Kitab Suci
Musa 1


Pilihan-pilihan dari
Kitab Musa

Sebuah petikan dari terjemahan Alkitab yang diwahyukan kepada Nabi Joseph Smith, pada Jun 1830–Februari 1831.

Bab 1

(Jun 1830)

Tuhan menunjukkan Diri-Nya kepada Musa—Musa diubah rupa—Dia dihadapi oleh Setan—Musa melihat banyak dunia yang dihuni—Dunia-dunia yang tak terhitung jumlahnya telah diciptakan oleh Putera—Pekerjaan dan kemuliaan Tuhan adalah untuk mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia.

1 Firman-firman Tuhan, yang Dia firmankan kepada Musa pada suatu waktu ketika Musa diangkat ke sebuah gunung yang amat tinggi,

2 Dan dia melihat Tuhan berhadapan muka, dan dia bercakap dengan-Nya, dan kemuliaan Tuhan berada pada Musa; oleh kerana itu Musa dapat bertahan di dalam hadirat-Nya.

3 Dan Tuhan berfirman kepada Musa, memfirmankan: Lihatlah, Akulah Tuhan Raja Yang Maha Kuasa, dan Tanpa Akhir adalah nama-Ku; kerana Aku tanpa permulaan hari atau pengakhiran tahun; dan bukankah ini tanpa akhir?

4 Dan, lihatlah, engkaulah anak-Ku; kerana itu lihatlah, dan Aku akan menunjukkan kepada engkau hasil kerja tangan-Ku; tetapi tidak kesemuanya, kerana pekerjaan-pekerjaan-Ku adalah tanpa akhir, dan juga firman-Ku, kerana ianya tidak pernah berhenti.

5 Kerana itu, tiada seorang pun dapat melihat semua pekerjaan-Ku, kecuali dia melihat seluruh kemuliaan-Ku; dan tiada seorang pun dapat melihat seluruh kemuliaan-Ku, dan sesudah itu masih hidup di atas bumi.

6 Dan Aku mempunyai sebuah pekerjaan bagimu, Musa, anak-Ku; dan engkau memiliki suatu kemiripan dengan Anak Tunggal-Ku; dan Anak Tunggal-Ku ialah dan akan menjadi Juruselamat, kerana Dia penuh dengan rahmat dan kebenaran; tetapi tiada Tuhan lain selain Aku, dan segala hal hadir bersama-Ku, kerana Aku mengetahui mereka semua.

7 Dan sekarang, lihatlah, sebuah hal ini Aku tunjukkan kepadamu, Musa, anak-Ku, kerana engkau berada di dalam dunia, dan sekarang Aku tunjukkannya kepadamu.

8 Dan terjadilah bahawa Musa memandang, dan melihat dunia di mana dia telah diciptakan; dan Musa melihat dunia dan hujung-hujungnya, dan semua anak manusia yang sedang berada di dalamnya, dan yang telah diciptakan; tentang yang sama dia amat takjub dan hairan.

9 Dan kehadiran Tuhan meninggalkan Musa, bahkan kemuliaan-Nya tidak berada pada Musa; dan Musa ditinggalkan sendirian. Dan semasa dia ditinggalkan sendirian, dia rebah ke tanah.

10 Dan terjadilah bahawa ianya sudah berjam-jam lamanya sebelum Musa mendapat kembali kekuatannya seperti manusia; dan dia berkata kepada dirinya sendiri: Sekarang, disebabkan ini aku tahu bahawa manusia bukanlah apa-apa pun, hal yang tidak pernah aku sangkakan.

11 Tetapi sekarang mataku sendiri telah melihat Tuhan; tetapi bukan mata fanaku, tetapi mata rohaniku, kerana mata fanaku tidak dapat melihat; kerana aku akan layu dan mati di dalam hadirat-Nya; tetapi kemuliaan-Nya berada padaku; dan aku melihat muka-Nya, kerana aku diubah rupa di hadapan-Nya.

12 Dan terjadilah bahawa apabila Musa telah mengatakan perkataan ini, lihatlah, Setan datang menggodanya, mengatakan: Musa, anak manusia, sembahlah aku.

