseru, “Ya Tuhan, di manakah Engkau?”10 Bukannya memberi bantuan segera, Tuhan menjawab, “Anak-Ku, damai sejahteralah bagi jiwamu; kesusahanmu dan kesengsaraanmu akan menjadi bahkan suatu saat yang kecil; dan kemudian, jika engkau bertahan di dalamnya dengan baik, Tuhan akan memuliakan engkau di syurga.”11

Joseph sekarang memahami bahawa pengalaman pahit ini hanyalah satu titik dalam spektrum abadi. Dengan pemahaman baru ini, dia menulis kepada Orang Suci dari sel penjara yang sama, “Saudara-saudara terkasih, marilah kita dengan riang melakukan segala hal yang berada dalam kuasa kita; dan kemudian dapatlah kita berdiri teguh, dengan keyakinan sepenuhnya, untuk melihat keselamatan daripada Tuhan.”12 Kerana Korban tebusan Juruselamat, kita boleh mempunyai perspektif abadi yang memberi makna kepada percubaan kita dan harapan untuk kelegaan kita.

4. Kelemahan dan Ketidaksempurnaan. Kerana Korban tebusan-Nya, Juruselamat mempunyai kuasa-kuasa yang membolehkan, kadangkala dirujuk sebagai rahmat,13 yang boleh membantu kita mengatasi kelemahan dan ketidaksempurnaan kita dan kemudian membantu kita dalam usaha menjadi lebih seperti-Nya.

Moroni mengajar: “Ya, datanglah kepada Kristus, dan disempurnakanlah di dalam Dia, … agar dengan rahmat-Nya kamu boleh menjadi sempurna di dalam Kristus.”14 Terdapat sekurang-kurangnya dua saluran atau cara untuk memanfaatkan diri kita dengan kuasa-kuasa membolehkan itu yang boleh membersihkan—bahkan menyempurnakan—kita.

Pertama, tatacara injil keselamatan. Tulisan suci memberitahu kita, “Di dalam tatacara-tatacaranya, kuasa ketuhanan dinyatakan.”15 Kadangkala kita mungkin melihat tatacara-tatacara sebagai senarai semak—penting untuk permuliaan; tetapi setiapnya melepaskan kuasa ketuhanan yang membantu kita menjadi lebih seperti Kristus. Sebagai contohnya:

  • Semasa kita dibaptiskan dan menerima kurnia Roh Kudus, kita dibersihkan—maka menjadi lebih kudus seperti Tuhan.

  • Sebagai tambahan, melalui Roh Kudus, minda kita diterangkan dan hati kita dilembutkan supaya kita boleh berfikir dan merasa lebih seperti-Nya.

  • Dan apabila kita dimeteraikan sebagai suami isteri, kita mewarisi “takhta, kerajaan, pemerintahan, dan kuasa”16 sebagai kurnia dari Tuhan.

Saluran kedua untuk kuasa -kuasa membolehkan ini ialah kurnia Roh. Kerana Korban tebusan Kristus, kita layak menerima kurnia Roh Kudus dan kurnia-kurnia rohani yang bersamanya. Kurnia-kurnia ini ialah sifat-sifat ketuhanan, kerana itu, setiap kali kita memperoleh kurnia Roh, kita menjadi lebih seperti Tuhan. Inilah mengapa tulisan suci sering kali menasihatkan kita untuk mendapatkan kurnia-kurnia ini.17

Presiden George Q. Cannon mengajar: “Tiada manusia harus mengatakan, ‘Oh saya tidak boleh mengawal ini; ini sifat saya.’ Alasannya tidak diterima, kerana Tuhan telah berjanji untuk … memberi kurnia-kurnia yang akan menghapuskan [kelemahan kita]. … Jika sesiapa dari kita tidak sempurna, ia adalah tugas kita untuk berdoa untuk kurnia yang akan membuat kita sempurna.”18

Kesimpulannya, Korban tebusan Juruselamat memberi kita kehidupan sebagai ganti kematian, “kegembiraan dan bukan kedukaan,”19 penyembuhan untuk kesakitan, dan kesempurnaan untuk kelemahan. Ia adalah penawar syurga untuk halangan dan pergelutan dunia ini.

Dalam minggu terakhir fana Juruselamat, Dia berfirman, “Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia!”20 Kerana Juruselamat melaksanakan Korban tebusan-Nya, tidak ada kuasa luaran atau peristiwa atau manusia—tidak ada dosa atau kematian atau perceraian—yang boleh menghalang kita mencapai permuliaan, jika kita mentaati perintah-perintah Tuhan. Dengan pengetahuan itu, kita boleh menekan ke hadapan dengan gembira dan jaminan pasti bahawa Tuhan bersama kita dalam usaha syurgawi ini.

Saya bersaksi Korban tebusan Juruselamat bukan sahaja tidak terhingga dalam kapasiti tetapi juga berada dalam jangkauan individu—bahawa ia bukan sahaja mengembalikan kita ke hadirat Tuhan tetapi juga membolehkan kita menjadi seperti-Nya—matlamat terakhir Korban tebusan Kristus. Saya memberi kesaksian yang pasti dan penuh kesyukuran dalam nama Yesus Kristus, amin.