Kitab Suci
Mormon 5


Bab 5

Mormon sekali lagi memimpin bala tentera bangsa Nefi dalam pertempuran berdarah dan pembunuhan beramai-ramai—Kitab Mormon akan datang untuk meyakinkan seluruh Israel bahawa Yesus ialah Kristus—Kerana ketidakpercayaan mereka, bangsa Laman akan dicerai-beraikan, dan Roh akan berhenti berjuang bersama mereka—Mereka akan menerima Injil daripada bangsa bukan Israel pada zaman akhir. Kira-kira 375–384 tahun M.

1 Dan terjadilah bahawa aku telah pergi ke kalangan bangsa Nefi, dan telah bertaubat di atas sumpah yang telah aku buat bahawa aku tidak akan membantu mereka lagi; dan mereka memberikan kepadaku hak kepimpinan semula ke atas bala tentera mereka, kerana mereka memandangku seolah-olah aku dapat membebaskan mereka dari kesengsaraan mereka.

2 Tetapi lihatlah, aku tidak mempunyai harapan, kerana aku tahu penghakiman Tuhan yang akan datang kepada diri mereka; kerana mereka tidak bertaubat dari kederhakaan mereka, tetapi berjuang demi nyawa mereka tanpa meminta kepada Makhluk itu yang menciptakan mereka.

3 Dan terjadilah bahawa bangsa Laman telah datang menentang kami semasa kami melarikan diri ke Kota Yordan; tetapi lihatlah, mereka telah diusir kembali sehingga mereka tidak menakluki kota itu pada waktu itu.

4 Dan terjadilah bahawa mereka datang menentang kami lagi, dan kami telah mempertahankan kota. Dan terdapat juga kota-kota lain yang telah dipertahankan oleh bangsa Nefi, yang mana kubu-kubu pertahanannya itu menghalang mereka sehingga mereka tidak dapat masuk ke negara yang terbentang di hadapan kami, untuk menghancurkan para penduduk negeri kami.

5 Tetapi terjadilah bahawa apa-apa negeri pun yang telah kami lalui, dan para penduduknya di sana tidak dikumpulkan, telah dihancurkan oleh bangsa Laman, dan pekan-pekan kecil, dan desa-desa, dan kota-kota mereka dibakar dengan api; dan demikianlah tiga ratus tujuh puluh sembilan tahun berlalu.

6 Dan terjadilah bahawa pada tahun ketiga ratus lapan puluh bangsa Laman datang menentang kami lagi untuk bertempur, dan kami berdiri melawan mereka dengan berani; tetapi semuanya sia-sia, kerana begitu besar jumlah mereka sehingga mereka memijak-mijak bangsa Nefi di bawah kaki mereka.

7 Dan terjadilah bahawa kami melarikan diri lagi, dan mereka yang berlari lebih cepat daripada bangsa Laman telah terlepas, dan mereka yang berlari tetapi tidak dapat mendahului bangsa Laman dilanda dan dihancurkan.

8 Dan sekarang, lihatlah, aku, Mormon, tidak berhasrat untuk menyeksa jiwa manusia dengan melemparkan di hadapan mereka suatu pemandangan berdarah dan pembunuhan beramai-ramai yang begitu mengerikan seperti yang terbentang di hadapan mataku; tetapi aku, mengetahui bahawa hal-hal ini mestilah diberitahukan, dan bahawa semua hal yang tersembunyi mesti didedahkan di atas bumbung-bumbung rumah—

9 Dan juga bahawa suatu pengetahuan tentang hal-hal ini mesti datang kepada keturunan bangsa yang selebihnya ini, dan juga kepada bangsa bukan Israel, yang telah Tuhan firmankan akan mencerai-beraikan bangsa ini, dan bangsa ini harus dianggap tidak bererti di kalangan mereka—oleh itu aku menuliskan sebuah ringkasan yang kecil, tidak berani untuk memberikan sebuah laporan yang lengkap tentang hal-hal yang telah aku lihat, kerana perintah yang telah aku terima, dan juga agar kamu tidak merasakan kesedihan yang terlalu besar disebabkan kejahatan bangsa ini.

10 Dan sekarang, lihatlah, aku katakan ini kepada keturunan mereka, dan juga kepada bangsa bukan Israel yang mengambil berat terhadap bani Israel, yang menyedari dan mengetahui dari mana berkat-berkat mereka datang.

