Kitab Eter
Catatan bangsa Yared, diambil dari dua puluh empat kepingan yang ditemui oleh rakyat Limhi pada zaman raja Mosia.
Bab 1
Moroni meringkaskan tulisan-tulisan Eter—Salasilah Eter dinyatakan—Bahasa bangsa Yared tidak dicelarukan di Menara Babel—Tuhan berjanji untuk menuntun mereka ke sebuah negeri pilihan dan menjadikan mereka sebuah bangsa yang besar.
1 Dan sekarang, aku, Moroni, meneruskan untuk memberikan sebuah laporan tentang para penduduk zaman dahulu itu yang telah dihancurkan oleh tangan Tuhan di atas permukaan negara utara ini.
2 Dan aku mengambil laporanku dari dua puluh empat kepingan yang telah ditemui oleh rakyat Limhi, yang disebut Kitab Eter.
3 Dan aku beranggapan bahawa bahagian pertama dari catatan ini, yang mengajar tentang penciptaan dunia, dan juga tentang Adam, dan sebuah laporan sejak dari waktu itu bahkan sehingga kepada menara yang besar itu, dan apa pun hal yang telah terjadi di kalangan anak-anak manusia sehingga pada waktu itu, ada di kalangan bangsa Yahudi—
4 Oleh itu aku tidak menuliskan hal-hal yang terjadi sejak zaman Adam sehingga waktu itu; tetapi semuanya ada di atas kepingan-kepingan itu; dan sesiapa yang menemuinya, dialah yang akan memiliki kuasa sehingga dia boleh memperoleh laporan yang lengkap.
5 Tetapi lihatlah, aku tidak memberikan laporan yang lengkap, tetapi sebahagian daripada laporan itu aku berikan, bermula dari menara tersebut sehinggalah mereka dihancurkan.
6 Dan dengan cara ini aku memberikan laporannya. Dia yang telah menuliskan catatan ini ialah Eter, dan dia ialah keturunan Koriantor.
7 Koriantor ialah anak lelaki Moron.
8 Dan Moron ialah anak lelaki Etem.
9 Dan Etem ialah anak lelaki Aha.
10 Dan Aha ialah anak lelaki Set.
11 Dan Set ialah anak lelaki Siblon.
12 Dan Siblon ialah anak lelaki Kom.
13 Dan Kom ialah anak lelaki Koriantum.
14 Dan Koriantum ialah anak lelaki Amnigada.
15 Dan Amnigada ialah anak lelaki Harun.
16 Dan Harun ialah keturunan Het, yang adalah anak lelaki Heartom.
17 Dan Heartom ialah anak lelaki Lib.
18 Dan Lib ialah anak lelaki Kis.
19 Dan Kis ialah anak lelaki Korom.
20 Dan Korom ialah anak lelaki Lewi.
21 Dan Lewi ialah anak lelaki Kim.
22 Dan Kim ialah anak lelaki Morianton.
23 Dan Morianton ialah keturunan Riplakis.
24 Dan Riplakis ialah anak lelaki Sez.
25 Dan Sez ialah anak lelaki Het.
26 Dan Het ialah anak lelaki Kom.
27 Dan Kom ialah anak lelaki Koriantum.
28 Dan Koriantum ialah anak lelaki Emer.
29 Dan Emer ialah anak lelaki Omer.
30 Dan Omer ialah anak lelaki Sul.
31 Dan Sul ialah anak lelaki Kib.
32 Dan Kib ialah anak lelaki Oriha, yang merupakan anak lelaki Yared;
33 Iaitu Yared yang datang dengan saudara lelakinya dan keluarga mereka, dengan beberapa yang lain dan keluarga mereka, dari menara besar itu, pada waktu Tuhan mencelarukan bahasa bangsa itu, dan bersumpah di dalam kemurkaan-Nya bahawa mereka akan dicerai-beraikan di atas seluruh muka bumi; dan menurut firman Tuhan bangsa itu telah dicerai-beraikan.
34 Dan saudara lelaki Yared yang merupakan seorang lelaki yang besar dan perkasa, dan orang yang sangat diperkenankan olehTuhan, Yared, saudara lelakinya, berkata kepadanya: Berserulah kepada Tuhan, agar Dia tidak akan mencelarukan kita sehingga kita tidak dapat memahami perkataan kita.
35 Dan terjadilah bahawa saudara lelaki Yared berseru kepada Tuhan, dan Tuhan berasa kasihan terhadap Yared; oleh itu Dia tidak mencelarukan bahasa Yared; dan Yared dan saudara lelakinya tidak dicelarukan.
36 Pada waktu itu Yared berkata kepada saudara lelakinya: Berserulah lagi kepada Tuhan, dan mungkin Dia akan memalingkan kemurkaan-Nya daripada mereka yang merupakan sahabat-sahabat kita, agar Dia tidak mencelarukan bahasa mereka.
37 Dan terjadilah bahawa saudara lelaki Yared berseru kepada Tuhan, dan Tuhan berasa kasihan terhadap sahabat-sahabat mereka dan keluarga mereka juga, lalu mereka tidak dicelarukan.
38 Dan terjadilah bahawa Yared berbicara lagi kepada saudara lelakinya, mengatakan: Pergi dan bertanyalah kepada Tuhan adakah Dia akan menghalau kita keluar dari negeri ini, dan jika Dia akan menghalau kita keluar dari negeri ini, berserulah kepada-Nya ke mana kita harus pergi. Dan siapa tahu bahawa mungkin Tuhan akan membawa kita ke sebuah negeri pilihan yang melebihi semuanya di bumi? Dan jika demikian halnya, marilah kita setia kepada Tuhan, agar kita boleh menerimanya untuk warisan kita.
39 Dan terjadilah bahawa saudara lelaki Yared berseru kepada Tuhan seperti yang telah diucapkan oleh mulut Yared.
40 Dan terjadilah bahawa Tuhan mendengar saudara lelaki Yared, dan mempunyai rasa kasihan terhadapnya, dan berfirman kepadanya:
41 Pergi dan kumpulkanlah bersama kawanan ternakmu, baik yang jantan mahupun betina, dari setiap jenis; dan juga benih dari tanah dari setiap jenis; dan keluargamu; dan juga Yared saudara lelakimu dan keluarganya; dan juga sahabat-sahabatmu dan keluarga mereka, dan sahabat-sahabat Yared dan keluarga mereka.
42 Dan apabila engkau telah melakukan ini engkau haruslah pergi di hadapan mereka turun ke lembah yang berada di sebelah utara. Dan di sana Aku akan menemui engkau, dan Aku akan pergi di hadapanmu ke sebuah negeri pilihan yang melebihi semua negeri di bumi.
43 Dan di sana Aku akan memberkati engkau dan keturunanmu, dan membangkitkan bagi-Ku dari keturunanmu, dan dari keturunan saudara lelakimu, dan mereka yang akan pergi bersamamu, sebuah bangsa yang besar. Dan tidak akan ada yang lebih besar daripada bangsa yang akan Aku bangkitkan bagi-Ku dari keturunanmu, di atas seluruh muka bumi. Dan demikianlah Aku akan lakukan kepadamu kerana sepanjang waktu yang lama ini kamu telah berseru kepada-Ku.