Kitab Suci
Alma 26


Bab 26

Amon bermegah di dalam Tuhan—Yang setia dikuatkan oleh Tuhan dan diberi pengetahuan—Melalui iman manusia boleh membawa ribuan jiwa kepada pertaubatan—Tuhan memiliki segala kuasa dan memahami segala hal. Kira-kira 90–77 tahun S.M.

1 Dan sekarang, inilah perkataan-perkataan Amon kepada saudara-saudaranya, yang berbunyi demikian: Saudara-saudara kandungku dan saudaraku, lihatlah aku berkata kepadamu, betapa besarnya alasan yang kita miliki untuk bersukacita, kerana dapatkah kita menyangka ketika kita mula mengembara dari negeri Zarahemla bahawa Tuhan akan memberikan kepada kita berkat-berkat yang demikian besar?

2 Dan sekarang, aku bertanya, berkat-berkat besar apakah yang telah Dia kurniakan pada diri kita? Dapatkah kamu jawab?

3 Lihatlah, aku menjawab bagimu; kerana saudara-saudara kita, bangsa Laman, berada dalam kegelapan, ya, bahkan di dalam ngarai yang paling gelap, tetapi lihatlah, betapa banyaknya mereka yang telah dibawa untuk melihat cahaya Tuhan yang menakjubkan! Dan inilah berkat yang telah dikurniakan ke atas diri kita, bahawa kita telah dijadikan alat dalam tangan Tuhan untuk mendatangkan pekerjaan yang agung ini.

4 Lihatlah, ribuan daripada mereka bersukacita, dan telah dibawa ke dalam kawanan Tuhan.

5 Lihatlah, ladang telah matang, dan diberkatilah kamu, kerana kamu telah mengayunkan sabit, dan menuai dengan segala kekuatanmu, ya, sepanjang hari kamu bekerja; dan lihatlah jumlah berkasmu! Dan ia akan dikumpulkan ke dalam jelapang, agar tidak disia-siakan.

6 Ya, ia tidak akan direbahkan oleh ribut pada hari terakhir; ya, ia tidak juga akan dilambung terselerak oleh puting beliung; tetapi ketika ribut datang ia akan dikumpulkan di tempatnya, agar ribut itu tidak dapat menerobosnya; ya, ia tidak juga akan dihalau oleh angin kencang ke mana pun musuh ingin membawanya.

7 Tetapi lihatlah, ia berada dalam tangan Tuhan empunya tuaian, dan adalah milik-Nya; dan Dia akan membangkitkan mereka pada hari terakhir.

8 Terpujilah nama Tuhan kita; marilah kita bernyanyi untuk pujian-Nya, ya, marilah kita bersyukur pada nama kudus-Nya, kerana Dia mengerjakan kebenaran selamanya.

9 Kerana jika kita tidak keluar dari negeri Zarahemla, saudara-saudara kita yang teramat dikasihi ini, yang demikian mengasihi kita, akan masih terseksa oleh kebencian terhadap kita, ya, dan mereka akan juga menjadi jahil berkenaan Tuhan.

10 Dan terjadilah bahawa ketika Amon telah mengatakan perkataan-perkataan ini, saudaranya Harun menegurnya, mengatakan: Amon, aku takut bahawa kebahagiaanmu menyebabkanmu bercakap besar.

11 Tetapi Amon berkata kepadanya: Aku tidak berbangga dalam kekuatanku sendiri, tidak juga dalam kebijaksanaanku sendiri; tetapi lihatlah, kebahagiaanku penuh, ya, hatiku dipenuhi dengan kebahagiaan, dan aku akan bersukacita di dalam Tuhanku.

12 Ya, aku tahu bahawa aku bukan apa-apa; berkaitan dengan kekuatanku aku lemah; oleh itu aku tidak akan bercakap besar akan diriku sendiri, tetapi aku akan berbangga akan Tuhanku, kerana dalam kekuatan-Nya aku dapat melakukan segala sesuatu; ya, lihatlah, banyak mukjizat dahsyat telah kita kerjakan di negeri ini, yang untuknya kita akan memuji nama-Nya selamanya.

13 Lihatlah, berapa ribu daripada saudara-saudara kita telah Dia lepaskan daripada kesakitan neraka; dan mereka dibawa untuk menyanyikan kasih penebusan, dan ini kerana kuasa firman-Nya yang ada dalam diri kita, oleh itu tidakkah kita memiliki alasan besar untuk bersukacita?

14 Ya, kita memiliki alasan untuk memuji-Nya selamanya, kerana Dia adalah Tuhan Yang Maha Tinggi, dan telah melepaskan saudara-saudara kita daripada rantai neraka.

