Kitab Suci
Kesaksian Nabi Joseph Smith

Kesaksian Nabi Joseph Smith

Perkataan Joseph Smith sendiri tentang kedatangan Kitab Mormon adalah:

“Pada malam … dua puluh satu September [1823] … aku mencurahkan tenagaku ke dalam doa dan permohonan kepada Tuhan Yang Mahakuasa. …

“Semasa aku sedang dalam tindakan memanggil kepada Tuhan, aku melihat seberkas cahaya muncul di dalam bilikku, yang semakin bertambah sehingga bilik itu lebih terang daripada waktu tengah hari, apabila tiba-tiba seorang lembaga menampakkan diri di tepi katilku, berdiri di udara, kerana kakinya tidak menyentuh lantai.

“Dia memakai jubah longgar yang teramat sangat putihnya. Keputihannya melebihi apa pun benda duniawi yang pernah aku lihat; tidak juga aku percaya bahawa apa pun benda duniawi dapat dibuat untuk kelihatan sebegitu putih dan bergemerlapan. Tangannya terdedah, dan lengannya juga, sedikit di atas pergelangan tangan; demikian, juga, kakinya terdedah, begitu juga tungkainya, sedikit di atas pergelangan kaki. Kepala dan lehernya juga terdedah. Aku dapat melihat bahawa dia tidak mengenakan pakaian lain selain jubah ini, kerana ia terbuka, sehingga aku dapat melihat ke arah dadanya.

“Bukan saja jubahnya amat putih, tetapi seluruh perawakannya mulia melebihi gambaran, dan air mukanya benar-benar bagaikan kilat. Bilik itu amat terang, tetapi tidaklah seterang seperti betul-betul di sekitar orang tersebut. Ketika aku pertama kali memandangnya, aku berasa takut; tetapi rasa takut itu segera meninggalkanku.

“Dia memanggil namaku, dan berkata kepadaku bahawa dia ialah seorang utusan yang diutus dari hadirat Tuhan kepadaku, dan bahawa namanya adalah Moroni; bahawa Tuhan memiliki suatu pekerjaan untuk aku lakukan; dan bahawa namaku akan dikenali dengan baik dan jahat di kalangan semua bangsa, kaum, dan bahasa, atau bahawa ia akan dibicarakan secara baik mahupun jahat di kalangan semua manusia.

“Dia mengatakan ada sebuah kitab tersimpan, yang ditulis di atas kepingan-kepingan emas, yang memberikan sebuah laporan tentang penduduk benua ini yang terdahulu, dan dari mana punca datangnya mereka. Dia juga mengatakan bahawa kegenapan Injil abadi terkandung di dalamnya, sebagaimana yang disampaikan oleh Juruselamat kepada penduduk zaman dahulu;

“Juga, bahawa ada dua batu pada bingkai lengkung perak—dan batu-batu ini, diikatkan pada sebuah perisai dada, yang membentuk sesuatu yang dipanggil Urim dan Tumim—yang tersimpan bersama kepingan-kepingan tersebut; dan pemilikan dan penggunaan batu-batu ini adalah yang menjadi ‘pelihat-pelihat’ pada zaman purba atau dahulu kala; dan bahawa Tuhan telah mempersiapkannya untuk tujuan menterjemahkan kitab itu. …

“Sekali lagi, dia memberitahu aku, bahawa apabila aku memperoleh kepingan-kepingan yang telah dia bicarakan tentangnya—kerana waktu untuk mendapatkannya belum lagi digenapi—aku tidak harus memperlihatkannya kepada sesiapa pun; begitu juga dengan perisai dada itu bersama Urim dan Tumim; hanya kepada mereka yang aku akan diperintahkan untuk memperlihatkannya; jika aku melakukannya aku akan dihancurkan. Sementara dia sedang bercakap-cakap denganku tentang kepingan-kepingan itu, penglihatan dibukakan pada fikiranku sehingga aku dapat melihat tempat di mana kepingan-kepingan itu tersimpan, dan ia sebegitu terang dan jelas sehingga aku mengenali tempat itu lagi apabila aku mengunjunginya.

“Selepas komunikasi ini, aku melihat cahaya di dalam bilik mulai berkumpul betul-betul di sekitar orang yang telah berbicara kepadaku, dan ia berterusan demikian, sehingga bilik itu sekali lagi menjadi gelap, kecuali hanya di persekitarannya; dengan serta-merta aku melihat, seakan-akan, suatu lorong terbuka secara langsung ke dalam syurga, dan dia naik sehingga dia menghilang sama sekali, dan bilik itu ditinggalkan seperti sebelum cahaya syurgawi ini muncul.

