Bab 11
Raja Nuh memerintah dalam kejahatan—Dia amat gemar dengan kehidupan hura-hura bersama para isteri dan gundiknya—Abinadi bernubuat bahawa bangsa itu akan dibawa ke dalam perhambaan—Raja Nuh ingin mengambil nyawanya. Kira-kira 160–150 tahun S.M.
1 Dan sekarang, terjadilah bahawa Zenif menganugerahkan kerajaan itu kepada Nuh, salah seorang puteranya; oleh kerana itu Nuh mulai memerintah sebagai penggantinya; dan dia tidak berjalan di jalan-jalan ayahnya.
2 Kerana lihatlah, dia tidak mentaati perintah-perintah Tuhan, tetapi dia berjalan menurut hasrat hatinya sendiri. Dan dia memiliki ramai isteri dan gundik. Dan dia menyebabkan rakyatnya melakukan dosa, dan melakukan apa yang keji dalam pandangan Tuhan. Ya, dan mereka melakukan pelacuran dan segala macam kejahatan.
3 Dan dia memungut cukai yang adalah seperlima bahagian daripada semua yang mereka miliki, seperlima bahagian daripada emas mereka dan daripada perak mereka, seperlima bahagian daripada ziff mereka, dan daripada tembaga mereka, dan daripada loyang mereka dan besi mereka; dan seperlima bahagian daripada ternak tambun mereka, dan juga seperlima bahagian daripada segala biji-bijian mereka.
4 Dan semua ini dia ambil untuk menyokong dirinya sendiri, dan para isterinya dan gundik-gundiknya; dan juga para imamnya, dan para isteri mereka dan gundik-gundik mereka; demikianlah dia telah mengubah urusan kerajaan.
5 Kerana dia memecat semua imam yang telah ditahbiskan oleh ayahnya, dan menahbiskan yang baru sebagai pengganti mereka, mereka yang terangkat-angkat dalam keangkuhan hati mereka.
6 Ya, dan demikianlah mereka disokong dalam kemalasan mereka, dan dalam pemujaan berhala mereka, dan dalam pelacuran mereka, dengan cukai yang telah raja Nuh bebankan ke atas rakyatnya; demikianlah rakyat bekerja amat keras untuk menyokong kederhakaan.
7 Ya, dan mereka juga menjadi pemuja berhala, kerana mereka ditipu oleh perkataan-perkataan sia-sia dan mengangkat-angkat daripada raja dan para imam; kerana mereka mengucapkan apa yang mengangkat-angkat kepada mereka.
8 Dan terjadilah bahawa raja Nuh membina banyak bangunan yang anggun dan lapang; dan dia menghiasinya dengan hasil karya kayu yang bagus, dan daripada segala macam benda berharga, daripada emas, dan daripada perak, dan daripada besi, dan daripada loyang, dan daripada ziff, dan daripada tembaga;
9 Dan dia juga membina bagi dirinya sebuah istana yang lapang, dan sebuah takhta di tengahnya, yang semuanya daripada kayu yang bagus dan dihiasi dengan emas dan perak dan dengan benda berharga.
10 Dan dia juga menyuruh agar para pekerjanya hendaknya mengerjakan segala macam hasil karya yang bagus di sebelah dalam tembok-tembok bait suci, daripada kayu yang bagus, dan daripada tembaga, dan daripada loyang.
11 Dan kerusi-kerusi yang ditetapkan untuk para imam tinggi yang terletak lebih tinggi dari semua kerusi lain, dia hiasi dengan emas tulen; dan dia menyuruh sebuah selusur dibina di hadapan mereka, agar mereka boleh meletakkan tubuh mereka dan lengan mereka di atasnya semasa mereka mengucapkan kata-kata dusta dan sia-sia kepada rakyatnya.
12 Dan terjadilah bahawa dia membina sebuah menara dekat bait suci; ya, sebuah menara yang sangat tinggi, bahkan sedemikian tingginya sehingga dia dapat berdiri di puncaknya dan memandang ke bawah ke negeri Silom, dan juga negeri Semlon, yang dikuasai oleh bangsa Laman; dan dia bahkan dapat memandang ke seluruh negeri sekitarnya.
13 Dan terjadilah bahawa dia menyuruh banyak bangunan dibina di negeri Silom; dan dia menyuruh sebuah menara besar dibina di atas bukit ke utara negeri Silom, yang telah menjadi tempat perlindungan bagi anak-anak Nefi pada waktu mereka melarikan diri keluar dari negeri itu; dan demikianlah dia melakukannya dengan kekayaan yang dia dapat melalui pencukaian rakyatnya.
14 Dan terjadilah bahawa dia menaruh hatinya pada kekayaannya, dan dia menghabiskan waktunya dalam kehidupan hura-hura bersama para isterinya dan gundiknya; dan demikian juga para imamnya menghabiskan waktu mereka dengan pelacur-pelacur.
15 Dan terjadilah bahawa dia menanami ladang-ladang anggur di sekitar negeri itu; dan dia membina pemerah-pemerah anggur wain, dan membuat wain sampai berlimpahan; dan oleh kerana itu dia menjadi pemabuk, dan juga rakyatnya.