15 Ya, mereka dikelilingi oleh kegelapan dan kehancuran kekal; tetapi lihatlah, Dia telah membawa mereka ke dalam cahaya kekal-Nya, ya, ke dalam keselamatan kekal; dan mereka dikelilingi oleh kelimpahan kasih-Nya yang tiada bandingnya; ya, dan kita telah menjadi alat dalam tangan-Nya untuk mengerjakan pekerjaan yang menakjubkandan agung ini.

16 Oleh itu, marilah kita bermegah, ya, kita akan bermegah di dalam Tuhan; ya, kita akan bersukacita, kerana kebahagiaan kita penuh; ya, kita akan memuji Tuhan kita selama-lamanya. Lihatlah, siapakah yang dapat terlalu banyak bermegah di dalam Tuhan? Ya, siapakah yang dapat berkata terlalu banyak tentang kuasa-Nya yang besar, dan tentang belas kasihan-Nya, dan tentang panjang sabar-Nya terhadap anak-anak manusia? Lihatlah aku berkata kepadamu, aku tidak dapat mengatakan bahagian terkecil yang aku rasai.

17 Siapakah yang dapat mengira bahawa Tuhan kita akan sedemikian penuh belas kasihannya sehingga merengkuh kita dari keadaan kita yang menyeramkan, penuh dosa, dan tercemar?

18 Lihatlah, kita maju bahkan dalam kemarahan, dengan ancaman yang hebat untuk menghancurkan gereja-Nya.

19 Hai, jadi, mengapa Dia tidak menyerahkan kita pada kehancuran yang menyeramkan, ya, mengapa Dia tidak membiarkan pedang keadilan-Nya jatuh ke atas diri kita, dan menghukum kita pada keputusasaan kekal?

20 Hai, jiwaku, hampir seakan-akan menghilang kerana fikiran itu. Lihatlah, Dia tidak menjalankan keadilan-Nya ke atas diri kita, tetapi dalam belas kasihan-Nya yang besar telah membawa kita menyeberangi jurang kematian dan kegetiran yang kekal itu, bahkan pada penyelamatan jiwa kita.

21 Dan sekarang, lihatlah, saudara-saudaraku, manusia alamiah manakah yang mengetahui hal-hal ini? Aku berkata kepadamu, tidak ada seorang pun yang mengetahui hal-hal ini, kecuali yang menyesal.

22 Ya, dia yang bertaubat dan menjalankan iman, dan menghasilkan pekerjaan baik, dan berdoa secara berlanjutan tanpa henti—kepada yang demikian diizinkan untuk mengetahui misteri-misteri Tuhan; ya, kepada yang demikian akan diizinkan untuk mengungkapkan apa yang belum pernah diungkapkan; ya, dan akan diizinkan kepada yang demikian untuk membawa ribuan jiwa pada pertaubatan, bahkan seperti telah diizinkan kepada kita untuk membawa saudara-saudara kita ini pada pertaubatan.

23 Sekarang, ingatkah kamu, saudara-saudaraku, bahawa kita berkata kepada saudara-saudara kita di negeri Zarahemla, kita pergi ke negeri Nefi, untuk berkhutbah kepada saudara-saudara kita, bangsa Laman, dan mereka mengetawakan kita untuk mencemuh?

24 Kerana mereka berkata kepada kita: Adakah kamu mengira bahawa kamu dapat membawa bangsa Laman pada pengetahuan tentang kebenaran? Adakah kamu mengira bahawa kamu dapat meyakinkan bangsa Laman akan ketidakbenaran adat resam nenek moyang mereka, setegar leher bangsa mereka; yang hatinya suka akan penumpahan darah; yang masa hidupnya telah dihabiskan dalam kederhakaan yang paling buruk; yang cara-caranya adalah cara-cara seorang pelanggar sejak awal? Sekarang, saudara-saudaraku, kamu ingat bahawa inilah cara berbahasa mereka.

25 Dan selain itu mereka berkata: Marilah kita mengangkat senjata melawan mereka, agar kita menghancurkan mereka dan kederhakaan mereka sampai lenyap dari negeri ini, agar jangan mereka menguasai kita dan menghancurkan kita.

26 Tetapi lihatlah, saudara-saudaraku yang dikasihi, kita masuk ke padang belantara bukan dengan maksud untuk menghancurkan saudara-saudara kita, tetapi dengan maksud bahawa barangkali kita boleh menyelamatkan beberapa jiwa di antara mereka.