“Aku berbaring merenungkan keluarbiasaan kejadian itu, dan teramat takjub terhadap apa yang telah diberitahukan kepadaku oleh utusan yang luar biasa ini; ketika, di tengah-tengah tafakurku, dengan tiba-tiba aku mendapati bahawa bilikku sekali lagi diterangi, dan seakan-akan dalam sekelip mata, utusan syurgawi yang sama sekali lagi berada di tepi katilku.

“Dia bermula, dan sekali lagi mengatakan hal-hal yang sama seperti yang telah dia lakukan pada kunjungannya yang pertama, tanpa sedikit perbezaan pun; yang setelah dilakukan, dia memberitahu aku tentang penghakiman besar yang akan datang ke atas bumi, dengan kemusnahan yang besar oleh bencana kebuluran, pedang, dan wabak; dan bahawa penghakiman yang menyedihkan ini akan datang ke atas bumi pada generasi ini. Selepas mengatakan hal-hal ini, dia naik lagi seperti yang telah dia lakukan sebelumnya.

“Pada waktu ini, begitu mendalamnya kesan yang dilakukan pada fikiranku, sehinggakan keinginan tidur telah lenyap dari mataku, dan aku berbaring dikuasai kekaguman terhadap apa yang telah aku lihat dan dengar. Tetapi alangkah terkejutnya aku apabila sekali lagi aku melihat utusan yang sama di tepi katilku, dan mendengar dia menceritakan kembali atau mengulangi sekali lagi kepadaku hal-hal yang sama seperti sebelumnya; dan menambahkan suatu peringatan kepadaku, memberitahu aku bahawa Setan akan mencuba untuk menggodaku (disebabkan keadaan miskin keluarga ayahku), untuk memperoleh kepingan-kepingan itu untuk tujuan menjadi kaya. Ini dia larang aku, mengatakan bahawa aku mestilah tidak mempunyai tujuan lain dalam memperoleh kepingan-kepingan itu selain untuk memuliakan Tuhan, dan mestilah tidak dipengaruhi oleh niat lain apa pun selain untuk membangunkan kerajaannya; jika tidak aku tidak akan dapat memperolehnya.

“Selepas kunjungan ketiga ini, dia sekali lagi naik ke dalam syurga seperti sebelumnya, dan aku ditinggalkan sekali lagi untuk merenungkan tentang keanehan hal yang baru saja aku alami; dan dengan serta-merta selepas utusan syurgawi itu naik dariku untuk ketiga kalinya, ayam jantan berkokok, dan aku mendapati bahawa hari siang sedang menjelang, oleh itu perbincangan kami rupa-rupanya telah memakan masa sepanjang malam itu.

“Aku bangun dari katilku tidak lama kemudian, dan, seperti biasa, pergi pada kerja yang perlu dilakukan pada hari itu; tetapi, semasa berusaha untuk bekerja seperti pada waktu-waktu yang lain, aku mendapati kekuatanku kehabisan sehingga menjadikan diriku sama sekali tidak berdaya. Ayahku, yang sedang bekerja bersamaku, mendapati bahawa ada sesuatu yang tidak kena denganku, dan menyuruh aku untuk pulang ke rumah. Aku memulakan dengan niat untuk pulang ke rumah; tetapi, sewaktu berusaha untuk memanjat pagar untuk keluar dari ladang di mana kami berada, kekuatanku gagal sama sekali, dan aku jatuh tidak berdaya di atas tanah, dan tidak sedarkan diri untuk suatu ketika.

“Perkara pertama yang dapat aku ingat kembali adalah suatu suara yang berkata kepadaku, memanggil namaku. Aku mendongak, dan melihat utusan yang sama berdiri di atas kepalaku, dikelilingi oleh cahaya seperti sebelumnya. Dia kemudian mengatakan lagi kepadaku semua yang telah dia katakan kepadaku pada malam sebelumnya, dan memerintahkanku untuk pergi kepada ayahku dan menceritakan kepadanya tentang penglihatan dan perintah-perintah yang telah aku terima.

“Aku patuh; aku kembali kepada ayahku di ladang, dan menceritakan kembali seluruh kejadian itu kepadanya. Dia menjawabku bahawa ia daripada Tuhan, dan menyuruh aku untuk pergi dan melakukan seperti yang diperintahkan oleh utusan itu. Aku meninggalkan ladang, dan pergi ke tempat di mana utusan itu telah memberitahu aku kepingan-kepingan itu tersimpan; dan disebabkan oleh kejelasan penglihatan yang telah aku peroleh tentangnya, aku mengenali tempat itu sebaik sahaja aku tiba di sana.