16 Dan terjadilah bahawa bangsa Laman mula datang menyerang rakyatnya, kepada kelompok-kelompok kecil, dan membunuh mereka di ladang-ladang mereka, dan semasa mereka sedang menggembalakan kawanan ternak mereka.
17 Dan raja Nuh mengirimkan para pengawal ke sekitar negeri itu untuk mencegah mereka daripada mendekati; tetapi dia tidak mengirimkan jumlah yang cukup, dan bangsa Laman menyerang mereka dan membunuh mereka, dan menghalau banyak daripada kawanan ternak mereka keluar dari negeri itu; demikianlah bangsa Laman mula menghancurkan mereka, dan menumpukan kebencian mereka terhadap mereka.
18 Dan terjadilah bahawa raja Nuh mengirimkan tentera-tenteranya melawan mereka, dan mereka dihalau mundur, atau mereka menghalau mereka mundur untuk suatu jangka masa; oleh kerana itu, mereka kembali bersukacita akan jarahan mereka.
19 Dan sekarang, kerana kemenangan besar ini mereka terangkat-angkat dalam kesombongan hati mereka; mereka bercakap besar akan kekuatan mereka sendiri, mengatakan bahawa lima puluh orang mereka dapat berdiri melawan ribuan bangsa Laman; dan demikianlah mereka bercakap besar, dan gemar akan darah, dan penumpahan darah saudara-saudara mereka, dan ini kerana kejahatan raja dan para imam mereka.
20 Dan terjadilah bahawa ada seorang lelaki di kalangan mereka yang namanya Abinadi; dan dia pergi ke kalangan mereka, dan mulai bernubuat, mengatakan: Lihatlah, demikianlah firman Tuhan, dan demikianlah telah Dia perintahkan kepadaku, memfirmankan, Pergilah, dan katakanlah kepada bangsa ini, demikianlah firman Tuhan—Celakalah bagi bangsa ini, kerana Aku telah melihat kekejian mereka, dan kejahatan mereka, dan pelacuran mereka; dan kecuali mereka bertaubat Aku akan mengunjungi mereka dalam kemurkaan-Ku.
21 Dan kecuali mereka bertaubat dan berpaling kepada Tuhan Raja mereka, lihatlah, Aku akan menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh mereka; ya, dan mereka akan dibawa ke dalam perhambaan; dan mereka akan disengsarakan oleh tangan musuh-musuh mereka.
22 Dan akan terjadi bahawa mereka akan mengetahui bahawa Aku adalah Tuhan Raja mereka, dan adalah seorang Tuhan yang cemburu, membalas kederhakaan umat-Ku dengan hukuman.
23 Dan akan terjadi bahawa kecuali bangsa ini bertaubat dan berpaling kepada Tuhan Raja mereka, mereka akan dibawa ke dalam perhambaan; dan tiada seorang pun akan membebaskan mereka, kecuali ia adalah Tuhan Raja Yang Perkasa.
24 Ya, dan akan terjadi bahawa ketika mereka akan berseru kepada-Ku, Aku akan lambat mendengar seruan mereka; ya, dan Aku akan membiarkan mereka sehingga mereka didera oleh musuh mereka.
25 Dan kecuali mereka bertaubat dalam pakaian berkabung dan abu, dan berseru dengan amat kuat kepada Tuhan Raja mereka, Aku tidak akan mendengar doa-doa mereka, tidak juga akan Aku bebaskan mereka dari kesengsaraan mereka; dan demikianlah firman Tuhan, dan demikianlah telah Dia perintahkan kepadaku.
26 Sekarang, terjadilah bahawa ketika Abinadi telah mengucapkan perkataan ini kepada mereka, mereka geram terhadapnya, dan berupaya untuk mengambil nyawanya; tetapi Tuhan membebaskannya dari tangan mereka.
27 Sekarang, ketika raja Nuh telah mendengar kata-kata yang telah Abinadi ucapkan kepada orang ramai, dia juga geram; dan dia berkata: Siapakah Abinadi, sehingga aku dan rakyatku akan dihakimi olehnya, atau siapakah Tuhan, yang akan membawa ke atas rakyatku kesengsaraan yang sedemikian besarnya?
28 Aku perintahkan kamu untuk membawa Abinadi ke mari, agar aku boleh membunuhnya, kerana dia telah mengatakan hal-hal ini agar dia boleh menghasut rakyatku untuk marah akan satu sama lain, dan untuk membangkitkan perselisihan di kalangan rakyatku; oleh kerana itu aku akan membunuhnya.
29 Sekarang, mata bangsa ini dibutakan; oleh kerana itu mereka mengeraskan hati mereka terhadap kata-kata Abinadi, dan mereka berupaya sejak waktu itu dan seterusnya untuk menangkapnya. Dan raja Nuh mengeraskan hatinya terhadap firman Tuhan, dan dia tidak bertaubat akan perbuatan-perbuatan jahatnya.