Kitab Suci
2 Nefi 27


Bab 27

Kegelapan dan kemurtadan akan meliputi bumi pada zaman akhir—Kitab Mormon akan tampil—Tiga orang saksi akan bersaksi berkenaan kitab itu—Orang terpelajar akan berkata bahawa dia tidak boleh membaca kitab termeterai itu—Tuhan akan melaksanakan suatu kerja menakjubkan dan suatu keajaiban—Bandingkan dengan Yesaya 29. Kira-kira 559–545 tahun S.M.

1 Tetapi, lihatlah, pada zaman akhir, atau pada zaman orang bukan Israel—ya, lihatlah semua bangsa orang bukan Israel dan juga bangsa Yahudi, baik mereka yang akan datang ke negeri ini mahupun mereka yang akan berada di negeri-negeri lain, ya, bahkan di semua negeri-negeri di bumi, lihatlah, mereka akan mabuk dengan kederhakaan dan segala jenis kekejian—

2 Dan ketika hari itu akan datang mereka akan dikunjungi oleh Tuhan Semesta Alam, dengan guruh dan dengan gempa bumi, dan dengan bunyi yang kuat, dan dengan badai, dan dengan ribut kencang, dan dengan nyala api yang melahap.

3 Dan semua bangsa yang berperang melawan Sion, dan yang memasyghulkannya, akan menjadi seperti mimpi daripada suatu penglihatan malam; ya, itu akan terjadi kepada mereka, bahkan seperti orang yang lapar yang bermimpi, dan lihatlah dia makan tetapi dia terbangun dan jiwanya kosong; atau seperti orang yang haus yang bermimpi, dan lihatlah dia minum tetapi dia terbangun dan lihatlah dia lemah, dan jiwanya merasakan dahaga; ya, akan demikianlah pula jadinya khalayak ramai daripada semua bangsa yang berperang melawan Gunung Sion.

4 Kerana lihatlah, kamu semua yang melakukan kederhakaan, hentikanlah dirimu dan bertanya-tanyalah, kerana kamu akan berseru, dan berseru; ya, kamu akan mabuk tetapi bukan oleh wain, kamu akan terhuyung-hayang tetapi bukan oleh minuman keras.

5 Kerana lihatlah, Tuhan telah mencurahkan ke atas dirimu roh tidur yang nyenyak. Kerana lihatlah, kamu telah menutup matamu, dan kamu telah menolak para nabi; dan para pemerintahmu, dan para pelihat telah Dia tutupi kerana kederhakaanmu.

6 Dan akan terjadi bahawa Tuhan Raja akan menampilkan bagi kamu perkataan-perkataan daripada sebuah kitab, dan ia akan menjadi perkataan daripada mereka yang telah terlelap.

7 Dan lihatlah kitab itu akan termeterai; dan dalam kitab itu akan ada sebuah wahyu daripada Tuhan, sejak awal dunia sampai akhirnya.

8 Kerananya, kerana apa yang termeterai, apa yang termeterai tidak akan diserahkan pada masa kejahatan dan kekejian orang-orang itu. Oleh kerana itu kitab itu akan ditahan daripada mereka.

9 Tetapi kitab itu akan diserahkan kepada seorang lelaki dan dia akan menyampaikan perkataan-perkataan kitab itu, yang adalah perkataan daripada mereka yang telah terlelap di dalam debu, dan dia akan menyampaikan perkataan-perkataan ini kepada yang lain;

10 Tetapi perkataan-perkataan yang termeterai tidak akan dia serahkan, tidak juga akan dia serahkan kitab itu. Kerana kitab itu akan dimeteraikan oleh kuasa Tuhan, dan wahyu yang dimeteraikan akan disimpan dalam kitab itu sampai waktu Tuhan sendiri yang tepat, agar ia boleh tampil; kerana lihatlah, ia mengungkapkan segala-galanya sejak pengasasan dunia sampai akhirnya.

11 Dan masanya tiba ketika perkataan-perkataan kitab yang termeterai itu akan dibacakan di atas atap-atap rumah; dan ia akan dibacakan melalui kuasa Kristus; dan segalanya akan diungkapkan kepada anak-anak manusia yang pernah ada di kalangan anak-anak manusia, dan yang senantiasa akan ada bahkan sampai akhir bumi.

12 Oleh kerana itu, pada hari itu ketika kitab itu diserahkan kepada lelaki yang tentangnya telah aku bicarakan, kitab itu akan disembunyikan daripada mata dunia, agar tidak ada mata sesiapa pun akan melihatnya kecuali bahawa tiga orang saksi akan melihatnya, melalui kuasa Tuhan, selain dia yang kepadanya kitab itu akan diserahkan; dan mereka akan bersaksi tentang kebenaran kitab itu dan apa yang di dalamnya.

13 Dan tidak ada seorang lain pun yang akan melihatnya, kecuali beberapa orang menurut kehendak Tuhan, untuk memberikan kesaksian tentang firman-Nya kepada anak-anak manusia; kerana Tuhan Raja telah berfirman bahawa perkataan daripada yang setia akan berbicara seolah-olah dari yang telah mati.

14 Kerananya, Tuhan Raja akan terus menampilkan perkataan-perkataan kitab itu; dan melalui mulut seramai saksi seperti yang nampaknya baik bagi-Nya akanlah Dia tegakkan firman-Nya; dan celakalah bagi dia yang menolak firman Tuhan!

15 Tetapi lihatlah, akan terjadi bahawa Tuhan Raja akan berfirman kepada dia yang kepadanya Dia akan serahkan kitab itu: Ambillah perkataan-perkataan ini yang tidak termeterai dan sampaikanlah itu kepada yang lain, agar dia boleh memperlihatkannya kepada yang terpelajar, mengatakan: Bacalah ini, aku minta kepadamu. Dan yang terpelajar itu akan berkata: Bawalah kemari kitab itu, dan aku akan membacanya.