“Tidak jauh dari desa Manchester, Ontario County, New York, ada sebuah bukit yang cukup besar, dan yang paling tinggi di kawasan itu. Di bahagian barat bukit ini, tidak jauh dari puncaknya, di bawah sebuah batu yang cukup besar, terletaknya kepingan-kepingan itu, disimpan di dalam sebuah kotak batu. Batu ini tebal dan membulat di tengah pada bahagian atasnya, dan menipis ke bahagian tepinya, sehingga bahagian tengahnya kelihatan di atas tanah, tetapi di sekeliling bahagian tepinya ditutupi dengan tanah.

“Setelah mengalihkan tanah, aku mendapatkan sebatang pengumpil, yang aku letakkan di bawah bahagian tepi batu itu, dan dengan sedikit pengerahan tenaga dapat mengangkatnya. Aku melihat ke dalam, dan di sana sesungguhnya aku melihat kepingan-kepingan itu, Urim dan Tumim, dan perisai dada, sebagaimana yang dinyatakan oleh utusan itu. Kotak yang di dalamnya ia terletak dibentuk dengan meletakkan batu-batu bersama dalam sejenis simen. Pada dasar kotak itu diletakkan dua batu menyilangi kotak itu, dan di atas batu-batu ini terletaknya kepingan-kepingan itu dan benda-benda lain bersamanya.

“Aku cuba untuk mengeluarkannya, tetapi dilarang oleh utusan itu, dan sekali lagi diberitahu bahawa waktu untuk mengeluarkannya belumlah tiba, tidak juga akan, sehingga empat tahun selepas waktu itu; tetapi dia menyuruh aku supaya aku harus datang ke tempat itu tepat satu tahun selepas waktu itu, dan bahawa dia akan bertemu denganku di sana, dan bahawa aku mesti terus berbuat begitu sehingga waktunya akan tiba untuk mendapatkan kepingan-kepingan itu.

“Sesuai dengan itu, sebagaimana aku telah diperintahkan, aku pergi pada setiap akhir tahun, dan pada setiap kalinya aku menemukan utusan yang sama di sana, dan menerima petunjuk dan pengetahuan daripadanya pada setiap perbincangan kami, berkenaan apa yang Tuhan akan lakukan, dan bagaimana dan dengan cara apa kerajaannya mesti dikendalikan pada zaman akhir ini. …

“Pada akhirnya waktunya tiba untuk mendapatkan kepingan-kepingan, Urim dan Tumim, dan perisai dada itu. Pada hari kedua puluh dua bulan September, seribu lapan ratus dua puluh tujuh, setelah pergi seperti biasa pada akhir tahun yang lain ke tempat di mana ia disimpan, utusan syurgawi yang sama menyerahkannya kepadaku dengan tanggungjawab ini: bahawa aku mesti bertanggungjawab ke atasnya; bahawa jika aku akan membiarkannya terlepas kerana cuai, atau melalui apa pun kelalaian diriku, aku akan disingkirkan; tetapi bahawa jika aku akan menggunakan segala usahaku untuk melindunginya, sehingga dia, utusan itu, akan datang mengambilnya, ia akan dilindungi.

“Tidak lama kemudian aku mengetahui sebab mengapa aku telah menerima perintah-perintah yang sangat ketat untuk menjaganya supaya selamat, dan mengapa utusan itu berkata bahawa apabila aku telah melakukan apa yang dituntut dari tanganku, dia akan datang mengambilnya. Kerana sebaik sahaja diketahui bahawa aku memilikinya, usaha-usaha yang paling dahsyat digunakan untuk merampasnya daripadaku. Setiap tipu muslihat yang dapat diciptakan digunakan untuk tujuan itu. Penganiayaan menjadi lebih pahit dan teruk daripada sebelumnya, dan orang ramai sentiasa bersedia untuk merampasnya daripadaku jika mungkin. Tetapi dengan kebijaksanaan Tuhan, ia tetap selamat dalam tanganku, sehingga aku telah menyempurnakan apa yang dituntut dari tanganku. Apabila, seperti yang telah dirancangkan, utusan itu datang mengambilnya, aku menyerahkannya kepadanya; dan dia memilikinya dalam jagaannya sehingga ke hari ini, hari kedua dalam bulan Mei, seribu lapan ratus tiga puluh lapan.”

Untuk catatan yang lebih lengkap, lihat Joseph Smith—Sejarah, dalam Mutiara yang Sangat Berharga.

Catatan-catatan purba itu dikeluarkan dari tanah bagaikan suara sebuah bangsa yang berbicara dari debu, dan diterjemahkan ke dalam bahasa moden melalui kurnia dan kuasa Tuhan seperti yang dipersaksikan oleh pengesahan Ilahi, pertama kali diterbitkan ke dunia dalam bahasa Inggeris pada tahun 1830 sebagai The Book of Mormon.