13 Dan terjadilah bahawa Musa memandang Setan dan berkata: Siapakah engkau? Kerana lihatlah, aku ialah seorang anak Tuhan, yang memiliki kemiripan dengan Anak Tunggal-Nya; dan di manakah kemuliaanmu, sehinggakan aku harus menyembah engkau?

14 Kerana lihatlah, aku tidak dapat memandang Tuhan, kecuali kemuliaan-Nya harus datang kepadaku, dan aku diubah rupa di hadapan-Nya. Tetapi aku dapat memandang engkau dengan manusia fana. Bukankah begitu, pastinya?

15 Diberkatilah nama Tuhanku, kerana Roh-Nya belum meninggalkanku sepenuhnya, jika tidak di manakah kemuliaanmu, kerana ia adalah kegelapan bagiku? Dan aku dapat menilai di antara engkau dan Tuhan; kerana Tuhan berfirman kepadaku: Sembahlah Tuhan, kerana hanya Dialah yang harus engkau layani.

16 Pergilah engkau dari tempat ini, Setan; janganlah memperdayakanku; kerana Tuhan berfirman kepadaku: Engkau memiliki kemiripan dengan Anak Tunggal-Ku.

17 Dan Dia juga memberiku perintah-perintah semasa Dia memanggilku dari semak yang terbakar, memfirmankan: Mintalah kepada Tuhan dalam nama Anak Tunggal-Ku, dan sembahlah Aku.

18 Dan lagi Musa berkata: Aku tidak akan berhenti untuk meminta kepada Tuhan, aku mempunyai hal-hal lain untuk memohon kepada-Nya: kerana kemuliaannya telah berada padaku, kerana itu aku dapat menilai di antara Dia dan engkau. Pergilah dari sini, Setan.

19 Dan sekarang, apabila Musa telah mengatakan perkataan ini, Setan berseru dengan suatu suara yang nyaring, dan menjerit-jerit di atas tanah, dan memerintah, mengatakan: Akulah Anak Tunggal, sembahlah aku.

20 Dan terjadilah bahawa Musa mula berasa sangat takut; dan semasa dia mula ketakutan, dia melihat kepahitan neraka. Walaupun demikian, memohon kepada Tuhan, dia menerima kekuatan, dan dia memerintah, mengatakan: Pergilah daripadaku, Setan, kerana hanya kepada satu Tuhan ini yang akan aku sembah, iaitu Tuhan kemuliaan.

21 Dan sekarang Setan mulai gementar, dan bumi bergoncang; dan Musa menerima kekuatan, dan memohon kepada Tuhan, mengatakan: Dalam nama Anak Tunggal, pergilah dari sini, Setan.

22 Dan terjadilah bahawa Setan berseru dengan suatu suara yang nyaring, dengan tangisan, dan ratapan, dan kertakan gigi; dan dia pergi dari tempat itu, bahkan dari hadapan Musa, hingga dia tidak melihatnya.

23 Dan sekarang Musa memberikan kesaksian tentang hal ini; tetapi kerana kejahatan ianya tidak diketahui di kalangan anak-anak manusia.

24 Dan terjadilah bahawa apabila Setan telah pergi dari hadapan Musa, maka Musa mengangkat matanya ke langit, dipenuhi dengan Roh Kudus, yang memberikan kesaksian tentang Bapa dan Putera;

25 Dan memanggil nama Tuhan, dia melihat kemuliaan-Nya lagi, kerana ia berada padanya, dan dia mendengar suatu suara, memfirmankan: Diberkatilah engkau, Musa, kerana Aku, Yang Maha Kuasa, telah memilih engkau, dan engkau akan dijadikan lebih kuat daripada perairan yang banyak; kerana mereka akan mematuhi perintahmu seolah-olah engkau ialah Tuhan.

26 Dan lihatlah, Aku bersama engkau, bahkan sehingga hari-harimu yang terakhir; kerana engkau akan membebaskan umat-Ku dari perhambaan, bahkan Israel pilihan-Ku.