16 Dan sekarang, kerana kemuliaan dunia dan untuk memperoleh keuntungan akanlah mereka mengatakan ini, dan bukan untuk kemuliaan Tuhan.

17 Dan lelaki itu akan berkata: Aku tidak dapat membawa kitab itu, kerana ia termeterai.

18 Kemudian akanlah yang terpelajar itu berkata: Aku tidak dapat membacanya.

19 Oleh kerana itu akan terjadi, bahawa Tuhan Raja akan menyerahkan lagi kitab itu dan perkataannya kepada dia yang tak terpelajar; dan orang yang tak terpelajar akan berkata: Aku tidak terpelajar.

20 Kemudian akanlah Tuhan Raja berfirman kepadanya: Yang terpelajar tidak akan membacanya, kerana mereka telah menolaknya, dan Aku sanggup untuk melakukan pekerjaan-Ku sendiri; kerananya engkau akan membaca perkataan yang akan Aku berikan kepadamu.

21 Janganlah menyentuh apa yang termeterai, kerana Aku akan menampilkannya pada waktu-Ku sendiri yang tepat; kerana Aku akan memperlihatkan kepada anak-anak manusia bahawa Aku sanggup untuk melakukan pekerjaan-Ku sendiri.

22 Oleh kerana itu, ketika engkau telah membaca perkataan yang telah Aku perintahkan kepadamu, dan mendapatkan para saksi yang telah Aku janjikan kepadamu, maka akanlah engkau memeteraikan kitab itu kembali, dan menyembunyikannya bagi-Ku, agar Aku boleh memelihara perkataan-perkataan yang belum engkau baca, sampai Aku akan menganggap patut menurut kebijaksanaan-Ku sendiri untuk mengungkapkan segalanya kepada anak-anak manusia.

23 Kerana lihatlah, Aku adalah Tuhan; dan Aku adalah seorang Tuhan mukjizat; dan Aku akan memperlihatkan kepada dunia bahawa Aku adalah yang sama, kelmarin, hari ini, dan selamanya; dan Aku tidak bekerja di kalangan anak-anak manusia kecuali menurut iman mereka.

24 Dan lagi akan terjadi bahawa Tuhan akan berfirman kepada dia yang akan membaca perkataan-perkataan yang akan disampaikan kepadanya:

25 Kerana bangsa ini mendekatiKu dengan mulut mereka, dan dengan bibir mereka menghormati-Ku, tetapi telah mengalihkan hati mereka jauh dari-Ku, dan rasa takut mereka terhadap-Ku diajarkan oleh ajaran manusia—

26 Oleh kerana itu, Aku akan terus melakukan suatu pekerjaan yang menakjubkan di kalangan bangsa ini, ya, suatu pekerjaan yang menakjubkan dan suatu keajaiban, kerana kebijaksanaan orang bijak dan terpelajar mereka akan binasa, dan pengertian orang bijaksana mereka akan disembunyikan.

27 Dan celakalah mereka yang berupaya keras untuk menyembunyikan rancangan mereka daripada Tuhan! Dan pekerjaan mereka berada dalam kegelapan; dan mereka berkata: Siapakah yang melihat kami, dan siapakah yang tahu kami? Dan mereka juga berkata: Pastilah, pemutarbalikanmu akan hal-hal itu akan dianggap sebagai tanah liat tukang periuk. Tetapi lihatlah, Aku akan memperlihatkan kepada mereka, firman Tuhan Semesta Alam, bahawa Aku tahu semua pekerjaan mereka. Kerana akankah hasil karya itu berkata tentang dia yang menjadikannya, dia tidak menjadikanku? Atau akankah benda yang dibentuk itu berkata tentang dia yang membentuknya, dia tidak memiliki pengertian?

28 Tetapi lihatlah, firman Tuhan Semesta Alam: Aku akan memperlihatkan kepada anak-anak manusia bahawa masih sekejap lagi dan Lebanon akan diubah menjadi sebuah ladang subur; dan ladang subur itu akan dianggap sebagai sebuah hutan.

29 Dan pada hari itu akanlah yang tuli mendengar perkataan-perkataan kitab itu, dan mata orang buta akan melihat daripada keadaan kekaburan dan daripada kegelapan.

30 Dan yang lembut hati juga akan bertambah, dan kebahagiaan mereka akan berada di dalam Tuhan, dan yang miskin di kalangan manusia akan bersukacita di dalam Yang Kudus dari Israel.

31 Kerana pasti sebagaimana Tuhan hidup mereka akan melihat bahawa orang yang menakutkan dijadikan langsung tidak berkuasa, dan pencemuh dilalap api, dan semua orang yang berjaga-jaga bagi kederhakaan disingkirkan;

32 Dan mereka yang menjadikan seseorang itu pesalah kerana sepatah perkataan, dan meletakkan jerat baginya yang menegur di gerbang, dan mengesampingkan yang soleh bagaikan sesuatu yang tak bererti apa pun.

33 Oleh kerana itu, demikian firman Tuhan, yang menebus Abraham, berkenaan bani Yakub: Yakub tidak akan sekarang malu, tidak juga akanlah mukanya sekarang menjadi pucat.

34 Tetapi ketika dia melihat anak-anaknya, pekerjaan tangan-Ku, di tengah-tengahnya, mereka akan menguduskan nama-Ku, dan menguduskan Yang Kudus dari Yakub, dan akan takut kepada Tuhan Israel.

35 Mereka juga yang khilaf secara rohani akan sampai pada pengertian, dan mereka yang merungut akan mempelajari ajaran.