27 Sekarang, ketika hati kita tertekan, dan kita hampir berpatah balik, lihatlah, Tuhan menghibur kita, dan berfirman: Pergilah ke kalangan saudara-saudaramu, bangsa Laman, dan tanggunglah dengan kesabaran kesengsaraanmu, dan aku akan memberi kepadamu kejayaan.

28 Dan sekarang, lihatlah, kita telah datang, dan telah berada di kalangan mereka; dan kita telah sabar dalam penderitaan kita, dan kita telah menderita setiap kekurangan; ya, kita telah berjalan dari rumah ke rumah, bergantung pada belas kasihan dunia—bukan pada belas kasihan dunia sahaja tetapi pada belas kasihan Tuhan.

29 Dan kita telah masuk ke dalam rumah-rumah mereka dan mengajar mereka, dan kita telah mengajar mereka di jalan raya mereka; ya, dan kita telah mengajar mereka di atas bukit-bukit mereka; dan kita telah juga masuk ke dalam bait suci mereka dan saumaah mereka dan mengajar mereka; dan kita telah diusir, dan diejek, dan diludahi, dan ditampar pipi kita; dan kita telah direjam, dan ditangkap dan diikat dengan tali yang kuat, dan dilemparkan ke dalam penjara; dan melalui kuasa dan kebijaksanaan Tuhan kita telah dibebaskan kembali.

30 Dan kita telah menderita segala macam kesengsaraan, dan semuanya ini, agar barangkali kita boleh menjadi sarana untuk menyelamatkan satu jiwa; dan kita mengira bahawa kebahagiaan kita akan penuh jika barangkali kita dapat menjadi sarana untuk menyelamatkan beberapa jiwa.

31 Sekarang, lihatlah, kita dapat menanti-nantikan dan melihat buah hasil daripada kerja kita; dan adakah itu sedikit? Aku berkata kepadamu, Tidak, ia adalah banyak; ya, dan kita dapat bersaksi tentang keikhlasan mereka, kerana kasih mereka terhadap saudara-saudara mereka dan juga terhadap kita.

32 Kerana lihatlah, mereka lebih suka mengorbankan nyawa mereka daripada bahkan mengambil nyawa musuh mereka; dan mereka telah menanamkan senjata peperangan mereka jauh di dalam tanah, kerana kasih mereka terhadap saudara-saudara mereka.

33 Dan sekarang, lihatlah aku berkata kepadamu, pernahkah ada kasih yang demikian besar di seluruh negeri? Lihatlah, aku berkata kepadamu, Tidak, tidak pernah ada, bahkan di kalangan bangsa Nefi.

34 Kerana lihatlah, mereka akan mengangkat senjata melawan saudara-saudara mereka; mereka tidak akan membiarkan diri mereka dibunuh. Tetapi lihatlah berapa banyak daripada orang ini telah menyerahkan nyawa mereka; dan kita tahu bahawa mereka telah pergi kepada Tuhan mereka, kerana kasih mereka dan kebencian mereka terhadap dosa.

35 Sekarang, tidakkah kita memiliki alasan untuk bersukacita? Ya, aku berkata kepadamu, belum pernah ada orang yang memiliki alasan sedemikian besarnya untuk bersukacita seperti kita, sejak dunia bermula; ya, dan kebahagiaanku berlimpah-limpah, bahkan sampai bermegah dalam Tuhanku; kerana Dia memiliki segala kuasa, segala kebijaksanaan, dan segala pengertian; Dia memahami segala hal, dan Dia adalah Makhluk yang penuh belas kasihan, bahkan sampai penyelamatan, kepada mereka yang akan bertaubat dan percaya pada nama-Nya.

36 Sekarang, jika ini adalah bercakap besar, demikian pula akanlah aku bercakap besar; kerana inilah kehidupanku dan cahayaku, kebahagiaanku dan keselamatanku, dan penebusanku daripada kecelakaan kekal. Ya, terpujilah nama Tuhanku, yang telah mengambil berat terhadap bangsa ini, yang adalah suatu cabang daripada pokok Israel, dan telah hilang daripada tubuhnya di negeri asing; ya, aku berkata, terpujilah nama Tuhanku, yang telah mengambil berat terhadap kita, para pengembara di negeri asing.

37 Sekarang, saudara-saudaraku, kita melihat bahawa Tuhan mengambil berat terhadap setiap bangsa, di negeri mana pun mereka mungkin berada; ya, Dia menghitung umat-Nya, dan sanubari belas kasihan-Nya berada di atas seluruh bumi. Sekarang, inilah kebahagiaanku, dan ungkapan kesyukuranku yang besar; ya, dan aku akan bersyukur kepada Tuhanku buat selama-lamanya. Amin.