27 Dan terjadilah, ketika suara itu masih berfirman, Musa mengarahkan matanya dan melihat bumi, ya, bahkan semuanya; dan tiada suatu zarah pun darinya yang tidak dilihatnya, mengenalinya melalui Roh Tuhan.

28 Dan dia juga melihat para penduduknya, dan tiada satu jiwa pun yang tidak dilihatnya; dan dia mengenali mereka melalui Roh Tuhan; dan jumlah mereka besar, bahkan tak terhitung jumlahnya bagaikan pasir di atas pantai.

29 Dan dia melihat banyak tanah; dan setiap tanah dinamakan daratan, dan terdapat para penduduk di atas permukaannya.

30 Dan terjadilah bahawa Musa memohon kepada Tuhan, mengatakan: Beritahulah aku, aku berdoa kepada-Mu, mengapakah hal-hal ini sedemikian, dan dengan apakah Engkau menciptakan mereka?

31 Dan lihatlah, kemuliaan Tuhan berada pada Musa, supaya Musa berdiri di dalam hadirat Tuhan, dan bercakap dengan-Nya berhadapan muka. Dan Tuhan Raja berfirman kepada Musa: Untuk tujuan-Ku sendiri telah Aku ciptakan hal-hal ini. Inilah kebijaksanaan dan biarlah ia tersimpan di dalam-Ku.

32 Dan melalui kuasa firman-Ku, telah Aku ciptakan mereka, iaitu Putera Tunggal-Ku, yang penuh dengan rahmat dan kebenaran.

33 Dan dunia-dunia yang tak terhitung jumlahnya telah Aku ciptakan; dan Aku juga menciptakan mereka untuk tujuan-Ku sendiri; dan melalui Putera, Aku telah menciptakan mereka, iaitu Anak Tunggal-Ku.

34 Dan orang pertama dari semua manusia telah Aku namakan Adam, yang bermaksud banyak.

35 Tetapi hanya laporan tentang bumi ini, dan para penduduknya, Aku berikan kepadamu. Kerana lihatlah, ada banyak dunia yang telah berlalu melalui kuasa firman-Ku. Dan ada banyak yang wujud sekarang, dan tak terhitung banyaknya bagi manusia, tetapi segalanya terhitung bagi-Ku, kerana mereka adalah milik-Ku dan Aku mengenali mereka.

36 Dan terjadilah bahawa Musa berkata kepada Tuhan, mengatakan: Berbelas kasihanlah kepada hamba-Mu, Ya Tuhan, dan beritahulah aku mengenai bumi ini, dan para penduduknya, dan juga semestanya, dan barulah hamba-Mu ini akan berpuas hati.

37 Dan Tuhan Raja berfirman kepada Musa, memfirmankan: Semesta itu, banyak, dan ia tidak dapat dihitung oleh manusia; tetapi ianya terhitung bagi-Ku, kerana mereka adalah milik-Ku.

38 Dan seperti sebuah bumi akan berlalu, dan semestanya demikian juga yang lain akan datang; dan tiada akhirnya bagi pekerjaan-Ku, tidak juga bagi firman-firman-Ku.

39 Kerana lihatlah, inilah pekerjaan-Ku dan kemuliaan-Ku—untuk mendatangkan kebaqaan dan kehidupan abadi bagi manusia.

40 Dan sekarang, Musa, anak-Ku, Aku akan berfirman kepadamu mengenai bumi ini yang engkau sedang berdiri di atasnya; dan engkau harus menulis hal-hal ini yang Aku akan firmankan.

41 Dan pada suatu hari apabila anak-anak manusia akan menganggap firman-firman-Ku tidak bererti dan mengambil banyak daripadanya dari kitab yang engkau akan tulis, lihatlah, Aku akan membangkitkan seorang lagi seperti engkau; dan ianya akan dimiliki lagi di kalangan anak-anak manusia—di kalangan mereka yang akan percaya.

42 (Firman-firman ini difirmankan kepada Musa di gunung, yang mana namanya tidak akan diketahui di kalangan anak-anak manusia. Dan sekarang ianya diucapkan kepadamu. Janganlah menunjukkannya kepada sesiapa pun kecuali mereka yang percaya. Demikianlah. Amin.)