11 Kerana aku tahu bahawa mereka yang sedemikian akan bersedih kerana kecelakaan bani Israel; ya, mereka akan bersedih kerana kehancuran bangsa ini; mereka akan bersedih bahawa bangsa ini tidak bertaubat agar mereka boleh didakapi dalam tangan Yesus.

12 Sekarang, hal-hal ini ditulis kepada bani Yakub yang selebihnya; dan ianya ditulis menurut cara ini, kerana Tuhan mengetahui bahawa kejahatan tidak akan membawanya kepada mereka; dan ianya disembunyikan kepada Tuhan supaya ianya dapat datang tepat pada waktu-Nya sendiri.

13 Dan inilah perintah yang telah aku terima; dan lihatlah, ianya akan datang menurut perintah Tuhan, apabila Dia akan melihat kesesuaiannya, menurut kebijaksanaan-Nya.

14 Dan lihatlah, ianya akan pergi kepada bangsa Yahudi yang tidak percaya; dan untuk tujuan ini ianya akan pergi—agar mereka boleh diyakinkan bahawa Yesus ialah Kristus, Putera Tuhan yang hidup; supaya Bapa, boleh mendatangkan, melalui yang paling Dikasihi-Nya, tujuan-Nya yang besar dan abadi, dalam memulihkan bangsa Yahudi, atau seluruh bani Israel, ke negeri warisan mereka, yang telah Tuhan Raja mereka berikan kepada mereka, untuk menggenapi perjanjian-Nya;

15 Dan juga agar keturunan bangsa ini dapat lebih mempercayai injil-Nya dengan sepenuhnya, yang akan datang kepada mereka daripada bangsa bukan Israel; kerana bangsa ini akan dicerai-beraikan, dan akan menjadi suatu bangsa yang gelap, yang kotor, dan yang menjijikkan, melebihi gambaran tentang apa yang pernah terjadi di antara kami, ya, bahkan juga yang pernah terjadi di kalangan bangsa Laman, dan ini disebabkan ketidakpercayaan dan pemujaan berhala mereka.

16 Kerana lihatlah, Roh Tuhan telah berhenti berjuang bersama nenek moyang mereka; dan mereka berada tanpa Kristus dan Tuhan di dunia ini; dan mereka diusir ke sana sini seperti sekam ditiup angin.

17 Mereka dahulunya merupakan sebuah bangsa yang menyenangkan, dan mereka mempunyai Kristus sebagai gembala mereka; ya, mereka dituntun bahkan oleh Tuhan Bapa.

18 Tetapi sekarang, lihatlah, mereka dituntun oleh Setan, bahkan bagaikan sekam yang ditiup angin, atau seperti kapal yang diumbang-ambingkan di atas ombak, tanpa layar ataupun sauh, atau tanpa apa-apa pun untuk mengemudikannya; dan bahkan seperti kapal itu, begitu jugalah mereka.

19 Dan lihatlah, Tuhan telah menyimpan berkat-berkat mereka, yang mereka mungkin dapat perolehi di negeri ini, untuk bangsa bukan Israel yang akan memiliki negeri ini.

20 Tetapi lihatlah, akan terjadi bahawa mereka akan diusir dan dicerai-beraikan oleh bangsa bukan Israel; dan setelah mereka diusir dan dicerai-beraikan oleh bangsa bukan Israel, lihatlah, kemudian Tuhan akan mengingati perjanjian yang telah Dia buat kepada Abraham dan kepada seluruh bani Israel.

21 Dan Tuhan juga akan mengingati doa-doa daripada orang yang soleh, yang telah dipanjatkan kepada-Nya untuk mereka.

22 Maka, Wahai kamu bangsa bukan Israel, bagaimanakah kamu dapat bertahan di hadapan kuasa Tuhan, kecuali kamu akan bertaubat dan berpaling dari jalanmu yang jahat?

23 Tidak tahukah kamu bahawa kamu berada di dalam tangan Tuhan? Tidak tahukah kamu bahawa Dia memiliki segala kuasa, dan pada perintah-Nya yang agung bumi akan tergulung bagaikan sebuah gulungan kitab?

24 Oleh itu, bertaubatlah kamu, dan rendahkanlah hatimu di hadapan-Nya, agar jangan Dia akan datang dalam keadilan untuk menentangmu—agar jangan keturunan Yakub yang selebihnya akan pergi ke kalangan kamu bagaikan seekor singa, dan mencarikmu bercebis-cebis, dan tidak seorang pun dapat menyelamatkanmu.