Kitab Suci
Penjelasan Singkat tentang Kitab Mormon

Penjelasan Singkat tentang Kitab Mormon

Kitab Mormon adalah sebuah catatan kudus tentang bangsa-bangsa di Amerika purba, dan telah diukir di atas kepingan-kepingan logam. Sumber-sumber dari mana catatan ini dibukukan termasuklah yang berikut:

  1. Kepingan-kepingan Nefi, yang terdiri dari dua jenis: kepingan-kepingan kecil dan kepingan-kepingan besar. Yang pertama lebih berpusat pada hal-hal kerohanian dan ajaran para nabi, manakala yang kedua pula sebahagian besarnya mengandungi sejarah duniawi tentang bangsa-bangsa yang berkaitan di dalamnya (1 Nefi 9:2–4). Dari zaman Mosia, meskipun demikian, kepingan-kepingan besar juga mengandungi hal-hal dengan kepentingan rohani yang besar.

  2. Kepingan-kepingan Mormon, yang terdiri daripada sebuah ringkasan oleh Mormon dari kepingan-kepingan besar Nefi, dengan banyak ulasan. Kepingan-kepingan ini juga mengandungi sambungan sejarah oleh Mormon dan tambahan oleh anak lelakinya Moroni.

  3. Kepingan-kepingan Eter, yang menyampaikan sejarah bangsa Yared. Catatan ini telah diringkaskan oleh Moroni, yang memasukkan ulasannya sendiri dan menggabungkan catatan itu dengan sejarah umum di bawah tajuk “Kitab Eter.”

  4. Kepingan-kepingan Loyang dibawa oleh orang-orang Lehi dari Yerusalem pada tahun 600 S.M. Ia mengandungi “lima kitab Musa, … dan juga sebuah catatan tentang bangsa Yahudi dari awal, … hingga ke permulaan pemerintahan Zedekia, raja Yehuda; dan juga nubuat-nubuat para nabi kudus” (1 Nefi 5:11–13). Banyak petikan dari kepingan-kepingan ini, memetik Yesaya dan para nabi lain dalam Alkitab dan yang bukan dalam Alkitab, dilihat di dalam Kitab Mormon.

Kitab Mormon mengandungi lima belas bahagian atau pembahagian utama, dikenali, dengan satu pengecualian, sebagai kitab, biasanya dinamakan dengan nama penulis utama mereka. Bahagian pertama (enam kitab yang pertama, berakhir dengan Omni) adalah terjemahan dari kepingan-kepingan kecil Nefi. Di antara kitab Omni dan Mosia terdapat selitan yang disebut Kata-kata Mormon. Selitan ini menghubungkan catatan yang terukir di atas kepingan-kepingan kecil dengan ringkasan Mormon dari kepingan-kepingan besar.

Bahagian yang terpanjang, dari Mosia sehingga Mormon, bab 7, adalah terjemahan ringkasan Mormon dari kepingan-kepingan besar Nefi. Bahagian penutupan, dari Mormon bab 8, sehingga penghujung jilid ini, diukir oleh anak lelaki Mormon, Moroni, yang, setelah menyelesaikan catatan kehidupan ayahnya, membuat ringkasan dari catatan bangsa Yared (sebagai kitab Eter) dan kemudian menambahkan bahagian yang dikenali sebagai kitab Moroni.

Pada atau kira-kira tahun 421 M, Moroni, nabi-sejarawan terakhir bangsa Nefi, memeteraikan catatan kudus itu dan menyembunyikannya bagi Tuhan, untuk didatangkan pada zaman akhir, seperti yang diramalkan oleh suara Tuhan melalui para nabi-Nya zaman dahulu. Pada tahun 1823 M, Moroni yang sama ini, pada waktu itu merupakan orang yang dibangkitkan, mengunjungi Nabi Joseph Smith dan sesudah itu menyerahkan kepingan-kepingan berukiran itu kepadanya.

Tentang edisi ini: Halaman judul asal, sejurus sebelum isi kandungan, di ambil dari kepingan itu dan sebahagian dari tulisan suci. Pengenalan dalam rupa taip bukan italik, seperti 1 Nefi dan sejurus sebelum Mosia bab 9, adalah sebahagian dari tulisan suci. Pengenalan dalam italik, seperti pengenalan bahagian, bukan tulisan asal teks tersebut tetapi sebagai bantuan belajar untuk kemudahan pembacaan.

Beberapa kesilapan kecil dalam teks ini telah terulang dalam edisi-edisi lalu dari Kitab Mormon yang diterbitkan dalam Bahasa Inggeris. Edisi ini mengandungi pembetulan yang sesuai untuk membawa bahan tersebut ke dalam kesepadanan dengan naskhah-naskhah sebelum penerbitan dan edisi-edisi terdahulu yang disunting oleh Nabi Joseph Smith.